DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Dengan mengambil salah satu sosok peribadi Nabi Muhammad SAW, Kelab Taat Suami bersama Global Ikhwan Sdn. Bhd akhirnya berjaya diserbu oleh Jabatan Agama Islam Perak beberapa hari lalu kerana menganjurkan forum mempromosikan baginda sebagai Tokoh Seks Suci Islam selama dua belas hari bermula 1 Rabiulawal dan dijangka berakhir pada sambutan kelahiran Rasulullah SAW yang berlangsung pada 12 Rabiulawal (5 Februari, 2012). Hasrat mempromosikan Nabi Muhammad SAW yang mempunyai isteri seramai sebelas orang itu menggambarkan betapa ceteknya pemahaman Kelab Taat Suami terhadap keperluan seks dalam kehidupan manusia. Sebelum itu, Kelab Taat Suami pernah melontarkan pandangan seorang isteri seharusnya melayan kehendak seks suami seperti "pelacur kelas pertama" dan kemudiannya mengeluarkan sebuah buku seks erotik dengan mengambil semangat Kamasutra (teks perlakuan seks dari India) ataupun menyerupai garapan Ibnu Yusof menerusi Permata Yang Hilang.
Perspekti melihat bahawa Rasullullah SAW mempunyai ramai isteri sebenarnya menampakkan penegasan kembali budaya perempuan dalam komuniti al-Arqam yang pernah menjadi eskapisme kepada lelaki yang berselindung dalam selimut agama bagi mengamalkan poligami. Poligami walaupun dibenarkan oleh Islam, kaedahnya tidaklah semudah yang diamalkan oleh komuniti al-Arqam yang dipimpin oleh Ashari Muhammad yang dikenali sebagai Syeikhul Arqam atau Abuya. Shahnon Ahmad, sasterawan negara yang pernah mengikuti harakah al-Arqam akhirnya sedar bahawa terlalu banyak kesimpangan pendekatan dan amalan Islam yang dikembangkan oleh pertubuhan itu. Turut didedahkan secara kreatif ialah bagaimana lelaki dalam al-Arqam menggunakan "tarikat aurad muhammadiyah" untuk memikat wanita yang ikut sama menjadi ahli yang taksub dan hilang pedoman hidup berkeluarga sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW. (Shahnon Ahmad, Ummi dan Abang Sheikul, 1992 dan Tok Guru, 1998.)
Poligami yang diamalkan oleh Rasullullah SAW bukan berasaskan kepada keperluan seks semata-mata, ia mempunyai pelbagai matlamat yang mendasari kepada kekuatan umat, termasuk menyelamatkan wanita-wanita daripada ancaman ganas masyarakat jahiliyah yang begitu rakus untuk memuaskan kehendak seks. Ini bermakna, apa yang cuba ditonjolkan oleh Kelab Taat Suami itu sebenarnya satu penghinaan untuk menarik sokongan lebih ramai lelaki kerana ahli-ahlinya semakin kehilangan kasih sayang suami. Pernikahan mereka secara poligami bukan berdasarkan kasih sayang, tetapi berdasarkan keinginan seks. Dengan mengangkat Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh seks Islam, bermakna pengangkatan maruah baginda menghampiri nilai-nilai mitos sebagaimana masyarakat Barat memberikan gambaran kehebatan seks tokoh legenda mereka, Marc Anthony. Sebagai seorang adiwira, Marc Anthony akhirnya bergelumang dalam kemelut seks sehingga menyebabkan kepahlawanannya semakin lemah.
