Rencana ini ditulis
oleh
Oleh Ruhaiza Rusmin
dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my24
September 2012
Ternyata pilihan raya
kampus yang berlangsung minggu lalu membuktikan kematangan dan kedewasaan
sebahagian mahasiswa sebagai golongan terpelajar sekali gus membawa angin
perubahan baru dalam politik kampus. Tanpa dicemari insiden tegang atau isu
keterlaluan, golongan mahasiswa ternyata cukup tenang dan berdisiplin ketika
menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai calon bertanding atau pengundi.
Meskipun akur wujudnya isu terpencil, namun keseluruhan proses pilihan raya
kampus yang berlangsung boleh disifatkan antara terbaik pernah diadakan. Pro-Aspirasi
masih tetap unggul di hati mahasiswa di kebanyakan universiti sementara
Pro-Mahasiswa juga tetap bertahan di beberapa kubu kuat.
Senario itu sekali
gus menyangkal tanggapan segelintir pihak yang mengatakan sokongan terhadap
calon prosspirasi sudah merudum. Kini persoalan utama pula adakah kedua pihak
berpuas hati dan reda dengan keputusan diterima? Apakah mereka akur dengan
pilihan dibuat pengundi serta apakah janji dibuat mampu ditunaikan? Calon umum
Pro-Mahasiswa, Universiti Putra Malaysia, Ahmad Meseiry Abd Hakim Amir berkata,
pengundi sudah membuat pilihan dan calon sama ada menang atau tewas perlu
diterima dengan hati terbuka. Menurutnya, apa yang perlu dilaksanakan ketika
ini adalah menunaikan janji serta mandat diperjuangkan dengan penuh dedikasi
bagi membalas jasa pengundi.
“Mereka yakni
pengundi membuat keputusan, kami sebagai calon yang bertanding perlu akur dan
menerimanya dengan hati terbuka. Sama ada tewas atau menang, bukan pokok
persoalan kerana lebih penting adalah memastikan manifesto dilunaskan. Pengundi
sudah tentu mahu melihat hasilnya. Bagi saya, kekalahan Pro-Mahasiswa di
universiti ini juga sebagai proses pembelajaran dan penambahbaikan strategi.
Mungkin ada kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menambat hati pengundi pada
masa depan,”
Sepanjang tempoh
kempen, manifesto menjaga kebajikan mahasiswa adalah paling popular
diperjuangkan calon selain isu kebajikan asas seperti kemudahan kolej dan
keselamatan. Berbanding tahun lalu yang hangat dengan pelbagai isu panas,
pilihan raya tahun ini juga dikatakan sedikit hambar dan ‘lesu’ kecuali
beberapa kes terpencil yang berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam
( IPTA). Selain itu, kebangkitan calon yang berdiri atas tiket bebas juga
semakin ketara sekali gus mengundang pertandingan tiga penjuru. Medium
berbentuk maya turut digunakan sebagai alternatif kempen berbanding medium
konservatif iaitu kempen secara nyata. Calon Pro-Aspirasi Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Ain Mawarnin Mohd Nadzir berkata, pilihan raya tahun ini juga
menjadi penanda aras sejauh mana kemampuan Pro-Aspirasi dalam melaksanakan
‘serangan’ terhadap propaganda Pro-Mahasiswa.
“Ramai beranggapan
kami (Pro-Aspirasi) sudah tidak mempunyai senjata ampuh dalam melaksanakan
manifesto perjuangan. Namun itu semuanya adalah andaian semata-mata.Biar apa
jua manifesto perjuangan, pengundilah paling berhak membuat keputusan dalam
menentukan pilihan masing-masing. Justeru kemenangan besar Pro-Aspirasi di
kebanyakan IPTA tidak perlu disangsi atau disensasikan kerana pengundi lebih tertarik
dengan manifesto diperjuangkan sekali gus memberi kepercayaan kami untuk
mengemudi,”
Bagaimanapun beliau
mengakui kemenangan itu bukanlah untuk bermegah atau bersenang lenang kerana
tanggungjawab yang dipikul berat untuk dilaksanakan. “Kami tidak boleh terlalu
leka dengan kemenangan itu kerana ia datang dengan tanggungjawab. Justeru kami
perlu pastikan segala kepercayaan pengundi dibalas dengan baik sekali gus
mengukuhkan lagi sokongan,” katanya. Rakannya yang juga calon umum Pro-Aspirasi,
Mohd Fadlillah Mukhatar, berkata kempen agresif yang dijalankan secara
menyeluruh dan menepati kehendak pengundi adalah antara resipi kejayaan
Pro-Aspirasi. Menurutnya, pengundi sudah semakin bijak membuat pilihan dan
kurang selesa dengan agenda tertentu yang mahu memporak perandakan keharmonian
kampus.
“Kami (calon
Pro-Aspirasi) memang cukup berpuas hati dan berterima kasih dengan pilihan
pengundi. Biarpun dihambat kontroversi, mereka akhirnya membuat pilihan secara
matang. Ini membuktikan keamanan dan keharmonian masih menjadi keutamaan.
Hakikatnya, sesiapa pun tidak suka disogokkan dengan berita palsu atau
provokasi melampau. Saya berharap calon yang menang mampu melaksanakan
tanggungjawab dengan baik selain menjadikannya sebagai medan melaksanakan amali
sebelum berdepan situasi dunia pilihan raya sebenar,” katanya. Timbalan Naib
Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr
Abdullah Mohamad Said, berkata sama ada Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa atau bebas,
pilihan raya kampus adalah medan menilai keupayaan mahasiswa sebagai bakal
pemimpin.
Menurutnya, tidak
perlu menggembar-gemburkan atau mencipta isu sensasi semata-mata untuk meraih
undi, sebaliknya perlu menunjukkan kematangan dalam menangani apa jua situasi. “Ramai
pihak melihat mahasiswa dan pilihan raya kampus sebagai ‘isyarat’ terhadap
perkembangan serta perjalanan politik negara. Ini satu tanggapan kurang tepat. Mahasiswa
adalah kelompok tersendiri, jadi biarlah mereka membuat acuan terhadap pilihan
diingini tanpa campur tangan orang luar yang seharusnya bertindak sebagai
pemerhati saja. Pilihan raya kampus boleh menjadi landasan ilmu termasuk
belajar berkenaan senario politik tanah air selain tanggungjawab sebagai warga
negara. Tidaklah nanti mereka mengabaikannya,” katanya. Beliau juga beranggapan
secara dasarnya parti diwakili sebagai label semata-mata dan bukan penanda aras
terhadap kemenangan, kekalahan atau keupayaan calon. “Tidak perlu
mempertikaikan keupayaan calon menerusi kemenangan atau kekalahan kerana ini
hanya platform kepada mereka untuk belajar dan membina pengalaman dalam aspek
demokrasi.
“Paling penting
mereka berjaya mencorak dan menjayakan proses demokrasi di kampus sekali gus
lebih matang dan berpengetahuan. Parti diwakili bukan jaminan kukuh mereka
boleh mengemudi dengan baik, justeru tunjukkan kewibawaan sebenar sebagai
seorang pemimpin yang dipercayai,”
Sumber
Harian Metro
1 Oktober 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan