PENULIS RENCANA
HAFIZAHRIL HAMID
Setiap negara mempunyai
masalahnya sendiri setiap kali berhadapan dengan para remaja terutama dalam
melibatkan isu tabu seperti hubungan seks di luar nikah. Mengambil contoh
Malaysia sendiri perhubungan seks sebelum berkahwin semakin menular di tahap
yang membimbangkan. Kerana gagal mengawal nafsu remaja telah mengakibatkan
gejala seperti seks luar nikah berleluasa dan lebih menakutkan gejala buang
bayi semakin parah seolah-olah tidak ada sebarang rasa penyesalan dan takut
akan hukuman Allah. Hanya akibat nikmat yang seketika remaja ini akhirnya
terperangkap dalam polemik yang dicipta mereka sendiri dan membuat keputusan
yang akan menghantui mereka seumur hidup. Masalah seks dan remaja bukanlah satu
perkara baru dan isu ini telah menjadi masalah kronik dalam sistem masyarakat
mana-mana negara di dunia sejak zaman berzaman.
Malah Amerika Syarikat (AS)
sendiri sentiasa melihat perkara ini sebagai satu ancaman walaupun mereka
kelihatan seperti gagah dalam menunjukkan pada dunia apa yang dilakukan mereka
adalah paling betul dan demokratik. Namun sudah tentu cara mereka menyelesaikan
masalah juga adalah berbeza dengan kita yang mengangkat Islam sebagai agama
rasmi. Mereka lebih melihat jalan penyelesaian berlandaskan akal dan nafsu
semata-mata tanpa menjadikan agama sebagai rujukan. Menjadikan remaja mereka
sebagai satu bahan kajian, antara yang ditekankan adalah mengawal kelahiran.
Sudah menjadi kebiasaan di sekolah-sekolah AS guru mengajar anak murid mereka
cara pemakaian kondom menggunakan pisang. Selain mengajar tentang wujudnya
hubungan sesama jantina.
Satu lagi teknik popular
adalah melawan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti seksual atau abstinence
hinggalah berkahwin. Mungkin baik bagi mereka tetapi antara yang dipraktikkan
adalah menandatangani sumpah mempertahankan dara, memakai cincin janji (yang
juga sebagai cara mempertahankan dara si gadis). Satu lagi cara yang semakin
meningkat popular di AS adalah mengadakan satu majlis yang dipanggil Father
Daughter Purity Ball, yang mana ia turut melibatkan proses menandatangani
komitmen oleh si bapa dalam mempertahankan anak gadis mereka terutama dalam
soal kedaraan. Kita tidak nafikan mungkin apa yang dilakukan selain mewajarkan
hubungan sesama jantina ada baiknya bersesuaian dengan budaya mereka. Perkara
sama juga berlaku di Eropah yang kita saksikan akhirnya tidak banyak membantu
para remaja. Mereka hanya 'terselamat' di alam persekolahan tetapi tidak begitu
terjamin apabila menjejakkan kaki dalam dunia pekerjaan kerana bagi mereka
bertukar pasangan adalah biasa dan baik untuk perhubungan dan perkahwinan dianggap
jalan paling terakhir.
Tidak berminat
Bagaimanapun dalam keadaan
kebanyakan negara berhadapan masalah seks di peringkat remaja, berbeza pula
keadaannya di Jepun. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan
Perancang Keluarga Jepun (JFPA) mendapati 45 peratus gadis berusia di antara 16
hingga 24 tahun tidak berminat dalam seks malah menolaknya secara total. Malah
separuh dari lelaki dalam lingkungan usia sama dalam kajian tersebut juga
menunjukkan kecenderungan berkaitan. Ramai di antara mereka melihat perkara
seperti perhubungan atau percintaan selain hubungan seks sebagai sesuatu yang
tidak cukup menarik untuk diberi perhatian sepenuhnya. Menurut ketua JFPA,
Kunio Kitamura, masalah kelahiran yang semakin meruncing di negara matahari
terbit itu kini dalam keadaan sangat serius yang memungkinkan Jepun bakal
berhadapan masalah kepupusan satu hari nanti.
Purata kelahiran di negara
itu juga semakin merosot teruk dengan perbandingan 1.41 anak bagi seorang
wanita. Manakala seramai 1,037, 101 bayi dilahirkan tahun lepas berbanding
1,256, 254 kematian. Jika trend ini berterusan adalah tidak mustahil jumlah
penduduk negara yang seramai 127 juta itu akan merosot kepada 87 juta pada
tahun 2060 dan 43 juta pada tahun 2110. Timbul persoalan apakah yang berlaku di
Jepun ini merupakan cerminan apa yang berlaku di seluruh dunia. Terdapat
persamaan antara apa yang berlaku di Jepun dengan apa yang berlaku di AS dan
negara-negara membangun. Di kebanyakan negara orang ramai berkahwin lewat sudah
menjadi trend semasa selain masalah kadar kelahiran yang semakin merosot.
Selain itu semakin ramai wanita yang tidak mahu berkahwin sama ada terlalu
memilih atau kerana keegoan diri selain masalah kelembapan ekonomi yang
dihadapi kini menyebabkan golongan muda hanya terperap di rumah keluarga turut
menjadi antara punca masalah ini berlaku.
Bagaimanapun satu masalah
yang menjadi fenomena yang semakin menakutkan di Jepun berbanding negara lain
adalah kegilaan mereka kepada gajet-gajet canggih. Mereka lebih gemar
berkomunikasi di depan komputer atau telefon pintar berbanding berjumpa secara
nyata atau pun menjalani temujanji atau makan malam bersama teman yang dilihat
mampu mengubati kesunyian hidup. Remaja Jepun juga lebih berminat mengambil
haiwan sebagai peliharaan daripada mempunyai teman hidup atau memiliki anak. Lebih
menakutkan terdapat wanita dan lelaki yang hanya melalui fantasi seks dengan
melayari pelbagai permainan di laman web. Antaranya ada di antara mereka malah
turut melibatkan golongan berusia 30 tahun ke atas yang hanya boleh menikmati
kemuncak seksual dengan hanya melihat paparan atau robot lelaki atau wanita
yang pada kita sama seperti melihat kartun Power Rangers atau Ultraman.
Tabiat pelik ini semakin
menular dan mungkin sudah sampai ke tahap bahaya kerana bagi mereka apa yang
diperlukan semua sudah terhidang di depan mata sama ada melalui komputer atau
telefon bimbit. Malah kerana bimbang dengan apa yang berlaku akibat penggunaan
teknologi yang semakin menular, terdapat pegawai kerajaan AS semakin
menggalakkan hubungan seks di kalangan remaja. Menurut Debra Hauser, presiden
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Advocates for Youth, mengatakan kerajaan di
bawah kepimpinan Barack Obama semakin galak memotong peruntukan melibatkan
pengawalan seks di kalangan remaja berbanding George W. Bush. "Alasannya
sudah pasti pemotongan bajet berikutan masalah ekonomi tetapi bagaimana dengan
didikan remaja tentang seks terutama di zaman teknologi hanya di hujung
jari," katanya
Melihat kepada kebimbangan
ini, apa pula pandangan kita mengenai perkara ini di Malaysia. Apakah tanpa
kita sedari perkara sama juga semakin beransur-ansur melebar di negara ini. Mungkin
kita rasa perkara ini mungkin tidak serius jika ada pun. Namun adalah
diharapkan jangan hanya sekadar membuat andaian sahaja kerana adalah tidak
salah berbuat sesuatu untuk menanganinya supaya jangan hanya sudah terhantuk
barulah nak mengadah.
SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 17 NOVEMBER 2013
HARI : AHAD