27 Mac 2011

ISU SOSIAL : SENARAI HUTANG MENANTI PADA USIA MUDA

Oleh Hassan Mohd. Noor


Akhirnya Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat hanya mereka yang berpendapatan minimum RM24,000 setahun layak memohon kad kredit. Bagi yang mempunyai pendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad. Mereka yang sudah memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kad yang menjadi pilihan. Masih belum terlambat syarat ini dikenakan setelah 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit berpendapatan kurang RM36,000 setahun. Diharapkan bank atau institusi kewangan yang menawarkan kad kredit dapat mematuhi arahan ini dan tidak terlalu mudah menawarkan kad hutang atau menambah had hutang pemilik kad yang sedia ada. Peluang juga perlu diberi kepada mereka yang ingin ‘menyerah diri’ dengan memulangkan kad kredit supaya pelan penyelesaian hutang dapat diselesaikan tanpa membebankan pemilik.

Memang sukar bagi yang sudah terlanjur dengan hutang kad kredit ini untuk menyusun semula hutang selagi kad kredit masih di tangan. Ya...hutang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Bukan sekadar hutang wang ringgit dengan bank atau sesama manusia tetapi ada yang berhutang janji, hutang kerja, hutang belajar, hutang ibadat dan macam-macam lagi. Tetapi dalam banyak perkara hutang, isu hutang duit yang mendapat perhatian. Hutang wang dapat dikesan oleh BNM yang akhirnya mereka diisytiharkan muflis. Hutang wang sama ada hutang dengan bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mara dan pelbagai lagi memang menyusahkan kehidupan. Akibat kegagalan membayar hutang, ramai yang disenarai hitam. Mereka dihalang meminjam wang bagi urusan lebih penting termasuk membeli rumah atau ingin ke luar negara.

Baru-baru ini, kita didedahkan dengan kenyataan bahawa 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit. Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis. Tetapi bagaimana mahu menguruskan kewangan dengan baik kerana sebaik sahaja bekerja, hutang lama sedang menunggu untuk dijelaskan.

Walaupun ia tidak melibatkan semua orang tetapi kebanyakan mereka yang melangkah keluar dari institusi pengajian tinggi sudah pun mempunyai senarai hutang untuk dijelaskan. Maknanya ramai yang sudah berhutang sejak masih belajar. Ada pelajar yang tidak mendapat pinjaman penuh PTPTN kerana sebab-sebab tertentu terpaksa pula berhutang dengan institusi kewangan/bank atau koperasi. Maka jumlah hutang akan meningkat. Akhirnya selepas habis pengajian, pelajar terpaksa membayar hutang kepada dua pihak iaitu PTPTN dan bank/koperasi. Begitulah realiti kehidupan golongan muda sekarang apabila mereka sudah berhutang sebelum bekerja. Lebih parah apabila gaya hidup golongan pelajar di IPT, ada antara mereka ini mengatasi orang yang sudah bekerja. Hutang baru akan menyusul selepas bekerja dengan keghairahan untuk memiliki kenderaan sendiri.

Malahan ketika ini, tidak perlu deposit untuk membeli kereta. Cukup mudah. Tempoh pinjaman pula panjang menyebabkan tempoh menjelaskan hutang dan jumlah bayaran balik bulanan hutang meningkat. Itu bagi yang mempunyai dua sumber hutang. Bagaimana pula bagi mereka yang kemudiannya mendapat kad kredit yang mungkin digunakan untuk belanja perkahwinan dan mahu memiliki rumah? Maka dalam usia yang muda bertambah lagi senarai hutang - PTPTN + hutang kereta + kad kredit + rumah . Kegagalan menjelaskan hutang bulanan mengikut jadual akhirnya menyebabkan golongan muda ini terjebak dalam kancah hutang yang lebih parah dan tidak mustahil, hutang akan ditanggung sehingga ke anak cucu atau sepanjang hayat. Begitulah peritnya apabila mula terjebak ke dalam hutang – sama ada sengaja ditempah atau terpaksa ditempah. Maka perlunya perancangan kewangan yang lebih baik dan dalam hal ini, pihak berkuasa seperti BNM dan juga Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai peranan mendidik pengguna.

Tanpa perancangan kewangan yang baik, orang akan terus berhutang. Seperti lirik lagu Gali lubang tutup lubang nyanyian Salleh Yaacob. Antara lirik lagunya menyebut mengenai gali lubang untuk menutup lubang, tertutup lubang lama, lubang baru terbuka, gali lubang tutup lubang, pinjam wang bayar hutang. Lirik lagu ini sudah jelas menunjukkan bagaimana pihak yang berhutang berusaha untuk menyelesaikan hutang mereka tetapi kaedah yang digunakan tidak betul. Ada yang kononnya memohon kad kredit untuk membayar hutang tetapi hakikatnya, disebabkan tidak ada pengurusan kewangan yang baik, dia sebenarnya menempah hutang baru. Inilah yang dikatakan gali lubang nak tutup lubang tetapi lubang baru terbuka.

UTUSAN MALAYSIA
21 MAC 2011

26 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : PERSEDIAAN MENGHADAPI HARI KIAMAT

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
BERITA HARIAN, 26 MAC 2011


Benarkah seperti dikatakan atau lebih tepat, diramalkan bahawa 2012 adalah penghujung dunia kerana sudah ada tanda-tanda Hari Kiamat kian hampir seperti bencana alam yang dahsyat berlaku dan terkini, tsunami yang melanda Jepun. Kebetulan, kebanyakan yang diperkatakan bakal berlaku atau ramalan mengenai kiamat sudah pun berlaku walaupun tidak semestinya tepat seperti dikatakan tetapi hampir menyamai apa diramalkan. Contohnya, ramalan yang dibuat akan berlaku gempa bumi pada 2004, tahun itu juga terjadinya tsunami yang menggemparkan dunia. Begitu juga ramalan mengenai serangan Anthrax, sejenis bakteria membiak menerusi penyebaran spora pada 2001 dan Taufan Katrina pada 2005.  Semua peristiwa serta bencana alam yang pernah diramalkan itu baik oleh tukang ramal, kitab agama, program dikembangkan laman web di internet atau perkiraan berasaskan ilmu matematik, sudah berlaku.

Satu lagi ramalan, pada 2012 nanti akan berakhirnya riwayat bumi dikuatkan dengan tarikh dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan di Mexico iaitu kiamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012. Suku Maya terkenal dengan kebolehan mereka dalam ilmu matematik dan astronomi. Kalendar itu secara misteri berakhir dengan satu tarikh pengakhiran hari iaitu 21122012. Fakta menarik itu turut menjadi jalan cerita sebuah filem.  Mencari maklumat berkaitan 2012, akan menemukan banyak laman web serta sedutan video yang mengupas mengenainya bukan saja di kalangan bukan Islam, juga umat Islam yang turut mengambil peluang membahaskan ramalan dikatakan berasaskan fakta itu. Pendakwah dan penulis buku, Zahazan Mohamed, ketika diminta membicarakan mengenai kekalutan masyarakat terhadap teori mengatakan kiamat sudah tidak lama lagi, berkata tiada guna meletakkan tarikh tertentu berlakunya kiamat.

Katanya, ini kerana banyak disebutkan dalam al-Quran dengan jelas bahawa perkara ghaib termasuk Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah. Malah, Nabi Muhammad yang banyak kali ditanya sahabat tidak dapat memberikan jawapan. “Bagaimanapun, ada beberapa hadis menyebut apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai kiamat, Baginda berkata, jarak diutuskannya dengan kiamat ibarat jari telunjuk dan jari tengah. “Jadi jika dilihat jarak antara jari itu, kita berasakan kiamat tidak jauh. Bagaimanapun, hanya Allah yang mengetahuinya. Tetapi, ada sabda Baginda menyebut saat diutus dirinya dengan kiamat sangat dekat, malah hampir kiamat itu mendahului Baginda,” katanya. Beliau berkata, sebagai kasih sayang Allah terhadap hambanya yang memang kuat sifat ingin tahu itu, Allah menunjukkan tanda-tanda kiamat sama ada yang kecil mahu pun yang besar supaya mereka mengambil iktibar daripadanya.

Zahazan berkata, antara tanda kecil kiamat seperti diungkapkan ulama memang banyak dan ada yang sudah terlihat sekarang berlaku kepada dunia serta dalam kehidupan masyarakat.  Antaranya, diutuskan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir dan tiada nabi selepasnya, sebaliknya yang menanti adalah kiamat itu sendiri. Wafatnya Baginda juga adalah tanda kiamat.  Tanda lain, penaklukan Baitulmaqdis, melimpahnya harta, munculnya pelbagai fitnah, munculnya orang yang mengaku sebagai nabi, hilangnya amanah, hilang ilmu dan tersebar kebodohan.  Amalan riba bermaharajalela, ramainya peminum arak, berlumba menghias masjid dan berbangga dengannya, berlumba meninggikan bangunan, banyak terjadi gempa dan ibu melahirkan tuannya.  “Semua ini ada yang kita sudah lihat berlaku. Contohnya, ramai antara kita yang anak dijaga oleh ibu dan itulah yang dinamakan ibu melahirkan tuannya.

Melihat sekeliling, banyak lagi tanda-tanda kecil yang dikatakan sudah berlaku seperti bencana alam,” katanya.  Sementara tanda besar akan berlakunya kiamat masih belum kelihatan lagi, Zahazan berkata, ia bukan alasan untuk menundakan usaha melakukan persediaan menghadapi hari yang turut dinamakan hari akhirat itu.  “Tidak perlulah hendak fikirkan betul ke kiamat sudah dekat atau meramalkan bila berlakunya kiamat. Sebaliknya, pastikan kita sudah bersiap sedia menghadapi apabila tiba saatnya nanti. Itu sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya.  Tindakan perlu dilakukan ialah banyak berdoa kepada Allah supaya umat Islam selamat, memperbanyakkan amal soleh, mencegah kemungkaran dan berdampingan dengan ulama.  Tanda besar kiamat pula diungkapkan dalam hadis yang menggariskan tanda itu secara keseluruhan atau sebahagiannya kerana ada menyebut 10 tanda dan ada yang menyebut enam tanda.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Huzaifah bin Asid al Ghiffari, dia berkata: “Nabi datang kepada kami sedang kami berbincang lalu bertanya: Apa yang kalian bicarakan. Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan kiamat. Baginda berkata: Sesungguhnya ia (kiamat) tidak akan terjadi hingga kalian lihat sepuluh tanda sebelumnya. Kemudian Baginda menyebut asap, dajjal, binatang, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa bin Maryam, Ya’juj dan Ma'juj, tiga penenggelaman di bumi (di Timur, Barat dan Arab) dan yang terakhirnya adalah api keluar dari Yaman yang mengiring manusia ke tempat mereka berkumpul.”


Pelbagai tanda 
penghujung usia dunia 
sudah dikhabarkan 
wajar jadi iktibar 
manusia.

25 Mac 2011

HASIL KARYAKU : BEGINILAH NASIBKU


Aduhai, susahnya hidup seorang guru
tiap-tiap hari diselimuti tekanan berguni-guni
tiap-tiap hari mendengar leteran
tiap-tiap hari mendengar kritikan
tiap-tiap hari menerima tugas dengan paksaan

Apabila keluar keputusan peperiksaan awam
andai peratusan naik sehingga mencecah langit
andai bilangan pelajar A+ berlonggok-longgok
guru akan dihujani puji
sehingga tidak mampu bernafas
kegembiraan menyesak sampai ke hujung jiwa nan dalam
dialah guru terbaik
dialah guru terhandal
dialah guru termasyhur

Andai peratusan menjunam ke dasar Segitiga Bermuda
bilangan A+ sekadar ada dalam tiada
guru akan dihambur dengan pelbagai tuduhan
peluru menyalah mulai menghujan
sampai nak tidur malam pun rasa terancam
telinga tak tahan dengan ribuan pertanyaan
kenapa merosot keputusan
apa dibuat, apa dilakukan
apa diajar, apa diberikan
disemak kerja tiada pembetulan

Aneh dan pelik
guru yang sama
sekejap dipuji, sekejap dimaki
sekejap dia dikata baik, sekejap dikata teruk
wahal dialah dia
tidak pernah bertukar wajah
tidak pernah bertukar nama
dulu dia, kini pun dia
dulu dia tidak mampu membela diri
sekarang pun masih sama
kerana dirinya dihakimi
oleh orang di sekelilinginya

Nukilan
Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
96000 Sibu, Sarawak

25 Mac 2011-03-25
9.09 malam 

ISU ANTARABANGSA : AMBIL KESEMPATAN DI BUMI BERGOLAK


Tatkala kesengsaraan dihadapi rakyat Jepun yang dilanda ombak besar tsunami dan gempa bumi masih segar dalam ingatan masyarakat dunia, masyarakat antarabangsa dikejutkan pula dengan petaka baru iaitu peperangan di Libya. Amerika Syarikat (AS) dengan gelaran 'Polis Dunia' bersama sekutunya melancarkan serangan bertali arus ke atas Libya dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Muammar Gaddafi. Senario tersebut bukanlah kali pertama menyaksikan Polis Dunia itu bertindak sebagai 'pengaman' dalam usaha memastikan keamanan dunia dan negara diserang hidup bebas daripada pemerintah kuku besi. Antara beberapa negara lain yang pernah menyaksikan AS dan sekutunya bertindak sebagai Polis Dunia termasuklah Jepun, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi. Serangan ke atas Libya mula dilakukan pada 18 Mac lalu, selepas Polis Dunia mendapat tiket daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab yang meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak. Resolusi yang diluluskan dengan sokongan AS, Perancis dan Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi. AS dan sekutunya berjaya menjatuhkan dan membunuh Presiden Saddam dalam serangan pada tahun 2003.

Perbelanjaan perang AS

Campur tangan Barat terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003 itu telah mengakibatkan Libya dibedil secara besar-besaran melalui laut dan udara untuk melumpuhkan pentadbiran Gaddafi. Bagaimanapun, kerakusan tentera bersekutu dalam menyerang Libya terutama AS bakal menyaksikan operasi serangan mencecah sehingga berbilion ringgit dan memerlukan Pentagon memohon dana kecemasan daripada Kongres. Pada hari pertama Operasi Odyssey Dawn, AS membelanjakan lebih AS$100 juta (RM303 juta) hanya untuk peluru berpandu yang dilancarkan di Libya. Tentera AS yang mengetuai serangan tersebut turut mengepam jutaan ringgit lagi untuk melumpuhkan tapak pertahanan udara dan darat di pesisir pantai Libya. Jurucakap Pentagon bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak boleh menganggarkan kos secara rasmi sehingga kini. Pentadbiran Barack Obama mengatakan operasi yang dilancarkan di Libya menggunakan peruntukan sedia ada iaitu peruntukan perbelanjaan peperangan AS$150 juta (RM454 juta). 

"Kami tidak bercadang memohon peruntukan tambahan buat masa ini," kata jurucakap Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Kenneth Baer. Bagaimanapun, Pentagon mungkin terpaksa meminta Kongres untuk menambah peruntukan kewangan mereka satu masa nanti. Beberapa penggubal undang-undang juga berpendapat, AS tidak mampu untuk campur tangan di Libya. "Bukan sahaja serangan ketenteraan di Libya tidak mendapat kelulusan Kongres seperti mana termaktub dalam perlembagaan AS tetapi, melibatkan kos yang tinggi," kata ahli Kongres Parti Republikan yang mewakili negeri Michigan, Justin Amash. "Kita tidak perlu membazir wang yang sememangnya tiada untuk sesuatu peperangan tidak diperlukan," katanya. Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Strategik dan Taksiran Belanjawan, Zack Cooper, berkata, perbelanjaan penguatkuasaan zon larangan terbang sahaja boleh mencecah sehingga AS$800 juta dan AS$100 juta (RM302 juta) lagi untuk mengekalkannya. "Kos semakin meningkat. Harga bagi menggantikan jet pejuang yang terhempas Selasa lalu dengan model terbaru lebih canggih boleh mencecah sehingga jutaan ringgit. "Bahkan, harga bahan api setiap kali jet pejuang ke udara menelan kos sebanyak AS$10,000 (RM30,280) bagi setiap jam penerbangan," kata Cooper.

Askar AS di bumi asing

Menyingkap kembali sejarah negara kuasa besar yang bertindak sebagai Polis Dunia, dahulunya tugas tersebut lebih dahulu dipimpin Britain yang mengepalai Kuasa Berikat yang turut dianggotai Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat. Bahkan, semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pada asalnya AS mahu kekal sebagai negara neutral. Hanya dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus pada 1939, AS mula melibatkan diri secara aktif Kuasa Berikat untuk berperang dengan Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali. Perang Dunia Kedua menjadi antara peperangan yang paling memakan belanja paling tinggi kepada AS. Pada tahun 1942, AS menghantar jutaan anggota tentera dan ribuan pesawat perang dan kereta kebal ke Britain. 

Bagaimanapun, dua peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sejarah, apabila tindakan Jepun membedil Pearl Harbor, membangkitkan kemarahan AS yang kemudian membalas dengan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Taring AS sebagai Polis Dunia selepas itu semakin menjadi-jadi. Antara peperangan besar yang diketuai AS di bumi asing termasuklah dalam Perang Vietnam yang berlangsung di antara tahun 1957 hingga 1975. Meskipun tidak mendapat sokongan sekutu rapatnya Britain, AS tetap melancarkan serangan ke bumi Vietnam pada tahun 1957. Dalam peperangan itu, AS mengetuai negara lain seperti Australia, New Zealand, Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Menariknya, sekutu AS, Britain dan Kanada menolak untuk bersama dalam perang tersebut. Selepas lebih 57,000 orang terbunuh AS dan sekutunya keluar dari Vietnam pada tahun 1973 tanpa kemenangan yang jelas. Ia antara perang yang telah memalukan AS di mata antarabangsa. Konflik Perang Teluk pada tahun 1990 menyaksikan penglibatan besar-besaran AS apabila mengepalai 34 buah negara untuk berperang dengan Iraq. Ketika itu, dunia mahu menyelamatkan Kuwait yang diserang pasukan Iraq. Beberapa tahun selepas itu, kemarahan AS nampaknya tidak surut ke atas Iraq atau lebih tepat lagi Presidennya, Saddam Hussein. Menggempur Iraq buat kali kedua pada tahun 2003, AS bukan sahaja berjaya menumbangkan Saddam bahkan, menamatkan riwayat presiden itu. Yang pasti, dengan rekod 'cemerlang' AS sebagai Polis Dunia, nampaknya negara itu akan terus angkuh memikul tanggungjawab itu. Persoalannya, sejauh manakah ikhlasnya AS sebagai Polis Dunia?

HARIAN KOSMO

ISU PERGURUAN : USAH CEPAT BUAT ANDAIAN?


Barangkali, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa. Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah. Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan? Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?

Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden. Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit. "Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu. "Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain.

Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya. Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.  Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu. Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu. "Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.

"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.  "Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya. Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil. Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik. "Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.

"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat. "Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya. Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing. Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.

"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang. "Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya. "Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.


Oleh Ruhaiza Rusmin
HARIAN METRO

ISU UMUM : KERJASAMA ASEAN TIDAK SEKUKUH KESATUAN EROPAH

Oleh Dr Zaini Ujang
BERITA HARIAN
25 MAC 2011


Dalam konteks serantau di kalangan negara Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama ilmiah masih pada tahap lama. Setiap negara khususnya pada peringkat kerajaan dan institusi ilmu mempunyai sebab untuk bersikap berhati-hati dengan apa saja inisiatif yang dikemukakan.  Tidak salah jika disebut bahawa kerjasama kesarjanaan masih belum menyerlah, khususnya membabitkan strategi inovasi serantau dan mekanisme pembiayaan. Hal ini jauh bezanya berbanding dengan anggota Kesatuan Eropah (EU) menerusi kerjasama akademik, penyelidikan dan jaringan kesarjanaan. Malah, pada hemat saya, beberapa negara di rantau Asia Tenggara lebih akrab dan biasa dengan kerangka Kesatuan Eropah. Secara peribadi, saya terbabit dalam satu program penyelidikan membabitkan tujuh universiti di Eropah, termasuk Oxford dan Wageningen, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Teknologi Surabaya (ITS), Indonesia sejak 2004.

Apabila pembiayaan kewangan Kesatuan Eropah tamat pada akhir 2009, kami menghadapi cabaran untuk mendapat pembiayaan bagi melanjutkan program berkenaan pada peringkat serantau. Agak aneh tetapi itu hakikatnya, bahawa jaringan ilmiah di Asia Tenggara ditaja Kesatuan Eropah. Hal ini berlaku kerana kerangka lama masih tebal dalam minda kita bahawa persaingan dengan negara jiran perlu diperhebatkan. Kita juga masih beranggapan bahawa jiran perlu dilayani secara berhemah tetapi jangan sampai terlalu pasrah sehingga segalanya dimaklumi jiran. Jika ada kepakaran atau pengetahuan maka kita pendamkan dan jika perlu hanya berkongsi dengan pihak tertentu yang pasti bukan di kalangan jiran tetangga. Hal ini lebih ketara dari segi pengajian strategik, pembangunan ekonomi dan pertumbuhan teknologi termaju. Realitinya persekitaran dunia sudah jauh berubah. Dengan adanya globalisasi, maka peranan kita tidak terbatas kepada sempadan negara saja.

Kita perlu meneroka peluang di serata dunia, terutamanya negara jiran. Dengan adanya konsep inovasi terbuka maka sumber ilmu dan kepakaran perlu diperoleh di segala peringkat dari seluruh dimensi, terutama di kalangan jiran tetangga. Itu kekuatan negara maju khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang ketika ini adalah wadah paling subur dari segi inovasi dan perkembangan ilmu. Hal ini diperteguhkan menerusi konsep memanfaatkan jiran adalah satu keutamaan paling mudah dilaksanakan. Ini mendorong UTM dan beberapa universiti awam tempatan mengusulkan penubuhan Forum Cendikiawan Malaysia-Indonesia pada akhir tahun lalu. Forum yang mendapat dukungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah susulan beberapa pertemuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono. Menerusi forum itu, kita berharap lebih banyak inisiatif serantau dilaksanakan sekurang-kurangnya antara Malaysia dan Indonesia terlebih dulu.

Matlamatnya ialah membentuk sinergi di kalangan sarjana, penyelidik dan pemikir di rantau ini sebagaimana kerangka yang wujud di negara EU. Selain bersama melaksana misi kesarjanaan, kita juga berharap hubungan setiakawan dan jaringan produktif dapat diperteguhkan dalam konteks keamanan, kemajuan dan kelestarian serantau. Kemuncaknya kita berharap lebih banyak penjanaan nilai, inovasi, penemuan ilmiah, harta intelek, gagasan besar dan penghayatan ilmu pada tahap tertinggi disuburkan di rantau ASEAN sebagaimana Lembah Silikon atau persisiran Charles River di Boston dalam konteks model ekonomi baru. Usaha ini pada tahap tertentu memang sudah lama berjalan antara Malaysia dan Indonesia. Malangnya, usaha ini tidak dinukilkan dalam konteks gagasan serantau dan kenegaraan, sebaliknya terhad kepada beberapa bidang seperti persuratan dan sastera menerusi Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dan kerabatnya di Indonesia.

Ketika ini lebih 1,000 mahasiswa Indonesia belajar peringkat ijazah lanjutan di beberapa universiti awam menerusi dana penyelidikan ditaja kerajaan Malaysia, sama ada geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau geran Universiti Penyelidikan. Pada masa sama, ribuan mahasiswa Indonesia mengunjungi universiti di Malaysia setiap tahun dalam rangka program pertukaran akademik. Dalam konteks UTM misalnya, Indonesia adalah destinasi utama sejak 2009 menerusi Global Outreach Program (GOP). Pada tahun ini saja, daripada 5,000 peserta, lebih 1,500 mahasiswa UTM dijangka mengunjungi pelbagai universiti di Indonesia.  Di kalangan ahli akademik, usaha sama dalam program ijazah kedoktoran (PhD) bermula pada 2010 lagi.

Ini membabitkan mahasiswa dari dua negara menerusi penyeliaan bersama oleh sekumpulan profesor dari dua universiti di Indonesia dan Malaysia. Ini bermakna pengalaman mengendalikan penyelidikan seorang mahasiswa PhD dapat dikongsi bersama oleh dua institusi ilmu dari dua negara dari segi pengalaman menyelia, melaksana kajian, penulisan ilmiah dalam jurnal berimpak tinggi dan reputasi. Namun, tanpa hebahan barangkali perkembangan positif ini akan luput dalam lipatan sejarah, atau tidak dihargai. Maka itu sebabnya pada majlis Konvokesyen ke-46 pada 26 Mac ini, Senat UTM bersetuju untuk menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Menteri Pendidikan Indonesia (sejak 2009), Bapak Prof Dr Ir Muhammad Nuh.

24 Mac 2011

ISU ALAM SEKITAR : DUNIA SAMPAI KE PENGHUJUNGNYA?

Oleh Hafizahril Hamid


Tsunami yang berasal dari perkataan Jepun bermaksud "ombak gergasi" sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuannya untuk memusnahkan apa saja yang berada di hadapannya. Sehinggakan manusia semakin terfikir apakah fenomena tsunami yang melanda dunia, yang dilihat lebih kerap adalah hanya satu lagi fitrah alam atau apakah ia angkara petanda kemarahan alam terhadap kerakusan manusia itu sendiri? Melihat kepada tragedi tsunami yang melanda Jepun pada tanggal 11 Mac lepas memang mengerikan namun ia bukanlah sesuatu yang baru di negara matahari terbit itu. Akibatnya ramai yang mula beranggapan apakah peristiwa tsunami sebegini membawa petanda apakah dunia kini semakin sampai ke penghujungnya. Dunia sudah dilanda dua kejadian tsunami besar dalam tahun millennium baru dan semakin ramai yang terpengaruh dengan ramalan kiamat dan kemusnahan total pada 2012. Melihat kepada telahan umum ramai yang beranggapan tahun 2012 adalah tahun di mana satu bencana besar akan berlaku malah ada yang begitu yakin kiamat akan melanda manusia pada tahun tersebut.
Kiamat 2012

Apatah lagi sudah terdapat filem mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dalam filem 2012. Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012. Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet. Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Tamadun ini mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar. Pada tarikh 21 Disember 2012 Bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Nostradamus

Begitu juga bagi peminat Nostradamus bilamana mereka telah membuat andaian akan berlaku satu peristiwa besar pada 2012, berdasarkan ramalan di bawah;

"At the place where HIERON has his ship built,
There will be such a great sudden flood,
That one will not have a place nor land to fall upon,
The waters mount to the Olympic Fesulan."

Nostradamus mendakwa planet-planet di angkasa lepas akan berantakan yang akan mengakibatkan hancurnya kehidupan. Namun tiada sebarang tarikh khusus yang dinyatakan cumanya pengikut Nostradamus membuat andaian berdasarkan pemahaman mereka. Keadaan kini semakin kalut apabila dikatakan sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X oleh NASA sedang melengkapkan putaran orbitnya yang berlaku setiap 3600 tahun. Planet ini digambarkan 100 kali ganda besar berbanding bumi atau sama besar dengan planet Musytari.

Planet Nibiru

Adalah dijangkakan pada 23 Disember 2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada Bumi apabila ia menceroboh sistem solar Bumi. Apabila ini berlaku kesan paling buruk adalah ia akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik (polar shifting). Bagi mereka yang percaya ia dikaitkan dengan peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh alaihissalam dahulu. Bagaimanapun planet ini dikatakan tidak akan menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan mengganggu bumi. Planet ini dikatakan hanya akan lalu di antara bumi dan matahari, dimana kecerahannya muka buminya berwarna kemerah-merahan seperti matahari. Maka ada yang beranggapan ia sebagai antara tanda besar kiamat dimana akan kelihatan objek merah di langit. 

Planet Nibiru dipercayai mempunyai muka bumi yang tandus, senantiasa berlaku letusan gunung berapi, gempa bumi dan bencana alam lain dan ia mampu memudaratkan hidupan-hidupan yang menghampirinya. Selain itu Planet Nibiru dipercayai berkuasa magnetik dan boleh menganggu kestabilan geografi bumi. Semenangnya banyak kajian mengenai planet ini telah dijalankan namun kewujudannya masih menjadi misteri. Ia sukar dikesan walaupun melalui alat teropong planet, kerana kedudukannya yang berada jauh dari Pluto. Malahan pada tamadun Mesopotamia dan pada era kegemilangan Kota Babylon yang diperintah oleh Raja Nebuchadnezzar, Planet Nibiru juga dikenali sebagai Planet Tiamat, maka adakah ia juga satu sebutan bagi kiamat?

Kod rahsia

Selain itu teori akan berlaku kiamat pada 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik. Menurut mereka, bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran. Bagi seorang penulis, Fahd Amir al Ahmadi mengatakan bahawa banyak ilmuwan yang bersepakat dengan suku Maya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun 2012 namun masih belum diketahui jenis bahananya. Di Asia, hal yang sama telah ditunjukkan oleh berbagai buku yang ditulis oleh para astrologi China dari Dinasti Chang sejak tahun 1766, akan berlaku bencana besar pada 3778 M (yang bertepatan dengan tahun 2012). 

Seorang ahli astronomi Jepun, Haido Itakawa pula berkata pada tahun 1980 bahwa planet-planet matahari akan tersusun di dalam satu garis di belakang matahari, dan ini kemudiannya akan mengakibatkan kejadian kemusnahan di angkasa raya sekaligus menghentikan kehidupan di atas muka bumi juga pada tahun 2012. Itu adalah antara sebahagian tilikan dan kepercayaan sesetengah manusia bahawa kejadian tsunami yang semakin hebat melanda dunia adalah antara petanda dunia sudah semakin sampai ke penghujung. Sesungguhnya ramalan mengenai kiamat tahun 2012 itu disandarkan pada penemuan beberapa ahli astrologi kuno serta para ahli astronomi moden. Namun bagi kita sebagai umat Islam seseorang wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang dan berlaku. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsianya.

Islam

Namun begitu soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT seperti firmannya dalam surah al A'raf: 187, maksudnya :

"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba".

Malah tokoh Islam, Syeikh Yusuf al Qaradhawi pernah ditanya apakah dunia akan hancur pada tahun 2012 ? Beliau menjawab bahawa ini termasuk pembicaraan tentang sesuatu yang akan datang, menerobos tabir masa yang akan datang, menyingkap apa-apa yang mungkin terjadi pada anda besok atau lusa, dan itu semua tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT.

Tsunami Jepun

Sehingga kini berdasarkan rekod, Jepun adalah negara paling banyak dilanda tsunami dan sememangnya ia sudah sangat sinonim dengannya. Dalam jangkamasa lebih 1,300 tahun, sebanyak 195 kejadian tsunami telah melanda Jepun dan secara puratanya kejadian ini berlaku sekali dalam 6.73 tahun. Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter yang juga kelima terkuat di dunia telah menyebabkan kedudukan Pulau Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer. Hingga kini jumlah korban sebenar masih belum boleh dipastikan kerana angkanya terus meningkat dari saban hari. Dijangka jumlah sebenar mungkin melebihi 10,000 orang. Mengenali rakyat Jepun nyata mereka dikenali dengan semangat tinggi untuk bangkit seperti kebangkitan yang ditunjukkan mereka selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima. Namun diharapkan selepas tertinggal di belakang China pada nombor tiga sebagai negara ekonomi terbesar dunia, mungkin peristiwa tsunami ini akan memberi sinar baru yang lebih baik dan bermakna dalam kehidupan .