JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 April 2011

ISU SOSIAL : MELAHIRKAN GENERASI BERINTEGRITI TINGGI

Oleh ROHANA MAN
Utusan Malaysia, 26 April 2011


Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 telah menampakkan banyak hasil yang positif walaupun tiada kajian dilakukan untuk mengukur tahap integriti penduduk negara ini. Kesan nyata yang dapat dilihat adalah masyarakat sekarang lebih bersikap terbuka dan berani melaporkan kejadian jenayah sama ada rasuah, buang bayi dan lain-lain. Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd Tap Salleh berkata, ekoran sikap itu juga maka banyak kes-kes jenayah rasuah dan buang bayi dilaporkan dari semasa ke semasa. Daripada laporan yang diterima maka kita melihat seolah-olah statistik jenayah meningkat sedangkan pertambahan itu berlaku kerana adanya laporan media mengenainya.

"Mungkin ada pihak akan berkata kenapa kes rasuah bertambah, kenapa kes buang bayi meningkat. Jadi, timbul persoalan adakah semua tindakan PIN yang telah diambil itu tidak efektif?," katanya dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO), Datuk Ramani Gurusamy. Mohd Tap menjelaskan, peningkatan kes berlaku kerana masyarakat sekarang lebih berani tampil melaporkan kes-kes berkenaan. Berbanding dahulu, orang ramai enggan melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mungkin tidak mahu dituduh 'suka jaga tepi kain orang'. "Saya melihat statistik kes tidak bertambah, tetapi laporan di media yang meningkat.

Sebab itu kita lihat seolah-olah kes-kes seumpama itu meningkat," ujarnya. Beliau berpendapat, perubahan sikap masyarakat itu adalah satu perkembangan yang positif kerana adanya check and balance terhadap sesuatu perkara. Keadaan itu katanya, akan membuatkan seseorang individu berfikir banyak kali untuk melakukan sesuatu jenayah. Mohd Tap juga berkata, banyak tindakan telah diambil oleh IIM untuk meningkatkan integriti masyarakat dan ia dilakukan melalui seminar, bengkel dan aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Semua tindakan itu katanya telah menjadi perbualan masyarakat, justeru mesej program yang dianjurkan itu dapat disampaikan dari mulut ke mulut. Antara aspek yang kerap menjadi perbincangan yang menghasilkan tindakan adalah nilai-nilai murni dalam kepimpinan di semua peringkat sama ada di sekolah mahupun sektor awam.

Selain itu, katanya, faktor-faktor lain yang bersangkut paut adalah persekitaran yang berubah, keadaan ekonomi yang mencabar, pertambahan jenayah lain dan peningkatan pengangguran. "Kesemua faktor-faktor itu saling berkaitan dan jika kita mahu integriti penduduk negara ini berada pada paras yang tertinggi, maka keluarga terutama golongan ibu perlu memainkan peranan masing-masing," tambahnya. Menurutnya, ibu memainkan peranan penting dalam menyemai nilai-nilai murni di dalam jiwa anak-anak, selain peranan guru, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kerajaan sendiri. Ini kerana katanya, anak-anak lebih rapat dengan ibu, berbanding dengan bapa. Justeru, bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terutama wanita dalam mempertingkatkan integriti, IIM akan menganjurkan Seminar Integriti Kepimpinan Wanita bertemakan Pemerkasaan Wanita Sebagai Model Peranan Dalam Integriti di IIM pada 28 April ini.

Antara lain ia bertujuan mendapatkan maklum balas tentang tekad integriti yang terdapat dalam agenda pengukuhan integriti negara, meningkatkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni dalam kalangan wanita dan mengenal pasti peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam ruang keluarga serta masyarakat untuk meningkatkan pembudayaan integriti. Salah seorang pembentang kertas kerja, Datuk Dr. Rafiah Salim yang juga Pengarah Institut Pengupayaan Wanita bagi Pergerakan Negara-negara Berkecuali NAM (NIEW) memberitahu beliau akan membentangkan kertas kerja bertajuk Kepimpinan Wanita dalam Sektor Awam: Satu Perspektif Integriti. Menurutnya, beliau akan membincangkan beberapa topik termasuk salah laku kecil dan salah laku besar yang ada kaitan dengan integriti.

Katanya, ada orang menganggap lambat datang kerja itu bukan satu kesalahan, sebaliknya perkara biasa. "Begitu juga sikap sesetengah orang yang suka menipu cuti sakit. Mereka patut menyedari bahawa duit gaji yang diperoleh sepanjang bercuti sakit atau lambat datang kerja itu adalah duit haram. "Hakikatnya, mereka tidak layak menerima gaji sepanjang bercuti sakit yang palsu itu. Jika mereka menerimanya juga, maka itu boleh dianggap sebagai mencuri," katanya. Dr. Rafiah menegaskan, bermula melakukan kesalahan kecil seperti itu, seseorang boleh melarat melakukan kesalahan besar seperti rasuah atau pecah amanah. Bersetuju dengan pandangan Dr. Mohd Tap, beliau menegaskan tindakan pertama bagi mendidik masyarakat supaya lebih berintegriti bermula dari rumah.

"Peranan ibu amat penting dalam menyemai nilai-nilai murni ke dalam jiwa anak-anak kerana anak-anak lebih rapat dengan ibu. Di sekolah pula, 70 peratus guru adalah wanita. Tiga perempat jawatan baru di PTD juga wanita. Sebab itulah, saya menekankan betapa pentingnya peranan wanita dalam melahirkan masyarakat yang berintegriti," katanya. Mengulas lanjut, katanya, peratusan wanita yang melanggar integriti yang serius adalah kurang berbanding dengan lelaki. Misalnya, daripada 62 pegawai kastam yang ditahan pada 3 April lalu, sembilan daripadanya adalah wanita. Manakala daripada lapan pegawai imigresen yang ditahan pada 7 April lalu, seorang daripadanya adalah wanita. Namun, katanya, wanita dikenal pasti mudah hilang integriti apabila ia melibatkan soal keluarga, anak dan suami. Sebab itulah, katanya ada wanita terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga anak di rumah ketika pengasuh bercuti atau menjaga ibu, bapa atau suami yang sakit.

"Mereka takut nak minta cuti, jadi terpaksalah menipu cuti sakit. Bukan sebab sengaja tetapi keadaan memaksa," ujarnya. Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu melihat isu ini dengan serius dan dicadangkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak dibuka di tempat kerja. Selain itu, katanya, keadaan sekarang juga memerlukan pusat jagaan harian orang tua diwujudkan supaya anak yang bekerja boleh menghantar orang tua mereka ke pusat itu pada waktu pergi kerja, dan mengambil mereka semula pada waktu balik kerja. "Jika ini dapat diadakan, maka saya yakin masalah wanita yang terpaksa menipu cuti sakit semata-mata mahu menjaga keluarga boleh dikurangkan," katanya. Selain itu, katanya, konsep bekerja dari rumah wajar diperluaskan supaya wanita dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah. Begitu juga, isteri mempunyai kuasa yang hebat dalam menasihatkan suami agar tidak terlibat dengan rasuah dan pecah amanah.

23 April 2011

ISU SOSIAL : ILTIZAM PERANGI DADAH

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia


LANGKAH yang diambil oleh Malaysia untuk menjadi negara bebas daripada dadah menjelang tahun 2015 sangat dialu-alukan tetapi untuk mencapainya, ia memerlukan komitmen, iltizam politik, dan penyertaan sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan guru. Sama ada matlamat ini tercapai atau tidak menjelang tahun 2015, iaitu empat tahun dari sekarang, masih menjadi tanda tanya. Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan telah membelanjakan beratus juta ringgit untuk mengatasi ancaman dadah tetapi masalah berkenaan masih jauh daripada penyelesaiannya. Malahan, ia belum menampakkan hasilnya. Perangkaan mengenai penagih dadah ini semakin membimbangkan. 

Dianggarkan lebih ratusan ribu penagih dadah telah dikenal pasti sejak tahun 1980-an sehingga kini. Berdasarkan perangkaan tersebut dapat diandaikan bahawa bagi seorang penagih dadah yang dikenal pasti, terdapat tiga hingga empat penagih dadah yang belum dikenal pasti. Adalah jelas bahawa usaha memerangi ancaman dadah tidak mampu dilakukan oleh satu pihak sahaja. Kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, badan sukarela dan pertubuhan agama, malahan ibu bapa perlu bekerjasama membantu usaha membendung masalah dadah. Masalah penagihan dadah telah menjadi musuh utama Malaysia sejak lebih dua dekad yang lalu. Malahan, ia masih menjadi masalah utama negara terutama mereka yang berusia antara 19 dan 39 tahun yang menjadikan 72 peratus penagih dadah di negara ini. 

Kebanyakan kes jenayah berlaku berpunca daripada dadah. Penyalahgunaan dadah merupakan penyebab utama berlakunya kes-kes jenayah harta benda dan keganasan di seluruh negara. Sudah sampai masanya semua organisasi, persatuan dan seluruh rakyat Malaysia bekerjasama erat dengan satu tekad iaitu untuk memerangi ancaman dadah demi untuk menyelamatkan generasi muda kita daripada menjadi hamba dadah. Kepada semua anak-anak muda yang merupakan aset yang paling besar dalam negara ini, saya ingin menasihatkan supaya mereka menjauhkan diri daripada najis dadah, bukan sahaja untuk kebaikan diri mereka sendiri tetapi juga demi masa depan negara. Oleh kerana punca utama di dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah terletak pada pencegahan, satu strategi pencegahan peringkat nasional yang melibatkan keluarga, masyarakat dan tempat kerja untuk menghapuskan masalah ini perlu diwujudkan. 

Peranan aktif ibu bapa dan masyarakat di dalam kempen untuk membasmi penyalahgunaan dadah sangat penting dan perlu dipertingkatkan sekiranya negara ingin memastikan penagihan dadah di kalangan remaja dan anak-anak muda, termasuk pelajar, tidak menjadi lebih buruk. Atas dasar keprihatinan kepada penglibatan golongan remaja dalam dadah, saya ingin memberikan nasihat dan cadangan berikut: a) Golongan belia dan remaja perlu belajar untuk menghadapi berbagai tekanan hidup harian tanpa mengambil dadah. Mereka boleh melibatkan diri dalam aktiviti rekreasi berfaedah; b) Mereka mesti bijak menangkis pengaruh rakan sebaya yang cuba mempengaruhi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang mereka tahu salah, tidak baik dan boleh membinasakan diri; c) Mereka perlu diberi didikan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan penagihan melalui seminar, bengkel, bahan bacaan dan penerbitan berkaitan. Mereka seharusnya menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah kepada rakan-rakan; d) Mereka perlu memupuk keberanian, disiplin, rasa tanggungjawab dan harga diri untuk membina masa depan diri dan negara yang lebih baik dengan menolak dadah.

UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011

ISU ALAM SEKITAR : PERLU PROGRAM MENGINDAHKAN SUNGAI KITA

Oleh MOHAMAD GHAZALI ZAINAL ABIDIN
UTUSAN MALAYSIA, 23 APRIL 2011



SUNGAI adalah antara sumber air minuman dan jika tidak dijaga dengan baik, sungai juga boleh menyebabkan bencana besar kepada diri, keluarga mahupun negara seperti banjir. Seringkali banjir yang melanda ibu kota dan kawasan pedalaman akibat limpahan air yang tersekat alirannya kerana terhalang oleh timbunan sampah yang dibuang oleh masyarakat yang tidak mempunyai keprihatinan. Namun, kita yakin bahawa kewujudan pelbagai teknologi baru dan canggih dapat menjaga dan menjadikan air sungai di seluruh negara kita bersih dan selamat. Baru-baru ini, penulis berkunjung ke Korea Selatan untuk melihat sendiri keindahan dan kecantikan sungai di sana. Daripada maklumat yang diperoleh, kerajaan Korea Selatan telah memulakan projek memulihkan sungai-sungai utama di negara itu sejak Julai 2009 dengan membelanjakan kira-kira AS$17 bilion dan ia adalah projek untuk lima tahun. Lebih daripada 929 kilometer (km) panjang sungai-sungai nasional telah dikenal pasti sebahagian daripada projek pemulihan tersebut dan dijangka bertambah kepada 10,000 km aliran sungai untuk dipulihkan. Ia dijalankan oleh syarikat swasta yang dilantik kerajaan.

Kerajaan Korea Selatan sanggup mengeluarkan belanja yang amat besar bagi memulihkan sungai di seluruh negara dan ia bertujuan menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan bekalan air bersih, pengawalan banjir, kemarau dan untuk tujuan keindahan. Jumlah pelaburan yang besar ini antaranya juga bertujuan memulihkan kerosakan berkaitan air yang boleh diselamatkan bagi pencegahan bencana. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan bekalan air bersih serta memulihkan ekosistem dan secara tidak langsung ia dapat membangunkan daerah yang berpusat di sungai. Peningkatan suhu global serta perubahan iklim harus dilihat lebih mendalam oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi mengelakkan berlakunya masalah kekurangan air pada masa akan datang atau kewujudan musim kering (kemarau) yang teruk. Kerajaan Malaysia haruslah mencontohi dan mengambil peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan Korea Selatan, mencontohi bagaimana negara itu membangunkan infrastruktur sungai menjadi tempat yang cantik dan menarik untuk dikunjungi serta menjadi tempat riadah keluarga.

Peluang penulis melawat Korea Selatan baru-baru ini telah digunakan untuk mengunjungi sungai yang digambarkan oleh rakan penulis sebagai antara lokasi awal yang perlu lawati. Memang benar apa yang diceritakan oleh rakan penulis iaitu kecantikan, keindahan dan kebersihan sungai di sini memang menarik hati dan pemandangan. Dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Korea Selatan baru-baru ini, penulis berharap agar kerjasama di antara kedua-dua kerajaan dapat dijalinkan, sekali gus membuka lembaran baru dalam usaha mencantikkan dan memberi keindahan terhadap sungai-sungai di negara kita, khususnya di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kerajaan haruslah lebih berhati-hati memilih syarikat untuk melaksanakan projek mencantikkan sungai-sungai ini. Pastikan setiap duit rakyat dibelanjakan dengan lebih berhemah dan kerajaan tidak kerugian di kemudian hari.

ISU EKONOMI : DIBELENGGU LONJAKKAN INFLASI

Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA
19 APRIL 2011


INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga. Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011. Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari. Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus. Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat.

ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah. Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000. Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport.

Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir. Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun. Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah. Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk. Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri.

Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar. "Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi. "Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya. Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat. "Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya.  Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya.

"Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan. "Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya. Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga. "Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'. "Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya.

17 April 2011

MOTIVASI BERSAMA CIKGU ZUL : APABILA SUDAH TERPILIH

Assalamualaikum dan salam sejahtera,


Tahniah dan syabas diucapkan kepada Barisan Nasional (BN) yang berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti yang besar dalam Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-10 pada 16 April 2011. Semoga dengan kemenangan ini, BN akan terus konsisten membangunkan negeri Sarawak dari segenap aspek seperti yang dijanjikan sewaktu kempen pilihan raya rancak berlangsung. Yang berhormat (YB) yang terpilih haruslah prihatin dengan kehendak dan masalah penduduk dari kawasan yang diwakili. Cikgu Zul sendiri merupakan anak jati dari Daerah Song, Bahagian Kapit yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan kawasan lain di Sarawak, apatah lagi jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan di Semenanjung Malaysia. Jalan raya dari bandar Sibu ke Kapit, sampai ke detik ini masih lagi menjadi mimpi yang entah bila akan menjadi realiti. Perdana Menteri yang dikasihi telah pun melaungkan peruntukan sebanyak RM90 juta untuk menyiapkan projek tersebut. Oleh itu, pihak yang diamanahkan hendaklah menggunakan wang tersebut untuk menjadikan mimpi penduduk Bahagian Kapit menjadi realiti. Janganlah hampakan kami! Kami pilih BN kerana kami yakin BN mampu membawa pembangunan bukannya kerana kami tidak tahu memilih calon untuk mewakili kami.

Apabila sudah terpilih, kita hendaklah ada matlamat untuk memberikan yang terbaik kepada orang yang memilih kita kerana dalam jutaan penduduk di kawasan tersebut kitalah calon yang menjadi ayam tambatan untuk membawa kecemerlangan dan kegemilangan. Kita tidak boleh lupa akan asal usul dan rupa sebenar diri kita. Kita jangan menggunakan peluang untuk meraih untung untuk diri sendiri sehingga kita hanyut dengan kesenangan dan kemewahan yang dinikmati. Jika inilah yang berlaku bermakna kita telah menganiayai orang lain yang bergantung harap dan bersandar hajat kepada kita. Kita tidak boleh menggunakan peluang itu hanya untuk berucap berapi-api di majlis-majlis rasmi, selepas tamat majlis itu kawasan yang diwakili pi mai pi mai tang tu juga jadinya. Pembangunan tak bangun-bangun. Pemodenan tak moden-moden. Puncanya, bukan kerana penduduk setempat berat tulang, atau tidak berpendidikan tetapi kerana kita gagal membuka peluang dan menyediakan ruang untuk mereka bernafas atau menunjukkan bakat serta potensi diri.

Apabila sudah terpilih, kita hendaklah menjadi orang yang mudah didekati dan didampingi. Masalah orang menjadi masalah kita. Kesusahan orang, kesusahan kita jua. Kita tidak boleh merampas hak yang selayaknya mereka miliki. Kita tidak boleh menutup peluang yang sepatutnya kita nikmati. Kita haruslah menjauhi kroni dan korupsi. Apabila berjanji hendaklah ditepati. Jika yang memilih kita sebanyak 14 000 orang maka kesemuanya hendaklah ditolong dan dibantu. Jika dibantu seguni beras, biarpun setiap orang mendapat segenggam, pembahagiannya hendaklah sama rata, tanpa memilih warna. Itulah yang dikehendaki. Jangan sampai kita dituduh lupa daratan, menjadi insan yang disukai akhirnya menjadi yang dibenci, dimaki, dan dicaci. Semuanya kerana kita gagal menunai janji. Orang sandarkan harapan kita pula tidak tahan membawa beban kerana niat kita hanya untuk kepentingan diri dan kepuasan peribadi. 

Apabila sudah terpilih, kita harus ingat, hidup ini umpama roda, seketika kita di atas, pada ketika lain pula kita akan di bawah. Hari ini kita mampu riang dan tersenyum bangga dengan kejayaan kita, esok atau lusa belum tentu kita mampu senyum dan seriang itu lagi apabila semuanya ditarik bagi oleh mereka yang berhak. Hidup dalam dunia yang berpayungkan demokrasi memerlukan kita sentiasa berhati-hati kerana tiada yang kekal selama-lamanya di puncak kegemilangan. 

Ingatlah, pada mereka yang memilih dan jangan pula memilih-milih setelah dipilih nanti lain kali tidak terpilih.

Daripada
Cikgu Zul
17 April 2011

ISU RASUAH : KITA BOLEH TEWAS DENGAN TIGA "TA"

Mereka lebih pandai simpan wang rasuah. Ada yang membeli jam yang berharga RM250,000 hingga RM500,000. Ada yang membeli lukisan berharga berjuta ringgit kerana ia ada nilai di masa depan.



DATUK Akhbar Satar bukan nama asing dalam dunia pencegahan rasuah. Beliau merupakan bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (dulunya Badan Pencegah Rasuah) Perlis dan Negeri Sembilan. Akhbar juga pernah menjadi Pengarah Latihan di agensi tersebut, justeru bercakap mengenai rasuah dan kaedah membanteras jenayah itu dengan beliau sememangnya sarat dengan maklumat. Mengendalikan Akhbar & Associates di Plaza Damas Sri Hartamas Kuala Lumpur memberi ruang lebih luas kepada Akhbar untuk meninjau kaedah lebih canggih untuk menentukan tentang benar atau salah sesuatu maklumat yang diperoleh daripada seseorang. Salah satu kepakarannya adalah poligraf yang menurut Akhbar berupaya menawarkan sehingga 98 peratus ketepatan maklumat - tentunya sesuatu yang amat berguna kepada agensi penguatkuasaan seperti SPRM. Sebagai salah seorang ‘orang kuat’ yang pernah turun padang menyelesaikan kes-kes rasuah, Akhbar turut meluahkan keprihatinannya terhadap kes-kes rasuah yang ‘terlepas’ selepas dibicara di mahkamah. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, NORAINI ABD. RAZAK dan HAFIZAHRIL HAMID, anak kelahiran Kelantan itu berbicara lanjut.

MINGGUAN: Datuk sudah lama dalam bidang poligraf forensik, setakat mana masyarakat menerimanya sebagai keperluan?

AKHBAR: Kalau kita lihat masyarakat di Amerika Syarikat (AS) percaya satu-satu perkara mesti berlandaskan saintifik. Jika mereka nak masuk Agensi Perisikan Antarabangsa (FBI), CIA atau pasukan polis, ujian poligraf akan dijalankan ke atas mereka. Ini kerana mereka percaya sesuatu perlu dilakukan secara terbaik. Ujian ini telah dilaksanakan di sana sejak 90 tahun lalu. Kita jangan terkejut Singapura adalah antara negara yang paling banyak menggunakan ujian ini berbanding jumlah penduduk. Ini berlaku kerana mereka mahu melindungi semua perkara penting dan rahsia daripada pengetahuan negara lain apatah lagi yang dianggap musuh. Ujian ini dilakukan untuk memastikan mereka yang memegang rahsia boleh dipercayai. Secara umumnya manusia akan tewas terhadap tiga “ta” iaitu wanita, harta dan takhta. Semua ini boleh dicari dan diberi.

Manusia juga mempunyai social bond yang mana kita tidak tahu bila masa ia boleh bertukar. Sebagai contoh, saya adalah seorang yang menentang rasuah, bercakap tentang integriti dan sebagainya. Tetapi esok lusa kita tidak tahu bila kita tiba-tiba bertukar dan mengambil rasuah. Contohnya, sebelum ini saya tidak ambil rasuah tetapi tiba-tiba ada orang tawar RM20 juta, mungkin terfikir juga saya nak ambil. Saya lihat pula budaya di situ ramai yang ambil rasuah, jadi saya terfikir jika saya tak ambil orang lain yang terima. Saya hanya ambil 20 peratus saja, tapi bos 20 peratus. Sistem di sini adalah sistem yang korup jadi kenapa saya perlu risau. Ini adalah proses rasionalisation di mana kita menjadikan perkara yang salah sebagai betul mengikut pertimbangan dan keadaan sekeliling.

Satu lagi contoh ada kes di Melaka seorang lelaki berumur 70 dan di Kelantan berumur sekitar 80-an yang ditangkap kerana merogol cucunya. Ini yang dikatakan sebagai social bond. Jika kita lihat sejarah mereka dari umur muda hingga 80 tidak ada masalah. Tapi tiba-tiba hari itu ia berlaku hanya dalam tempoh split second. Itu yang berlaku kepada manusia. Perkara itu berlaku mungkin mereka ini tiba-tiba bernafsu melihat kain cucunya terselak. Pelbagai faktor mempengaruhi tetapi kealpaan ini hanya berlaku dalam tempoh sekelip mata dan akhirnya memusnahkan masa depan dan diri sendiri. Namun apa yang saya mahu tekankan adalah dalam soal ini kita tidak tahu apa akan berlaku kepada kita dan sesuatu yang buruk boleh berlaku dalam sekelip mata.

Bagaimana dengan soal ketahanan diri untuk mengelak terlibat dalam rasuah?

AKHBAR: Kita perlu lihat bagaimana bentuk ketahanan diri yang ada pada diri kita. Ada juga orang yang pandai agama tetapi kemudian terlibat dalam perkara yang merosakkan diri. Bagi saya sebagai ahli kriminologi, kenapa seseorang itu terlibat dalam perlakuan jahat adalah atas dua faktor. Pertama faktor genetik dan kedua persekitaran. Tetapi dalam soal menipu ia berbeza kerana seni menipu adalah sesuatu yang dipelajari. Kadang-kadang kita tidak sedar ada anak-anak yang belajar menipu daripada ibu bapa atau ahli keluarga sendiri. Tapi jika kita ajar anak-anak kita jangan mengambil barang orang sejak kecil maka ia akan mengingatkan mereka barang yang mereka ambil itu adalah barang curi hinggalah dewasa. Namun dalam melakukan jenayah seperti rasuah kita perlu faham bahawa ia adalah satu perlakuan yang dipelajari dan bukan soal diwarisi.

Kenapa jenayah rasuah dan kolar putih semakin menjadi-jadi?

AKHBAR: Siasatan kes rasuah adalah satu proses yang rumit. Ini kerana kes rasuah kebiasaannya win win situation. Jarang orang yang dapat kontrak melalui rasuah akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Untuk membuktikan kes rasuah juga rumit. Pesalah rasuah semakin pandai mencari jalan yang lebih licik untuk melakukan rasuah. Mereka lebih pandai simpan wang rasuah. Ada yang membeli jam yang berharga RM250,000 hingga RM500,000. Ada yang membeli lukisan berharga berjuta ringgit kerana ia ada nilai di masa depan. Ada yang membeli karpet yang bernilai ratusan ribu dan ada yang menyimpan di luar negara. Terdapat juga yang mengunakan money changer dengan menghantar wang pengubahan haram ke luar negara. Teknik ini adalah untuk mengelak dari diketahui oleh pihak penguat kuasa atau Bank Negara.

Pelaku rasuah akan memikir cara terkini untuk menyimpan wang rasuah supaya tidak dapat di kesan. Oleh itu pegawai SPRM perlu memikir two steps ahead. Di AS ada pihak tertentu yang mahukan jenayah kolar putih atau elit termasuklah rasuah tidak dikategorikan sebagai jenayah. Bagi mereka perkara ini adalah satu masalah sosial. Ini adalah satu bentuk tindakan yang berbahaya kepada negara. Mereka yang terlibat atau melakukan kegiatan rasuah, selalunya akan terlepas daripada hukuman kerana mereka mempunyai wang untuk menggunakan peguam yang terbaik dan terkenal. Selalunya peguam-peguam ini mempunyai peratusan kemenangan yang amat tinggi. Secara psikologi, peguam yang terkenal selalunya dikaitkan battle already won, berdasarkan kepada pandangan ahli kriminologi dalam Behavior of Law, yang mengatakan bahawa law varies according to rank.

Bagaimana Datuk melihat kempen dan kesedaran yang dilakukan untuk menyedarkan bahaya rasuah, adakah mencukupi?

AKHBAR: Saya rasa masih belum mencukupi. Kita perlu faham dalam mengajar kanak-kanak dahulu dan sekarang adalah berbeza. Kalau 20 tahun lepas saya main wayang kulit untuk memberi kesedaran bahaya rasuah, kini pasti teknik seperti ini tidak lagi sesuai. Kini dengan teknologi yang semakin canggih kita kena lebih kehadapan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat. Masalahnya sekarang kita hanya tertumpu kepada kempen ad hoc. Pada awalnya kempen di sana sini tentang rasuah tapi bila kempen tamat tidak ada lagi perancangan untuk meneruskan kesinambungan kempen. Pada saya masyarakat sekarang terutama kanak-kanak perlu dididik dengan cara psikologi, tidak boleh lagi terlalu didesak dan dimarahi. Jika seseorang itu penjenayah tegar sekali pun kita boleh cari di mana kelemahannya jika kita pandai dan sabar.

Apa sebenarnya cabaran dalam menjalankan soal siasat dalam kes rasuah?

AKHBAR: Bagi saya apa yang penting pegawai yang menjalankan soal siasat, kita kena faham dan tahu apa yang kita lakukan. Psikologi juga sangat penting dalam melakukan soal siasat kerana ia akan memudahkan lagi kerja siasatan. Dalam soal ini SPRM memerlukan pegawai terlatih, pegawai yang mahir dalam ilmu psikologi dan pegawai yang berpengetahuan. Dalam sesuatu kes sebelum mengadakan soalsiasat perlu ditubuhkan satu pasukan soal siasat. Pegawai yang terlibat mesti sangat terlatih dan menjalankan soal siasat secara lebih profesional. Mereka ini juga perlu hadir kursus-kursus soal siasat di luar negara. Selain itu teknik poligraf perlu digunakan untuk mendapatkan maklumat secara profesional. Bilik interogasi yang moden serta dilengkapi peralatan seperti CCTV dan one way mirror. Semua ini dapat mengelak saksi membuat sebarang tohmahan. Pegawai penyiasat juga boleh dipantau supaya tidak menyalahguna kuasa atau menggunakan kekerasan.

Berkesan dan tepatkah poligraf?

AKHBAR: Saya telah nyatakan tadi alat ini paling banyak digunakan di Singapura (terbanyak di dunia berdasarkan kepadatan penduduk). Kedua adalah AS dan ketiga Israel. Pasukan Polis di Arab Saudi pun pakai alat poligraf. Agensi Pencegahan Rasuah Singapura (CPIB) pun guna poligraf dan berjaya selesaikan banyak kes secara cepat dan profesional. Ujian poligraf adalah alat terbaik untuk mengesan pembohongan dan ia 98 peratus tepat. Alat ini dapat percepatkan penyelesaian kes serta dapat membebaskan orang yang tidak bersalah. Kebiasaannya tanpa poligraf, jika seseorang ditahan atau disyaki, mereka akan buka fail siasatan. Siasatan selalunya mengambil masa mungkin enam bulan dan mungkin enam tahun. Masa depan mereka ini akan gelap. Mereka tak dapat naik pangkat, tak dapat terima anugerah dan dilabel sebagai jahat. Tapi dengan ujian poligraf ia dapat menyelamatkan orang yang tak terlibat dengan cepat dan adil.

Bagaimana dengan peranan perisikan?

AKHBAR: Bagi pegawai perisik, mereka perlu menjadi seorang yang kreatif, tabah dan penyabar. Mereka ini perlu dilatih untuk mendapatkan maklumat atau sumber-sumber di jabatan yang strategik. Dengan maklumat kelas A yang diperoleh dari perisikan, barulah ia digunakan untuk melakukan siasatan terbuka supaya tidak berlaku kesilapan atau tersasar sasaran. Seorang pegawai perisikan tidak boleh didedah dan tidak menjalankan siasatan terbuka. Pegawai perisik hanya jalankan tugas risik sahaja dan siasatan dijalankan oleh bahagian siasatan. Namun paling penting pegawai penyiasat perlu berilmu dan sentiasa menambahkan ilmu. Mereka juga perlu celik teknologi maklumat serta pandai mencari maklumat dalam Internet. Mereka ini juga perlu menguasai bahasa Inggeris kerana banyak buku penyiasatan dan soal siasat adalah dalam bahasa Inggeris. Mereka ini juga perlu dihantar menghadiri kursus-kursus di peringkat antarabangsa sebagai pendedahan dan pengalaman. Di Malaysia poligraf memang digunakan antaranya oleh SPRM, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Mungkin SPRM boleh melantik lebih ramai pemeriksa poligraf bertauliah supaya proses temu dapat dijalankan dengan profesional setanding FBI dan CPIB.

Bagaimana dengan kredibiliti menang dan kalah dalam kes-kes rasuah?

AKHBAR: Peranan Pegawai Penyiasat (IO) perlu khusus dalam merancang dan menjalankan siasatan secara terperinci serta mendapatkan maklumat dan bukti seberapa banyak yang boleh agar loophole yang ada boleh ditampung sebelum ia dibolosi. Bagi peranan Pegawai Pendakwa juga penting. Mereka mesti ada pengalaman dan bekerjasama dengan IO dalam menangani sesuatu kes. Hakim juga patut memberi hukuman setimpal dengan pelaku dan pesalah rasuah. Nampak gayanya kini sudah semakin banyak perubahan.

Pegawai SPRM juga mesti menjadi white than whiter, mempunyai tahap integriti yang tinggi dan menjaga diri supaya tidak mendekati perkara-perkara yang boleh dipertikai masyarakat. Untuk mendapatkan penghormatan masyarakat, kita kena sentiasa bertindak secara profesional dan jujur. Namun yang paling penting sikap dan keprihatinan masyarakat perlu bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah. SPRM perlu kerjasama orang ramai kerana ia tak boleh hapuskan rasuah bersendirian. Pastinya SPRM memerlukan sokongan kerajaan, yang nampaknya semakin baik dan berkesan. Paling penting masyarakat kena lapor jika mereka melihat berlakunya kegiatan rasuah. Masyarakat perlu terus dididik supaya membenci rasuah. Jangan bagi rasuah, jika tidak beri tiada rasuah. Orang Islam menolak arak dan memakan babi kerana dari kecil kita diingatkan bahawa kedua-duanya haram. Tetapi anak-anak kecil jarang sekali diingatkan bahawa zina dan rasuah juga haram. Jadi dalam apa hal juga segala-galanya mesti bermula dari kecil.

MINGGUAN MALAYSIA, 17 APRIL 2011

ISU UMUM : SENSASI PERKAHWINAN DI RAJA

Oleh Hafizahril Hamid


Sejak kecil hinggalah kematian ibunya, Puteri Diana, pewaris takhta England, Putera William telah berhadapan dengan pelbagai dugaan dan kontroversi. Namun semua itu dilihat akan berakhir apabila beliau bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita idamannya Catherine “Kate” Elizabeth Middleton pada 29 April depan. Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang serba sederhana, namun hakikatnya dirinya sering saja menarik perhatian sang gadis yang jatuh cinta sama ada terhadap ketampanan wajahnya mahupun kekayaan yang bakal diwarisinya. Malah ketika remajanya, penyanyi terkenal seperti Britney Spears dan selebriti Paris Hilton pernah menyatakan minat yang mendalam terhadap Putera William. Namun beliau membuktikan walaupun masih muda namun berpoya-poya bukanlah sesuatu yang tercalit dalam hidupnya. Tidak ada skandal, bersih dari penyalahgunaan dadah apatah lagi terjebak dalam kehidupan malam yang menyesakkan, Putera William kekal dengan imej bersih sekaligus melayakkan dirinya sebagai pewaris takhta paling diyakini rakyat jelata.

Yang pasti, dirinya kekal setia kepada kekasihnya sejak sekian lama Middleton yang bakal diangkat sebagai permaisuri England jika segalanya berjalan lancar. Menyedari pelbagai kontroversi yang menyelinap setiap penjuru keluarga diraja itu bermula dengan perceraian ibu bapanya, skandal bapanya Putera Charles dengan kekasih lama yang kini menjadi isterinya, apatah lagi kekasih ibunya yang begitu dahagakan cinta mungkin mematangkan Putera William betapa penting imejnya sebagai pewaris diraja dipertahankan. Malah beliau pernah meluangkan masa selama semalaman untuk tidur di jalanan dengan cuaca yang sangat sejuk di bandar raya London bagi menyelami keperitan yang dialami golongan yang tidak mempunyai rumah. Putera William yang merupakan pewaris kedua takhta selepas ayahnya, Putera Charles hanya tidur beralas kotak di lorong berhampiran River Thames pada suhu negatif empat darjah Celsius pada Disember lepas. “Beliau melakukannya tanpa sebarang perlindungan daripada kesejukan, golongan penagih dadah, bapa-bapa ayam dan samseng jalanan,” kata ketua eksekutif rumah kebajikan Centrepoint, Seyi Obakin yang menemani William.

Kini setelah lapan tahun bercinta akhirnya pasangan ideal ini membuat keputusan untuk ke jinjang perkahwinan. Putera William, 28 dan Middleton, 29, bertemu ketika masing-masing menuntut di Universiti St. Andrews, Scotland pada 2001 dan dilihat sering keluar bersama sejak dari itu. Pasangan ini akhirnya mengikat pertunangan pada 17 November lepas dilihat begitu ceria namun Kate mendedahkan beliau agak gementar tetapi gembira untuk berkahwin selepas dilamar dengan cincin mendiang Puteri Diana. Middleton pada sidang akhbar tersebut turut mengesahkan Putera William melamarnya semasa satu percutian di Kenya pertengahan Oktober lepas. Putera William dalam pada itu mengakui, beliau terpaksa menyimpan cincin tersebut di dalam beg galasnya dan membawanya ke mana-mana dalam tempoh tiga minggu sebelum melamar Middleton kerana bimbang ia hilang. Mereka akan disatukan dalam satu majlis perkahwinan diraja terbesar Britain sejak Putera Charles dan Puteri Diana berkahwin di Gereja St. Paul pada Julai 1981 iaitu 30 tahun lalu. Putera William pula berkata, cincin bertatahkan batu nilam dan berlian yang diberikan bapanya, Putera Charles kepada Puteri Diana sangat istimewa buat dirinya.

“Saya melamar Middleton dengan cincin ini bagi memastikan mendiang ibu saya tidak terlepas hari istimewa kami dan berkongsi kegembiraan yang kami bakal disatukan selama-lamanya,” kata Putera William pada satu sidang akhbar di Istana St. James. Khabar gembira mengenai perkahwinan itu turut mendapat perhatian akhbar-akhbar di sana. Akhbar The Times dalam laporannya menyatakan pasangan tersebut sebagai ‘pasangan baru romantik’ sementara The Sun dalam edisi khasnya melaporkan, pasangan itu merupakan ‘pasangan diraja paling sesuai pada kurun ke-21'. Akhbar The Telegraph pula berterima kasih kepada pasangan diraja itu kerana memberikan detik paling gembira kepada rakyat Britain dengan berkata ‘penyatuan tersebut bakal mendatangkan hasil dan membawa kebahagiaan’ serta sekali lagi akan ‘menaikkan semangat negara dari kemurungan’. Namun percintaan mereka juga pernah mengalami pasang surut apabila pernah terputus selama beberapa bulan pada 2007.

Menurut laporan akhbar The Sun, pasangan tersebut mencapai “persetujuan secara persahabatan untuk berpisah” akibat tekanan yang dialami oleh pasangan tersebut terutama ketika William sibuk dengan tugas tentera yang mengakibatkan mereka jarang berjumpa. “Apa yang membimbangkan Middleton ialah William tidak memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Dia ‘terikat’ di London manakala putera itu pula tinggal di rumah pegawai di Dorset dan menyebabkan Middleton benar-benar kecewa,” lapor akhbar The Sun. Namun spekulasi mendedahkan bahawa kesilapan yang dilakukan oleh emak Middleton dalam pergaulan sosialnya tidak disenangi oleh rakan-rakan dan keluarga William. Menurut satu laporan, ibu bapanya, Carole dan Michael Francis Middleton gagal memberi gambaran positif kepada keluarga William, sehingga membuatkan mereka beranggapan tidak cukup anggun untuk bergaul dengan golongan atasan. Carole dan suaminya, pernah bekerja sebagai pramugari dan pegawai penerbangan dan berjaya menjadi jutawan hasil daripada perniagaan peralatan dan barangan untuk majlis keraian kanak-kanak, Party Princess selain membuat pelaburan dalam sukan lumba kuda.

Namun kedua mereka terpaksa mengakui cinta antara mereka begitu mendalam setelah bertemu semula selang dua bulan kemudian. Akhbar The Mail melaporkan, pertemuan semula berlaku dalam satu parti yang diadakan di berek tentera tempat William dilatih sebagai pegawai tentera yang menyaksikan beliau dan Middleton berciuman ketika menari bersama sebelum kembali ke biliknya. Kini saat bahagia bakal menjelma bagi kedua mereka malah dijangkakan belanja majlis perkahwinan mereka dianggarkan mencecah AS$20 juta (RM62 juta) wang pembayar cukai. Majlis ini akan menjadikan ia lebih besar daripada majlis perkahwinan ibunya, Puteri Diana sebelum ini. Persoalan siapa bakal menjadi ratu di hati Putera William sudah terjawab. Namun timbul pula persoalan siapa yang bakal menjadi pewaris takhta England jika Ratu Elizabeth II meninggal dunia satu hari nanti. Ini kerana berdasarkan tinjauan pendapat majoriti rakyat Britain mahu Putera William dan tunangnya menjadi raja dan permaisuri akan datang, bukan pewaris takhta sekarang, Putera Charles dan isterinya, Camilla. Akhbar News of the World menyiarkan hasil tinjauan mendapati 55 peratus rakyat mahu Putera William, memintas bapanya, Putera Charles, 62, untuk terus menaiki takhta.

Sebanyak 56 peratus responden menganggap Putera William akan menjadi raja yang lebih baik berbanding Charles yang hanya mendapat sokongan 15 peratus responden. Keadaan ini dilihat bertentangan dengan kenyataan Putera Charles sebelum ini bahawa Camilla yang dikahwininya pada 2005, boleh menjadi permaisuri suatu hari nanti. Melihat kepada apa yang berlaku pastinya berita gembira ini memang dinantikan oleh rakyat England yang tetap setia kepada keluarga diraja walaupun bermacam konflik dan musibah telah berlaku. Namun yang pasti soal siapa pengganti takhta bukan perkara pokok, yang penting kehadiran Middleton dilihat sebagai sinar kepada kehilangan Puteri Diana yang berjaya menimbulkan auranya yang tersendiri.

MINGGUAN MALAYSIA, 17 APRIL 2011

16 April 2011

ISU UMUM : KEYAKINAN PERLU KEKUATAN UNTUK BERUBAH

Oleh Dr Kamal Jit Singh


Andaian, peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan hingga dianggap sebagai kebenaran. Pernahkah anda terfikir bagaimana saiz landasan kereta api moden dihasilkan? Jika anda bertanyakan mengenai perkara itu, anda perlu melihatnya jauh ke belakang. Anda akan mendapati jurutera British pada zaman itu mengikut saiz sedia ada kerana cuma ada satu-satunya alat yang digunakan bagi mengeluarkan landasan pada saiz berkenaan yang mudah diperoleh ketika itu. Bahan yang digunakan bagi menghasilkan landasan itu sememangnya sudah sedia ada dan bersesuaian pula dengan keadaan jalan di Britain pada waktu itu dan ia seterusnya menjadi standard yang digunakan pakai hingga kini. Landasan kereta api itu dibina mengikut jajaran jalan di Britain yang juga berasaskan kepada laluan tayar kereta kuda zaman Rom yang dibina hampir 2,000 tahun lalu.

Agak memalukan apabila kita menyedari bahawa bentuk landasan kereta api moden yang dibuat ketika ini tidak pernah berubah sejak 2,000 tahun lampau. Sama seperti papan kekunci ‘Qwerty’ yang kita gunakan pada setiap komputer hari ini. Pereka cipta asal sistem papan kekunci itu yang digunakan pada mesin taip itu dilihat mungkin sengaja mengguna pakai sistem itu bagi melambatkan tindakan menaip abjad. Apakah penyelesaian terbaik kepada perkara itu adalah untuk mencampuradukkan abjad sehingga orang berasa lebih sukar untuk menaip dengan cepat? Namun, hampir 140 tahun kemudian, kita masih menggunakan papan kekunci Qwerty yang sama. Selepas belajar menggunakannya kita dapat menaip dengan lebih pantas. Kenapa kita masih mereka cipta pesawat dengan mempunyai sayap, walaupun kita tahu sesebuah pesawat itu tidak memerlukan sayap untuk terbang?

Kenapa kita mereka bentuk kereta dengan tayarnya yang mampu ke depan dan ke belakang saja? Di kebanyakan negara membangun pula, motosikal adalah satu-satunya kenderaan yang mampu dimiliki. Tetapi kenapa kita masih mereka bentuk kenderaan itu untuk kegunaan dua orang, sedangkan kita tahu seluruh keluarga patut menaikinya? Kita nampaknya masih melakukan sesuatu berasaskan kepada andaian tertentu dan yakin bahawa kita sudah mengambilnya sebagai satu peraturan atau kebenaran yang tidak seharusnya disanggah. Andaian dan peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan kita dan terus menyamar sebagai kebenaran. Kita seharusnya dapat memisahkan faktor andaian dan peraturan daripada fakta, dengan mempersoalkan setiap daripadanya yang selama ini kita mengambilnya secara membuta tuli bahawa ia satu kebenaran.

Setiap pereka cipta pesawat pada masa lalu bergantung kepada jadual serta data yang dikumpul oleh ahli kaji terbang sebelumnya. Bagaimanapun, pencipta kapal terbang pertama, Wright Bersaudara tidak mahu menerima semua data yang dikumpul sebelum ini, malah mempersoalkannya. Mereka mendapati data sedia ada dibuat berdasarkan kepada andaian dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar. Ada banyak alasan mengapa kita harus mencabar peraturan dan andaian. Pertama, mereka mungkin benar pada saat mereka membuat kajian terhadap sesuatu maklumat yang mereka kumpul, tetapi maklumat itu tidak lagi dapat digunakan pakai pada hari ini. Bangsa Rom purba percaya bahawa manusia tidak boleh berlari dalam jarak sebatu dalam masa kurang dari empat minit. Bagaimanapun, pada 1954 seorang penuntut jurusan perubatan Roger Bannister, yang tidak menyedari hal ini, berjaya memecah tembok itu dengan larian kurang empat minit pada satu acara olahraga di Oxford, England.

Anehnya selepas Bannister memecahkan ‘andaian’ itu, beberapa pelari lain dapat melakukan perkara sama beberapa minggu kemudian. Faktor andaian sebenarnya menyebabkan manusia keliru sehingga ia menjadi peraturan yang menghalang kemajuan. Kedua, iaitu andaian atau peraturan yang didasarkan kepada kepercayaan tradisi dan budaya. Walaupun ada antaranya adalah amalan yang mengarut tetapi tetap diterima sebagai satu peraturan dan dianggap kebenaran. Contohnya, ada suku kaum tertentu di Afrika melihat parut di muka dan kepala botak sebagai sangat menarik. Jika seorang gadis itu tidak sengaja membuat wajahnya mempunyai parut atau mencukur kepalanya botak, dia akan sukar mencari seorang teman hidup. Budaya masyarakat lain pula mendapati seorang gadis yang kurus tidak menarik, berbanding yang berbadan besar – lebih besar tubuh seseorang gadis itu, maka lebih menarik dan menjadi idaman ramai lelaki. Andaian itu mungkin bersifat setempat atau wilayah, tetapi tidak bersifat sejagat.

Ketiga, mentaliti mudah percaya dengan sesuatu idea walaupun banyak menimbulkan kekeliruan, tetapi pada masa sama orang masih percaya. Walaupun selepas beberapa generasi andaian itu masih diterima, seperti suatu ketika dulu ramai orang percaya dengan andaian bahawa bumi adalah mendatar dan bukan bulat. Dalam contoh lain, ahli astronomi sebelum ini menerima andaian bahawa matahari dan planet di cakerawala berputar mengelilingi bumi. Namun, seorang ahli sains berbangsa Poland, Nicolas Copernicus menidakkan andaian itu dan menyatakan bahawa matahari sebenarnya yang berada di pusat cakerawala dan bumi yang mengelilinginya. Malangnya, Copernicus meninggal dunia sebelum penemuannya diterima di seluruh dunia. Apakah andaian yang anda buat mengenai pelanggan anda, pasaran, pesaing dan sesuatu produk? Sejauh mana benar andaian itu. Adakah anda sudah mengujinya baru-baru ini? Seorang pereka cipta harus berani membebaskan dirinya daripada belenggu yang menahan mereka daripada melahirkan idea kreatif. Peraturan dan andaian adalah penjara yang membuat kita terkunci pada keyakinan yang salah. Namun, ia memerlukan keberanian untuk mempersoalkan keyakinan kita.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri

BERITA HARIAN
16 APRIL 2011