JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 April 2011

ISU SOSIAL : DASAR JAMINAN BEKALAN MAKANAN RANGSANG PENGELUARAN

Oleh Ridzuan Yop dan Azrul Affandi Sobry
bhnews@bharian.com,my
BERITA HARIAN, 09 APRIL 2011


Stok penimbal beras negara ditetapkan pada tahap 292,000 tan dan boleh bertahan selama 45 hari jika Malaysia berdepan krisis makanan. Namun jika mengambil kira pegangan semua stok beras yang membabitkan pegangan stok, BERNAS, pemborong dan pengilang dalam satu-satu masa, jumlah beras dalam negara melebihi 700,000 tan dan jumlah ini mampu menampung keperluan beras dalam negara untuk tempoh tiga hingga empat bulan. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah melaksanakan Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) 2008-2010 akibat daripada kenaikan harga minyak serta krisis bekalan makanan yang berlaku pada awal 2008.  Terdapat lapan program utama dilaksanakan meliputi peningkatan hasil pengeluaran padi, penambahan stok penimbal beras, peningkatan pengeluaran produktiviti melalui Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan ternakan lembu dan kambing, pemberian insentif pengeluaran, pengukuhan pemasaran, program Bumi Hijau, pengurusan tanah terbiar dan elaun sara hidup bagi nelayan.

Berdasarkan kajian impak pelaksanaan, program DJBM didapati berjaya merangsang peningkatan pengeluaran makanan yang mana jumlah pengeluaran sektor agro makanan meningkat kepada 8,949 tan pada 2010 berbanding, 8,125 tan pada 2008 iaitu kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.1 peratus. Menterinya, Datuk Seri Noh Omar, berkata walaupun kerajaan berjaya memastikan penduduk memperoleh bekalan makanan yang mencukupi ketika krisis makanan global pada 2008 melalui pelaksanaan DJBM, kerajaan masih berhati-hati dengan isu jaminan bekalan makanan atau ‘food security’.  Noh berkata, ia berdasarkan persekitaran baru pada peringkat dunia yang diramal akan menjejaskan pengeluaran makanan dan biodiversiti global iaitu, peningkatan harga makanan dunia, peningkatan harga input pertanian dan pertambahan penduduk dunia.  Katanya, selain itu ia turut membabitkan perubahan kepelbagaian diet yang ketara, peningkatan penggunaan komoditi makanan untuk biotenaga dan perubahan iklim dunia yang mengakibatkan bencana alam seperti banjir dan kemarau.

“Dengan mengambil kira senario peringkat global beberapa dasar kerajaan seperti Model Baru Ekonomi (MBE) dan Pelan Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan, beberapa strategi juga sudah dirangka dalam Dasar Agromakanan bagi tempoh 2011-2020 untuk menjamin bekalan makanan dalam negara terjamin,” katanya. Beliau berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Projek Berimpak Besar iaitu Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Zon Industri Akuakultur (ZIA), Pusat Fidlot Nasional, Ladang kontrak dan Pembangunan Usahawan Asas Tani serta projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian bagi meningkatkan pengeluaran sektor tanaman, ternakan dan perikanan. Katanya, kerajaan akan membangunkan tanah pertanian secara optimum dengan tanaman selingan singkat masa seperti pisang, nanas dan tembikai di kawasan tanaman semula kelapa sawit dan integrasi kelapa sawit dengan ternakan.

Noh berkata, kerajaan juga akan membangunkan sistem rantai bekalan makanan yang lebih terangkum dan kukuh dengan pembabitan kerajaan, swasta serta petani, penternak dan nelayan bagi menghubungkan pengeluaran dengan permintaan pasaran. “Tumpuan juga akan diberikan kepada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengeluaran makanan secara mampan termasuklah pembangunan varieti dan baka, pengeluaran benih, pengeluaran makanan ternakan dan akuakultur, bioteknologi seperti teknologi ‘omics’ dan bioproses, mekanisasi dan automasi, sistem pengeluaran di bawah ‘modified environment’, kaji penyakit, piawaian dan gred serta pemuliharaan sumber dan teknologi hijau. Katanya, usaha meningkatkan pembabitan swasta akan dibuat menerusi galakan pelaburan untuk menambah kapasiti pengeluaran dan sistem pengeluaran berteknologi tinggi.

Pihak swasta juga digalakkan untuk menubuhkan konsortium atau syarikat peneraju bagi mengendalikan pengeluaran dan pemasaran untuk kumpulan sasar melalui ladang kontrak dan pakatan strategik. “Kerajaan akan membenarkan pelabur swasta untuk membuat pelaburan di luar negara secara timbal balik bagi pengeluaran komoditi utama makanan yang dikenal pasti. Pelaburan timbal balik ini akan membantu meningkatkan sekuriti bekalan makanan dalam negara khususnya dalam menghadapi situasi krisis makanan dengan hasil keluaran pertanian dibawa balik secara langsung atau sebagai produk akhir untuk kegunaan tempatan,” katanya. Noh berkata, Dasar Agromakanan sedang diselaraskan dengan Dasar Komoditi Industri oleh Unit Perancang Ekonomi sebagai Dasar Pertanian Negara Keempat. Beliau berkata, objektif utama DJBM adalah untuk meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agromakanan, memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan serta memastikan pengusaha pertanian mendapat pulangan yang setimpal bagi menjamin pengeluaran bahan makanan berterusan.

Katanya, program DJBM juga bermatlamat meningkatkan hasil pengeluaran padi, penambahan stok penimbal beras, peningkatan pengeluaran produktiviti melalui TKPM, ZIA dan ternakan lembu dan kambing, pemberian insentif pengeluaran, pengukuhan pemasaran dan agihan hasil pertanian, program Bumi Hijau, pengurusan tanah terbiar dan elaun sara hidup bagi nelayan. “Selain daripada strategi yang digariskan itu, kementerian juga mengambil beberapa pendekatan lain bagi menangani kenaikan harga makanan iaitu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengemukakan input berkenaan faktor yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga pasaran khususnya kepada harga produk pertanian keluaran tempatan di peringkat ‘ex-farm’. “Pendekatan ini akan dijalankan melalui pengumpulan data bagi bahan makanan tertentu yang sering kali mengalami kenaikan harga seperti ayam dan ikan. Maklumat ini akan disalurkan terus kepada KPDNKK agar maklumat yang tepat berkenaan punca kenaikan harga dapat dijelaskan dengan lebih tepat,” katanya. Beliau berkata, bagi bahan makanan yang tidak dikeluarkan dalam Malaysia seperti bawang dan lain-lain, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diminta untuk mewujudkan stok bekalan bahan terbabit.

Tiada ulasan: