JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Jun 2017

CATATAN CIKGU ZUL: BAHANA VIRAL, YANG DICACI MAKI BANGSA, AGAMA, NEGERI, DAN BIDANG PEKERJAAN, BUKAN PELAKUNYA


Zaman kini bukan lagi zaman menghantar surat menggunakan burung merpati. Zaman kini bukan lagi zaman kita menyampaikan pesanan di corong-corong radio. Semuanya menjadi lebih mudah. Telefon di rumah kadang-kadang tidak pernah disentuh hingga berhabuk. Anak-anak muda sudah tidak pandai lagi menulis surat untuk meluahkan perasaan. Semuanya menjadi lebih senang dengan adanya Facebook, Instagram, WeChat, WhatsApp, dan sebagainya. Semuanya hanya dilakukan melalui hujung jari. Oleh itu, pada setiap saat manusia dihidangkan dengan jutaan maklumat terkini di pelbagai laman sosial. Apa-apa sahaja yang berlaku di sekeliling mereka akan diviralkan hingga menjadi tular dalam kalangan pengemar media sosial. Kebiasaannya, viral yang paling sensasi ialah viral berkaitan dengan buli, pergaduhan, skandal suami atau isteri, dan pelbagai lagi. Setiap video, gambar, ataupun luahan perasaan yang diviralkan, akan dihiasi dengan ribuan komen daripada pembaca. Apabila kita membaca komen-komen yang ditulis oleh para “Peguam Internet”, “Ustazah Internet”, “Ustaz Internet” mahupun “Perdana Menteri Internet” ini, kita yang waras kadang-kadang boleh rasa panas kerana yang dicaci maki bukan pelaku perbuatan tetapi bangsa, kaum, agama, dan bidang pekerjaan mereka.

PERTAMA: KOMEN SALAHKAN BANGSA

Sasaran utama mereka yang memberikan komen tentang sesuatu viral di Internet biasanya ditujukan kepada bangsa atau suku kaum seseorang. Jika pelakunya merupakan kaum Melayu maka berguni-guni komen yang menghina bangsa Melayu akan disajikan oleh kaum bukan Melayu. Begitu juga, jika pelakunya ialah kaum Cina maka kaum-kaum lain yang memberikan komen akan menyalahkan semua kaum Cina. Kata-kata mereka adakalanya boleh menghiris hati sehingga terasa sangat pedihnya. Mereka langsung tidak memikirkan sensitiviti kaum yang dijadikan sasaran itu. Kita tidak tahu, apakah tujuan sebenar mereka memberikan komen yang sedemikian? Hakikatnya, orang yang melakukan kesalahan itu sebenarnya melakukan kesalahan yang juga dilakukan oleh kaum-kaum lain di dunia ini. Sebagai contohnya, kejadian buli yang berlaku di salah sebuah universiti baru-baru ini, tidak wajar disalahkan kaum, yang bersalah ialah mereka yang melakukan buli itu. Bukannya kaum mereka! Kes sebegini berlaku di mana-mana sahaja di segenap empat penjuru dunia ini. Semua kaum melakukannya. Jadi, amatlah tidak logik jika kita marahkan kaum kerana yang melakukan perbuatan itu hanya sebilangan kecil sahaja dan mereka tidak mewakili kaum. Mereka mewakili diri mereka sendiri. Mereka bukan mewakili sesiapa. Rasionalnya, semua orang yang melakukan kesalahan itu adalah kerana kegagalan mereka menahan nafsu akibat hasutan syaitan. Oleh itu, yang salah hanya dia sahaja bukan kaumnya.

Penghinaan dan caci maki yang ditujukan terus kepada kaum hanya dilakukan oleh manusia yang kurang waras dan tidak berpendidikan. Golongan sebegini wujud dalam masyarakat hanyalah untuk memecahbelahkan bukannya untuk menyatupadukan. Mereka ini ibarat batu api yang hanya tahu membakar tetapi apabila api sudah marak mereka terus lari kerana gagal memadamkannya. Golongan sebegini saya sifatkan sebagai pengecut kerana mereka ini sebenarnya kurang perhatian dan kasih sayang daripada insan-insan di sekeliling mereka. Kegagalan otak mereka berfungsi dengan baik menyebabkan mereka memberikan komen yang bukan-bukan semata-mata untuk meraih “Like” daripada pembaca yang darjah kepintaran mereka lebih kurang sama. Niat untuk memberikan komen tanpa pertimbangan yang waras hanyalah membawa kepada kemelaratan bukannya keharmonian. Ingatlah, bangsa atau kaum serta keturunan seseorang bukanlah penyebab mereka melakukan perkara-pekara buruk dan keji yang diviralkan itu. Mereka bertindak sedemikian disebabkan fikiran yang pendek dan singkat. Mereka bertindak melulu sehingga menjatuhkan maruah diri. Janganlah kita salahkan bangsa dan keturunan jika membalas komen di media sosial.

KEDUA: KOMEN SALAHKAN AGAMA

Apabila membaca komen-komen yang menyentuh soal keagamaan, saya berasa amat sedih dengan mentaliti segelintir generasi muda pada hari ini. Kebiasaannya, apabila saya membaca komen seseorang yang menarik perhatian, saya akan klik gambar profil Facebooknya untuk melihat wajahnya. Segelintir daripada mereka kelihatan masih muda remaja tetapi komen-komen yang diberikan di Internet tidak seiring dengan usia dan kematangan mereka. Penghinaan terhadap agama pelaku kesalahan bukanlah cara terbaik untuk dijadikan modal apabila kita mahu mengulas sesuatu isu yang menjadi tular. Semua agama di dunia ini mengajar umat-Nya supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Agama tidak pernah menggalakkan seseorang untuk merogol, menipu, merompak, mengumpat, dan sebagainya. Agama tidak pernah menyuruh kita bergaduh, bersengketa, berskandal, dan sebagainya. Agama mahu umatnya berbuat baik sesama manusia. Isu keagamaan ini merupakan isu yang amat sensitif kerana boleh mencetuskan pergaduhan atau kekacauan. Kita tidak sanggup negara ini hancur akibat fenomena caci maki di media sosial yang bermodalkan isu keagamaan. Oleh itu, jangan sesekali menyalahkan agama dan kepercayaan seseorang jika mereka melakukan kesalahan terhadap kita.

Agama apapun yang kita anuti, kita tidak pernah diajar untuk melakukan sesuatu perkara yang salah. Akan tetapi, jika kita melakukan kesalahan, kita lakukannya atas kehendak dan keinginan kita sendiri. Sebagai contohnya, jika perkara yang diviralkan itu berkaitan dengan suami yang membelasah isterinya tanpa perikemanusiaan. Kita seharusnya memberikan komen tentang tindakan kejam lelaki itu. Kita tidak boleh menyelar agama dan kepercayaan yang menjadi anutannya. Yang hilang pertimbangan bukan agamanya tetapi dirinya sendiri. Yang hilang kawalan bukan agamanya tetapi dirinya sendiri. Yang hilang kewarasan juga dirinya bukanlah agamanya sendiri. Sewajarnya, sebelum kita menulis sesuatu yang berkaitan dengan hal-hal keagamaan, kita mesti berfikir semasak-masaknya, kita tidak boleh dengan sengajanya mencetuskan kontroversi sehingga tergamak memaki dan mencaci agama yang dianuti oleh pelaku kesalahan itu. Golongan yang asyik menjadikan agama orang lain sebagai sasaran komen-komen kurang bijaksana ini seharusnya ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang supaya mereka lebih berhemah menggunakan ruangan komen di media sosial.

KETIGA: KOMEN KENEGERIAN

Komen yang bersifat kenegerian ini kadang-kadang agak keterlaluan dan tidak masuk dek akal. Sebagai contohnya, jika isu itu berlaku di negeri Sarawak maka komen-komen yang disajikan merupakan komen-komen yang menghina orang Sarawak sehingga sanggup mengatakan rakyat negeri Sarawak tinggal di atas pokok dan bercawat. Yang memberikan komen itu tahu bahawa rakyat di Sarawak tidak tinggal di bawah pokok dan bercawat tetapi dia utarakan komen sebegitu disebabkan dia mahu rakyat Sarawak yang membaca komen tersebut akan memberikan tindakbalas sehingga mencetuskan pergaduhan maya. Begitu juga, jika isu yang melibatkan negeri Johor maka seluruh rakyat Johor turut terkena tempiasnya disebabkan komen seorang individu yang kurang cerdik. Bagi golongan yang suka memberikan komen-komen yang bertujuan untuk meraih “like” atau “share” ini, dosa itu akan kita tanggung di akhirat nanti. Orang yang bijaksana tidak akan menghina rakyat jelata negeri lain hanya disebabkan oleh seorang pelaku kesalahan. Hal ini dikatakan demikian kerana negeri tempat kita tinggal itu hanyalah tempat tumpah darah kita, dan setiap kesilapan yang dilakukan adalah kerana kegagalan diri kita sendiri.

Saya amat berharap agar komen-komen yang berbentuk penghinaan terhadap negeri ini dihentikan demi mengurangkan darjah kebencian sesama kita. Sebelum memberikan komen yang bertujuan untuk mengaibkan sesebuah negeri kita harus cermin diri kita sendiri, apa yang akan kita lakukan jika disebabkan komen kita itu, negara Malaysia yang kita cintai ini akan menjadi huru-hara. Kita tidak boleh mementingkan diri kita sendiri, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam hal-hal yang sebegini. Orang yang waras dan berpendidikan, tidak akan menjadikan sentimen kenegerian sebagai modal untuk meraih kemenangan dan perhatian daripada orang ramai. Isu kenegerian di media sosial merupakan suatu penyakit yang boleh mengancam keselamatan negera jika isu ini menjadi parah hingga membusung nanah. Analoginya mudah, dahan sebatang pokok yang patah akibat ditiup angin, kita cuma perlu buang dahan yang patah itu sahaja, bukannya menebang keseluruhan pokok.

