Bagaimanakah dengan aku yang terlanjur menyintaimu?
Hati memang sakit dan jiwa memang pedih jika kita tahu kasih dan sayang kita dikhianati oleh orang yang sudah hidup bertahun-tahun dengan kita. Cinta yang bersemi subur mengharum hingga melahirkan zuriat perwaris keturunan musnah angkara hadirnya orang ketiga. Mahligai bahagia yang terbina dari penat lelah semasa tiada apa-apa hingga mampu membeli segalanya, runtuh begitu sahaja menyembah bumi. Alasannya mudah, "saya sudah tidak cintakan awak, hati saya tiada lagi untuk awak", semudah itu dia mengucapkan setelah susah payah membina. Dia tewas dek nafsu akibat godaan orang baharu yang mahu memanfaatkan dirinya sepenuhnya. Hidup yang selalu mewah dengan mimpi-mimpi indah kini bertukar menjadi pahit dan hitam kelam. Hari-hari yang dilalui penuh dengan amarah dan benci sehingga turun naik mahkamah untuk mengakhiri sebuah perhubungan yang suci. Apabila saya membaca isu curang ini, saya selalu bersimpati dengan nasib wanita yang tidak bekerja. Sepanjang hidup menjadi suri rumah tetapi akhirnya disisihkan begitu sahaja oleh sang suami angkara hadirnya orang ketiga. Apabila menyaksikan kes isteri curang pula, saya panas hati kerana membayangkan diri dicurangi dan menjadi saksi kepada perlakuan bobrok isteri sendiri. Aduh, pedihnya hati.
Tergamak Hati Runtuhkan Mahligai Orang Lain
Orang yang suka ambil hak orang lain ini merupakan orang yang berani serta agak kejam kerana mereka mempunyai perancangan untuk memisahkan kasih antara isteri dengan suami, ayah dengan anak dan begitulah sebaliknya jika yang curang itu adalah isteri. Yang saya nampak kes sebegini tidak banyak yang berakhir dengan aman dan damai kecuali jika lelaki yang betul-betul matang dan tinggi ilmu agamanya. Lelaki yang tidak cukup ilmu terutamanya dalam kalangan artis, mereka akan berperang di media sosial sehingga habis semua benda didedahkan dan diungkit. Natizen pula suka menambah-nambah untuk memanaskan keadaan. Akhirnya, tanpa sedar mereka telah menelanjangi maruah diri dan keluarga di berjuta-juta khalayak yang mengikuti perkembangan kisah mereka. Yang malu ialah ahli keluarga mereka lebih-lebih lagi kalau keluarga dikenali yang selama ini orang nampak baik-baik sahaja. Rupa-rupanya, begitu perangai sebenar mereka! Pada pandangan saya, soal jodoh ini biarlah kita memilih orang yang belum dimiliki. Ya, jodoh, pertemuan, ajal, dan maut di tangan Tuhan. Akan tetapi, jika kita tahu perempuan atau lelaki itu sudah mempunyai keluarga, kalau boleh elakkanlah kerana kita akan menambahkan lagi masalah.
Baru-baru ini, saya ada membaca satu kes cerai setelah hidup bersama hampir 30 tahun. Anak-anak pun sudah besar. Suami sanggup mengatakan dia sudah tiada selera terhadap isteri yang sudah tua. Saya yang membaca berita itu terkedu seketika, sampai begitu sekali kebencian kita terhadap insan yang telah hidup bersama dengan kita sejak sekian lama. Insan yang telah melahirkan anak-anak bersama kita. Hanya kerana kita sudah beristeri baharu maka yang lama kita pandang dengan begitu hina. Walaupun kita mampu memberikan nafkah hingga 30,000 sebulan kerana kita berada dan berkemampuan, janganlah kita tergamak mengeluarkan kata-kata yang menghina terhadap orang yang pernah kita sayang. Hidup ini umpama roda, ketika kita sihat dan belum ada penyakit memanglah isteri muda sayang akan kita bagai menatang minyak yang penuh. Akan tetapi, andai suatu masa apabila kita sudah tidak berdaya, kita ditinggalkan, ketika itu dia sudah dapat semua yang dia mahu daripada kita. Kemanakah arah yang kita tuju?
Anak Jadi Mangsa
Lazimnya, kes curang ini akan berakhir dengan perceraian. Apabila talak dilafazkan maka bermulalah episod baharu dalam kehidupan anak-anak. Ayah yang bertanggungjawab memang akan beri nafkah setiap bulan ikut kadar yang telah ditetapkan. Akan tetapi, saya sering membaca, ramai yang liat menghulurkan duit nafkah untuk anak-anak. Ada pula yang ambil keputusan berpatah arang berkerat rotan dengan isteri lama dan anak-anak. Yang ditinggalkan dibiarkan menderita tanpa kasih sayang daripada ayah atau ibu. Yang lebih malang lagi, ibu entah ke mana, ayah entah ke mana, anak-anak ditinggalkan hidup bersama datuk dan nenek yang sudah tua. Saya selalu berhadapan dengan anak-anak mangsa perceraian ini di sekolah. Mereka sebenarnya baik tetapi keadaan hidup memaksa mereka melakukan pelbagai masalah disiplin untuk menarik perhatian guru-guru dan rakan-rakan. Anak merupakan anugerah Allah kepada semua ibu bapa. Mereka merupakan harta semua ibu bapa yang melahirkan mereka ke dunia ini. Walaupun kita telah bercerai, tanggungjawab membesarkan anak hendaklah dipikul bersama. Awalnya memang kita bergaduh kerana sakit hati lantaran cinta dikhianati tetapi selepas bercerai kita harus berdamai demi anak-anak. Kita sama-sama ambil ikhtibar daripada perceraian untuk menjadi insan yang penyayang dan bertanggungjawab kepada anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan