Pelaksanaan PdPR
ini memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa atau penjaga,
pelajar-pelajar dan guru-guru. Saya masih ingat, pada mula-mula PdPR ini
dilaksanakan keadaan agak kelam kabut dengan pelbagai masalah namun semakin
lama semakin baik apabila golongan pendidik dan ibu bapa serta pelajar sendiri
mulai memahami konsep dan cara pelaksanaannya. Namun begitu, kita masih
mendengar keluhan daripada ibu bapa tentang cara pengendalian kelas PdPR oleh
guru. Keluhan-keluhan itu disampaikan di ruang media sosial baik secara berkias
mahupun secara marah-marah kerana tertekan dengan norma baharu ini. Kita faham,
selama ini ramai ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak
kepada guru-guru di sekolah. Apabila berlangsungnya PdPR mereka rasa kekok dan
terganggu dengan perangai dan jadual waktu PdPR anak-anak mereka. Pada masa
yang sama mereka mulai terbeban dengan tuntutan untuk menyediakan peranti dan
biaya Internet bagi membolehkan anak-anak mereka menjalani kelas PdPR dengan
selesa.
Warga guru
merupakan kelompok yang paling terkesan dengan pelaksanaan PdPR. Mereka bukan
sahaja terbeban dengan tugas mengajar malahan mereka terpaksa melayan arahan
daripada pihak atasan untuk menyediakan laporan dan mengikuti kursus, taklimat,
dan mesyuarat atas talian. Pihak atasan pula bagaikan tidak memahami keadaan
guru-guru semasa waktu pejabat. Ada ketikanya, guru terpaksa menjalankan tugas
tiga dalam satu, iaitu mengajar, mendengar taklimat, dan menyediakan laporan
yang diminta oleh pihak atasan baik PPD, JPN, mahupun KPM serta Ketua Jabatan
sendiri. Tekanan golongan guru ini bermula pada awal jam 7:00 pagi. Apabila kelas
bermula pada pukul 7:00 pagi, pelajar pula masih tidur. Kelas sunyi dan sepi. Jumlah
pelajar seramai 30 orang, yang hadir shanyalah
seorang atau tidak ada langsung. Walau bagaimanapun, guru tersebut akan
menunggu dan terus menunggu kerana sepanjang tempoh itu dia tidak boleh pergi
ke mana-mana.
Alangkah kecewa
dan hampanya Si Guru yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran hingga lewat
malam apabila pelajar-pelajarnya tidak ambil peduli. Apabila ditanya, mereka
memberikan pelbagai alasan, ibu bapa belum beli kouta Internet, tiada laptop
atau komputer, dan sebagainya wahal sejak awal pagi mereka sentiasa update
status di Facebook dan Tik Tok. Para guru letih memikirkan pelbagai kaedah
untuk membantu pelajar terutamanya mereka yang mengajar kelas peperiksaan yakni
pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM. Dalam Kumpulan
Media Sosial WhatsApp dan Telegram Guru, ramai yang meluahkan kekecewaan hingga
terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakan yang lain. Keluhan dan kekecewaan warga
guru ini hanya mereka yang tahu dan merasai. Mereka tidak akan berkongsi dengan
masyarakat kerana masyarakat yang bergelar netizen tidak akan memahami,
silap-silap keluhan itu akan menjadi senjata untuk mereka memaki, menghina, mencaci,
dan mengeji guru dan kerjaya perguruan.
Kita masih belum
dapat mengenal pasti tarikh tamat pelaksanaan kelas PdPR ini. Jika kelas bersemuka
dilaksanakan pun ramai ibu bapa yang berkeras tidak mahu menghantar anak ke
sekolah kerana risau akan keselamatan anak mereka. Jika PdPR terus dilaksanakan
guru akan terus dijadikan tempat untuk melepaskan geram dan kemarahan. Semua
cara yang guru lakukan untuk melaksanakan PdPR adalah salah pada mereka yang
tidak mengerti atau sengaja tidak mengerti. Selagi kelas PdPR terus terlaksana
semua pihak perlu bersikap positif dan elakkan daripada terlalu sensitif
sehingga semuanya menjadi sulit. Kita mesti matang berhadapan dengan situasi
ini. Golongan guru bukannya supermen atau superwomen yang boleh memuaskan hati
semua ibu bapa pelajar-pelajar mereka. Seorang guru yang mengajar 3 hingga 4 kelas
terpaksa menjaga jumlah pelajar lebih daripada 100 orang. Ada guru yang
mengabaikan anak sendiri kerana lebih mementingkan kerja dan amanah kepada
negara ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.
Pandangan Peribadi
Cikgu Zulkarnain Farihin
Anak Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan