JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Disember 2011

ISU IPT : PLAGIAT BOLEH MENCALAR IMEJ GOLONGAN CENDIKIAWAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali


Amat memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit. Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan. Biarpun segelintir pihak menganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat. Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain? Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar. Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain. Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’. Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik. Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur? Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi. Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan. Beliau berkata, mahasiswa dan pensyarah perlu memainkan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu. Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai. Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu menggandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya. Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti. Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain meningkatkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

Longgarnya aspek itu akhirnya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayangkan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai. Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama. Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa. Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuhkan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai. Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya. Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya. Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan. Perkara ini amat subjektif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan. Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan. Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendahkan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.

INFO UNTUK ANDA

Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.

Wikipedia pula mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan orang lain sebagai pemikiran sendiri; mengakui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.

Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
26 DISEMBER 2011


JADIKAN MOTIVASI UNTUK BERJAYA : TUAH LELAKI BERNAMA TOM CRUISE


Kejayaan yang dimiliki aktor terkenal Hollywood Tom Cruise hari ini bukan datang dengan mudah meskipun aktor kelahiran Syracuse, New York itu memiliki wajah yang tampan. Ibu bapanya bercerai ketika dia berusia 11 tahun dan kehidupan berpindah-randah memaksanya bersekolah di 15 buah sekolah. Sekolah terakhirnya adalah Glen Ridge High School, New Jersey. Dibuli merupakan perkara biasa ketika zaman persekolahannya, tambahan dia mempunyai masalah disleksia iaitu gangguan dalam pembelajaran iaitu sukar membaca dan menulis. Justeru, Cruise bukanlah pelajar yang cemerlang ketika zaman persekolahannya, dia mengalih tumpuan kepada aktiviti sukan dan kecederaan lutut yang dialaminya ketika bergusti, membuat dia secara tidak sengaja terjun ke dunia lakonan. Pada usia 18 tahun, dia meninggalkan Glen Ridge dan memburu impian sebagai seorang aktor di New York. Waktu siang dia melakukan pelbagai pekerjaan antaranya sebagai budak penghantar surat sehinggalah sebagai pembersih restoran dan pada waktu malam diperuntukkan untuk kelas lakonan sebagai persediaan buatnya menjalani uji bakat iklan, drama dan filem.

"Bukan mudah untuk saya berdiri seperti hari ini, sebelum berjaya mendapat kontrak filem pertama Endless Love pada tahun 1981, saya telah merasai pengalaman ditolak pengarah dan penerbit. Saya tidak menjadi aktor untuk memiliki kuasa (wang dan populariti) tetapi ia berlaku dengan sendirinya secara tidak langsung menyebabkan saya memperoleh lebih banyak peluang. "Saya juga sedar yang kuasa itu tidak akan kekal selamanya dalam kerjaya saya sebagai pelakon. Jadi, saya mahu menggunakannya sehabis yang mungkin, terlibat dalam naskhah yang hebat dan apabila masa itu berlalu saya akan tersenyum kerana telah menjalani hidup dengan sepenuhnya," ujarnya. Meskipun merupakan aktor yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood, dia menegaskan dia tidak pernah melakukan kerja kerana wang. "Jujur, saya tidak pernah lakukan kerja semata-mata kerana wang. Ya, sebagai aktor saya diberi pilihan dan tawaran yang menarik tetapi terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu menerimanya atau tidak. Jika pilihan terletak pada wang dan filem tersebut tidak mendapat sambutan, wang itu tidak bererti apa-apa," jawabnya yang masih menerima tawaran berlakon dalam filem indie.

Kini, selepas lebih tiga dekad terlibat dalam industri perfileman, Cruise bukan sekadar seorang pelakon tetapi dia juga seorang penerbit filem dan mungkin juga bakal penyanyi kerana selepas filem Mission Impossible - Ghost Protocol, dia diangkat sebagai penyanyi rock legenda dalam filem muzikal berjudul Rock of Ages akan berada di pawagam pada Jun tahun hadapan. Menariknya, ramai yang terkejut apabila mendapat tahu Tom benar-benar boleh menyanyi dan suaranya turut mendapat pujian ramai. Malah, salah seorang pelakon dalam filem itu yang juga seorang penyanyi terkenal, Mary J. Blige turut mendedahkan yang dia teringin untuk merakamkan lagu duet bersama Cruise. "Jika dia tanya saya, saya terus setuju. Dia memang seorang penyanyi yang bagus dan benar-benar mempunyai aura sebagai seorang penyanyi terkenal. Jiwa rock dalam dalam diri seseorang dan Tom memilikinya," kata Mary J. Blige. Kebolehan menyanyi Cruise itu turut diakui oleh isterinya, Katie Holmes, bagaimanapun memberitahu, suaminya itu mengikuti kelas vokal selama beberapa minggu sebelum penggambaran bermula. "Ya, saya suka menyanyi tetapi saya tidak rasa saya boleh lakukannya sebaik lakonan. Jika untuk suka-suka ya tetapi untuk serius saya belum terfikir mengenainya lagi," katanya yang membawakan watak Stacee Jaxx dalam filem muzikal itu.

MISI MUSTAHIL

Aktor yang telah berlakon 44 buah filem itu termasuk semua filem sekuel Mission Impossible serta terkini Ghost Protocol tidak hanya berlakon sebaliknya turut bertindak sebagai penerbit telah melakukan pelbagai aksi lagak ngeri sebagai ejen perisik bernama Ethan Hunt. Sebagai penerbit memilih pengarah JJ Abrams untuk mengarah filem buat kali pertama merupakan satu risiko yang besar tetapi Cruise mempunyai alasan yang tersendiri terhadap pilihannya. "Kisahnya begini, saya dan Steven Spielberg tengah bekerja untuk filem War of the Worlds dan kami berjumpa beberapa orang penulis dan penulis itu termasuk JJ. Tidak mengambil masa yang lama untuk saya menyukai kerjanya dan dia seorang yang berkarisma serta bijak. "Kami bekerjasama secara tidak sengaja apabila setiausaha JJ memberi saya pita drama aksi Alias musim pertama yang diarah oleh JJ. Selang beberapa hari saya habis menonton satu musim drama Alias dan saya menyukai kerjanya. Saya menghubunginya ketika itu dia berada di Hawaii melakukan penggambaran drama Lost. Sekembalinya dia di Los Angeles kami berjumpa dan saya tanya bila dia mahu mengarah filem," jelas Tom.

Sungguhpun begitu, untuk seorang pengarah yang tidak pernah mengarah filem berbajet besar pasti menimbulkan kebimbangan di hati seorang penerbit. "Saya rasa seperti ini bukan filem pertamanya. Filem ini paling kompleks dan sekuel Mission Impossible terbesar yang pernah kami hasilkan. Lihat sahaja lokasi penggambarannya, China, Rom, Dubai dan Jerman tetapi kami berjaya melakukan penggambaran mengikut jadual dan di bawah bajet. Hasilnya juga cukup mengagumkan. Dalam filem ini banyak aksi lagak ngeri dilakonkan Cruise dan paling diingati adalah babak dia keluar daripada bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa di Dubai dan berjalan di atas cermin tingkap bangunan yang mempunyai ketinggian 2,717 kaki bersamaan dengan 163 tingkat. Katanya untuk babak yang dilakukan di tingkat 140 itu sahaja dia telah berlatih selama sebulan. "Pengalaman paling tidak boleh saya lupakan berpusing di tepi tingkap bangunan tersebut dengan bergantung nyawa pada tali setebal wayar piano. Menakutkan tetapi untuk menampilkan kelainan, ia harus dilakukan dan seluruh produksi telah mengambil langkah keselamatan terbaik.

"Kami harus mencari lokasi antarabangsa yang mengagumkan dan Burj Khalifa adalah pilihan terbaik. Saya hanya berlatih sehari untuk aksi melompat keluar daripada bangunan itu sebelum memulakan penggambaran," ujarnya yang berada di Dubai selama lima minggu. Disoal apakah perkara yang paling menakutkannya ketika penggambaran, jawab Cruise: "Terjatuh ke bawah." Sambung aktor berusia 49 tahun itu lagi: "Apabila kami melakukan penggambaran perkara pertama dalam fikiran bagaimana kami lakukan untuk nampak hebat dan mustahil di layar. Kedua soal keselamatan dan kami sudah berlatih dan merancangnya selama berbulan-bulan. Saya hanya lakukan dan ya, saya selamat dan hidup sampai hari ini. Tiada sebarang kecederaan serius berlaku sepanjang penggambaran." Sebagai penutup tahun 2011 Mission Impossible - Ghost Protocol yang menelan kos sebanyak RM459,505,000 itu turut dilakonkan oleh Jeremy Renner, Simon Pegg, Paula Patton dan bintang Bollywood Anil Kapoor merupakan sebuah filem yang cemerlang.

SURI DI HATI TOM CRUISE

Cruise yang pernah bercinta dengan aktres Penelope Cruz juga pernah berkahwin sebanyak tiga kali, pertama Mimi Rogers, kedua, Nicole Kidman dan terakhir sejak tahun 2005 dan kekal sehingga hari ini bersama Katie Holmes. Momen tidak boleh dilupakan apabila Cruise secara terbuka mengaku cintakan Katie dalam program bual bicara popular Oprah Winfrey Show pada 23 Mei, 2005. Dalam program itu, Cruise kelihatan tidak senang duduk malah siap melompat di atas sofa apabila berbicara tentang Katie. Kebahagiaan Cruise bertambah apabila dia dikurniakan anak perempuan bernama Suri yang kini berusia lima tahun dan secara sah berkahwin dengan Katie pada November 2006. Khabarnya, kini Cruise sedang merancang untuk menambah jumlah ahli keluarganya "Ya, saya berharap dan sedang merancang untuk memperolehi cahaya mata lagi dan beri adik kepada Suri," katanya. Meskipun sentiasa sibuk, katanya, jika ada kesempatan dan peluang dia pasti akan membawa keluarganya ke lokasi penggambaran atau promosi filem seperti ketika dia mempromosi filem sekuel terbaharu Mission Impossible itu di beberapa buah negara baru-baru ini. "Setiap hujung minggu jika kelapangan kami pasti akan habiskan masa bersama seperti berkelah atau melepak di taman, menemani Suri ke pusat membeli-belah kerana dia suka sangat memakan aiskrim.

Dia anugerah terhebat yang pernah saya perolehi dalam hidup," kata Cruise. Jelas sekali hidup Cruise kini lebih bermakna. Dia juga sering mengatakan saban hari cintanya pada isteri semakin besar. "Semakin hari saya semakin cinta Katie, dia seorang yang istimewa dan memahami saya sepenuhnya. Kehadiran Suri melengkapkan hidup saya sebagai seorang lelaki, suami dan bapa. Tetapi nampaknya, Suri lebih banyak mengikut isteri saya terutamanya bab fesyen. Saya yakin apabila dia besar kelak, dia akan menjadi seorang penggila fesyen, lihat sahaja dia hari ini, walaupun baru lima tahun, pakaiannya lebih banyak daripada ibu bapanya," cerita Cruise. Bercakap mengenai tahun 2012, kata Cruise banyak projek filem menantinya dan tahun hadapan merupakan tahun paling sibuk buatnya. "Saya ada beberapa buah filem yang menanti penggambaran dan ada yang sedang dalam penggambaran, sebagai pelakon saya mahu beri yang terbaik dan impak kepada penonton serta diri sendiri. Sebagai penerbit saya mahu menerbitkan lebih banyak filem bermutu dan pecah panggung, apa pun terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong kerjaya saya selama ini," katanya yang turut bercuti panjang sempena Krismas baru-baru ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 DISEMBER 2011



ISU ANTARABANGSA : REMAJA TEMBAK RAKAN SEKELAS

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my


Beberapa orang pelajar meletakkan cendera hati di salah satu sudut 
sekolah sempena memperingati kematian Larry King 
di E.O Green Junior High di Oxnard, California.

Tanggal 12 Februari 2008 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh sekumpulan pelajar yang berada di dalam sebuah makmal komputer di E.O Green Junior High di Oxnard, California. Ketika masing-masing sibuk mengikuti pelajaran, mereka tiba-tiba dikejutkan dengan dua das tembakan yang menyebabkan rakan sekelas mereka, Larry King rebah. Darah tidak putus-putus mengalir keluar dari dua kesan tembakan di kepala remaja lelaki berusia 14 tahun itu. King yang berperwatakan perempuan dan gemar memakai kasut tumit tinggi serta bersolek ke sekolah, akhirnya menemui ajal di tangan rakan sekelasnya, Brandon McInerney. Hampir empat tahun selepas episod suram itu berlaku, McInerney yang kini berusia 17 tahun menerima balasannya pada 19 Disember lalu apabila dia dihukum penjara 21 tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat dan menggunakan senjata api secara salah di sisi undang-undang. Remaja tersebut dijatuhi hukuman penjara 11 tahun bagi kesalahan menyebabkan kematian dan penjara 10 tahun lagi bagi kesalahan penggunaan senjata api, ekoran daripada hasil rundingan bagi pengakuan bersalah atas tuduhan-tuduhan tersebut pada November lalu.

McInerney yang memakai baju T putih dan seluar biru, tidak meluahkan sepatah kata pun sebelum hukuman itu dijatuhkan tetapi peguamnya, Scott Wippert menyatakan bahawa anak guamnya memohon maaf dan merasa sungguh kesal atas perbuatannya. Dengan keputusan itu, McInerney akan diperintahkan melapor diri ke penjara pada Januari ini, selepas usianya mencecah 18 tahun. Ekoran pengakuan salahnya, dia tidak layak dibebaskan awal atas alasan berkelakuan baik dan ini bermakna dia hanya akan menikmati harga kebebasan ketika berusia 39 tahun. Sebenarnya rundingan bagi pengakuan bersalah itu dibuat selepas pihak juri menemui jalan buntu sepanjang perbicaraan terhadap McInerney atas tuduhan membunuh dengan niat. Ketika itu remaja terbabit dibicarakan sebagai pesalah dewasa. Beberapa juri kemudiannya menyatakan bahawa pada pendapat mereka, McInerney tidak sepatutnya dibicarakan sebagai pesalah dewasa.

Pada prosiding kes tersebut, peguam bela remaja berkenaan menyatakan, McInerney yang berusia 14 tahun ketika kejadian telah tidak lagi mampu menahan sabar selepas King berulang kali cuba memikatnya dan budak-budak lelaki lain. Beberapa minggu sebelum kejadian tembakan itu, pihak pentadbiran sekolah turut membenarkan King memakai kasut tumit tinggi dan menggenakan solekan ekoran daripada undang-undang persekutuan yang memberikan hak kepada para pelajar untuk menzahirkan orientasi seksual masing-masing. Pihak pendakwaan pula menyatakan bahawa kejadian tembakan yang menyebabkan rakan-rakan sekelas remaja itu tergamam merupakan satu kes bunuh dengan niat dan McInerney wajar dihukum sebagai pesalah dewasa. Mereka menghujahkan bahawa tembakan itu adalah jenayah benci, iaitu aspek yang ditolak oleh pihak juri, selepas pihak berkuasa menemui bahan-bahan material mengenai ideologi orang berkulit putih lebih tinggi darjatnya (white supremascist) di kediaman McInerney.

Selepas hukuman itu dijatuhkan, bapa mangsa, Greg King, membacakan surat setebal empat muka surat dengan mengecam pelbagai pihak termasuk panel juri yang didakwa tidak cekap, selain mengkritik pihak media. Lelaki itu juga menyalahkan pihak sekolah kerana tidak menghiraukan permintaan isterinya yang memohon bantuan bagi membendung kelakuan ranggi anak lelakinya itu. Terhadap McInerney pula, Greg dengan lantangnya menegaskan bahawa keluarganya tidak akan memaafkan remaja tersebut. Di sebalik semua itu, McInerney jelas masih bersikap seperti anak-anak muda yang lain, iaitu tetap menginginkan belaian kasih sayang seorang ibu dan bapa. Itulah yang dapat dilihat di penghujung perbicaraan, sewaktu dia dibawa oleh pegawai polis ke lokap, remaja itu sempat mengucapkan ungkapan 'I Love You' kepada ibunya, Kendra McInerney yang hanya mampu melihatnya pergi dengan linangan air mata.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : AJAR ANAK BERBUDI BAHASA SEJAK KECIL

Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR


Budi bahasa merupakan satu nilai murni yang bukan hanya dilaksanakan dalam pertuturan, bahkan juga kelakuan dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Tambahan di Malaysia, yang mana rakyatnya terdiri daripada berbilang kaum dan adat resam, sudah pasti budi bahasa memainkan peranan penting dalam menikmati hidup yang aman dan damai. Tokoh sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, amalan budi bahasa perlu ditanam dalam diri sejak peringkat awal lagi bagi membolehkan ia terus mengalir dalam diri mereka sehingga dewasa. "Pendidikan mengenai perkara ini hendaklah diajar anak-anak di peringkat sekolah rendah kerana di sana mereka sudah mula bercampur dan berkenalan dengan komuniti lain, selain keluarga. "Justeru, peranan ibu bapa dan guru perlu sama penting dalam memastikan generasi hadapan negara kita terus mempunyai sikap budi bahasa yang tinggi," katanya ketika dihubungi baru-baru ini. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni telah dilancarkan pada 11 Januari 2005 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kempen yang dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh lima tahun itu disasarkan kepada setiap golongan rakyat dan masyarakat negara ini. Ia merupakan agenda penting kerajaan untuk menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Kay Kim berkata, sebagai masyarakat Timur, amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian. Namun demikian, tanpa disedari, kehidupan hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. Nilai-nilai murni yang dahulunya kaya dalam diri masyarakat kian terhakis lantaran daripada tuntutan mengejar kekayaan dan kebendaan. Menurutnya, cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan dilihat antara faktor masyarakat hari ini tidak lagi mengamalkan budaya yang dahulunya kuat seperti semangat bantu membantu dan saling hormat menghormati.

"Hinggakan satu kaji selidik yang dijalankan di universiti mendapati ada yang sanggup menerima rasuah untuk melakukan sesuatu perkara dan ia membuktikan bahawa masyarakat hari ini kian hilang nilai-nilai murni dalam diri mereka, " katanya. Beliau berkata, tidak salah mencari kekayaan dan mengejar kemodenan, namun nilai-nilai ketimuran mesti terus diterapkan dalam diri setiap rakyat Malaysia yang telah menjadi identiti kita sejak dahulu lagi. Menurutnya, peranan ibu bapa, pihak sekolah dan kerajaan amat berat dalam mewujudkan generasi hadapan agar terus mempunyai nilai-nilai murni sebagai orang Timur. "Melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi, generasi muda perlu diajar dan diterapkan dengan nilai-nilai tersebut secukupnya agar ia tidak hilang ditelan kemodenan dan kemajuan negara," katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 DISEMBER 2011

30 Disember 2011

ISU ANTARABANGSA : PENENTANGAN POLISI SATU ANAK


Wu Wei Ping, yang hamil tujuh bulan keluar pada awal pagi membawa beg galas yang diisi beberapa helai pakaian, komputer riba dan pisau. "Nasib saya sangat baik, jika tidak pasti saya ditangkap," kata Weiping, 35, yang ketakutan. Jika ditangkap, pegawai-pegawai perancang keluarga akan mengheretnya ke hospital untuk melakukan pengguguran secara paksaan. "Saya akan berjuang sampai mati jika mereka menangkap saya." Selepas melarikan diri, Weiping menyertai komuniti ibu bapa yang ingkar mematuhi polisi di China yang menetapkan hanya seorang anak sahaja dibenarkan bagi setiap pasangan. Kepada yang ingkar, mereka bakal berdepan dengan risiko hilang pekerjaan, wang simpanan dan keselamatan. Walaupun bilangan agak kecil, mereka mewakili pencetus idea mengubah hak-hak individu. Sungguhpun penentangan itu dilihat lebih cenderung berlaku dalam kalangan keluarga di luar bandar yang kabur terhadap peraturan tersebut, kini ramai ibu bapa dari kawasan bandar seperti Weiping juga terlibat. Weiping tampil dengan alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk menetapkan bilangan anak-anak yang boleh mereka miliki.

Menggunakan ruang sembang siber internet dan blog, ramai ibu bapa menyiarkan tuntutan-tuntutan mereka bagi perancangan dasar keluarga yang lebih liberal dan berharap orang lain akan mengikut jejak langkah tersebut. Malah, beberapa ibu bapa yang berjaya menyelitkan cerita-cerita mereka ke dalam media yang dikawal ketat, menandakan perspektif mereka telah mula dinilai oleh orang ramai. Selepas mendapat tahu isterinya bakal melahirkan anak kedua, Liu Lianwen menubuhkan forum perbincangan dalam talian yang dipanggil Kelahiran Percuma. Ia bertujuan untuk menukar maklumat tentang dasar satu anak dan cara-cara untuk berdepan dengannya. Dalam masa kurang daripada enam bulan, ia telah menarik hampir 200 ahli. "Kami idealis," kata jurutera berusia 37 tahun dari pusat bandar China itu. Anak sulung perempuannya dilahirkan pada 18 Oktober lalu. "Kami mahu mengubah sikap orang ramai di sekeliling kita dengan mengubah diri kita sendiri." Kesan kebebasan kawalan sosial yang dilaksanakan semasa era doktrin di bawah pemerintahan Komunis, rakyat China diberi kebebasan memilih tempat tinggal, pekerjaan dan status perkahwinan. Bagaimanapun, negara itu menetapkan satu undang-undang iaitu rakyatnya dibenarkan memiliki seorang anak sahaja. Jika ingkar, mereka akan dikenakan hukuman yang berat seperti dicabul status dan tekanan ekonomi.

TIDAK DIRANCANG

Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui jumlah kanak-kanak yang dilahirkan sebagai anak kedua di negara tersebut. Bagaimanapun, Pengarah Sekolah Renmin, Universiti Sosiologi dan Penduduk di Beijing, Zhai Zhenwu meng anggarkan kurang daripada satu peratus bayi yang dilahirkan daripada 16 juta kelahiran setiap tahun adalah kelahiran yang tidak dirancang. Liu berpendapat, warga negaranya itu telah dipengaruhi. "Mereka semua merasa selamat dari segi kekayaan apabila memiliki sebuah keluarga yang kecil," katanya. "Namun, propaganda perancangan keluarga selama tiga dekad itu akhirnya telah mengubah cara majoriti ibu bapa di China berfikir tentang melahirkan anak kedua." Keengganan untuk menjadi ayah juga menjadi salah satu isu kebimbangan bagi demografi. Dasar yang digabungkan dengan kos sara hidup telah membawa kadar kesuburan menurun terlalu mendadak dan terlalu cepat. Walaupun masih memegang status sebagai negara yang mempunyai populasi terpadat di dunia iaitu 1.3 bilion, hakikatnya pertumbuhan penduduk China amat perlahan. "Kebimbangan China sekarang ialah ketiadaan pertumbuhan penduduk.

Ia berhadapan dengan penuaan penduduk yang pesat manakala orang muda tidak mahu memiliki anak," kata pengarah Pusat Brookings-Tsinghua untuk Dasar Awam, satu badan kerjasama akademik penyelidikan AS-China yang berpusat di Beijing, Wang Feng. Wang melihat bencana yang lebih buruk akan dihadapi apabila generasi bayi tahun 1960-an kini dalam persaraan dan usia tua. Tenaga buruh China, berkurangan secara mendadak akibat dasar satu anak dan masalah itu terus berlanjutan. Beliau berhujah bahawa pihak pemerintah perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memiliki sekurang-kurangnya dua orang anak. Wang berpendapat, masih ramai orang China yang memilih untuk mempunyai seorang anak kerana bimbang kemampuan mereka membesarkan anak lebih daripada seorang. Penalti yang dikenakan ke atas mereka yang ingkar juga sangat berat. Sesiapa yang ditangkap perlu membayar yuran pampasan sosial. Pampasan itu boleh mencecah di antara empat hingga sembilan kali pendapatan tahunan keluarga, bergantung kepada wilayah dan pilihan biro perancang keluarga di sesebuah kawasan.

HILANG HAK

Ibu bapa yang terikat dengan pekerjaan dengan pihak pemerintah boleh kehilangan jawatan atau diturunkan pangkat. Pada masa yang sama, anak yang lahir 'di luar rancangan' itu pula akan dinafikan faedah pendidikan dan kesihatannya. Mereka yang tidak bekerja dengan pihak pemerintah China mungkin tidak begitu bimbang berbanding mereka yang bekerja dengan pihak pemerintah. Jika mereka mampu membayar yuran yang tinggi dan tidak kisah kehilangan faedah, masih terdapat perkara-perkara lain yang menghalang mereka daripada mempunyai anak tambahan. Terdapat kemarahan yang membuak-buak apabila polisi ini dilihat lebih memihak kepada golongan kaya, tetapi orang biasa tidak dapat melakukan apa-apa memandangkan dasar ini adalah dasar tertutup sejak kepimpinan komunis di Beijing. Pada tahun 2007, pegawai-pegawai di pantai Zhejiang pernah mengugut mahu memalukan keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak, tetapi kempen itu tidak pernah mendapat kelulusan. Kemungkin kerana ia akan mencemarkan reputasi pihak atasan di negara itu.

Golongan yang paling teruk menerima ugutan ini ialah ibu bapa di bandar, kelas menengah dan berjawatan dalam Parti Komunis, berkedudukan dalam bidang pendidikan atau pekerjaan dalam industri yang dikendalikan oleh pemerintah negeri. Li Yongan misalnya, dia diperintah membayar 240,000 yuan (RM119,830) selepas anaknya dilahirkan pada tahun 2007 kerana dia sudah pun mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 13 tahun. Selepas enggan membayar yuran, Li dinafikan pendaftaran permit isi rumah untuk anaknya sekali gus memaksanya untuk membayar yuran pendaftaran tadika sebanyak tiga kali ganda. Beliau juga dihalang daripada mengajar fizik di sebuah universiti di Beijing. "Saya tidak pernah menyesal kerana memiliki anak kedua, tetapi saya mengalami kemurungan dan penuh kemarahan bertahun-tahun lamanya," kata Li yang kini terpaksa berjuang untuk melangsungkan hidupnya sebagai seorang guru catur bebas. Dalam diam-diam, ramai yang mencari jalan untuk mengelak daripada dihukum. Antaranya membayar rasuah atau memalsukan dokumen. Sebagai contoh, anak kedua didaftarkan sebagai kembar adik-beradik yang lebih tua.

Kadang-kadang bayi kedua didaftar kepada saudara-mara yang tidak mempunyai anak atau keluarga luar bandar yang dibenarkan untuk memiliki anak kedua tetapi tidak berbuat demikian. Weiping, mengakui dia tidak pernah berniat melanggar peraturan satu anak itu. Dia menjalani rawatan kesuburan untuk hamil anak pertamanya, iaitu seorang bayi perempuan yang dinamakan Le Le atau kegembiraan apabila diterjemah. Jadi, dia terkejut apabila doktor memberitahu Weiping hamil sekali lagi pada Ogos 2008. Menurut Weiping, pada awalnya, berita itu mencetuskan perang dingin antara dia dan suaminya. Selepas beberapa minggu, suaminya dapat menerima hakikat tersebut. Namun, pegawai-pegawai perancang keluarga tetap mendesak pengguguran. Begitu juga dengan pengetua sekolah Wu. Di rumahnya di pinggir Zhuji, hab tekstil yang mengambil masa beberapa jam dari selatan Shanghai, bekas guru sekolah tinggi itu menceritakan dia terpaksa menceraikan suaminya, kemudian berkahwin dengan sepupunya keesokan hari.

SELAMATKAN BAYI

Weiping berkahwin dengan sepupu yang pernah dijaga dan dibesarkannya. Sepupunya berusia 25 tahun iaitu 10 tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan itu bertujuan menyelamatkan bayi. Perceraian itu berlaku pada 27 September 2008 melibatkan tandatangan dokumen dan bergambar. Ia berlaku hanya dalam beberapa minit. Perkahwinan pada hari berikutnya juga sesuatu yang pantas. "Saya masih ingat dan amat gembira pada hari itu," kata Weiping memegang sijil perkahwinan keduanya. "Saya lakukan semua ini kerana saya fikir saya menemui satu cara terbaik untuk menyelamatkan bayi saya." Tetapi masalah itu tidak selesai. Apabila pasangan pengantin memohon untuk mendapatkan permit kelahiran, pegawai-pegawai memaklumkan kepada mereka kehamilan sepatutnya berlaku selepas perkahwinan kedua.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.


SUMBER
HARIAN KOSMO

ISU ANTARABANGSA : KETAGIH ARAK BERACUN


Mafizur Jamadar seperti lelaki-lelaki lain yang terdesak di India. Negaranya yang mundur menyebabkan rakyat di negara itu sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup. Di kampungnya di Garijala, Sangrampur yang terletak di Bengal Barat, Jamadar sukar memperoleh pekerjaan. Lantas, dia memutuskan untuk bekerja di Kolkata yang jaraknya kira-kira 30 kilometer (km) dari kediamannya. Setiap hari, dia akan menaiki kereta api ke sana. Sebaik habis waktu kerjanya, dia tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, Jamadar akan singgah di salah sebuah kedai samsu haram yang tumbuh melata di Bengal Barat. Dia cuma perlu membayar 60 sen untuk mendapat seliter samsu haram. Namun, rutin Jamadar berakhir Selasa lalu. Kelibat lelaki berumur 30 tahun itu langsung tidak kelihatan. Ibu Jamadar bagai sukar menerima hakikat melihat sekujur tubuh anaknya yang tidak bermaya di sisinya. Ratapan wanita itu semakin sukar dikawal apabila dia bersama cucu-cucunya terpaksa menunggu giliran untuk mengebumikan Jamadar. “Dia (Jamadar) sampai di rumah seperti biasa, makan dan kemudian masuk tidur.

Hari esoknya, dia muntah dan rasa pening. Kami bawa dia ke hospital di Diamond Harbor. Dia kemudian dipindahkan ke Kolkata tapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” imbasnya pada satu wawancara dengan BBC News baru-baru ini. Itu merupakan salah satu kisah sedih mangsa arak beracun di Kolkata. Namun, atmosfera di Bengal Barat sejak minggu lalu sangat genting dan menakutkan. Tangisan mendominasi pendengaran. Mayat mangsa yang ditampal pelekat nama pada dahi terdampar di pekarangan hospital. Lebih meruntun perasaan, sesetengah kampung tidak cukup kakitangan untuk membakar mayat. Hospital di Kolkata menjadi kelam- kabut. Rumah sakit itu dilaporkan telah kehabisan ubat-ubatan hingga terpaksa meminta waris mangsa membeli ubat di luar. Salah seorang kakitangan hospital, Chiranjit Murmu memberitahu, terdapat ramai lagi mangsa yang mati di rumah tetapi tidak dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. “Di kampung-kampung pula ada yang takut pergi hospital gara-gara takut ditangkap polis kerana membeli samsu haram,” keluh seorang lelaki tua.

HARGA MURAH

Setakat artikel ini ditulis, kematian akibat keracunan samsu haram beracun mencecah sehingga 170 orang. Pihak berkuasa telah menjalankan tangkapan dan memusnahkan berdozen-dozen kilang penyulingan di lebih 10 buah kampung. Antara perkampungan yang terbabit ialah Sangrampur, Magrahat, Usthi dan Mandirbazar yang terletak di daerah South 24 Parganas di Bengal Barat. Angka itu dipercayai akan meningkat, beritahu Pengarah Kesihatan Bengal Barat, Shyamapada Basak. Rentetan itu, Pengarah Besar Polis Bengal Barat, Surojit Kar Purokayashta mengisytiharkan perang besar-besaran ke atas dalang di sebalik industri pembuatan samsu haram ini. Polis kata Purokayashta, telah menahan 12 suspek setakat ini. “Kita sedang menjejak lelaki yang bernama Khonra Badsha. Dia dikatakan orang kuat di sebalik penjualan arak palsu di negeri ini sini,” katanya. Agensi berita AP melaporkan, kebanyakan mangsa merupakan penduduk miskin yang bekerja sebagai buruh kasar harian, penjaja jalanan dan pemandu lanca. Bengal Barat yang bersempadan dengan negara Bangladesh dan mempunyai 19 daerah dihuni kira-kira 91 juta penduduk. Negeri ini kaya dengan hasil pertanian tetapi sebahagian besar rakyatnya tidak berpelajaran dan hidup melarat.

Kemiskinan yang memberi tekanan ekonomi telah mendorong penduduk di kawasan setinggan dan luar bandar menghidupkan industri samsu haram. Lebih malang, ia bukan sahaja beroperasi secara haram tetapi penghasilan samsu yang dijual pada harga murah telah dilakukan secara membabi buta. Kepada penduduk kelas bawahan yang tidak mampu membeli jenama arak berkualiti, mereka tiada pilihan lain selain membeli samsu serendah 60 sen seliter di lokasi-lokasi haram di Bengal Barat. Meskipun hambatan agama melarang budaya minum samsu haram, India tidak berupaya menafikan bahawa lima peratus daripada 60 juta rakyatnya dikatakan mengamalkan tabiat tidak sihat itu. Menyokong fakta itu, penyelidikan Indian Alcohol Policy Alliance merekodkan, satu hingga dua individu disahkan mati dalam jangka masa seminggu akibat meneguk samsu haram. Apabila dunia hangat memperkatakan tentang kes keracunan samsu haram di Bengal Barat, pihak berkuasa tempatan lantas menjalankan kajian forensik terhadap kandungan minuman yang memabukkan itu. Majistret Narayan Swarup Nigap mendedahkan, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas 20 mangsa berjaya mengesan campuran metanol iaitu sejenis alkohol yang sangat beracun dalam arak yang diminum.

RISIKO BUTA

“Selain digunakan untuk melarut dan mengelakkan minuman cepat beku, metanol telah ditambah untuk meningkatkan kadar kandungan alkohol,” jelas Nigap yang jelas cukup kecewa dengan kejadian yang meragut nyawa orang miskin dan menyukarkan lagi kehidupan wanita yang bergelar janda itu. Dalam pada itu, Dr. Bob Patton dari Jabatan Ketagihan, Institut Psikiatri di Kolej King London memberitahu, penggunaan 10 mililiter (ml) metanol dalam air boleh menyebabkan seseorang buta. Sesiapa juga boleh maut sekelip mata jika terminum alkohol yang dicampur dengan 30 ml metanol. “Apabila seseorang minum arak yang telah dicemari dengan bahan kimia bahaya itu, dia akan dapat simptom muntah, pening kepala, sakit perut, berbuih di mulut dan sawan sebelum mati,” katanya. Kematian ratusan mangsa dalam masa beberapa hari sahaja telah membongkar banyak muslihat. Penulis buku tentang alkohol di negara itu, Aniruddha Mookherjee telah membuat pendedahan yang mengejutkan. Mookherjee mendakwa, terdapat keterlibatan pihak polis termasuk parti politik dalam mengawal dan menggerakkan industri samsu haram di India. “Kerajaan negeri mengawal bisnes minuman keras di India. Di kebanyakan negeri, minuman keras dihasilkan oleh kumpulan yang dilantik khas yang punya kepentingan dengan ahli politik.

“Minuman keras dijual secara berleluasa di kedai-kedai kerajaan di Delhi tetapi di Bengal Barat itu tidak berlaku,” katanya sambil mengakui permintaan untuk minuman keras sangat tinggi di negara itu dan pelanggan harus menggunakan kata kunci tertentu untuk membeli minuman keras jenis itu. Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banarjee turut meluahkan kegusaran. Katanya, pertalian antara ahli politik dengan pengusaha samsu haram telah menyulitkan usaha polis membanteras jenayah ini. Seorang lelaki yang terlibat dalam industri arak secara gelap memberitahu BBC News, bisnes di daerah Gocharan misalnya, dimonopoli oleh seorang lelaki yang sangat tamak yang sanggup mencampurkan racun perosak dalam minuman keras untuk menghasilkan rasa yang lebih enak. “Minuman keras itu dibungkus dalam tin dan disalur ke semua daerah dan di sesetengah negeri ia dihantar melalui bas atau kereta api. Peruncit kemudian menjualnya secara bungkus,” katanya berterus-terang. Masalah ini dilihat seperti sukar menemui titik noktahnya. Bagaimanapun, untuk melegakan hati rakyat yang sedang berkecemuk, kerajaan berjanji akan menyediakan pampasan kepada setiap mangsa. Namun, ramai yang sangat skeptikal. Mereka sukar untuk mempercayai dan semuanya dianggap sebagai janji manis belaka. “India sememangnya susah untuk mengelak daripada gejala rasuah,” kata seorang wanita dengan nada penuh kemarahan.

SUMBER
HARIAN KOSMO

29 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : PERSPEKTIF AKADEMIK PERKARA 153

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor dan bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


Artikel ini disedut daripada penyelidikan akademik dengan hipotesis bahawa pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan boleh mencetuskan ancaman keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan negara jika ditafsirkan menerusi perspektif yang serong dan sempit. Ini kerana Malaysia, sebuah negara bangsa di era pramerdeka telah ditransformasikan menjadi negara majmuk di era merdeka; sementara bangsa Melayu dan bumiputera sebagai penduduk asal, serta keturunan Cina, India dan lain-lainnya selaku golongan migran di era pramerdeka telah digemblengkan menjadi warganegara dengan nasionaliti yang sama, menerusi kuasa Perlembagaan Persekutuan pada 15 Ogos 1957. Hakikat ini menyebabkan Malaysia sentiasa terdedah kepada pelbagai elemen konflik (Buzan 1991:72), dicirikan oleh konflik etnik (Marger 2003:6), dan berkemungkinan dicengkam keadaan tidak selamat (Kaufman 2008:201).

Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera dimaktubkan ke dalam Perlembagaan negara berdasarkan mandat utama Ratu Inggeris dan Raja-Raja Melayu kepada Suruhanjaya Reid - mewujudkan a common nationality for the whole of the Federation and the safeguarding of the special positions of the Malays and the legitimate interests of other communities. Suruhanjaya Reid juga mendapati kedudukan istimewa Melayu memang sentiasa diiktiraf di dalam pelbagai perjanjian antara pihak British dengan Negeri-Negeri Melayu. Hakikat ini juga termaktub di dalam The Federation Agreement 1948 di mana Pesuruhjaya Tinggi British dipertanggungjawabkan dengan pemeliharaan keistimewaan Melayu dan kepentingan sah lain-lain bangsa. Huraian ini bermaksud pemaktuban Perkara 153 bukan diperjuangkan oleh Perikatan. Sebaliknya, kerana peruntukan yang sama termaktub di dalam Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu dan The Federation Agreement 1948. Ini disahkan oleh Lennox-Boyd selaku Setiausaha bagi Tanah Jajahan British seperti berikut:

The special position of the Malays was recognised in the original treaties made by His Majesty in previous years, and Her Majesty Queen Victoria and others with the Malay States. It was reaffirmed when these treaties were revised. It was confirmed in The 1948 Agreement, and reference was expressly made to it in the terms of reference of the Reid Commission. So the Malay privilege clauses in the articles of the Constitution do not, in the main, introduce any precedent, but give recognition in the Constitution to the existing situation. The Reid Commission found very little opposition in any quarter in Malaya to the continuance of the present system for a time (ibid:12 Julai 1957). R. H. Hickling (1979) pula menegaskan, pemaktuban Perkara 153 adalah berkait rapat dengan tahap kemiskinan bangsa Melayu di era penjajah. Huraian ini boleh difahami dengan lebih jelas menerusi pelbagai perangkaan mengenai tahap ekonomi di Tanah Melayu pada di era penjajahan. The Deptartment of Statistics (1958-1960) menegaskan, etnik Cina pada ketika itu [pada tahun 1957] menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan.

Ling Liong Sik (1995:3) menyatakan, seawal tahun 1937, pelaburan etnik Cina di Malaysia adalah sebanyak AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta. Gomez & Jomo (1997:14-15) menegaskan, pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus (%) hingga 75% perdagangan eksport dan 60% hingga 70% perdagangan import [di Tanah Melayu]; syarikat-syarikat etnik Cina menguasai 10% daripada agensi eskport; syarikat etnik India menguasai 2% daripada perdagangan berkenaan; orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. Dalam konteks di atas Faaland, Parkinson & Rais Saniman (2000:16-17) menegaskan seperti berikut: Orang Melayu menganggap peruntukan [Perkara 153] sebagai sesuatu yang suci, manakala setengah-tengah orang bukan Melayu mempersoalkan sama ada peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hinggakan pada hari ini.

Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, makna peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju. Sebagai balasan kerana diberikan kelebihan begini, orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan. Dengan kata lain, Perlembagaan mengadakan peruntukan khas untuk orang Melayu, manakala warganegara bukan Melayu mempunyai haknya yang dijamin di bawah Perlembagaan (ibid). Tan (1987:251) pula menegaskan, Perkara 153 sebenarnya mempunyai "careful balancing which has important bearing not only on social justice but even ethnic relations is also reflected in the provision for Malay reservations." Beliau mengetengahkan dua contoh khusus - pertamanya mengenai Perkara 153(9) yang memaktubkan "tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak."

Keduanya mengenai tanah simpanan Melayu. Tan memetik Perkara 89(2)(a) yang memaktubkan "jika mana-mana tanah di sesuatu negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hak milik umum." Huraian Faaland et al. (2000) dan Tan (1987) membuktikan Perlembagaan Persekutuan adalah adil kepada seluruh warganegara Malaysia. Lantas adalah meleset untuk mana-mana pihak mentafsirkan Perkara 153 sebagai peruntukan yang menindas rakyat bukan Melayu. Demikianlah latar belakang pembentukan Perkara 153 yang telah dikaji oleh Suruhanjaya Reid, Perikatan dan Jawatankuasa Kerja Tripartite dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan Perikatan, Raja-Raja Melayu dan Kerajaan British. Kesimpulannya, Perkara 153 adalah peruntukan yang dimaktubkan secara teliti dan profesional bagi mengiktiraf sejarah dan jati diri bangsa Melayu dan bumiputera di tanah air asal mereka yang dikenali sebagai Tanah Melayu. Tafsiran sempit dan serong terhadap peruntukan ini boleh menyemarakkan sentimen perkauman dan berpotensi mencetuskan konflik etnik yang mengancam keselamatan masyarakat, keselamatan nasional dan kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang kini aman, damai, makmur dan sejahtera.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 DISEMBER 2011

ISU FILEM : LPF TUTUP KEDAI, HILANGNYA OZON HIBURAN

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS


Lembaga Penapis Filem (LP F) dikatakan tidak akan menapis lagi filem yang bakal ditayangkan di panggung wayang mulai tahun hadapan. Kemajuan dunia siber hari ini memberi cabaran yang hebat kepada lembaga ini untuk menjadi penapis yang berkualiti. Apa guna menapis di depan tetapi di belakang adegan tapisan boleh ditonton. Di panggung wayang, gambar boleh dikawal tetapi melalui pengedaran cakera video digital (DVD) semuanya boleh ditonton tanpa ditapis walau sebesar hama. Idea untuk penerbit menapis sendiri, dari satu segi boleh dijustifikasikan kerana ledakan media baru hari ini. Namun impak kepada masyarakat jangan dilupai. Penggiat filem tempatan yang selama ini memberi komen, LPF menyekat kreativiti mereka diharap menggunakan peluang tersebut. Sesungguhnya lapisan 'ozon' hiburan yang bukan sahaja menipis malah sudah lupus akan menjadikan bahang sensitiviti semakin mendekat audiens yang merupakan rakyat Malaysia - majoritinya beragama Islam dan mengamalkan adat budaya ketimuran.
Kebebasan apabila terlalu banyak ia menjadikan kreativiti tidak mempunyai sempadan, seakan-akan pintu empangan hidro dibuka menyebabkan air berlebihan melimpah. Begitulah keadaan, jika tiada garis panduan dikeluarkan maka wujudlah situasi pembuat filem bakal disaman dan diheret ke mahkamah kerana mengganggu sensitiviti sesuatu kelompok. Filem kita wajah kita, sebagaimana tema penganjuran sebuah festival filem tempatan mungkin akan menjadi 'filem kita wajah buruk kita'. Di Hollywood, kebebasan membuat filem diterjemahkan dengan pembikinan filem yang berteknologi tinggi dengan kesan-kesan khas tidak lagi bergantung kepada pelakon-pelakon stunt yang berhati kering. Kita tidak mahu penerbit filem membuat tapisan sendiri dengan mentafsir adegan seks sebagai suatu syarat filem boleh jual. Hari ini ada penerbit filem berpandangan hanya filem seram mampu mengembungkan kantung penerbit filem. Maka filem seperti aksi hebat Agent IMF Ethan Hunt dalam Mission Impossible 4-Ghost Protocol mungkin tidak akan dihasilkan oleh penerbit di negara kita.

Dengan kos jutaan dolar sudah pasti penerbit kita lebih berminat untuk menghasilkan lebih ramai hantu sebagai bintangnya. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan perlu membeli alat solek tebal untuk 'mencantikkan', cukup dengan tiga warna asas hitam, putih dan merah untuk warna darah. Dalam tahun 1970-an di zaman penerbitan filem di Studio Merdeka Hulu Kelang sebuah filem bertajuk Terbabas telah mempamerkan adegan erotik yang menonjolkan payudara sebagai sebahagian jalan cerita. Walaupun ia ada kena mengena dengan jalan cerita bersangkut paut pelanggaran ajaran agama Islam ia memberi impak bahawa jika Hollywood boleh mengapa kita tidak boleh. Soalnya, adakah adegan ghairah mampu menjual filem atau ia menggadai moral pelakon itu sendiri. Sebaik-baiknya satu garis panduan diumumkan oleh kerajaan kerana filem bukan sahaja melibatkan Kementerian Dalam Negeri malahan melibatkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama Islam) malahan isu perfileman akan menyebabkan ia didebatkan hingga ke peringkat Dewan Rakyat.

Cukup-cukuplah isu buang bayi dan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), sepatutnya LPF diperkasakan bukannya dibinasakan. Filem mampu menajamkan minda dan juga merosakkan minda jika salah dihayati tanpa tapisan berkualiti. Adakah kita mahu tahun 2012 dipenuhi dengan isu perfileman semata-mata, sedangkan urusan rakyat yang lain perlu diberi perhatian juga. Dalam situasi ozon hiburan genre filem semakin menipis dan terhakis, pengarah dan penerbit filem memerlukan garis panduan yang terperinci dari segala segi merangkumi aspek agama, moral, budaya, undang-undang dan sensitiviti pihak tertentu agar kebebasan berkarya tidak disalah tafsir hingga mewujudkan banyak lompong dalam ketelusan kerajaan memberi kebebasan untuk karyawan filem meluahkan idea mereka. Justeru, pihak berwajib perlu segera memastikan garis panduan tersebut dapat diwujudkan agar tiada penerbit akan berkata, no sex no taxes (tak ada seks tak dapat mereka membayar cukai kepada kerajaan).

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 DISEMBER 2011

28 Disember 2011

ISU UMUM : HADIAH MALAYSIA UNTUK DUNIA

Penulis ialah Profesor Ulung di UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN).


Dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Melampaui batasan semua agama, tanpa disedari kita telah membenarkan suara-suara sumbang golongan serpihan menenggelamkan banyak suara rasional dan munasabah." Perdana Menteri mengagaskan Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of the Moderates - GMM) merentasi semua kepercayaan "untuk melawan dan menyisihkan pelampau yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan mereka melalui sifat prasangka dan berat sebelah." Beliau menyebut 'keseimbangan' yang dicapai di Malaysia sebagai satu contoh yang membawa kepada kesederhanaan atau wasatiyyah dalam tradisi keadilan bersama dalam Islam. Di East-West Centre, Hawaii bulan lalu, beliau mengumumkan sebuah persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 sehingga 19 Januari, tahun hadapan.

Apa yang membimbangkan masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia adalah apabila perilaku ganas pelampau diangkat ke taraf gerakan sosial yang lebih besar atas justifikasi sejarah, agama, ekonomi dan politik, yang akhirnya telah mengorbankan ratusan ribu nyawa mereka yang tidak berdosa. Untuk kembali kepada kesederhanaan adalah sesuatu yang rasional dan logik malah sangat mustahak dari moral, perilaku dan peradaban. Persoalannya siapakah yang bakal menjuarai "kesederhanaan" di pentas global. Perdana Menteri kita dan juga Malaysia sekarang merupakan juara dan peneraju inisiatif bermakna ini dalam politik global. Jika diterima pakai secara global, Malaysia mampu mentakrif semula dan mentransformasi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan memimpinnya dalam bentuk baru dengan nama baru, iaitu, GMM. Seimbas pandang, usaha ini kelihatan seperti mudah, rasional dan suatu agenda yang munasabah untuk sebuah gerakan besar. Namun begitu, menyempurnakan tugas ini melibatkan perancangan diplomatik yang kompleks dan realpolitik yang halus.

Saranan mengenai GMM ini telah disokong di Mesyuarat Asia-Eropah (ASEF) kali ke-8 di Brussels pada tahun lalu dan Communique Akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 pada tahun ini, yang menyatakan komitmen untuk menambah baik keadaan keselamatan dunia dengan mengambil beberapa langkah, salah satunya adalah "menghayati kesederhanaan sebagai nilai penting untuk mengatasi segala bentuk ekstremisme, sebagaimana disarankan oleh "Gerakan Kesederhanaan Global". Sesuailah untuk istilah wasatiyyah digugurkan daripada digunakan. Biarpun betapa penting istilah ini, khususnya dari segi politik domestik, namun adalah tidak bijak untuk kita terus menggunakannya sebagai saingan kepada istilah "moderate', yang sudah diterima pakai di pentas antarabangsa. Diharapkan Seminar Kebangsaan Mengenai Pemahaman Wassatiyyah dan 1Malaysia, pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu, harus menjadi acara terakhir bagi istilah wasatiyyah digunakan dan dikaitkan dengan dengan promosi GMM.

Kehadiran istilah wasatiyyah sebagai tandingan kepada moderate akan mencairkan impka GMM kerana orang akan tertanya-tanya, apakah ini GMM atau GWM (Global Wasatiyyah Movement). Yang jauh lebih penting lagi untuk segera dilaksanakan ialah pengisian konseptual GMM yang boleh difahami dan dihayati oleh rakya Malaysia dari semua lapisan dan juga rakyat serta pemimpin seantero dunia. Perdana Menteri percaya bahawa keseimbangan wujud dalam masyarakat Malaysia "yang membawa kepada kesederhanaan bukan wasatiyyah". Para 'pemikir' yang mendampingi Perdana Menteri tentunya telah bersedia untuk menghurai perkara-perkara yang berikut yang pokok kepada GMM. Pertamanya, konsep keseimbangan itu perlu diperjelas. Kedua, kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia selama ini untuk mencapainya juga perlu digariskan satu-persatu. Ketiga, langkah praktikal yang telah dilaksanakan untuk membina dan mengekalkan keseimbangan tersebut perlu diperturunkan.

Keempat, penjelasan bagaimana pemantauan dilakukan terhadap impak setiap amalan praktikal telah menghasilkan keseimbangan itu. Kelima, cara menilai kejayaan, kegagalan dan akibat yang tidak dijangka daripada kegiatan untuk mencipta kestabilan tersebut. Keenam, menyediakan suatu pakej komprehensif yang bermanfaat mengenai cara keseimbangan ini akhirnya tercapai, contohnya, yang boleh diguna dan mudah difahami dari peringkat pra-sekolah ke universiti, sebagai prosedur untuk digunapakai oleh masyarakat, secara global. Yang paling utama sebenarnya adalah untuk kita menjelaskan asal-usul dan prasyarat kewujudan keseimbangan sosial yang terdapat hari ini di Malaysia yang pula berjaya membuahkan kesederhanaan yang telah diperagakan oleh Perdana Menteri kita ke seluruh dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011