Rasullullah SAW bukanlah seorang pemimpin yang dinilai sebagai adiwira, meskipun baginda pernah memimpin tentera Islam untuk berperang dengan penentang-penentang Islam. Tetapi, perlu difahami bahawa peperangan yang dilakukan oleh Rasullullah SAW bukan atas tujuan menjajah, tetapi untuk mempertahankan kesucian Islam yang diperkotak-katikkan oleh masyarakat Arab jahiliyah. Ia berlainan dengan tujuan peperangan yang berlaku dalam masyarakat Barat. Serangan yang dilakukan adalah atas alasan untuk menjajah dan menguasai pemikiran, sumber ekonomi dan memperluaskan empayar. Menurut M Feethullah Gulen, Muhammad: The Messenger of God (2011), kehadiran junjungan besar itu sebagai pembawa rahmat Allah SWT adalah untuk menyelamatkan manusia daripada kesesatan. Konsep menyelamatkan manusia adalah berbeza dengan kepercayaan penganut Kristian mengenai kehadiran Nabi Isa a.s yang dianggap sebagai "juruselamat dan anak Tuhan." Dalam pemahaman penganut Kristian, Nabi Isa a.s yang dikenali sebagai Jesus (Christ) dihantar oleh Tuhan kerana menebus dosa yang diwarisi disebabkan tercampaknya Nabi Adam a.s yang mengingkari perintah ketika berada di syurga.
Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membaiki akhlak manusia yang sudah terumbang-ambing dan lebih mengutamakan benda-benda fizikal sehingga mempersonifikasikan Tuhan dalam bentuk lembaga, patung, berhala dan kekeramatan menerusi dewa-dewi. Akibat perspektif kejiwaan manusia menjadi semakin kacau, meskipun nabi-nabi sebelum Muhammad SAW cuba menyampaikan prinsip hidup beragama dan mempercayai keesaan Allah SWT, manusia tetap melakukan ritual yang keterlaluan seolah-olah dewa-dewilah yang menentukan hidup dan matinya seseorang manusia atau makhluk. Saat pertama kali menegakkan dakwah, Rasullullah SAW mengajar manusia untuk memperbetulkan keyakinan akidah, iaitu menerusi perantaraan mengucap dua kalimah syahadah: Tiada Tuhan yang disembah selain Allah SWT, Tuhan yang menjadikan seluruah alam dan memberikan manusia kehidupan, rezeki, kesenangan dan kekuatan. Apabila seseorang telah yakin dengan asas tersebut baharulah diperkemaskan tingkah laku baik dalam aturan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara dan berhubung dengan kelompok, masyarakat dan negara yang berbeza keyakinan beragama.
Nabi Muhammad SAW tidak mengajar manusia bagaimana melakukan hubungan seks sebagaimana dijelmakan oleh kepintaran psikologi Kelab Taat Suami. Baginda menetapkan kaedah pergaulan antara suami-isteri dalam keadaan saling sayang menyayangi manakala keperluan seks itu adalah sebagai pengikat kasih sayang dan memperoleh zuriat bagi mengembangkan umat. Kalau diikutkan falsafah Kelab Taat Suami, keinginan seks yang perlu dilaksanakan adalah untuk mengikat hati suami agar tidak mencari wanita lain dan kerana itulah si isteri perlu melayannya, walaupun dalam keadaan terseksa dan menderita. Maka di situlah nampaknya Kelab Taat Suami ingin bersandiwara apabila mahu menggunakan tapak sejarah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang dinantikan sambutannya oleh seluruh masyarakat Islam sebagai melafazkan betapa seks itu sesuatu yang amat dekat dengan kehidupan baginda bersama sebelas orang isteri selepas berkahwin semula setelah wafatnya Khadijah.
Pola pemikiran Kelab Taat Suami bukan sahaja merupakan penghinaan kepada kedudukan wanita, turut menghina sebab-sebab yang mendorongkan Rasullullah SAW berkahwin seramai sebelas orang selepas kehilangan isteri pertama yang amat disayangi. Dalam merayakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun ini, umat Islam di Malaysia bukan sahaja terpaksa menolak hujah Kelab Taat Suami mengenai "layan seks isteri terhadap suami" yang hendak dipertimbangkan sebagai sosok terindah dalam kehidupan berkeluarga, bahkan perlu waspada dengan gerakan dari dalam Islam sendiri yang menggalakkan perpecahan atas alasan percikan sejarah dan keteladanan yang ditinggalkan sudah jauh tidak diikuti. Apakah tujuannya menyatakan Nabi Muhammad SAW sebagai tokoh suci seks Islam? Bukankah Nabi Muhammad SAW itu adalah pembawa "obor" yang menyelamatkan manusia daripada kehidupan dalam kegelapan dan permusuhan?
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 FEBRUARI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan