Sastera dalam membina modal insan
Oleh A.Aziz Deraman
Bagi sesetengah orang, kesusasteraan itu tidak penting, tidak membawa erti apa-apa. Itulah makanya di kalangan masyarakat umum di Malaysia, kesusasteraan itu tidak dilihat betapa besar kaitannya dengan nilai politik dan kepemimpinan, akal budi, patriotisme, jati diri, budi bahasa, cinta negara, kasih sayang, pedoman kehidupan, kesedaran, keinsafan, pemikiran. Dan alangkah luasnya nukilan ilmu dan nilai-nilai hidup dalam karya para sasterawan dan penulis bangsa. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, memang semakin nyata bahawa rakyat Malaysia juga memerlukan suatu transformasi sosio-budaya dan pemahaman terhadap kesusasteraan dengan mendalam. Dalam sastera, nilai-nilai tidak bergerak berasingan, tetapi amat rapat dengan tradisi ilmu, semangat dan roh kekuatan bangsa. Jika dikatakan kesusasteraan itu bahagian daripada falsafah dan pemikiran, maka kita boleh sahaja merujuknya kepada genre sastera hikayat, roman sejarah, dan melalui teks-teks karya agung serta karya-karya semasa para sasterawan.
Di dalamnya termuat segala aspek tentang pembinaan modal insan cemerlang. Nilai politik atau ikrar taat setia seperti ungkapan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ tidak akan difahami generasi baru jika mereka tidak mempelajari sastera. Mereka tidak tahu bezakan keadilan dengan kezaliman, fungsi raja dan peranan rakyat, sekiranya tidak ditatap dua teks genius Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Dalam bahasa dan sastera itu, kita boleh mengenali peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, syair, gurindam, pantun, seloka, pepatah, petitih dan sebagainya. Hasil-hasil sastera pula ada yang berbentuk karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan yang bukan kreatif seperti penulisan dan kajian. Cuba lihat aspek nilai dan norma; adat resam, nilai-nilai positif yang patut menjadi amalan masyarakat. Kesusasteraan merakamkan macam-macam perlakuan budaya dalam bentuk tulisan dan lisan.
Jadi cemerlangkah bangsa kita, jika kita buta budaya dan tidak celik sastera? Sifat negara maju bukan begitu. Manusia cemerlang adalah manusia yang tahu erti ‘kesatuan’ dan lambang-lambang ‘perpaduan’ dan ‘kekuatan’. Misalnya ada protokol Melayu tentang pemimpin yakni peranan ketua mengatur gerak kerja dan ketua itu dihormati. Ungkapan seperti ‘Yang didahulukan selangkah/ Yang ditinggikan seranting/ Yang dilebihkan serambut/ Yang dimuliakan sekuku... dan ribuan lagi ungkapan Melayu. Nilai-nilai jati diri, patriotisme, dan akal budi boleh sahaja dirujuk. Pantun, syair, gurindam, peribahasa dari segi isi dan mesejnya membawa nilai budi, pengajaran dan nasihat. Apakah masyarakat kita masih ingat akan ‘Duduk berbual diremang senja/Angin taufan bertiup kencang/Kalau kapal dua nakhoda/Alamat karam dipukul gelombang/. Ada ribuan pantun dan peribahasa yang boleh kita buat pedoman tentang perpaduan, nilai kepemimpinan, cinta negara, kekeluargaan, perjuangan, kepahlawanan dan sebagainya.
Di Malaysia, kadang kala pengalaman menunjukkan bahawa kita begitu mudah terperangkap atau terheret dengan masalah kulit bukan isinya. Kenapakah nilai-nilai budi bahasa dan nilai murni bangsa kita kian terhakis? Seorang anak Melayu yang kukuh modal insannya akan menjadi seorang budiman, beragama, berbudaya dan berakhlak mulia. Mereka akan menolak hedonisme, vandalisme dan jahiliyah. Selain agama, maka sastera mengajar nilai hormat menghormati, bersyukur, berkeperibadian luhur dan seumpamanya. Dalam pantun disebut ‘Burung serindit terbang melayang/Mari hinggap diranting mati/Bukan ringgit dipandang orang/Pandangan atas budi pekerti/. Tetapi berbudi juga ada hadnya. Kita diingatkan agar ‘Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali’. Jangan sampai ‘kera di hutan disusui, anak dipangkuan dilepaskan’.
Bangsa Melayu dan bumiputera sepatutnya dengan penuh keyakinan melangkah memajukan diri. Lihat bagaimana nilai ketekunan, kebijaksanaan, ketabahan, rendah diri, persaingan, berbudi, berbakti, kesabaran dan sebagainya yang digambarkan melalui teks-teks sastera tadi. Ilmu kepribumian sudah sepatutnya diajar di institusi pengajian sebagai pengetahuan dan bandingan, termasuk teknologi pribumi. Cuba ceduk nilai-nilai positifnya. Faktor nilai dan norma sangat penting dalam situasi sekarang. Modal insan boleh dibina dengan mengambil iktibar daripada sastera. Bukankah nilai-nilai itu maknanya darjat, kualiti, taraf dan sifat ketinggian pemikiran, agama dan kemasyarakatan?. Dalam sastera, masyarakat akan tahu nilai berkasih sayang, bekerjasama, bergotong royong, muafakat, semangat perjuangan dan membina pasukan. Banyak yang kita boleh rujuk.
Apakah sia-sia sahaja peribahasa seperti ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum pula’, ‘pisang sesikat sayur sebelanga, tanda mufakat makan bersama’, ‘gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni’, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ atau ‘Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih?’ Jika bangsa Malaysia merujuk atau diajarkan teks sastera, maka keagungan nilai-nilai pendidikan warisan bangsa itu akan dirasai. Nilai kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan adalah nilai-nilai universal. Malahan ada puluhan nilai-nilai positif yang lain. Pedoman kehidupan, misalnya ‘Menunduk kepala kepada raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap lawan,’ menggambarkan kita ada peraturan dan keteraturan tersendiri. Cuba kenal siapa kawan dan siapa lawan!
Untuk ekonomi, tatapi ‘sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit,’ ‘alah membeli menang memakai,’ ‘masa itu emas, masa itu wang;’ untuk amanah ‘Kata hendaklah dikota,’ ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Kenapakah semuanya hilang dari kehidupan, jika tidak bangsa kita sendiri yang memupuskan kehebatannya? Kesusasteraan memiliki kedudukan yang istimewa bagi bangsanya kerana ada banyak panduan cara hidup berbangsa dan bernegara. Yang perlu kita bina ialah nilai-nilai persamaan bukannya perbezaan, nilai kebaikan bukan kejahatan, kemanusiaan bukan kehaiwanan, kenegaraan dan perpaduan. Cari jalan bagaimana kesejahteraan sosial dan kehidupan kebudayaan tinggi dapat didukung bersama. Buta budaya dan tidak celik sastera akan hanya mengakibatkan peradaban bangsa menjadi tanpa arah dan bertambah parah. Sayang seribu kali sayang, bangsa sendiri tidak penyayang bahasa dan sastera.
DATUK A AZIZ DERAMAN ialah bekas
Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989/bekas Ketua Pengarah DBP 1994-2004, AJK Gapena dan Penasihat PUSPA Kelantan.
UTUSAN MALAYSIA, 28 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan