Anak-anak yang saya kasihi,
Dalam perjalanan menuntut ilmu, musuh terbesar kalian bukanlah guru yang tegas, bukan juga soalan peperiksaan yang sukar, tetapi diri sendiri. Ya, diri yang sering memberi alasan – “Saya penat.” “Nanti sajalah.” “Saya tak pandai.” Alasan inilah yang perlahan-lahan mencuri masa, melemahkan semangat, dan akhirnya meragut peluang kejayaan.
Anak-anak, kalian mesti belajar menguasai diri. Orang yang berjaya bukanlah orang yang tidak pernah malas, tetapi orang yang mampu menundukkan rasa malas. Mereka bukan tidak pernah rasa takut, tetapi mereka berani melangkah walaupun takut. Bezanya ialah kekuatan mengawal diri daripada tunduk kepada alasan yang melemahkan.
Setiap kali kita memberi alasan, sebenarnya kita sedang menutup pintu usaha. Misalnya, apabila kita berkata, “Saya tidak pandai Matematik,” tanpa sedar kita sudah menghentikan peluang untuk memperbaikinya. Padahal, jika kita berkata, “Saya belum pandai, tetapi saya boleh belajar,” kita sedang membuka jalan kejayaan.
Anak-anak, ketahuilah bahawa alasan hanyalah helah untuk mencari keselesaan sementara. Walau bagaimapun, keselesaan itu tidak akan membawa ke mana-mana. Jika kalian mahu berjaya, kalian mesti sanggup melawan rasa malas, menolak keinginan untuk menunda kerja, dan berani mengambil langkah pertama walaupun kecil.
Kuasai diri juga bermaksud belajar berdisiplin walaupun tiada siapa yang melihat. Seorang pelajar yang hebat tidak hanya belajar bila guru ada, tetapi tetap berusaha walaupun sendirian. Mereka tidak menunggu dorongan orang lain, kerana mereka tahu kejayaan itu adalah tanggungjawab diri sendiri.
Sebagai pengetua, saya sering melihat pelajar yang berbakat besar, tetapi sayangnya tenggelam kerana terlalu banyak alasan. Ada yang berkata, “Saya tidak cukup masa,” sedangkan masa yang sama digunakan untuk bermain telefon. Ada yang berkata, “Saya tidak pandai,” padahal belum pun mencuba sepenuh hati. Alasan ini akhirnya menjadi tembok yang memisahkan mereka daripada kejayaan.
Saya juga melihat pelajar yang biasa-biasa, tetapi kerana berani menolak alasan, mereka melangkah jauh. Mereka belajar walaupun penat, mereka mencuba walaupun gagal, mereka bangkit walaupun pernah jatuh. Hasilnya, mereka berdiri sebagai pelajar cemerlang, disegani dan dibanggakan.
Anak-anak, ingatlah pesanan saya: alasan tidak akan pernah membawa kalian ke mana-mana. Hanya tindakan yang akan mengubah hidup kalian. Jika kalian mahu berjaya, berhentilah berkata “nanti,” mulakan dengan “sekarang.” Jika kalian mahu hebat, berhentilah berkata “tidak mampu,” gantikan dengan “aku akan cuba.”
Ingatlah, menguasai diri adalah kemenangan paling besar dalam hidup seorang pelajar. Apabila kalian mampu menundukkan alasan dan menggantikannya dengan usaha, insya-Allah kejayaan akan menjadi milik kalian.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan