29 September 2025

SEKADAR MENULIS DARI HATI : AKAL DAHULU VIRAL KEMUDIAN


Fenomena dunia tanpa sempadan hari ini menjadikan apa sahaja yang berlaku mudah dirakam dan dikongsi ke seluruh dunia hanya dengan sekali sentuhan jari. Apa-apa sahaja peristiwa, khususnya di sekolah, berpotensi menjadi tular dalam sekelip mata. Namun begitu, yang membimbangkan, keghairahan ibu bapa dan masyarakat untuk berkongsi serta menghukum sering kali mengatasi pertimbangan akal dan adab.

Hukum Dahulu, Siasat Kemudian

Sebagai pengetua, saya pernah menyaksikan sendiri bagaimana isu kecil diperbesar-besarkan hanya kerana sebuah video atau gambar yang dipotong tanpa konteks. Misalnya, seorang guru menegur pelajar kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Rakaman pendek itu segera menjadi bahan viral, diiringi komen yang menuduh guru berkenaan kasar dan tidak profesional.

Hakikatnya, teguran itu datang selepas pelajar berkenaan berulang kali mengabaikan arahan. Video yang tular hanyalah sebahagian kecil daripada kisah sebenar. Malangnya, masyarakat cenderung menghukum dahulu, sedangkan siasatan belum dijalankan.

Kes-Kes yang Mencetuskan Salah Faham

Saya pernah membaca di akhbar, di sebuah sekolah menengah, video pergaduhan pelajar di kantin tersebar dengan kapsyen sensasi seperti “Sekolah tidak selamat” atau “Guru tidak ambil tindakan”. Hakikatnya, guru disiplin telah pun menyelesaikan kes itu, malah pelajar yang terlibat sudah dikenakan tindakan sewajarnya. Oleh sebab hantaran di media sosial lebih cepat tersebar daripada penjelasan rasmi, imej sekolah tercalar.

Dalam satu lagi kes, ibu bapa mendakwa pelajar tidak dibenarkan menunaikan solat di surau sekolah. Aduan ini menjadi bualan hangat di Facebook. Sedangkan pada hakikatnya, surau ditutup sementara kerana kerja pembersihan selepas banjir, dan pihak sekolah telah menyediakan dewan sebagai ruang alternatif untuk solat berjemaah.

Kesan Buruk kepada Warga Sekolah

Apabila isu-isu seperti ini menjadi tular, sekolah dan warga pendidik menanggung akibatnya. Guru hilang motivasi, pelajar menjadi bahan sindiran masyarakat, dan pentadbir pula dibebani dengan tekanan untuk menjawab persepsi negatif. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mendidik terpaksa diperuntukkan bagi menangkis tuduhan yang tidak berasas.

Lebih membimbangkan, budaya tular tanpa semakan turut memberi kesan kepada pelajar. Mereka belajar bahawa populariti di media sosial lebih utama daripada kebenaran. Ini jelas bertentangan dengan nilai murni yang ingin diterapkan di sekolah  iaitu adab, empati, dan tanggungjawab.

Peranan Ibu Bapa dan Orang Awam

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu menjadi rakan strategik kepada sekolah, bukannya bertindak sebagai hakim di alam maya. Sebarang isu yang membabitkan anak-anak wajar diselesaikan melalui saluran rasmi, sama ada pertemuan dengan guru kelas, kaunselor, atau pentadbir sekolah.

Perlu difahami, setiap sekolah mempunyai prosedur siasatan dan tatacara aduan yang telus. Memberi ruang kepada pihak sekolah untuk menjelaskan sesuatu isu adalah tanda kematangan dan bukti kepercayaan terhadap institusi pendidikan.

Sebagai contoh, jika anak pulang dengan cerita bahawa guru memarahinya, ibu bapa wajar mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak. Banyak kali, cerita yang disampaikan oleh anak hanyalah separuh benar atau dipengaruhi emosi. Teguran daripada guru bukanlah hukuman, tetapi sebahagian daripada proses pembentukan disiplin dan sahsiah.

Gunakan Akal, Bukan Emosi

Media sosial adalah alat komunikasi, bukannya mahkamah. Setiap perkongsian membawa tanggungjawab. Sebelum menekan butang “kongsi”, tanyalah akal diri,  adakah maklumat ini sahih? Adakah ia membawa manfaat atau hanya menimbulkan fitnah?

Sebagai pengetua, saya menyeru ibu bapa, pelajar, dan masyarakat supaya menilai sesuatu isu dengan rasional. Kita perlu kembali kepada prinsip bijaksana: gunakan akal, jangan dikuasai emosi. Pendidikan bukan medan mencari siapa yang salah, tetapi usaha berterusan membentuk insan yang lebih baik.

Jika benar-benar mahu sekolah menjadi institusi yang berwibawa dan selamat, viralkanlah nilai murni seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, dan kasih sayang. Jangan sekali-kali membiarkan kemarahan yang tidak berfakta merosakkan masa depan anak-anak bangsa.

Tiada ulasan: