Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
Kita tidak akan habis
memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam
pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya,
berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah.
Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan
gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta
ratu cantik tak boleh". Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara
yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun. Si
penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi
'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda
tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".
Eh! kalau sebahagian
besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu
dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara
pertandingan itu? Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang
finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk
peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta
ratu cantik Islam itu. Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa
berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik.
Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti
Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.
Fatwa ini dikeluarkan
ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan.
Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang
beragama Islam tidak terlepas menyertainya. Perbuatan mendedahkan aurat tidak
kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen
Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan
wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut
Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995
["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu
cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III;
P.U. Sel. 2780)].
Kalaupun sesetengah
peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana
pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia
hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak
tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan
hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain. Atas
dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara
ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan
diperlihatkan kepada umum. Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta
Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat
bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam
keseluruhannya berasa amat tersinggung.
Walaupun tidak ada
undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu
cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang
mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah
Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa
bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk
sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik." Berdasarkan
kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan
bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi
Islam. Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi
oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim.
Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita
bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki
yang bukan mahramnya.
Lihatlah betapa acara
ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu
penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam
apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak
kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu. Isu ini
sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan'
ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja
Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan
ratu cantik kelak? Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi
pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai
halal haram sesuatu perkara.
Inilah kejayaan besar
buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan
perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan
identiti masyarakat Islam itu sendiri. Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur
Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang
melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung.
Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai
berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya. Yang penting lagi,
semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah
seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan
seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang
benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.
Wanita hari ini perlu
membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam
anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita
dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya Pihak yang
berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu
umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga
maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain. Kita tidak menghalang wanita
untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak
bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu
pertandingan ratu cantik. Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim
perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan
empat gadis Islam terbabit. Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan
daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan
ini.
UTUSAN MALAYSIA
25 JULAI 2013