09 Ogos 2011

ISU SOSIAL : PEMERIKSAAN PEMANDU BAS EKSPRES BIAR BERTERUSAN, BUKAN BERMUSIM



Bagi kebanyakan pengguna lebuh raya, pengalaman menyaksikan bas ekspres dipandu di lorong laju adalah satu perkara biasa. Malah, sesetengah pemandu bas ini tidak teragak-agak mengikuti dengan rapat dan menyalakan lampu kepada kenderaan di hadapannya yang enggan memberi laluan. Pengalaman seperti ini sudah cukup untuk menginsafkan kita bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk memastikan lebuh raya di negara ini dapat dijadikan lebih selamat, melainkan jika tindakan lebih tegas diambil pihak berkuasa. Berikutan itu, hasrat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti dilaporkan dalam akhbar ini semalam untuk memastikan hanya pemandu dengan rekod bersih dibenarkan memandu sepanjang musim perayaan ini amat dihargai. Memang benar tindakan ini amat tegas kerana ia akan bermakna ada pemandu yang rata-ratanya orang Melayu yang akan hilang punca rezeki pada musim perayaan ini. Namun, demi keselamatan penumpang bas dan pengguna jalan raya yang lain, ia harus dilaksana tanpa sebarang kompromi. Malah JPJ tidak harus menunggu kedatangan musim perayaan untuk melakukan langkah ini, sebaliknya melakukannya sepanjang tahun agar pemandu sentiasa akan terasa diawasi. Pihak berkuasa seperti JPJ memang memainkan peranan besar dalam memastikan lebuh raya di negara itu tidak terus dijadikan litar lumba bagi segelintir pemandu bas yang tidak bertanggungjawab ini.

Namun, beban ini tidak harus hanya dipikul oleh agensi kerajaan ini. Syarikat bas juga harus sama-sama memainkan peranan dengan memastikan pemandu mereka benar-benar terlatih dan berhemah di jalan raya. Antara langkah yang boleh dilakukan syarikat bas adalah melakukan pemantauan sendiri terhadap prestasi pemandu masing-masing. Pemantauan ini boleh dilakukan menerusi penggunaan alat seperti Sistem Posisi Global (GPS) atau mewujudkan pasukan untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap pemandu masing-masing. Syarikat bas tidak harus hanya bergantung kepada agensi kerajaan bagi melaksanakan apa yang secara hakikatnya adalah tanggungjawabnya. Mereka sepatutnya bersedia membuat pelaburan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan sentiasa terjamin dan bukan hanya bersedia mengaut keuntungan. Tanpa kerjasama syarikat bas ini dan juga pengusaha kenderaan komersial lain, serta pemandu persendirian, tidak mungkin tahap keselamatan jalan raya di negara ini mampu ditingkatkan ke tahap memuaskan. Negara akan terus digemparkan dengan kemalangan ngeri pada musim perayaan dengan jumlah korban yang tinggi dan pada ketika itu muncullah pelbagai cadangan yang kemudian seperti biasa dilupakan selepas berita kemalangan itu tidak lagi menjadi tajuk utama akhbar.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
9 OGOS 2011

ISU PERGURUAN : TIADA LAGI SENTUHAN KASIH SAYANG, BEZA GURU DAHULU DAN GURU SEKARANG

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my



Guru dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya. Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat. Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri. Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata. Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik. Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar? Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan. Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar. Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan. Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik. Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah. Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu. Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka. Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan. Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain. Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu. Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik. Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri. Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya. Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material. Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar? Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat. Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan. Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata. Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. 


Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu. Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik. “Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi. Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit.

SUMBER
HARIAN METRO
9 OGOS 2011

ISU SOSIAL : KERAJAAN PERLU TEGAS KAWAL PENDATANG ASING



Pada setiap hujung minggu, kompleks beli-belah di bandar raya Kuala Lumpur dan bandar besar lain di negara ini dibanjiri oleh warga asing, sehingga kadangkala merimaskan penduduk tempatan. Keadaan itu mencerminkan kehadiran pendatang asing yang begitu ramai di negara ini, seolah-olah kemasukan mereka tidak dikawal atau sukar dikawal oleh pihak berkuasa. Lambakan pendatang asing ini, tidak kira sama ada yang masuk secara sah atau membolosi sempadan negara, sudah tentu membawa masalah kepada kehidupan sosiobudaya rakyat di negara ini serta menjejaskan keselamatan. Menurut laporan akhbar semalam, sejak 1992, ada kira-kira empat juta jumlah pendatang di Malaysia. Sebahagian besar bekerja di sektor peladangan dan perkilangan, sekali gus mengecilkan lagi peluang pekerjaan penduduk tempatan. Hasil kajian Prof Dr Azizah Kassim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati majikan lebih cenderung mengambil pekerja asing kerana boleh membayar gaji lebih rendah, senang dikawal dan tiada tanggungjawab sosial. Mereka juga lebih suka mengambil Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan terikat dengan sebarang komitmen.

Isu paling besar dalam pendedahan ini ialah kawalan keselamatan yang tidak ketat dan mudah dibolosi, terutama di kawasan perairan negara. Melihat pada tahap masalah ini, sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara dan mengatasi apa juga punca yang boleh menyebabkan kawasan berkenaan dibolosi dengan mudah oleh pendatang asing ini. Tindakan tegas hendaklah dikenakan ke atas mana-mana pegawai keselamatan atau agensi penguatkuasaan yang terbabit menerima rasuah sehingga menyebabkan pendatang yang tidak diundang itu masuk dengan mudah ke negara ini. Langkah tegas juga hendaklah diambil menerusi peruntukan undang-undang bagi mewajibkan majikan mengambil pekerja tempatan bekerja dalam sektor tertentu di negara ini sebelum diberi kebenaran untuk menggaji pekerja asing. Kita juga bersetuju dengan pendirian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa satu mekanisme baru perlu diwujudkan bagi menentukan agar kehadiran pekerja asing tidak melebihi keperluan. Apapun, kerajaan perlu bersikap tegas dan berpegang pada dasar serta keputusan yang dibuat, agar tidak dimomokkan oleh pendatang asing bahawa pihak berkuasa di negara ini lemah dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturannya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
9 OGOS 2011

ISU UMUM : MAS DAN AIR ASIA, DAHULU SETERU KINI SEKUTU

Oleh NURANI


Jika rancangan kerjasama strategik MAS dan AirAsia yang dijadual memeterai perjanjian hari ini menjadi kenyataan, ia merupakan satu catatan sejarah yang bakal mengubah landskap industri penerbangan negara. Sedang gergasi penerbangan antarabangsa serius mengambil langkah penggabungan, kerjasama MAS-AirAsia yang diketahui umum sejak sekian lama bercakaran, adalah selari dengan perubahan operasi syarikat-syarikat penerbangan lain. Melalui kerjasama itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyerahkan 20 peratus saham MAS kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. Sebagai timbal balik, Khazanah akan menguasai peratusan jumlah saham yang hampir sama dalam AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd. Bagaimanapun, Khazanah masih memiliki kira-kira 49 peratus saham MAS untuk terus mengekalkan penguasaan tunggal di dalam syarikat penerbangan itu. Kesepakatan pertukaran saham ini akan merintis jalan bagi hubungan yang mesra dan harmoni antara kedua-dua keluarga besar MAS dan AirAsia yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Tidak ada lagilah tuduh menuduh, curiga mencurigai dan dengki mendengki. Tidak ada lagilah orang MAS bercerita buruk AirAsia dan orang AirAsia pula membesar-besarkan keburukan MAS. Kini mereka ibarat satu keluarga yang diikat melalui kepentingan pemilikan saham. Jika MAS gagal, ia akan turut mengheret AirAsia, begitu juga sebaliknya. Umpama cubit paha kanan terasa paha kiri. Jadi, kedua-duanya tidak boleh gagal dalam menjayakan kesepakatan itu tetapi perlu saling bekerjasama khususnya dari aspek hak dan pembahagian laluan yang sebelum ini menjadi isu besar antara MAS dan AirAsia. Untuk misi yang lebih besar, kesepakatan ini akan memudahkan MAS dan AirAsia merangka pelan dan strategi menghadapi persaingan serantau dan antarabangsa termasuk dari syarikat penerbangan Asia Barat yang kini melambakkan pasaran ke Asia selepas peristiwa 911. Begitu juga seharusnya tidak timbul lagi isu 'budak nakal' atau 'kaki buli'. Dengan ikatan pertukaran pemilikan saham ini, MAS akan diasak untuk berfikir seperti AirAsia. Begitu juga AirAsia akan lebih memahami rentak tari MAS yang umumnya perlu mendahulukan kepentingan negara.

Mengikut ceritanya, bukanlah mudah untuk menyatukan kelompok MAS dan AirAsia ini. Ada tembok pemisah yang perlu dipecahkan terlebih dahulu. Masing-masing mempunyai ego sehingga perundingan dikatakan memakan masa bertahun sebelum mencapai tahap menyepakati persefahaman. Begitulah lumrah apabila terlalu lama bercakaran. Kalau ada luka, ia memakan masa untuk disembuhkan. Permohonan maaf sahaja belum tentu mencukupi. Sebab itu, perjanjian ini diharap dapat menjadi ubat yang dapat menyembuhkan luka yang mungkin ada. Manfaat daripada perjanjian ini sekali gus akan terus memartabatkan jenama Malaysian Hospitality (MH) dan Kini sesiapa pun boleh terbang. Begitupun persoalan lebih besar yang perlu tercermin daripada kesepakatan itu ialah apakah manfaatnya kepada rakyat dan negara ini? Mungkinkah tambang akan lebih kompetitif berikutan kesepakatan ini secara tidak langsung membentuk ikatan seperti monopoli? Juga persoalan mungkinkah kedua-dua penerbangan akan lebih efisien dan mampu memenuhi mutu perkhidmatan bertaraf antarabangsa?

Mungkinkah rungutan khususnya mengenai sistem AirAsia yang 'mendera' penumpang dengan alasan klise 'tambang murah' boleh diatasi? Yang jelas, hasil daripada kesepakatan ini MAS dan AirAsia walaupun kekal sebagai entiti berbeza, akan saling melengkapi. Salah satunya, MAS boleh belajar daripada kecekapan AirAsia yang kini menjadi peneraju dalam industri penerbangan. Sumber manusia AirAsia yang disifatkan lebih jitu dan komited tentu sekali boleh mengubah sikap dan mentaliti sebilangan kakitangan MAS yang selalu digembar-gemburkan kurang bersemangat itu. Kehadiran kelompok bertenaga AirAsia ini barangkali mampu mengubah sikap dan cara kerja sebilangan kakitangan MAS itu yang didakwa turut menjadi faktor penghalang kepada kejayaan pelan-pelan transformasi MAS sebelum ini, selain faktor usia pesawat. Begitu juga syarikat tambang murah itu boleh berkongsi kepakaran kejuruteraan canggih yang dimiliki oleh MAS. 


Dalam aspek ini, sumber MAS dapat dimanfaatkan dengan pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya di dalam negara bukan seperti amalan sekarang. Mungkin juga kesepakatan ini dapat memulihkan MAS yang selalu dibelenggu dengan masalah kerugian. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, MAS mencatatkan kerugian bersih RM242.3 juta berbanding keuntungan RM310.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Jika langkah drastik tidak dilakukan segera, menjelang penghujung tahun nanti tidak mustahil kerugian MAS boleh mencecah RM1 bilion - sesuatu yang perlu dielakkan. Secara perbandingan pula, AirAsia mencatatkan keuntungan RM171.9 juta bagi suku pertama tahun ini dan merekodkan keuntungan RM1.5 bilion bagi keseluruhan tahun kewangannya tahun lalu. Dari segi nilai AirAsia juga jauh lebih baik iaitu RM11 bilion berbanding MAS yang bernilai RM5.3 bilion. Dalam kedudukan ini, AirAsia dilihat dalam kedudukan 'menang'. Tetapi mengambil semangat kesepakatan itu, sebenarnya pihak yang menang adalah Malaysia yang kesan akhir akan memberi manfaat kepada rakyatnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 OGOS 2011

07 Ogos 2011

HASIL KARYAKU : GURUKU, KAULAH PERMATA


Guruku tersenyum
melihatku pandai membaca
melihatku pandai mengira
melihatku pandai menulis
petah berbicara
menyusun kata
lagak negarawaan ulung
Bapa Pembangunan Malaysia


Guruku tersenyum lagi
apabila kuucapkan terima kasih
atas didikan dan asuhan
atas pengorbanan dan kecekalan
atas kepayahan dan keikhlasan
dialah guru terbaik
berdedikasi dan berwawasan
prihatin dan penyayang


Guruku tersenyum tak henti-henti
sehingga jatuh mutiara dipipinya
berguguran melimpah dibumi
pabilaku jejakkan kaki ke menara gading
meneruskan tekad menggapai cita-cita
dia berasa amat bangga
aku telah menunaikan hasratnya
yang selama ini 
terpatri di sanubari
aku dan dia


Setelah jaya kurangkul
setelah hidup dilimpahi senang
aku kembali lagi ke situ
tempat guruku berkhidmat dahulu
dia masih ada di situ
masih bertenaga
masih mesra


Cuma kulihat
wajahnya bergayut redup
pabila ku tanya
guruku dengan sayu mengadu
anak-anak muridnya 
tidak seperti aku
lagak mereka 
mematahkan semangatnya
laku mereka 
meranapkan impiannya
dalam sendu dia tertawa
mereka tidak seperti aku
aku tidak seperti mereka
kata guruku
aku rajin, mereka rajin
aku pandai, mereka pandai
cuma kurangnya mereka lebihnya aku
mereka miskin budi bahasa
daif sopan dan tatatertib

Kukesat dan kusapu pipi guruku
tanpa malu dia kudakap
rasa keibuannya menyelinap
ke segenap urat saraf
dalam hati berpancur doa
janganlah dia disakiti
baktinya terlalu murni
jasanya terlalu suci
tanpanya dan rakan-rakannya
dunia tidak jadi realiti
mimpi akan terus jadi fantasi


NUKILAN
ZULKARNAIN FARIHIN
5.00 PETANG
7 OGOS 2011

ISU SOSIAL : AKIBAT TERLALU DIMANJA

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nastp.com.my


Menjelang Ramadan ini, setiap umat Islam perlu insaf dan melihat ke dalam diri sendiri. Cara paling mudah ialah membandingkan diri kita dengan orang lain. Bagi umat Islam di Malaysia, salah satu perbandingan yang boleh dijadikan teladan ialah kedaifan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja.  Buruk cakap, bersalaman dengan masyarakat Islam Kemboja ibarat memegang kertas pasir. Tapak tangan mereka yang keras begitu terasa walaupun seorang imam masjid. Fahamlah, mereka bekerja keras membanting tulang dan melakukan apa saja kerja dengan kudrat tangan empat kerat untuk menyara hidup keluarga. Jika sakit, mereka hanya terlantar di rumah dan mengharapkan ubat yang dibeli di kedai biasa, menyembuhkan penyakit mereka. Jika perlu dimasukkan air ke dalam badan pesakit, alat dibekalkan doktor digantung pada tiang atau palang dalam rumah. Kalau badan panas, hanya ais batu diletakkan di atas badan untuk menyejukkan badan. Ini sekelumit pengalaman yang dapat dilihat ketika berkunjung ke kawasan penduduk masyarakat Islam minoriti di negara itu.

Namun begitu, mereka tidak memburuk-burukkan kerajaan Kemboja, sebaliknya, mereka bersyukur kerana kerajaan tidak menghalang mereka menjalankan kegiatan agama, cuma wang cari sendiri. Kemiskinan punca kepada segala-galanya. Walaupun bukan semua terlalu miskin kerana ada juga yang memiliki telefon bimbit, majoriti penduduk Islam Kemboja dalam kumpulan daif. Mereka tidur tanpa tilam dan makan di tempat yang sama bersama anak. Mereka masih menggunakan air sungai yang keruh sebagai bahan minum dan memasak dan tiada bekalan elektrik. Masakan tetap menggunakan kayu yang dicari di hutan. Jika makan sedap pun sekali sekala terutama bila ada sumbangan dari masyarakat luar yang simpati dengan kedaifan mereka. Mereka sering menerima sumbangan bekalan makanan seperti beras, gula dan minyak masak dari masyarakat luar tetapi berapa lama harus begitu? Untuk sampai di kampung tertentu, terpaksa menggunakan lori atau setidak-tidaknya kenderaan pacuan empat roda. Jika menaiki kereta biasa, sukar sampai disebabkan berselut sepanjang jalan dan sepanjang tahun.

Kenderaan mereka ialah motosikal dan kereta kuda untuk membawa hasil pertanian ke luar kampung. Itu pun terpaksa mencari kawasan kurang berlopak. Disebabkan kampung mereka berhampiran sungai yang menjadi tempat mereka mencari rezeki menangkap ikan, jalan merah di sepanjang kampung, sering banjir. Bila hujan, air bertakung di kawasan lopak yang juga menjadi tempat anak bermain becak. Anak yang berlenggeng, malah telanjang bulat menjadi pemandangan biasa. Anak baru berkhatan ke sana ke mari dalam becak walaupun luka sunat belum sembuh dan bengkak. Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian. Ada satu perbezaan ketara masyarakat Islam minoriti di Kemboja dengan masyarakat Islam majoriti di Malaysia. Walaupun masyarakat Islam di Kemboja hidup susah, mereka tetap bersatu. Di negara ini, umat Islamnya berpecah-belah akibat kepentingan politik. Walaupun bertungkus-lumus meneruskan hidup, mereka tahu erti kesyukuran dan nikmat Tuhan.

