JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Februari 2011

ISU PEMAKANAN : KANTIN SEKOLAH, MAKANAN MAHAL, TIDAK BERKHASIAT


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta Kementerian Kesihatan memantau sajian tidak berkhasiat antaranya makanan ringan dan air berkarbonat di kantin sekolah yang menimbulkan ketidakpuasan pelbagai pihak terutama ibu bapa.  Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mengakui pendedahan akhbar ini berkaitan isu sajian berkenaan ada kebenarannya serta menyamai kajian mereka di seluruh negara. Sehubungan itu, FOMCA mahu pengusaha yang melanggar garis panduan pengurusan kantin sekolah yang ditetapkan Kementerian Pelajaran diganti dengan peniaga yang mematuhi peraturan berkenaan. Pada masa sama, garis panduan khusus mengenai minuman yang dikategorikan minuman bertenaga sedangkan berkarbonat perlu dimuktamadkan, sama ada sesuai dijual di kantin sekolah atau sebaliknya.  

Selain sajian berkenaan, FOMCA juga mengakui kebenaran laporan akhbar mengenai ada kantin menjual makanan dan minuman pada harga mahal hingga membebankan keluarga berpendapatan rendah. Jawatankuasa Pengurusan Kantin Sekolah yang dipengerusikan Guru Besar juga tidak seharusnya berdiam diri dengan membiarkan isu berlarutan kerana dibimbangi menjejaskan kesihatan murid.  Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pendedahan mengenai isu sajian makanan tidak berkhasiat, air berkarbonat dan penjualan makanan mahal adalah hasil kajian persatuan. Katanya, kebanyakan makanan dan minuman berkenaan dijual koperasi sekolah menerusi mesin layan diri yang diletakkan di kantin atau di kawasan lain di premis sekolah.  Beliau berkata, ini menyebabkan pengusaha kantin turut menjual minuman berkenaan dengan alasan rugi jika tidak berbuat demikian.  

Perlu ada satu ketetapan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran mengenai status minuman berkenaan sama ada kategori bertenaga mahupun berkarbonat.  Mohd Yusof diminta mengulas pendedahan akhbar ini pada 25 Januari lalu mengenai ada pengusaha kantin menyediakan sajian tidak berkhasiat antaranya makanan ringan dan air berkarbonat yang menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak.  Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia, Roslan Madun, berkata sikap pengusaha itu ternyata menyalahi garis panduan penjualan makanan dan minuman di premis sekolah.  Tinjauan mendapati ada kantin sekolah menjual makanan pada harga mahal, contohnya nasi ayam sehingga RM3 sepinggan dan kuih 50 sen sepotong iaitu harga sama dengan kadar di luar sekolah. 

Dalam pada itu, seorang pengusaha kantin di Kuala Lumpur yang enggan disiarkan namanya mendakwa beliau terpaksa menjual sajian makanan ringan dan minuman berkarbonat berikutan tindakan koperasi sekolah menjualnya dan menjejaskan perniagaan di kantin. Katanya, penjualan sajian seumpama itu dipelopori sekolah sendiri melalui koperasi dan mereka terpaksa melakukan aktiviti sama. Tidak adil menyalahkan pengusaha dalam isu ini kerana ada pihak menjual makanan ringan dan minuman berkarbonat di premis sekolah.  Bagi sajian yang dijual mahal pula, sepatutnya tidak ada rungutan kerana harga berkenaan dipersetujui sekolah menerusi Jawatankuasa Pengurusan Kantin Sekolah yang dipengerusikan guru besar masing-masing.

OLEH :

Mohd Azrone Sarabatin


BERITA HARIAN
09 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: