09 Jun 2023

ISTILAH BAHARU DALAM BAHASA MELAYU


































 

TAHNIAH DATUK NICOLE DAVID


"Saya rasa sungguh istimewa selepas empat tahun bersara dan seperti yang anda tahu kehidupan dan tumpuan penuh kini terhadap yayasan saya dalam pembangunan akar umbi dalam sukan tersebut. Terima kasih Malaysia, anda terus memberikan saya   kebahagiaan dan terima kasih Reader's Digest,"

Legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia Reader's Digest 2023 pada 8 Jun 2023. Berkongsi penghormatan tersebut dalam Facebook rasminya, Nicol, 39, berkata beliau amat bangga kerana telah diundi dalam kategori ini sehingga membuktikan kerjaya, ketelusan dan perwakilannya dipercayai oleh semua rakyat Malaysia. Bekas juara dunia sebanyak lapan kali itu turut menyebut bagaimana ibu bapanya percaya terhadap sikap boleh dipercayai lebih penting daripada gelaran, justeru anugerah yang diterima malam tadi merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam hidupnya.

"Saya amat rendah hati bahawa Malaysia dapat melihat nilai ini dalam diri saya dan akan terus berusaha gigih untuk menyumbangkan kembali kepada negara yang telah banyak memberi sumbangan dan sokongan terhadap saya,"




07 Jun 2023

GURU HARUS MEMILIKI SENI MENGAJAR


Tugas hakiki guru ialah mereka mesti tahu mengajar. Tugas mengajar pula bukan tugas yang mudah. Guru yang tahu mengajar memiliki kemahiran seni mengajar yang tidak dimiliki oleh kebanyakan guru. Guru yang mempunyai seni mengajar sentiasa kelihatan ikhlas dan jujur dalam menyampaikan ilmu. Dia tidak pernah ada waktu untuk dibazirkan. Semasa waktu bekerja, dia sentiasa mendekati pelajar untuk memberikan tunjuk ajar dan asuhan berterusan hingga pelajar rasa tersentuh hati. Guru yang memiliki seni mengajar ini pelajar akan anggap sebagai "malaikat" yang menyelamatkan mereka dalam kekalutan memahami konsep dan isi pelajaran. Namun demikian, bilangan guru yang memiliki seni mengajar ini boleh dihitung dengan jari tangan sahaja. Majoriti guru memiliki kemahiran pandai mengajar, keberkesanannya sekejap nampak sekejap tidak nampak, kejayaan bergantung kepada nasib dan bukan usaha.

Guru yang memiliki seni mengajar sentiasa menghidupkan susana dengan keikhlasannya memegang amanah yang terpikul di bahu kerana dia tahu rezeki mengajar itulah yang digunakan untuk membiayai hidup diri dan keluarga. Dia sedar jika dia ingkar dengan amanah dia akan disoal dan terpaksa menjawab di penghakiman nanti. Guru seperti ini mengenali murid-muridnya bukan sahaja hanya pada nama dan tingkah laku malahan alamat tempat tinggal mereka pun dihafalnya. Murid yang tidur dibangunkan. Yang nakal dijinakkan. Yang malas selalu dipesan. Yang cuai selalu dibetulkan. Yang suka bercakap kosong dimatangkan. Yang selalu ponteng disekolahkan. Buruk bertukar baik. Baik bertukar cemerlang. Cemerlang terjana gemilang. Hal ini dikatakan demikian kerana seni mengajar yang dimilikinya mampu melembutan kedegilan dan membijaksanakan kebodohan.

Seni mengajar ini dapat dikuasai oleh sesiapapun guru asalkan rajin menuntut ilmu dan rajin berkongsi ilmu. Seni mengajar ini boleh diasah dan ditambah seiring dengan perkembangan semasa dunia pendidikan dan teknologi. Walau bagaimanapun, jika kita leka menjamah media sosial dan randau kosong dengan rakan-rakan kita mungkin tertinggal untuk dikurniakan seni mengajar oleh-Nya. Oleh sebab itu, biarpun berpuluh-puluh tahun mengajar masih ramai guru yang teraba-raba membaca buku apabila mengajar subjek yang sama. Dia tidak dikurniakan nikmat mengajar! Senario ini berlaku di mana-mana dan melibatkan ramai guru. Puncanya, mereka masih belum memahami tugas hakiki diri dengan rasa yang mendalam, menyelam tidak sampai ke dasar!

Hakikatnya, guru yang benar-benar menguasai seni megajar sentiasa menikmat keseronokan mengajar. Dia tidak akan mengeluh dan mempersoalkan itu ini dengan lantang. Dia susah telalu dewasa untuk bersikap seperti kebudak-budakan. Guru yang memiliki seni mengajar, kehadirannya sentiasa dirasai, pemergiaannya selalu dirindui, kehilangannya sentiasa dicari. Sentuhannya seperti sentuhan ibu yang melahirkan. Nasihatnya persis amanat ayah yang membesarkan. Berdoalah kita agar dikurniakan nikmat menguasai seni mengajar agar kehadiran kita ke sesebuah sekolah akan dirasai. Jangan sampai datang tidak dijemput, pindah pun tiada ribut kasih yang bertiup. Ada ketikanya kita perlu buat refleksi, apakah aku ini seorang guru yang baik? Jika mahu tahu jawapannya, edarkan kertas kosong kepada semua rakan sejawat dan murid kelas yang diajar, suruh mereka tulis 3 perkataan untuk menggambarkan tentang diri kita. Jangan pula terasa melihat jawapan mereka, ambilkan itu sebagai ikhtibar kerana kita sedia maklum, kita tidak dapat mengubah diri hanya dengan melihat cermin. Kita harus bercerminkan mata asli orang yang banyak mengharapkan kita menunjuk ajar mereka.


KATA ADJEKTIF DARJAH BANDINGAN