Mereka tidak menganggap hidup mereka tertekan walaupun apa juga dasar ditetapkan kerajaan Kemboja, mereka tetap terkena tempiasnya. Harga minyak pada paras lebih AS$2 (RM6) seliter sekarang, walaupun memang tinggi, tetapi tidak pun menjadi punca rakyatnya mengadakan demonstrasi. Harga tol AS$4 (RM12) bagi satu laluan berikutan pembinaan jambatan merentasi Sungai Mekong, tidak pun menyebabkan rakyat membantah dan berarak di jalan raya. Bagi mereka yang tidak mampu, mereka mencari jalan lain, tidak ada masalah bagi mereka. Mereka sudah biasa hidup susah dan apa juga masalah yang datang, ia dianggap perkara biasa. Ia berbeza dengan masyarakat yang selalu dimanjakan seperti di negara ini. Akibat terlalu dimanjakan, rakyat negara ini naik lemak dan besar kepala. Apa juga yang dilakukan kerajaan dijadikan bahan cacian. Akibat sikap buruk rakyat daripada kaum majoriti yang membangkang apa saja dilakukan kerajaan menyebabkan rakyat minoriti juga kian berani mempersoalkan dasar kerajaan.  Mereka juga tidak sedikit pun bimbang membangkitkan isu agama, walaupun kerajaan juga membantu mereka dalam banyak urusan, Bagi masyarakat majoriti Islam di Malaysia, ingat, apa yang berlaku di negara masyarakat Islam minoriti juga boleh berlaku di negara ini, tanda-tanda mengenai sudah pun ada.

Waktu itu, menangis air mata darah sekali pun, tidak boleh lagi merubah keadaan. Kesengsaraan hidup masyarakat Islam minoriti di Kemboja atau di mana sekali pun, boleh menimbulkan kesedaran kepada umat Islam di dunia ini. Di Kemboja, Walaupun kerajaan tidak melarang kegiatan beragama, tidak membantah pembinaan masjid atau sekolah untuk mengajar agama kepada anak, tetapi dalam keadaan kewangan dan sumber terbatas, tidak banyak kemajuan boleh dilakukan. Ada guru agama, tetapi tidak ada badan yang membayar gaji mereka. Terpaksa guru agama mengajar secara percuma. Jika ada simpati penduduk kampung, dapatlah sumbangan beras secupak dua daripada ibu bapa penduduk yang menghantar anak mereka mengaji agama.  Keadaan hari ini mungkin lebih baik berbanding 30 tahun ketika mereka menghadapi tekanan dan penindasan rejim Pol Pot pada penghujung 1970-an. Bezanya, hari ini nyawa mereka tidak lagi diancam. Ketika Pol-Pot berkuasa mereka menghitung hari menunggu ajal. Pelaburan masyarakat Islam Kemboja adalah kepada pendidikan anak. Mereka mengharapkan ada di kalangan anak mereka belajar ke tahap yang tinggi hingga ke luar negara dan pulang nanti menjadi penggerak kepada kemajuan keluarga dan bangsa mereka. Di Malaysia, semua orang tidak kira bangsa dan agama mendapat pendidikan sama rata. Itu pun dianggap sebagai tidak adil lagi?

SUMBER
BERITA MINGGU
7 OGOS 2011

ISU SOSIAL : DIDIK ANAK BUKAN SEMUDAH BACA A,B,C

Oleh Hanizam Abdullah


Niat memang baik tetapi ada kalanya orang curiga dan tak boleh terima. Biasalah, penawar bagi kita mungkin racun bagi yang lain pula. Mungkin itu yang berlaku apabila 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru mendakwa dipaksa membotakkan kepala ketika mengikuti kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor baru-baru ini. Al-kisahnya, mereka juga kononnya dipukul, ditumbuk dan diherdik dengan kata-kata kesat dan diperlakukan seperti banduan sedangkan mereka sepatutnya didedahkan dengan kehidupan insan pagar kawad berduri melalui program Price of Freedom.  Pada 5 Ogos 2011, berita itu dinafikan pihak Jabatan Penjara selepas menjalankan siasatan dalaman, tiada sebarang ‘sentuhan badan’ dengan pelajar itu kecuali ketika proses simulasi. Ada yang ditepuk belakang tetapi kata pihak penjara ia sekadar nasihat kepada mereka supaya jangan sesekali terjerumus dalam kegiatan jenayah dan tak bermoral. Anehnya, sejak terbongkarnya insiden itu, ramai pula bekas peserta program itu tampil membuat kenyataan mereka juga pernah diperlakukan sebegitu, sehingga kononnya ada masih trauma dan berpendapat program itu tidak langsung memanfaatkan mereka.

Hasrat mengembalikan rasa dan sikap tanggung jawab di kalangan pelajar itu memang murni, pelaksanaannya mungkin ada yang tak kena dan perlu dinilai semula. Niat tidak semestinya menghalalkan cara. Jangan salah faham pula kerana coretan teman minggu ini bukan untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, baik pelajar, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang berniat murni atau Jabatan Penjara itu sendiri. Amat malang sekali, kerana program yang bertujuan menyedarkan kalangan murid terutama yang bermasalah, agar membuka mata dan minda, bahawa tabiat buruk itu elok saja dibuang jauh-jauh supaya apabila besar kelak mereka menjadi insan berguna dan bukan sampah masyarakat, menjadi begitu akhirnya. Mendidik anak bukan semudah membaca ABC. Apatah lagi dalam zaman serba mencabar ini, cara didikan ibu bapa zaman dulu dan kini bagai langit dengan bumi. Ibu bapa selalunya sibuk memanjang memenuhi tuntutan kerja sehingga apabila tiba bab anak seperti tak kuasa kerana tak cukup masa. 

Maaflah, teman hendak angkat bendera tanda bersalah kerana tak pernah sekali pun hadir mesyuarat PIBG sedangkan banyak perkara yang mahu dikongsi. Alasan klise, sibuk, mesyuarat di pejabat dan 1001 sebab musabab. Paling tidak pun, teman ke sekolah sempena hari terbuka, itu pun mengambil laporan prestasi akademik anak atau ketika telefon bimbitnya dirampas.  Jumpa cikgu, baru dapat tahu kerenah si manja. Merah juga muka yang tak berapa nak putih ini apabila dengan selamba cikgu bertanya, “Dia lewat tidur ke sebab selalu tertidur dalam kelas?” Selamba juga teman jawab, “Ya Cikgu... selalu main SMS dalam selimut!” Itu baru perkara kecil yang ibu bapa dapat diselongkar. Biasalah anak kalau depan kita memang pijak semut pun tak mati tetapi di belakang kita semut tengok pun lari. Tak mustahil ada yang bukan setakat kaki ponteng dan perokok tegar tetapi juga kaki buli. Apa nak jadi kalau kecil lagi sudah pandai membuli, bayangkan apabila sudah besar panjang.  Bukan sesuatu yang asing bagi teman melihat pelajar yang tukar arah sebaik saja dihantar ke sekolah. 

Mati-matilah ibu bapa itu ingat mereka masuk bilik darjah, sedangkan mereka buat benda tak semenggah. Selamba saja mereka menuju arah yang bertentangan dengan pintu pagar sekolah dan sebaliknya menuju ke pusat beli-belah. Ada juga yang sebaik saja melangkah keluar kawasan sekolah terus mengeluarkan kotak rokok sambil ketawa mengilai. Lagak mereka seperti keluar dari kelab malam. Teman urut dada sambil berdoa agar dihindari daripada menghadapi situasi sebegini. Pihak sekolah pun resah gelisah kerana dibebankan tugas semakin mencabar. Kisah di SMK Bandar Baru UDA itu contoh klasik. Mungkin tenaga pengajarnya sudah buntu mencari jalan penyelesaian masalah disiplin pelajar. Lalu perkara ini dibawa dalam mesyuarat PIBG. Namun apa yang berlaku lain pula. Itulah teman kata, penawar bagi kita mungkin jadi racun bagi sesetengah orang. Teman amat berharap program sebegini dapat diteruskan tetapi perlu diawasi dan dipinda modulnya dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian. 

Seperti juga apabila kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Sejak diperkenalkan tujuh, lapan tahun lalu, kem itu sudah melalui pelbagai perubahan baik dari segi fizikal kem itu sendiri sehingga kepada modulnya.  Semua ini dibuat selepas mendapat maklum balas semua pihak sementalah anak kita pun ada kalanya terlebih manja. Dulu mak bapak kita tak ambil pusing jika anak ditengking jerkah cikgu tetapi sekarang ini nak tinggi suara pun, bimbang masuk mahkamah. Susah juga melayan ibu bapa yang sensitifnya semacam. Bak cubit paha kira, paha kanan pun terasa. Siapa pun tidak mahu anak mereka didera. Seperti cerita beberapa hari lalu, bagaimana anak semuda 12 tahun didakwa bukan saja membelasah pelajar lebih junior tetapi lebih memeranjatkan apabila mereka juga dikatakan meliwat mangsa. Paling sedih apabila mereka kalangan pelajar sekolah tahfiz. Siapa nak jawab apabila pelajar tahfiz pun boleh terbabit dalam salah laku sebegini keji?

SUMBER
BERITA MINGGU
7 OGOS 2011

ISU SEJARAH : 15 OGOS 2011 INI GENAPLAH 500 TAHUN JATUHNYA MELAKA


Pada  tahun-tahun 40-an dahulu, lama sebelum negara mencapai kemerdekaan, ada segelintir guru-guru Melayu yang setiap 15 Ogos akan memakai baju kemeja hitam dan bertali leher merah ketika mengajar di sekolah. Hitam sebagai tanda berkabung sementara merah bermakna kesanggupan berjuang. Mereka yang menjadi penyokong Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini berpakat memakai baju itu sebagai mengenang kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis yang berlaku pada 15 Ogos 1511. Memang sukar bagi mereka mencari baju kemeja hitam dan tali leher merah yang perlu dibuat khas, dan tentunya memerlukan wang. Pada masa itu, pakaian guru ialah baju putih dan seluar putih bertali leher hitam dan bersongkok hitam. Maka pada 15 Ogos 2011 ini, genaplah 500 tahun kota Melaka tumbang. Kota Melaka hanya merdeka pada 31 Ogos 1957 sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini bermakna kota Melaka dijajah 446 tahun 16 hari. Tun Ghafar Baba yang menjadi bapa kemerdekaan bagi Melaka mencadangkan bendera merah putih sebagai latar belakang kepada bendera negeri tetapi dengan bintang bulan di bucunya selaras dengan jati diri Melaka sebagai negeri Melayu seperti negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu ketika itu.

Beliau mencadangkan supaya petak empat segi yang menempatkan bulan bintang itu supaya berwarna hijau sebagai kaitannya dengan agama Islam. Tetapi cadangannya ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang mahukan warna petak itu sebagai biru, selaras dengan warna petak empat segi di bucu bendera persekutuan. Dengan kemerdekaan itu, Melaka yang sudah tidak mempunyai raja sendiri sejak tahun 1511 mendapat pula kedaulatan diraja melalui Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi negeri itu. Maka pada masa giliran Sultan Perak menjadi Yang di-Pertuan Agong, Melaka memperoleh semula seorang raja yang susur galurnya sampai kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika kota itu belum jatuh ke tangan Portugis. Tetapi pada tarikh 31 Ogos 1957, buat pertama kalinya kota Melaka menjadi negeri yang berdaulat. Ini kerana sebelum itu, ia hanya menjadi kota jajahan bagi Inggeris, Belanda dan Portugis. Dengan beberapa tahun pernah berada di bawah Jepun. Sementara semasa pemerintahan Kesultanan Melayu, kota Melaka adalah tempat bersemayam sultan yang memerintah satu kerajaan yang wilayah pemerintahannya adalah luas meliputi sebahagian besar kepulauan Nusantara yang meliputi semenanjung Tanah Melayu, pulau Sumatera hinggalah ke Brunei.

Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu, orang tidaklah menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melaka dan negaranya sebagai Melaka. Mereka menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melayu dengan kerajaannya sebagai kerajaan Melayu yang memerintah negeri-negeri di kepulauan Melayu. Melaka hanyalah kota di mana bersemayam raja Melayu. Maka oleh kerana pusat kerajaan terletak di kota Melaka, maka selat itu juga kemudian dikenali sebagai Selat Melaka. Tetapi negara yang diperintah oleh sultan yang bersemayam di Melaka itu adalah luas dan disebut sebagai negeri-negeri Melayu saja. Sementara Kesultanan Melayu di Melaka itu pula merupakan kesinambungan kepada Raja-raja Melayu terdahulu yang bersemayam di Palembang, Sumatera di bawah nama kerajaan Sri Wijaya. Tetapi apa yang disebut sebagai Melayu meliputi semenanjung, dan semua pulau di sekitarnya iaitu Sumatera dan Brunei. Sudah tentu Singapura juga termasuk di dalamnya. Malah sebelum Melaka, kerajaan Melayu ini cuba menjadikan Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik sebagai kota kerajaan Melayu sebagai lanjutan kepada Palembang sebelum itu.

Sejarah mungkin berbeza jika kerajaan Melayu dapat bertapak di Singapura untuk memerintah kepulauan Melayu. Tetapi Siam menganggap keseluruhan semenanjung, termasuk Temasik adalah miliknya. Maka bala tentera dihantar Siam untuk mengajar raja Melayu itu. Askar Melayu yang ada tidak akan mampu berlawan dengan tentera Siam itu. Maka berpindahlah raja Melayu itu ke Melaka untuk ditubuhkan sebuah kerajaan yang kuat. Siam tetap mahu memusnahkan Melaka. Tetapi kemenangan Melaka di Batu Pahat di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Melayu. Tetapi pada keseluruhannya yang memantapkan kedudukan kerajaan Melayu adalah hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming China melalui laksamana Cheng Ho dan pemelukan Islam oleh raja dan rakyat Melaka. Islam adalah trend pada masa itu. India menjadi Islam di bawah Moghul. Dinasti Ming hampir penuh menjadi Islam. Di Jawa pula, Islam juga sedang mara menguasai keseluruhan pulau itu. Tetapi pada waktu yang sama di sebelah Barat, kerajaan Andalusia sudah lama tumbang dan munculnya kuasa baru yang akan mengubah dunia, Sepanyol dan Portugis.

Dengan semboyan Glory, Gold dan Gospel atau Kegemilangan, Emas dan Injil, dalam erti kata lain, kekuasaan, kekayaan dan penyebaran agama, bala tentera Portugis sampai ke Nusantara. Di sebalik semboyan itu, apa yang mereka cari ialah rempah. Rempah ratus! Makanan dan dorongan tekak dan perut yang mendorong mereka sampai ke sini. Begitulah besar motivasi makanan. Maka dengan dorongan inilah, Melaka tumbang. Tetapi walaupun ia memusnahkan istana dan bandarnya, kerajaan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah tempat istana semayamnya iaitu ke Kota Tinggi di Johor. Walaupun tempat itu tidaklah sehebat Melaka, tetapi ia cukup untuk meneruskan kesultanan Melayu. Hakikatnya kerajaan Melayu di Melaka dan Johor-Riau adalah serupa dan sambung-menyambung saja. Oleh kerana ia terletak di Johor dan Riau, maka ia disebut sebagai kesultanan Johor-Riau, tetapi hakikatnya ia adalah kesultanan Melayu yang sama dengan di Melaka. Walaupun kemudiannya kerajaan ini tidak lagi diperintah oleh waris-waris Sultan Melaka, ia tetap merupakan pewaris kepada kesultanan terdahulu.

Bendaharanya menjadi Sultan Pahang. Sementara Maharaja Abu Bakar menjadi Sultan Johor yang menyambung kesultanan Melayu. Kerajaan ini terus berdaulat walaupun British kemudiannya menguasai pertahanan dan hal ehwal luar Johor. Justeru apabila Malayan Union diperkenalkan, Datuk Onn mampu bangkit dan membantah. Ini kerana negeri-negeri Melayu masih berdaulat dengan raja-rajanya tidak boleh menyerahkan kedaulatannya ke pada British begitu saja. Kedaulatan sesebuah negara bukan milik raja seseorang tetapi adalah persetujuan dengan rakyatnya. Ketika itu, rakyat Raja-raja Melayu adalah orang Melayu. Maka untuk berdepan dengan British, orang Melayu telah mewakilkan UMNO untuknya. Negeri Melaka pula lain. Ia memang tanah jajahan British. Rakyatnya adalah anak jajahan British. Tetapi UMNO meliputi semua negeri dalam Tanah Melayu. Ini membolehkan Melaka turut merdeka. Begitu juga dengan wilayah dalam kesultanan Melaka dahulu yang kini juga merdeka dalam Indonesia.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
7 OGOS 2011