KEEMPAT: BIDANG PEKERJAAN 

Bidang perguruan merupakan bidang yang sangat dibenci oleh kaki-kaki komen perkara tular di Internet pada masa ini. Apabila isu yang diviralkan itu melibatkan kesilapan para guru atau pihak sekolah, masyarakat akan mengeluarkan kata-kata cacian tanpa tapisan terhadap golongan ini walaupun mereka tidak tahu sama ada pihak guru itu salah atau tidak. Contohnya, seorang ibu telah memviralkan markah anaknya di Facebook. Anaknya sepatutnya mendapat 100% markah tetapi disebabkan kesilapan guru mengira maka anaknya hanya mendapat 98%, jadi untuk menyatakan ketidakpuasan hati maka hal itu diviralkan di internet dengan menayangkan nama sekolah. Kepuasan bagi ibu tersebut adalah apabila perkara yang diviralkan itu menjadi tular dan ramai pihak yang tumpang sekaki memaki dan menyalahkan guru. Mereka tidak tahu sebenarnya tujuan viral itu adalah untuk memberitahu dunia bahawa anaknya pandai!. Apa-apa isu yang berkaitan dengan guru dan sekolah memang mudah menarik perhatian golongan yang suka memberikan komen ini. Jika diselidiki betul-betul mereka ini kebanyakannya bukan sesiapa, jika kita bertindak untuk menyaman, saya yakin mereka tidak mampu membayar saman sebab rata-rata mereka yang suka mengeluarkan komen sebegini jalan hidupnya berliku-liku dan tidak stabil. Akan tetapi, saya berdoa suatu hari akan ada juga yang akan membawa golongan ini bersemuka di mahkamah agar mereka tahu langit itu tinggi ke rendah. Dia tidak tahu tanpa didikan dan asuhan guru yang dicaci dan dimakinya itu, dia tidak akan tahu membaca, menulis, dan mengira.

Satu lagi kerjaya yang menjadi sasaran caci maki kaki viral dan tular di Internet ialah polis. Video tentang polis memang tersebar di Internet. Jika mereka di saman akibat kebiadapan memandu di jalan raya, polis digambarkan sebagai manusia yang bersalah oleh pengambil video yang berdosa. Orang yang memberikan komen pula tidak tahu pokok pangkal cerita sebenar lalu dengan mudahnya mereka menghamburkan kata-kata makian terhadap polis. Kebencian terhadap polis ini bagaikan wabak penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat yang kurang matang dalam memberikan komen di media sosial. Polis biasanya digambarkan sebagai orang yang jahat, pilih kasih, tidak berperikemanusiaan, rasuah, dan sebagainya wahal yang bersalah ialah mereka. Sesiapa juga yang melakukan kesalahan memang akan dikenakan tindakan. Misalannya, jika kita memandu tanpa lesen, apabila kita ditangkap polis, kita tidak boleh marahkan polis, kita sepatutnya bersyukur kerana polis telah mengambil tindakan terhadap kita. Jika kita terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan kematian, masalah akan menjadi panjang dan sukar diselesaikan sekiranya kita memandu tanpa lesen.  

MATANG DAN RASIONAL

Jika kita ingin memberikan komen tentang perkara yang menjadi viral di Internet, kita haruslah rasional. Jangan sampai kita tergamak menghina bangsa, agama, negeri, dan bidang pekerjaan yang berkaitan dengan pelaku tersebut. Jika dia yang bersalah maka hanyalah dia yang bersalah. Komen kita hendaklah ditujukan kepadanya sahaja. Jangan sesekali memasang niat untuk mencetuskan kontroversi demi mendapat populariti sehingga tergamak menternak dosa. Saya percaya kebanyakan pengguna Internet merupakan orang yang berpendidikan dan tahu menilai baik dan buruk setiap perbuatan yang dilakukan. Oleh itu, fikirlah semasak-masaknya sebelum kita mengeluarkan kata-kata cacian dan makian dalam ruangan komen di media sosial. Kita harus ingat, setiap cacian yang kita tujukan itu sebenarnya akan terkena pada diri kita sendiri juga suatu masa nanti. Jika hari ini kita menjadi juara kerana keupayaan kita mencetuskan kontroversi di Internet jangan lupa setiap perkara yang kita lakukan akan dibalas dan diadili dengan seadil-adilnya oleh Yang Maha Esa. Gunakan Internet dengan melakukan sesuatu yang menguntungkan kerana setiap saat yang berlalu sewaktu kita menggunakannya adalah berbayar. Jika niat kita menggunakan Internet adalah semata-mata untuk melihat perkara tular dan menulis komen dengan menyumpah seranah, kita sebenarnya merupakan orang yang kerugian.

Cetusan Minda Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu, Sarawak

Tiada ulasan: