Rencana ini ditulis oleh :
Sidek Baba
Profesor Pendidikan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kemerdekaan adalah sesuatu yang amat
bermakna. Ia membebaskan diri insan daripada belenggu dan memberi ruang untuk
warga sesuatu negara membangunkan negaranya berasaskan acuan sendiri.
Pengorbanan Masyarakat Pribumi
Malaysia mencapai kemerdekaan dengan
kompromi yang sangat tinggi. Memberikan kerakyatan kepada pihak imigran untuk
tinggal di Tanah Melayu dan sekarang ini Malaysia dengan jumlah yang besar
adalah suatu pengorbanan luar biasa daripada orang Melayu. Secara timbal-baliknya
pendukung kemerdekaan terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum memahami bahawa
hak-hak fundamental orang Melayu seperti bahasa, agama dan hak istimewa perlu
dihormati dan menjadi asas penting dalam Perlembagaan. Ia bermaksud supaya asas
perpaduan wujud dan asas keseimbangan orang Melayu dengan kaum-kaum lain dapat
dirapatkan. Sekiranya orang Melayu terasa dirinya ketinggalan dalam pencapaian
ekonomi, pendidikan dan sosial, ia memberi kesan terhadap kesejahteraan dan
keselamatan negara.
Justeru ia menuntut kesabaran dan
pengorbanan yang tinggi di kalangan setiap warganegara Malaysia supaya
kedudukan orang Melayu dapat ditingkatkan dan dalam masa sama masyarakat bukan
Melayu mempunyai kebebasan untuk hidup dan menikmati peluang ekonomi yang meningkat.
Setelah lebih setengah abad kemerdekaan dicapai, ekuiti atau pegangan orang
Melayu di paras 20 peratus (%) dan selebihnya dimiliki oleh orang bukan Melayu.
Dalam zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran ini orang Melayu dan pribumi
tidak harus rasa selesa dan hilang daya saing untuk maju dan terus mengukuh
mentaliti subsidi kerana ia boleh menyebabkan keciciran yang lebih parah
terjadi. Ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar kerajaan mesti
diperbaiki supaya masa depan Malaysia memberi titik keseimbangan yang lebih
baik untuk generasi hari depan.
Kemerdekaan Lebih Separuh Abad
Kemerdekaan lebih separuh abad ini
kalau diibaratkan seorang manusia, tentunya sudah banyak jasa kepada diri,
keluarga dan masyarakat serta menempuh tempoh matang dengan memiliki banyak
pengalaman yang berguna. Dalam konteks sebuah negara seperti Malaysia terdapat
jurang antara generasi dulu dengan generasi penerus terutama dalam pemahaman
terhadap perjalanan sejarah dan budaya. Generasi dulu dan kini sepatutnya
seperti mata rantai yang sifatnya sambung menyambung. Perjuangan kemerdekaan
ialah perjuangan mengisi makna kemerdekaan. Ia tidak saja berlegar sekitar
isu-isu pembangunan fizikal dan prasarana, sains dan teknologi supaya perubahan
kelihatan semasa tetapi ia menuntut keteguhan peribadi dan kekuatan sahsiah
kerana tanpa acuan sendiri dalam pembangunan dan perubahan kita hanya menjadi
penciplak kepada kekuatan Barat dan orang lain. Tidak salah mengambil manfaat
yang memberi dukungan terhadap pembangunan dan perubahan yang sihat daripada
Barat dan Timur tetapi saripati tamadun yang dimiliki oleh bangsa-bangsa di
Malaysia harus dapat diolah dengan bijaksana supaya ia menyumbang ke arah
masyarakat yang lebih sejahtera.
Jati Diri Yang Utuh
Rukunegara yang terasas selepas
Peristiwa 13 Mei harus dijadikan rujukan falsafah bagi setiap warga Malaysia
sekiranya keamanan dan kesejahteraan ingin dicapai. Memang perbezaan dari sudut
budaya dan pemikiran terdapat dalam proses bina negara. Tetapi ada asas yang
fundamental seperti yang terkandung dalam Rukunegara yang sepatutnya menjadi
rujukan asasi warga Malaysia. Asas-asas ini sewajarnya menjadikan setiap warga
Malaysia memiliki jati diri yang asasi supaya falsafah dari Rukunegara itu
dapat menjadi landasan saling memahami dan menghormati dan dijadikan tunjang
untuk memajukan Malaysia dalam acuan kita sendiri. Penulis sewaktu belajar di
Amerika Syarikat sekitar hujung tahun 1980-an berada dalam gelombang Desert
Storm iaitu peperangan kuasa besar Amerika Syarikat dengan Iraq dan sekutunya.
Walaupun dukungan terhadap Parti Demokrat dan Republikan di kalangan warga
Amerika mempunyai perbezaan tetapi dalam soal maruah dan keselamatan Amerika
menjadikan mereka memiliki rasa patriotisme yang tinggi.
Tetapi bagi Malaysia ada semacam
kenipisan bagi warganya bila asas-asas fundamental yang menyentuh jati diri ini
berbangkit. Sudah kedapatan di kalangan sesetengah pihak tidak merasa bangga
dan bersyukur menjadi warga Malaysia. Elemen perpecahan dan peminggiran kerap
terjadi dan menyebabkan jati diri terhakis dan menghasilkan warga Malaysia yang
cenderung memikirkan kepentingan kelompok dan tidak mendukung agenda muafakat
yang menjadi syarat penting kepada persefahaman dan pengertian terhadap titik
persamaan yang terlalu banyak dan titik perbezaan yang menuntut kesabaran
tinggi. Ramai dalam kalangan kita yang menjadi kaya dan senang, berharta dan
menambah harta sehingga menjadikan kelompok kelas menengah semakin meningkat
jumlahnya. Namun terdapat golongan yang tidak bersyukur, sebaliknya mengutuk
negara sendiri di tempat orang atau meninggalkan Malaysia dan membawa kekayaan
ilmu dan harta ke tempat orang lain. Mereka melihat Malaysia dalam keadaan
serba cela dan tidak nampak langsung kebaikan sedangkan kekayaan yang mereka
kecapi dan ilmu yang mereka terima asasnya bermula di negara ini. Sebahagian
mereka berfikir cara orang Barat atau orang Amerika. Mereka lupa sejarah
Malaysia baru melepasi setengah abad dan sejarah kemerdekaan dan kemajuan
Amerika dan kuasa-kuasa Barat sudah terjadi ratusan tahun.
Mengimbangi Idealisme dan Realiti
Mutakhir ini timbul dua kecenderungan
yang saling meresahkan. Satu, menukar sistem di Malaysia atas nama negara Islam
yang didekati secara simplistik dan retorik yang penuh emosional. Ia dijadikan
pancing untuk mendapat pengaruh dan dukungan politik sempit. Islam dalam
Perlembagaan adalah agama Persekutuan. Daripadanya Islam diperkasa dalam
pendidikan, ekonomi, pembaikan bidang syariah, pengukuhan asas-asas pembangunan
sosial dan pentadbiran negara. Realiti Malaysia memerlukan pendekatan bijaksana
dengan memahami maqasid syariah secara mendalam dan strategik supaya aplikasi
syariah dalam sistem terjadi. Pendekatan ke arah ketamadunan ini perlu supaya
dengan tenaga modal insan yang cukup terlatih dengan ilmu-ilmu diniah (agama)
terhubung dengan kepakaran yang pelbagai, ia mampu memberi pendekatan baru
terhadap ilmu turath atau tradisional supaya wujud penyegaran yang seiring
dengan zaman. Kecenderungan kedua ialah terdapat pihak yang satu ketika dulu
memperjuangkan cita-cita Islam cuba membawa fahaman liberal dan pluralisme
Barat sehingga rupa dan warna hak asasi Barat hendak dijadikan celupan baru
dalam wajah Islam di Malaysia. Ia jauh lebih bahaya kerana pendekatan ini boleh
mengelirukan umat Islam dan menjadikan perpecahan di kalangan fikrah umat lebih
ketara lagi.
Di mana Bumi Dipijak
Di situ Langit Dijunjung
Bagi sesetengah kumpulan pendesak yang
berhajat merungkai asas-asas fundamental dalam Perlembagaan seperti Islam,
bahasa Melayu, hak istimewa dan sebagainya harus berfikir banyak kali kerana
asas-asas fundamental itu bermaksud baik bagi kestabilan Malaysia. Kemerdekaan
yang dinikmati sejak 55 tahun lalu seharusnya memberi kita keyakinan di mana
bumi dipijak di situ langit dijunjung. Malaysia adalah rumah kita. Di sinilah
tempat kita berlindung, mencari rezeki dan menumpahkan taat setia yang tidak
berbelah bagi. Setiap warganya harus berfikir secara muafakat dan tolak ansur
kerana tidak mudah untuk mengurus sebuah masyarakat majmuk. Harus ada
pengorbanan dan kecenderungan untuk mencari titik persamaan lebih dari titik
perbezaan supaya kelebihan yang dinikmati dan kekurangan yang dirasai dikongsi
bersama dengan keinsafan dan tekad untuk terus menyumbang ke arah kebaikan dan
kemajuan Malaysia.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
30 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan