Seperti yang kita sedia maklum, ada beberapa program transformasi yang sedang berjalan. Bermula dengan Program Transformasi Kerajaan yang meliputi Bidang Keberhasilan Utama Nasional yang terdiri daripada mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan prestasi pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah yang berpendapatan rendah, memperbaiki prasarana asas luar bandar dan memperbaiki pengangkutan awam bandar. Diikuti pula Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang merangkumi sasaran mikro-ekonomi dan sosio-ekonomi peruntukan perbelanjaan pembangunan dalam kerangka ‘10 Idea Besar’. Secara khususnya, sasaran RMK-10 adalah untuk menghidupkan kembali pelaburan swasta, meningkatkan produktiviti dan rasionalisasi peranan kerajaan.
Berikutnya ialah Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan pada Oktober 2010 dengan huraian sebanyak 131 Projek Titik Kemasukan serta 60 Peluang-peluang Perniagaan. Keseluruhannya dinilaikan sebanyak RM1.3 trilion dan menjana pekerjaan untuk seramai 3.3 juta orang. Bermula dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan pada April 2010, ia bertujuan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Agaknya bagaimana rakyat biasa melihat kesemua program-program ini? Apakah boleh kita katakan ramai dalam kalangan rakyat kita faham apa yang sedang berlaku? Langkah transformasi besar-besaran ini mempunyai tujuan untuk mengembalikan zaman kegemilangan kita. Pada masa ini, industri kita terikat dengan teknologi lama, kita tidak dapat berganjak ke arah teknologi tinggi kerana kita kurang mempunyai tenaga kerja yang mahir, pelaburan swasta tempatan kita telah merosot daripada 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar sejak 10 tahun lalu. Selain itu, pelaburan asing kita pun sudah merosot dan pendapatan pekerja tersekat di paras yang rendah.
Dengan usaha kerajaan yang ingin membawa negara ke arah negara berpendapatan tinggi, kita merasakan sektor swasta masih ingin meneruskan amalan memberi gaji dan upah yang rendah kepada pekerja. Walaupun pekerja asing dibawa masuk dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah pekerja di ladang-ladang, tetapi kita lihat semua aktiviti perniagaan menggaji buruh asing termasuklah kedai-kedai minyak dan restoran. Di syarikat besar-besaran, keghairahan untuk membuat keuntungan yang besar membuatkan amalan memberi gaji rendah kepada pekerja berterusan. Ditambah pula dengan amalan mengenakan waktu kerja yang berlebihan membuatkan keadaan pendapatan rendah ini agak sukar untuk diatasi. Salah satu perkara yang menjadi tanda tanya kebanyakan orang ialah apakah jentera kerajaan bersedia mendukung segala program transformasi ini supaya terlaksana dengan baik. Selain daripada risiko pelaksanaan, terdapat juga risiko kewangan yang terbabit. Untuk anggota kerajaan, segala program yang bakal dilakukan ini perlu difahami dan dihayati oleh mereka berada di jawatan paling tinggi kepada mereka yang berjawatan paling rendah.
Di sektor swasta pula, langkah yang diambil oleh kerajaan ini memerlukan sokongan kuat daripada sektor swasta daripada segala aspek, bukan saja bergerak ke arah teknologi yang berteraskan pengetahuan tetapi melengkapi peralatan industri mereka dengan peralatan yang menuju ke arah pendapatan tinggi untuk pekerja. Sektor swasta perlu sama mengambil berat melatih pekerja daripada tahap kemahiran rendah atau tiada kemahiran kepada kemahiran tinggi. Kalau dilihat daripada Laporan Bank Dunia untuk November 2010, masih terdapat ketidaksamaan antara satu kaum dengan kaum yang lain dan antara negeri-negeri dalam negara sendiri. Misalnya tahap kemiskinan di Sabah dan Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung seperti Kelantan dan Terengganu tidak sama dengan negeri-negeri yang lain. Selain daripada itu, jurang pendapatan antara kaum masih luas dan dalam kalangan sesuatu kaum sendiri seperti Bumiputera.
Salah satu strategi dalam MBE, kita difahamkan ialah dasar keterangkuman (inclusiveness). Segala usaha untuk mengubah struktur ekonomi negara ini harus membabitkan semua rakyat tidak mengira kaum. Disebabkan telah wujud ketidaksamaan, tentulah penyertaan golongan yang ke hadapan dengan golongan yang terkebelakang berlainan. Bagi yang ke belakang tentulah agak terhad.
Utusan Malaysia
27 November 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan