JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Januari 2012

ISU NEGARA : ANTARA STRATEGI KEPOLISAN DAN KEMATANGAN RAKYAT

Bersama Shamrahayu A Aziz
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Agenda perubahan yang dibawa kerajaan, terutama dalam hal perundangan dan hak asasi menjadi titik tolak kepada perubahan dalam banyak perkara. Ia bukan saja merangkumi perubahan dalam undang-undang, tetapi juga menghendaki perubahan dalam pemikiran dan pembawaan diri pihak berkuasa serta ahli masyarakat keseluruhannya.  Proses rundingan antara polis dan penganjur perhimpunan sempena keputusan kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin minggu lalu menjadi titik permulaan. Apa yang berlaku itu penting untuk kita membuat analisis permulaan berkenaan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang diperkenalkan di Parlimen dan menjadi undang-undang sekiranya diluluskan kelak. Dalam meneroka perubahan undang-undang, anjakan juga perlu berlaku kepada pemainnya; iaitu pihak berkuasa, terutama polis dan orang ramai. Perubahan yang dituntut daripada orang ramai ialah, terutama kematangan dalam menuntut dan menjalankan hak. Mereka juga perlu matang dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka dalam sesuatu perhimpunan seperti elemen provokasi.

Dalam perhimpunan besar, kita tidak boleh memperkecilkan elemen provokasi, sama ada daripada penggunaan kata-kata, ucapan atau slogan yang dibawa atau juga keganasan. Kita melihat perkara ini berlaku ketika perhimpunan tempoh hari.  Agak sadis apabila tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Mungkin pihak penganjur tidak mengetahui mengenai perkara ini tetapi itulah kemungkinan yang tidak dijangka berlaku dalam satu-satu perhimpunan ramai.  Inilah juga kebimbangan pihak polis selama ini. Sudah tentu polis tidak mahu seorang pun cedera. Pembaca juga maklum, sekiranya keganasan berlaku kesannya bukan kecil.  Di sinilah pentingnya juga pihak keselamatan mengenal pasti pihak penganjur. Sekiranya sesebuah perhimpunan dibuat tanpa menamakan pihak tertentu sebagai penganjur, keadaan mungkin tidak dapat dikawal.  Peserta dalam keghairahan perhimpunan berkenaan mungkin bertindak atas kehendak sendiri. Dalam keadaan ini, pihak berkuasa tidak dapat menentukan pihak bertanggungjawab bagi mengadakan rundingan.  Di sinilah perlunya undang-undang menetapkan supaya setiap perhimpunan hendaklah dianjurkan oleh pihak yang boleh dikenal pasti. Ia boleh memudahkan urusan menjaga dan menjamin keselamatan kerana proses rundingan boleh disempurnakan dengan adanya pihak yang bertanggungjawab sebagai penganjur.

Ini mungkin antara alasan untuk Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 tidak membenarkan protes jalanan, walaupun ia mendapat bantahan beberapa pihak, termasuk Majlis Peguam.  Jika kita lihat amalan kepolisan yang terkini di Amerika Syarikat, polis mengambil pendekatan strategic incapacitation atau ‘strategi melumpuhkan’ dalam menangani protes jalanan. Strategi ini menghalang berlakunya protes jalanan tanpa penganjur yang dikenal pasti.  Berbalik kepada soal perubahan, pihak pelaksana juga perlu berubah. Dalam perkara berkaitan perhimpunan, strategi kepolisan perlukan perubahan seiring dengan perubahan undang-undang. Dalam melalui fasa perubahan strategi kepolisan ini, sudah tentu apa yang masih perlu diutamakan oleh pasukan polis ialah keselamatan awam. Walaupun mungkin ada antara kita yang mahukan polis menjadi ejen pemudah dalam pelaksanaan hak mereka, golongan ini harus ingat bahawa pihak polis juga menggalas tanggungjawab memastikan setiap individu masyarakat (termasuk mereka yang tidak menyertai perhimpunan) dapat menjalankan aktiviti harian dengan sempurna. Polis juga bertugas menjamin persekitaran aman serta memastikan keselamatan harta benda dan juga keselamatan jiwa atau nyawa, bukan hak untuk berhimpun saja.  Sekiranya berkaitan mahkamah pula, walaupun tidak begitu ketara, pihak polis juga perlu mengambil kira kemuliaan badan kehakiman; membolehkan mahkamah menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.  

Walaupun benar jika dikatakan mahkamah yang menjalankan keadilan perlu menerima kritikan bagi menjamin keputusan adil, tetapi kita tidak boleh menggalakkan penghinaan mahkamah, terutama melalui tuduhan yang tidak dapat dibuktikan seperti hakim dibeli oleh pihak eksekutif.  Usaha untuk mengimbangi tanggungjawab yang digalas polis ini bukanlah sesuatu yang mudah. Jika kita meletakkan diri kita di situ pun, kita akan mendapati ia perkara berat dan memerlukan penelitian menyeluruh. Oleh itu, sedikit sebanyak pihak pelaksana juga memerlukan undang-undang yang memberikan ruang untuk mengimbangi tanggungjawab berkenaan. Peruntukan undang-undang yang membenarkan polis meletakkan syarat tertentu mungkin boleh membantu. Orang ramai harus memahami perkara ini dan tidak harus melontarkan tuduhan tanpa asas terhadap pasukan polis. Polis pula tidak harus meletakkan syarat perhimpunan yang boleh menafikan hak yang disandarkan kepada Perlembagaan. Perubahan yang berlaku dalam strategi kepolisan negara dan kematangan rakyat menjadi penentu kepada pelaksanaan undang-undang berkaitan perhimpunan yang akan diluluskan kelak. Suka juga saya tegaskan bahawa, tugas pasukan polis tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat sokongan atau bantuan daripada orang ramai, termasuk peserta dan penganjur perhimpunan. Kedua-dua pihak harus bekerja sama – bukan untuk kepentingan mereka saja tetapi untuk menghormati hak orang lain dan juga menjaga keamanan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 Januari 2012

Tiada ulasan: