04 Januari 2012

ISU IPT : GUNALAH PELUANG KEEMASAN SEBAGAI MAHASISWA

Oleh SHAHABUDEEN JALIL


Gerakan  Mahasiswa kini diperkatakan kembali. Terdapat kumpulan Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi yang berdemonstrasi kononnya untuk menuntut hak mereka. Keadaan seperti ini mungkin pernah wujud dahulu pada tahun 1970-an. Kini kebebasan yang diberikan oleh kerajaan disalahgunakan semula untuk menjadi alat kepada ahli politik. Adakah wajar mahasiswa ini aktif dalam berpolitik? Ataupun terdapat perkara lain yang lebih baik dilakukan oleh mahasiswa. Mahasiswa mungkin akan marah jika dikatakan tidak matang. Namun apa yang keluar dari mulut pemimpin mereka membuktikannya. (Sila baca mahasiswa bodoh atau tidak matang?) Anda juga tidak perlu hairan apabila Adam Adli sampai di alam pekerjaan, beliau mungkin akan bekerja dengan mana-mana menteri sebagai pembantu khas atau diam seribu bahasa menjaga anak bini. Sudah banyak kes seperti ini berlaku di kalangan mahasiswa. Sewaktu di universiti bukan main hebat. Setelah sampai ke alam pekerjaan, mulalah alasan seperti "Aku rasa lebih baik aku cari makan untuk anak bini", "Berpolitik bukan dapat duit pun", "Bila aku susah, takda pula geng politik datang nak tolong", "Menyesal tak mulakan perniagaan dari awal". Sudah banyak yang kita dengar. Lebih baik kita bincangkan mengenai apa kelebihan mahasiswa memulakan perniagaan lebih awal dan tidak menunggu sehingga habis waktu pembelajaran.

Inilah Masa Terbaik

Dunia yang kita hidup hari ini adalah masa terbaik untuk mahasiswa memulakan perniagaan sejak dari bangku universiti lagi. Kita mempunyai internet untuk membeli dan menjual barang, wi-fi ada di mana-mana untuk mengakses internet, ada Youtube untuk mempelajari mengenai perniagaan dari mereka yang berjaya, ada Paypal dan Maybank2u untuk menerima bayaran secara dalam talian. Tidak pernah ada waktu dalam sejarah dunia, di mana mahasiswa mempunyai peluang yang sama rata berbanding dengan mereka di luar ataupun syarikat besar untuk mencapai pelanggan.

Peluang Bermula Awal

Ramai yang mula memikirkan untuk menceburkan diri selepas mendapat ijazah daripada universiti. Mereka ini akan bermula dengan perniagaan kecil dan kemudiannya gagal. Pada waktu itu mereka berfikir, "Aku ada Ijazah, kawan-kawan aku dapat gaji besar, kenapa aku masih terkial-kial nak berniaga ". Akhirnya ramai yang tewas dan kembali untuk mencari peluang pekerjaan dan tidak kembali lagi menjadi usahawan. Ini realiti yang berlaku. Namun jika mahasiswa bermula dengan perniagaan kecil sewaktu di universiti, mereka tidak akan menghadapi dilema ini. Mereka sudah bermula awal dan tidak ada apa yang hendak disesali jika gagal. Segalanya adalah satu pelajaran bagi mereka.

Rangkaian Perniagaan

Dalam perniagaan, apa yang paling penting adalah rangkaian perniagaan. Namun dalam umur selepas zaman universiti, semua rakan mula sibuk hendak kahwin dan mula mendiamkan diri kerana mempunyai isteri, anak dan keluarga untuk meluangkan masa mereka. Mahasiswa pula hidup dalam satu kelompok manusia yang ramai. Mereka mungkin mempunyai 50-100 orang kawan yang mereka jumpa setiap hari. Anda boleh menyertai mana-mana aktiviti, menghadiri seminar dan aktif dalam persatuan untuk membina rangkaian anda. Tidakkah mereka adalah prospek pelanggan masa depan anda? Anda dengan mudah boleh menjual barang atau menawarkan perkhidmatan kepada mereka, jika bukan sekarang, mungkin lima tahun akan datang. Jika pada waktu ini anda sedar kepentingan membuat rangkaian, anda tidak akan gagal dalam perniagaan sewaktu memasuki alam selepas universiti nanti. Tanyalah kepada mana-mana usahawan, pasti mereka akan menyesal waktu zaman di universiti tidak digunakan sepenuhnya untuk membentuk rangkaian.

Peluang Mendapatkan Mentor

Universiti bukan saja tempat untuk pelajar belajar. Ia juga adalah khemah bagi pakar-pakar dan bijak pandai. Mereka adalah profesor dan pensyarah anda. Mereka mungkin tidak menjalankan perniagaan, namun mereka sangat arif mengenai teori perniagaan dan ekonomi. Mereka tentu akan gembira jika ada pelajar mereka yang menagih ilmu yang mereka ada. Sebagai orang luar, anda tidak mungkin dapat akses kepada pensyarah dan profesor di universiti, jika ada pun ia sangat minimum. Namun sebagai seorang mahasiswa, anda mempunyai peluang terbuka luas. Gunalah sebaik-baik yang mungkin, kerana anda tidak akan mendapat peluang ini lagi apabila anda di dunia luar.

Membina Pasukan Kuat

Budaya berkumpulan di universiti adalah satu peluang bagi mahasiswa membina satu pasukan yang kuat. Sewaktu di universiti kita tentu akan ada kumpulan rakan yang kita sering pergi makan bersama, pergi kuliah bersama dan bersukan bersama. Usahawan muda di luar, yang baru hendak membentuk pasukan di kalangan orang yang tidak dikenali, ia memakan masa bertahun lamanya. Ini adalah peluang bagi mahasiswa untuk membentuk kumpulan yang kuat untuk berniaga. Pasukan yang kuat adalah satu kemestian untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Pasukan ini juga tidak semestinya berakhir sewaktu tamat pembelajaran. Ia akan menjadi semakin mantap dan ini adalah satu kelebihan membentuk sebuah syarikat yang kuat. Cuba anda lihat orang yang berjaya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Semua billionaire muda yang ada pada hari ini adalah mereka yang memulakan perniagaan sejak di bangku universiti. Mark Zuckerberg mencipta Facebook di universiti, Bill Gates membina pasukan di universiti. Malah Larry Page dan Sergey Brin yang mengasaskan Google juga bertemu di universiti sewaktu belajar. Janganlah hanya menghabiskan wang kerajaan dan ibu bapa anda sewaktu anda di universiti. Gunakanlah peluang keemasan yang anda ada ini untuk membangunkan ekonomi diri, keluarga dan masyarakat dengan mencebur diri dalam perniagaan kecil dan bukan dengan menjadi perkakas orang berkepentingan dengan berdemonstrasi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JANUARI 2012

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : KLON "KIM JONG-iL" GANTUNG KASUT


Dia pernah dicaci orang ramai di tepi jalan, pernah juga muncul dalam filem dan pernah meniru dengan sempurna gaya lambaian seorang pemimpin komunis. Kini lelaki yang memiliki wajah saling tidak tumpah seperti Kim Jong-il itu, merasakan sebahagian daripada dirinya mati bersama-sama mendiang pemimpin penuh kontroversi itu. Berdiri di muka pintu di kedai ukirannya di utara bandar Seoul, lelaki pendek dengan rambut gaya bouffant, berkaca mata besar dan mengenakan pakaian jumpsut hijau zaiton itu, mampu membuatkan orang yang lalu-lalang berhenti dan memandangnya. Lebih daripada sedekad, Kim Young-sik, 61, terkenal sebagai ‘klon’ atau peniru gaya pemimpin Korea Utara itu. Bagaimanapun sejak Jong-il meninggal dunia pada 17 Disember lalu, bapa kepada dua anak itu khuatir mungkin terpaksa menggantung jumpsut yang ditempah khusus untuk kerjayanya sebagai peniru gaya. Dengan sut itulah dia muncul di kaca televisyen Jepun dan dalam sebuah iklan coklat di Asia Barat. “Saya berasa amat kosong, bagaikan sebahagian daripada diri saya mati bersamanya. Orang keliling cuba untuk memujuk saya dengan menyatakan sesetengah tokoh jadi lebih terkenal apabila mereka mati, tetapi dalam kes Kim (Jong-il) ini saya tidak fikir begitu,” katanya. Ketika zaman kanak-kanaknya, Young-sik tidak pernah pun termimpi untuk menjadi pemimpin komunis malah ‘kerjayanya’ sekarang ini pun berlaku secara tidak sengaja.

“Suatu hari selepas saya keluar dari bilik air dengan keadaan rambut saya sangat kerinting, orang di sekeliling saya memberi tahu rupa saya mirip Kim Jong-il,” katanya ketika ditemui di kedainya di sebuah kawasan perindustrian di pinggir ibu negara Korea Selatan itu. Kemuncak kepada kerjayanya sebagai ‘Kim Jong- il” apabila diberi peranan dalam sebuah filem Korea Selatan pada 1995 bertajuk The Rose of Sharon Blooms Again. Ia mengenai seorang saintis Korea Selatan yang secara rahsia membantu Korea Utara membina senjata nuklear bagi menghalang daripada ditawan Jepun. Sejak itu dia kerap ‘berselisih bahu’ dengan para selebriti dan pemimpin dunia - atau sekurang-kurangnya individu yang mirip seperti mereka - termasuk ‘klon’ George W. Bush dan Vladimir Putin. Namun, kerjaya sebenarnya bermula lebih awal iaitu selepas Presiden Korea Selatan ketika itu, Kim Dae-jung memulakan Sunshine Policy, iaitu dasar untuk berbaik-baik semula dengan Utara pada sekitar 1990-an. “Orang ramai mula mengenali saya dan menjemput saya ke pelbagai jenis rancangan televisyen,” katanya.

Bagaimanapun Young-sik mengakui, bukan mudah untuk membawa peranan seorang presiden yang bertanggungjawab menyebabkan rakyatnya mati kebuluran, menyumbat berpuluh-puluh ribu rakyatnya sendiri ke penjara dan menguji bom nuklear. “Sesetengah orang menyumpah saya dan memanggil saya diktator tetapi mereka yang mengenali saya akan melambai dan melaungkan nama Kim Jong-il. Kemudian saya akan melambai balik dan menunjukkan mereka beberapa gerak yang biasa dilakukan oleh pemimpin Korea Utara itu,” katanya. Untuk mengekalkan penampilannya, banyak kerja yang perlu dibuat. Young-sik terpaksa mengerinting rambutnya tiga bulan sekali, malah dia turut berdiet apabila mendiang pemimpin Korea Utara itu kehilangan berat badan ekoran serangan angin ahmar pada 2008. “Dulu ketika Kim Jong-il masih muda, saya biasanya menggunakan penyembur rambut tetapi selepas dia semakin tua dan mula keguguran rambut, saya tidak perlu melakukan apa-apa.”

Young-sik mempunyai empat pakaian jumpsut dan dijahit mengikut gaya pemimpin tersebut, di samping lima pasang kasut platform. “Sebelum ini saya akan memakai seragam tersebut hampir setiap hari, tetapi sekarang saya cuma sesekali saja dan apabila saya dijemput untuk menjadi Kim Jong-il pada satu-satu majlis. Malang sungguh sebab kini saya tidak dapat memakainya lagi,” katanya. Dia turut terkilan kerana tidak pernah berpeluang dapat berjumpa Jong-il sebenar atau melawat Korea Utara kerana permohonan visanya sebelum ini ditolak oleh kerajaan komunis tersebut. “Kim Jong-il merupakan lelaki yang hebat kerana walaupun diktator dia membina negaranya seperti yang dia mahukan. Adakah anda rasa ada pemimpin lain boleh berbuat demikian?,” katanya. Kini dengan kematian Jong-il dan pelantikan anak bongsunya, Kim Jong-Un sebagai penggantinya, Young-sik turut berasakan sudah tiba masanya untuk dia pula berundur bagi memberi ruang kepada generasi baru. “Saya masih mahu berlakon sebagai Kim Jong-il, tetapi cari seseorang yang baru untuk Jong-un. Mereka ada juga tanya sama ada anak lelaki saya ada mirip Jong-un, malangnya tidak. Kalau tidak sudah lama saya suruh dia pergi uji bakat,” katanya sambil tersenyum.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JANUARI 2012

02 Januari 2012

JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : JUTAWAN DUA BERADIK


Rasa kagum seakan-akan menjalar dalam diri tatkala mendengar kisah dua beradik bergelar jutawan jelita ini. Bukan sahaja memiliki personaliti menarik bahkan kejayaan mereka begitu mengagumkan. “Apa yang lebih membahagiakan, kami dapat melihat orang bawahan yang kami didik berjaya seperti kami,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Amazing Millionaire Sisters Group, Nor Akmar Hanif, 34. Akmar dan adiknya, Aida Nurlin Hanif, 30, merupakan jutawan pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans terkenal di negara ini  Walaupun bermula daripada sifar, prinsip tidak mudah mengaku kalah dan bersikap positif membolehkan mereka meraih pelaburan bernilai jutaan ringgit pada usia 20-an lagi “Untuk maju dalam perniagaan, anda perlu tanam dalam diri bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai. “Jika kita tahu cara berniaga yang betul dan sanggup bekerja keras, insya-Allah kejayaan akan datang kepada kita,” ujar Aida. Beliau memberitahu, wang sentiasa ada di luar sana. Apa yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk sampai kepada sumber kewangan yang betul.
                          
LIMA ANGKA

Itulah yang dilakukan Akmar dan Aida hingga mereka berupaya mencatat jumlah pelaburan mencecah ratusan juta ringgit setahun. “Alhamdulillah, ini rezeki yang saya tidak pernah terfikir sebelum ini. Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat di Institut Sains dan Teknologi Universiti Manchester di Britain pada tahun 1999, saya sudah bercadang untuk berniaga. “Saya pernah bekerja dengan duduk di depan komputer dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Tetapi itu bukan cara kerja yang saya inginkan. “Saya mahu bekerja mengikut masa dan jumlah pendapatan yang saya tentukan sendiri. “Saya juga enggan terikat dengan peraturan yang merimaskan. Jadi selepas tiga bulan bekerja saya berhenti kerana mahu menceburi bidang perniagaan. “Kemudian, apabila seorang rakan memperkenalkan saya dengan dunia saham amanah, hati kecil saya terdetik, inilah yang saya cari selama ini,” kata Akmar, anak ketiga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Hanif Amran. Berkat kesungguhannya, jualan unit saham amanah Akmar mencecah RM1 juta dalam masa tiga bulan sahaja.

Kemampuannya mengurus dan mengendalikan jualan pelaburan turut meletakkan dirinya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah institusi kewangan terbesar di negara ini. Malah, beliau mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan sewaktu berumur 26 tahun. “Pelaburan seperti ini cuma perlukan modal yang kecil tetapi mampu menjana pendapatan yang di luar imaginasi kita,” kata Akmar. Selain itu, wanita bujang ini juga berjaya membuka agensinya sendiri pada usia 25 tahun. Pada usia 28 tahun, beliau mampu melahirkan sebanyak 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS). Pencapaian terbesar Akmar ialah sebagai ketua pengurus kumpulan Master Builder iaitu anugerah yang dimenangi empat kali berturut-turut. Anugerah lain ialah Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever dan Million Dollar Round Table. Walaupun mempunyai latar belakang akademik yang berbeza, ia bukan halangan untuk Akmar berjaya dalam bidang saham amanah dan insurans. “Anda tidak semestinya menjadi apa yang anda belajar. Sebaliknya, cara untuk berjaya dalam pelajaran itu perlu diadaptasikan dalam pekerjaan,” katanya.

TUKAR BAJU

Aida yang mengikut jejak Akmar berniaga semasa masih bergelar penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, cabaran untuk berjaya dalam pengajian dan perniagaan menjadikan dirinya seorang yang kuat bekerja dan berdisiplin. “Prinsip saya ialah satu-satu pekerjaan mesti dibuat hingga sempurna dan berjaya. “Ketika menyertai kakak dalam perniagaan ini, saya masih belajar dalam jurusan Sains Aktuari. Saya bangun pukul 5 pagi untuk siapkan tugasan dan ulang kaji pelajaran. “Pukul 8 pagi, saya berjumpa dengan pelanggan dan pukul 10 pagi saya akan bergegas ke kelas. “Menukar baju kuliah di tandas adalah perkara biasa ketika itu," katanya yang pada masa itu komited untuk mengutip jualan sebanyak RM20,000 sehari. Aida turut mengakui, selain kerja keras, pengalaman hidup di sekolah berasrama penuh banyak membantunya. “Di asrama, saya belajar untuk uruskan masa sendiri dan pada masa yang sama, kita lebih sedar tanggungjawab kita,” kata bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan ini. Kini Aida tersenyum lebar melihat hasil tuaian penat lelahnya selama ini. “Jika anda tahu strategi berniaga, tidak mustahil anda memperoleh RM100,000 dalam masa 100 hari. Jika saya boleh buktikan, anda juga pasti boleh,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Harian Kosmo

ISU UMUM : MUSLIM DERITA MASALAH ILMU?

DATUK DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS,
Penasihat Yayasan Al-Bukhari merangkap Penasihat Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global 2012.


Pada hakikatnya di zaman sekarang, mereka yang menderitai masalah mengenai ilmu ialah kaum Muslimin sendiri, sedangkan pandangan alam Islam tidak menderitai masalah mengenai ilmu. Yang demikian, bagaimana keadaan tersebut terhasil? Suatu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi adalah berkenaan tiga golongan manusia yang bertanggungjawab merosakkan serta membatilkan ilmu; yang pertama merupakan golongan al-Juhhal; yang kedua adalah golongan pelampau; dan yang ketiga merupakan golongan mereka yang mencuri fikiran daripada orang lain tanpa merujuk kepada mereka. Satu daripada makna juhhal merujuk kepada mereka yang jahil, yang kurang berilmu, tetapi bersifat baik. Ini bermakna bahawa kekurangan tersebut boleh diatasi dengan didikan, asuhan, dan ajaran yang sesuai. Tetapi satu lagi jenis merujuk kepada mereka yang bukan sahaja kurang berilmu, tetapi bersifat bongkak, dengki, degil, dan iri hati. Golongan inilah yang disebut sebagai al-Sufaha'. Mereka tidak bersifat baik; maka kekurangan ilmu yang mentakrifkan mereka di dalam golongan al-Juhhal tidak boleh diatasi kerana mereka degil menerima apa yang benar, disebabkan sifat bongkak dan dengki.

Begitulah faham istilah 'jahil' merujuk kepada golongan Jahiliyah sebelum kedatangan agama Islam. Istilah Jahiliyah tersebut tidak sahaja merujuk kepada kekurangan dari segi ilmu; kebanyakan daripada mereka mempunyai ilmu terutama sekali dalam bidang bahasa, syair dan sebagainya. Mereka tidak bersifat jahil dalam erti kata kekurangan ilmu, akan tetapi mereka jahil dalam erti kata berdegil dalam menerima hakikat. Berkenaan golongan pelampau, ia merujuk kepada mereka yang pada hakikatnya tidak berada di titik pertengahan di antara dua. Ia merujuk kepada mereka yang melampau dalam soal melebihi had (extremism of excess) atau yang melampau dalam soal mengurangi had (extremism of defect). Golongan yang pertama, yakni yang disifatkan sebagai mereka yang melampau dalam soal melebihi had, tidak semestinya merujuk kepada pelampau dalam soal agama, bahkan ia juga merujuk kepada pelampau dalam soal dunia. Oleh yang demikian, sifat melampau tidak semestinya berkaitan dengan soal agama tetapi juga berkaitan dengan suatu sifat keterlaluan dengan dunia.

Mereka yang selalu bercakap mengenai perkara perkara berkaitan dengan dunia sambil menyerang agama juga merupakan golongan pelampau yang tergulung dalam golongan yang kedua, yakni mereka yang melampau dalam soal mengurangi had. Oleh yang demikian, boleh disifatkan bahawa mereka yang tidak sama sekali percaya kepada Tuhan, juga merupakan mereka yang terkandung di bawah golongan pelampau. Kemudian daripada itu, golongan mereka yang mencuri fikiran daripada orang lain tanpa merujuk kepada mereka. Akhirnya fikiran yang benar dan baik menjadi batil. Zaman kita sekarang, ketiga-tiga golongan tersebut wujud dengan luasnya dalam dunia Muslim; orang yang jahil telah mengaku diri mereka sebagai berilmu dan rakyat jelata telah membawa masalah mereka kepada orang yang jahil untuk diberi penghakiman, dan orang yang jahil telah memberi penghakiman yang batil dan juga telah menimbulkan kebatilan, dan inilah yang membawa kepada kaum Muslimin menderitai masalah mengenai ilmu. Walaupun terdapat ulama, masyarakat tidak dapat mengenali mereka seolah-olah ulama-ulama tersebut telah dikeluarkan oleh kerana mereka telah dihalang oleh golongan jahil yang kemudiannya mengambil alih dan mewarisi takhta pimpinan.

Keadaan tersebut lebih merujuk kepada pimpinan keilmuan dalam bidang-bidang seperti agama, ilmiah, kebudayaan, dan sebagainya. Apabila merujuk kepada istilah melampau, semestinya wujud dua keterlaluan. Dalam bahasa Melayu, istilah 'melampau' diguna pakai; yang bermaksud melampaui batas kebenaran; melampau dalam soal agama dan melampau dalam soal dunia, melampau dalam soal melebihi had dan melampau dalam soal mengurangi had. Pada hakikatnya faham istilah kesederhanaan tiada kena mengena dengan faham dan erti kata moderation yang dianjurkan oleh golongan Barat dan para pengikutnya. Sekiranya kaum Muslimin menggunakan istilah moderation, ia diguna pakai hanya supaya golongan Barat memahami apa yang dibincangkan oleh kita, kaum Muslimin; tetapi ini tidak bermakna bahawa kaum Muslimin bersetuju dengan faham yang dianjurkan oleh pandangan Barat. Sebenarnya, tidak wujud faham yang dianjurkan oleh pihak Barat sebagai 'Islam moderate', seolah-olah agama Islam itu sendiri mengandungi jenis yang boleh disifatkan sebagai melampaui batas kesederhanaan.

Yang telah melampaui batas kesederhanaan ialah sesetengah kaum Muslimin, dan oleh yang demikian, hendaklah mereka dikembalikan ke atas landasan yang adil dan benar. Keadilan dan hikmah berkongsi maksud dan makna yang akrab, mendalam lagi tidak terpisahkan. Keadilan dicitakan berturutan dengan hikmah. Justeru, tanpa adanya hikmah, keadilan semata-mata tidak mungkin dapat difahami, apatah lagi dizahirkan. Apa agaknya penunjuk-penunjuk keadilan? Seperti gambaran yang telah kami berikan lebih awal, singgahsana tempat keadilan bertakhta adalah ilmu yang sebenar; justeru, satu daripada penunjuk terpenting erti keadilan tadi adalah ilmu yang betul. Ilmu tersebut bukanlah dalam erti yang mujarrad tetapi sebaliknya, pengamalan dan hala-tuju ilmu. Justeru, wajar dipertanyakan, ilmu mengenai apa? Jelas bahawa yang dimaksudkan adalah ilmu mengenai tempat yang betul bagi sesuatu bernisbah kepada dirinya sendiri dan bernisbah kepada yang lain-lainnya. Demikian, akhirnya, takhta yang menjadi sandaran segalanya adalah ilmu. Dari sini, bolehlah kita usulkan bahawa pengamalan dan hala tuju ilmu sebagai penunjuk bagi keadilan.

Bagaimana untuk mengukur penerapan dan kegunaan ilmu? Jawapannya, melalui kegiatan aqliah yang dizahirkan melalui amalan; sekiranya kegunaan tersebut menghala kepada kebebalan dan kekeliruan, kezaliman telah terhasil. Sebaliknya, sekiranya kegunaan tersebut menuju kebenaran dan pemecahan masalah sambil membawa kepada faham yang bermakna, maka keadilan atau kesederhanaan telah tertunai. Terhakisnya kesederhanaan atau keadilan disebabkan terhakisnya ilmu. Masalah yang melanda golongan Muslim berpunca daripada kerosakan dan kebatilan ilmu. Kita tidak dapat mengatasi masalah tersebut melalui medan siasah, ataupun melalui penggubalan undang-undang. Hanya melalui pendidikan dan seterusnya peradaban dapat kita memahami Islam, kaum Muslimin, dan tamadun Islam. Kita harus mempunyai iradah siasi supaya menghidupkan semula zaman kegemilangan tamadun dengan mengasaskan sebuah Maktabah atau Perpustakaan Ilmiah Kebangsaan. Malaysia, malah seluruh Asia Tenggara tidak mempunyai sebuah maktabah atau dalam kata lain perpustakaan yang boleh dibandingkan dengan maktabah-maktabah yang terdapat di dunia Barat.

Kita tidak mempunyai rujukan-rujukan yang banyak, terutamanya rujukan-rujukan dalam bentuk manuskrip, dan kita tidak mempunyai kemudahan-kemudahan untuk tujuan-tujuan tersebut. Jadi, bagaimana Malaysia hendak menjadi pusat pendidikan antarabangsa sedangkan keperluan yang paling asas tersebut tidak wujud? Dalam kata lain, dengan ketiadaan sebuah maktabah yang menyeluruh, yang menjadi khazanah yang menyimpan rujukan-rujukan agung, tiada kecenderungan untuk para ulama supaya datang ke Malaysia; natijahnya para pelajar tidak akan berhasrat untuk menyertai universiti-universiti di Malaysia. Walaupun pada awalnya Malaysia telah memulakan usaha-usaha mengumpul dan menyimpan manuskrip, malangnya usaha-usaha tersebut nampaknya telah reda disebabkan kita sendiri tidak mempunyai 'budaya belajar'. Hakikatnya Malaysia ada menyimpan sejumlah manuskrip yang amat bernilai, tetapi ketiadaan 'budaya belajar' tersebut dan juga ketiadaan buku yang mengandungi senarai penuh yang lengkap dengan butir-butir dalam susunan yang tertentu dan dengan huraian untuk tiap-tiap satunya, telah menyekat impian Malaysia untuk menjadi pusat pendidikan antarabangsa.

Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama. Sekiranya Malaysia berjaya mengasaskan sebuah maktabah tersebut, ia pasti menjadi sebuah maktabah yang tidak ada tolak bandingnya. Bagi menjayakan sebuah maktabah seperti yang disebutkan itu, suatu usaha daripada kerajaan dan badan-badan korporat diperlukan kerana modal yang diperlukan adalah tinggi. Dengan pengorbanan daripada badan-badan tersebut, ia mampu dibiayai oleh hasil sumber-sumber asli Malaysia yang kaya dengan minyak dan hasil-hasil sumber asli yang lain. Sekiranya Malaysia mengambil langkah yang tekun supaya membudayakan budaya belajar yang berasaskan tertubuhnya sebuah maktabah ilmiah yang menyeluruh, yang serba lengkap dengan manuskrip dan tulisan-tulisan nadir dalam semua bidang ilmu daripada setiap tamadun agung, ia pasti menyumbang kepada pembangunan Malaysia dari segi dasar-dasar perancangan dan juga usaha-usaha menghalang tafsiran-tafsiran keterlaluan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Utusan Malaysia
02 Januari 2012


ISU EKONOMI : KETIDAKTENTUAN CABARAN EKONOMI TAHUN BARU 2012

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia.


Tahun 2012, menurut pemenang Nobel Laureate dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph E. Stiglitz merupakan permulaan bagi sesuatu yang baru dan berkemungkinan ia fasa yang lebih menggerunkan yang mana malapetaka ekonomi yang paling teruk bakal berlaku dalam tempoh tiga perempat abad ini. Kenyataannya, tahun 2012 adalah tahun yang penuh dengan misteri ketidaktentuan. Sukar dijangka apa akan berlaku pada tahun ini. Meskipun pada tahun lalu, negara telah mengharungi liku-liku dengan sebaik mungkin dan pertumbuhan ekonomi tumbuh lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini, tahun ini cabaran yang lebih besar lagi perlu dihadapi. Pertama, keadaan ekonomi benua Eropah dijangka memberi kesan kepada negara-negara Asia, tidak terkecuali Malaysia. Mungkin ada yang berpendapat, Malaysia akan menerima kesan yang amat minimal, namun, itu tidak bermakna kita boleh berasa selamat tanpa mengambil pendekatan bersiap-siaga. Krisis hutang Eropah memberi pengajaran sangat berguna betapa pentingnya mengurangkan hutang isi rumah rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, perlu diingat, banyak negara Asia seperti China juga bergantung harap pada negara-negara Eropah, maka secara tidak langsung jika ekonomi China berada dalam keadaan suram kesan daripada krisis hutang Eropah, negara-negara Asia yang lain juga akan terima kesannya.

Dunia juga tidak boleh mengharapkan Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan ekonomi dunia. Mana mungkin negara yang tenat ekonomi seperti AS mampu menyelamatkan ekonomi dunia. Cabaran kedua, faktor geopolitik dunia memberi kesan kepada ekonomi dunia. Buktinya, apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat, bursa-bursa saham negara lain juga terkena tempiasnya. Kestabilan politik dunia tunjang kepada ekonomi dunia. Perbalahan, persengketaan dan peperangan tidak langsung memberi kebaikan kepada ekonomi dunia. Yang nyata, iktibar daripadanya wajar menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang mana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja pada tahun ini. Mana-mana negara sekalipun memerlukan kerajaan yang kuat untuk membangunkan ekonomi secara berterusan. Kerajaan yang lemah akan menyebabkan dasar dan polisi ekonomi sukar dilaksanakan secara efektif. Gelora politik yang tidak berkesudahan membantutkan pembangunan ekonomi. Jika ini berlaku, rakyat akan menanggung kerugian yang amat besar. Cabaran ketiga mengekalkan momentum pertumbuhan 5-6 peratus untuk kekal di landasan yang betul menuju Wawasan 2020. Mampukah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) melonjakkan ekonomi negara dan seterusnya menjadi penampan kepada krisis hutang Eropah dan AS?

Fokus utama sudah tentu pada pelaburan langsung domestik (DDI) selain tidak boleh sesekali meminggirkan pelaburan langsung asing (FDI). Tumpuan pastinya ke arah sektor-sektor seperti hartanah, automotif, kewangan dan pelancongan selain minyak dan gas yang selama ini menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara. Keyakinan pelabur dan pengguna kunci utama pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini. Selain krisis hutang Eropah, krisis tenaga dan makanan dunia memberi cabaran seterusnya kepada ekonomi negara. Bencana alam yang sukar diramal boleh berlaku pada bila-bila masa meningkatkan lagi kesan krisis tenaga dan makanan dunia. Antara yang perlu dipantau ialah harga minyak dan gas yang memberi kesan kepada harga barang dan tenaga elektrik. Agenda negara untuk meningkatkan kuantiti tenaga boleh diperbaharui bakal mengurangkan tekanan harga tenaga elektrik yang akan ditanggung oleh pengguna akibat peningkatan kos penjanaannya. Tambahan lagi, krisis makanan terutamanya beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia juga akan menambahkan beban pengguna. Banjir yang telah berlaku di Thailand akan meningkatkan harga beras yang diimport. Strategi terbaik beralih kepada negara-negara lain seperti Pakistan agar harga beras kekal tanpa membebankan pengguna. Tahun ini juga daya saing menjadi cabaran utama kepada syarikat-syarikat tempatan.

Dijangkakan lebih banyak pengambilalihan, penggabungan dan penyenaraian syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Antara yang berkemungkinan berlaku, penggabungan bank-bank tempatan. Namun, proses penggabungan tidak semudah yang disangka. Pemilihan bank-bank untuk bergabung sesama sendiri pun satu episod yang cukup mencabar. Ini belum dikira pengekalan jenama korporat bank-bank yang akan bergabung dan proses penyelesaiannya akan memakan masa yang lama. Sekiranya ia tidak diurus dengan baik, pengabungan akan memudaratkan urusan perniagaan bermula dari pihak atasan sehingga kepada para pekerja dan pihak luar serta para pelanggan bank tersebut. Cabaran seterusnya pelaburan kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad yang mana pegangan kerajaan akan dikurangkan bagi menambah kecairan di pasaran. Pegangan ini wajar direbut oleh syarikat-syarikat tempatan supaya tidak terlepas kepada pihak asing. Tragedi ESSO terlepas kepada pihak asing pada tahun lalu seharusnya menjadi iktibar kepada syarikat-syarikat tempatan. Cabaran terakhir yang tidak kurang pentingnya ialah dalam menangani penyelewengan, pecah amanah dan rasuah. Kesemua ini meningkatkan kos perniagaan yang akhirnya memudaratkan ekonomi negara. Justeru, para pemimpin dan rakyat perlu sentiasa berganding bahu dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran ekonomi 2012. Sebarang kelekaan boleh membawa padah kepada ekonomi negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Utusan Malaysia
02 Januari 2012


ISU IPT : DEMONSTRASI DI UPSI BUKTI ADA MAHASISWA TIDAK MATANG


Semangat  dimiliki sesetengah mahasiswa untuk memperjuangkan isu membabitkan kepentingan masyarakat memang disanjung. Malah demokrasi diamalkan di negara ini memberi ruang kepada setiap rakyat, termasuk mahasiswa meluahkan pandangan bagi mengetengahkan rasa tidak puas hati terhadap sebarang isu. Walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dalam bentuknya sekarang banyak mengehad kegiatan mahasiswa terutama terbabit dalam politik kepartian, masih menjadi tanda soal sama ada hak di bawah Perlembagaan turut boleh disekat di luar kampus. Seperti dipamerkan dalam kes Muhammad Hilman Idham baru-baru ini, Subseksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar atau kumpulan pelajar daripada menyuarakan simpati atau sokongan kepada mana-mana parti politik, didapati tidak sah oleh Mahkamah Rayuan atas alasan melanggar Perlembagaan. Berikutan itu, pelajar universiti sekarang mempunyai hak untuk menghadiri ceramah politik atau menyebar risalah dan sebagainya. Walaupun rayuan dikemukakan terhadap keputusan itu, kerajaan masih bertegas mahu meminda AUKU bagi mencerminkan keterbukaan baru dijanjikannya di bawah Program Transformasi Politik negara. Perubahan dicadangkan itu adalah langkah kerajaan untuk mengakui dan mengembalikan hak pelajar agar pembelajaran dilalui mereka, sama ada dalam bilik kuliah atau di luar, lebih bulat. Namun niat ikhlas kerajaan ini tidak harus disalah tafsir sebagai memberi lesen kepada pelajar ini untuk bertindak di luar undang-undang seperti disaksikan pada perhimpunan haram di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim, Perak kelmarin.

Dalam perhimpunan haram itu, seramai 17 mahasiswa termasuk seorang penuntut wanita, ditahan polis selepas berdemonstrasi di hadapan kampus UPSI bagi menuntut kebebasan akademik. Mereka juga mendesak kerajaan memansuhkan AUKU dan ‘membebaskan’ seorang pelajar UPSI, daripada dikenakan tindakan tata tertib. Keprihatinan pelajar ini terhadap isu membabitkan masyarakat, memang dialu-alukan. Namun seperti ditegas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam, pelajar ini haruslah menghormati dan mematuhi undang-undang negara. Dalam soal pindaan AUKU, kementerian sudah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa dan mengarahnya mengumpul pandangan semua pihak berkaitan, termasuk mahasiswa bagi menjadikan proses pindaan terbabit lebih demokratik. Bagaimanapun pelajar yang berhimpun kelmarin tetap berdegil dan tidak mahu menggunakan saluran disediakan, sebaliknya menggunakan kuasa jalanan untuk menuntut perubahan. Namun tindakan mereka itu hanya membawa padah kepada perjuangan mereka kerana ia hanya membayangkan kepada masyarakat umum bahawa masih ada kelompok mahasiswa yang belum cukup matang untuk menerima keterbukaan baru yang mahu dibawa kerajaan.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
Ruangan Minda Pengarang
Berita Harian
02 Januari 2012


31 Disember 2011

ISU IPT : PLAGIAT BOLEH MENCALAR IMEJ GOLONGAN CENDIKIAWAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Amat memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit. Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan. Biarpun segelintir pihak menganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat. Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain? Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain. Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’. Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik. Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur? Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi. Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan. Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu. Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai. Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya. Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti. Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai. Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama. Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa. Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai. Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya. Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya. Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan. Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan. Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan. Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.

INFO UNTUK ANDA

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.

Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
26 DISEMBER 2011


JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : TUAH LELAKI BERNAMA TOM CRUISE


Kejayaan yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey. Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan. Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoran dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.

"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang. "Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya. Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang. "Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.

Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan. Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise. "Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige. Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula. "Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.

MISI MUSTAHIL

Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt. Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya. "Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak. "Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.

Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit. "Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan. Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan. "Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.

"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran," ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu. Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah." Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran." Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor merupakan sebuah filem yang cemerlang.

SURI DI HATI TOM CRUISE

Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie Holmes. Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada 23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie. Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang untuk menambah jumlah ahli keluarganya "Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya. Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini. "Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim.

Dia anugerah terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise. Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar. "Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada ibu bapanya," cerita Cruise. Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya. "Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas baru-baru ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011