Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia
Berhad.
Semua benda nak free tu yang jadi
malas sikit. Tiada inisiatif untuk berusaha. Kalau subsidi kerajaan dikurangkan
salah itu ini, kebanjiran pekerja asing di Malaysia tanda-tanda awal penduduk
negara ini malas bekerja. Hendak gaji besar tapi kerja sikit. Macam mana rupa
negara kita kalau jadi negara berkebajikan
Tepuk dada tanya pemikiran
anda." Demikian di antara pandangan (Murni Ali) yang diajukan dalam
ruangan blog Interaktif facebook.com/utusan_online pada 25 Ogos lalu. Ada beberapa
indikator untuk melihat sejauh mana keselesaan atau kemalasan dalam masyarakat
kita. Antaranya adalah melihat tahap kesihatan yang mana bilangan obesiti
semakin meningkat menggambarkan kurangnya aktiviti jasmani atau kegiatan gaya
hidup sihat. Jika diperhatikan jumlah mereka yang mengunjungi padang atau
gelanggang permainan untuk beriadah setiap petang sangat kurang.
Bagi kekal sihat tidak semestinya
hanya bersukan tetapi cara lain boleh dilakukan misalnya membiasakan berjalan
pantas ke tempat berhampiran tanpa menaiki kenderaan atau elak menggunakan lif
tetapi menggunakan tangga jika menaiki bangunan yang tidak terlalu tinggi. Walau
apa pun untuk menjaga kesihatan sikap malas perlu dihindarkan. Senaman perlu
dijadikan rutin harian sama ada di kawasan rekreasi atau di gimnasium tidak
kira yang muda atau tua. Selain itu tingkah laku malas dapat dilihat dengan
jelas melalui perbuatan melepak yang kebiasaannya di pasar raya, tempat hiburan
atau kawasan awam. Melepak sering dikaitkan dengan perbuatan membuang masa,
tidak mempunyai tujuan khusus atau tidak bijak menggunakan masa. Lebih malang
perbuatan melepak ini dilakukan oleh muda-mudi dengan alasan tidak mempunyai
pekerjaan atau mendakwa diri masih menganggur.
Sekiranya ditinjau keadaan sekeliling
ternyata negara kita antara yang paling bertuah dianugerahkan dengan tanah
subur, di kelilingi air yang memiliki khazanah laut dan pelbagai aktiviti
ekonomi yang berkembang pesat. Melalui kestabilan politik, suasana aman dan
asas infrastruktur yang lengkap sesiapa pun boleh berjaya asalkan sanggup
berusaha keras untuk mencapainya. Malangnya, kerja yang sepatutnya dilakukan
oleh anak tempatan diisi dan dipenuhi oleh warga asing. Sikap malas menjadi
penghalang utama untuk mencapai kejayaan. Perkara ini telah diingatkan oleh ibu
bapa kepada anak-anak sejak kecil. Kemudiannya di sekolah guru terus
mengingatkan pelajar supaya menghindari sikap malas jika ingin maju dalam
pelajaran dan kehidupan. Guru sentiasa menekankan agar pelajar bersikap
positif, rajin, tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengejar ilmu pengetahuan.
Pelajar digalakkan membuat persediaan
awal dengan membaca perkara yang akan diajar, memberi perhatian serta tumpuan
semasa pengajaran guru dan banyak membuat latihan serta rujukan bagi menambah
pengetahuan. Kebiasaannya anak murid yang akur dengan nasihat dan panduan guru
akan beroleh kejayaan dalam pelajaran dan cemerlang dalam peperiksaan. Sekiranya
kita melayari Internet terdapat blog yang membincangkan sikap malas antaranya
www.irfankhairi.com memberikan panduan bagaimana untuk membanteras sikap yang
merugikan itu. Menurutnya malas berpunca daripada sikap terlalu selesa atau
berada dalam zon selesa. Untuk keluar daripada zon itu bukanlah suatu yang
mudah. Walaupun ada usaha tetapi secara psikologi tarikan kembali ke zon itu
lebih kuat. Apa yang perlu dilakukan adalah berusaha sedikit demi sedikit untuk
berubah misalnya bagi seorang pelajar cuba tetapkan masa satu jam setiap hari
untuk belajar di rumah kemudian berusaha meningkatkannya kepada 30 minit bagi
setiap minggu dan akhirnya cuba dapatkan jumlah masa belajar sehingga lima jam
setiap hari dan berusaha mengekalkannya. Insya-Allah dengan tekad dan semangat
yang kuat perubahan boleh menjadi kenyataan.
Sementara itu, blog www.rahsiaebiz.com
memperkatakan kejayaan seseorang mempunyai kaitan yang signifikan dengan sikap.
Inilah yang membezakan personaliti yang hebat dengan orang biasa. Menurutnya,
sikap malas adalah penyakit, sekiranya dihinggapi orang itu akan hilang
kesungguhan untuk mencapai matlamat tidak kira dalam usaha merebut peluang,
bidang kerjaya atau apa sahaja yang mereka impikan. Sekiranya dikaji latar
belakang tokoh tertentu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Bill Gates, Warren
Buffet, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar Albukhari sudah tentu terdapat kualiti
tertentu dari segi sikap, kesungguhan, strategi dan perancangan mereka.
Sesungguhnya tiada sikap malas dalam kamus hidup mereka kerana malas berkait
rapat dengan kegagalan. Oleh itu, bagi mereka yang ingin berjaya sikap malas
hendaklah disingkirkan jauh di luar kotak minda. Sikap positif hendaklah
dijadikan amalan seperti rajin, bersungguh- sungguh, sentiasa mencuba, tidak
takut gagal, dan tidak mudah berputus asa.
Secara umumnya ada beberapa kategori
malas seperti malas membaca, malas berfikir dan malas berusaha. Jika ingin
menjadi orang hebat membaca perlu dijadikan rutin harian. Kini untuk memiliki
buku amat mudah kerana terdapat banyak kedai buku dan perpustakaan awam di
seluruh negara. Demikian juga melalui ICT maklumat dan pengetahuan hanyalah di
hujung jari. Oleh itu, jangan malas membaca apa sahaja bahan kerana mungkin ada
antaranya yang memberi manfaat tanpa disedari. Keduanya, gejala malas berfikir.
Ini boleh menjadikan seseorang hilang daya kebijaksanaan. Minda manusia
dibekalkan dengan berjuta-juta sel neuron yang boleh digunakan untuk berfikir
apa sahaja dan pada bila-bila masa. Menurut pakar perubatan lebih banyak
seseorang itu berfikir semakin tajam daya pemikirannya kerana sel neuron akan hidup
dan aktif bekerja.
Sebaliknya, jika malas berfikir
menyebabkan sel neuron mati dan tidak aktif. Apa yang dibimbangi sekiranya
anak muda malas berfikir mereka akan lebih cenderung kepada perkara yang
berbentuk hiburan atau yang menyeronokkan sahaja. Akhirnya akan merugikan
negara kerana golongan yang produktif itu tidak dapat memberi sumbangan seperti
yang diharapkan. Ketiga, malas berusaha tetapi mempunyai keinginan tinggi untuk
menjadi orang berjaya atau orang kaya. Natijahnya kerana kurang pengetahuan dan
kurang berfikir maka keinginan itu sukar dicapai. Peribahasa menyatakan bahawa usaha
adalah tangga kejayaan. Oleh itu, setiap orang yang ingin berjaya perlulah
berusaha keras untuk mencapainya. Jangan bimbang, semua orang boleh berjaya.
Oleh itu hindarkan sikap malas kerana ia boleh menjadi penghalang utama.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
29 Ogos 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan