JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Januari 2010

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

SUMBER : Utusan Malaysia
TARIKH : 08 JANUARI 2010
TAJUK : Cabaran ekonomi dekad baru
Oleh Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob


 
MALAYSIA memasuki dekad baru bermula tahun Masihi 2010 dan tahun Hijrah 1431 dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ekoran tergugatnya sistem kewangan negara maju. Keadaan ini diakibatkan oleh lemahnya sistem tadbir urus dan kawalan sektor bank pelaburan (investment bank) atau apa yang disebut sebagai ‘shadow banking’, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Ia juga disebabkan oleh sifat tamak haloba (greed) dan kurang berhemah (imprudences) di kalangan pihak pengurusan. Akibatnya ekonomi Malaysia dan juga negara-negara lain terjerumus dalam keadaan pertumbuhan negatif pada tahun 2009. Kewibawaan kita untuk mengurus ekonomi negara sekali lagi diduga, selepas pengalaman pahit tahun 1997/1998. Dalam tempoh terdekat ini, ada tiga isu utama yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan ekonomi negara. Pertama, keperluan memantapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesan daripada kemerosotan ekonomi global dalam 2009.

Kedua, usaha memantapkan kedudukan kewangan awam atau ‘public finance’ yang mengalami defisit sejak 1998. Dan ketiga, hasrat untuk merombak beberapa dasar bagi meningkatkan daya saing negara serta membolehkan usaha mencapai model pertumbuhan berasaskan pendapatan (nilai tambah) yang tinggi. Dalam isu pertama, kita boleh menimba pengalaman dari usaha mengatasi krisis ekonomi bagi tahun 1986 dan kegawatan tahun 1997/1998. Pada tahun 1986, negara telah terjejas oleh kejatuhan harga komoditi dan kedudukan kewangan awam yang lemah. Kerajaan telah mengambil tindakan liberalisasi dan deregulasi serta mengurangkan cukai dan mengawal perbelanjaan awam bagi memperbaiki iklim pelaburan swasta. Kesannya, ekonomi tumbuh dengan sangat pesat pada kadar 8-9 peratus setahun sepanjang tempoh 1988-1997.

Semasa kegawatan tahun 1997/1998 pula, atau apa yang selalu disebut sebagai ‘East Asian financial crisis’, akibat aliran modal jangka pendek tidak terkawal (unregulated) di rantau ini serta serangan ke atas mata wang serantau dan kegiatan ‘hedge fund’, tindakan kerajaan (menerusi MTEN) untuk mengawal modal (capital control) dan penetapan mata wang (pegging of the Ringgit) serta meningkatkan permintaan agregat menerusi perbelanjaan awam dan dasar kewangan (monetary) telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. Dengan dibantu oleh kedudukan pasaran eksport yang menggalakkan pada masa itu, Malaysia telah berjaya keluar dari kegawatan ekonomi itu berasaskan kepada ‘formula’ sendiri, tanpa menggunakan preskripsi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Namun demikian, cabaran bagi mengatasi krisis ekonomi semasa (2009) menjadi lebih ketara. Kali ini, hampir seluruh ekonomi dunia, termasuk China dan India tergugat dan terperangkap dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi AS dan negara-negara maju lain, seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Dari itu, sektor eksport kurang memainkan peranan untuk memantapkan proses pemulihan ekonomi negara. Dengan demikian, kesan Pakej Rangsangan Ekonomi sepenuhnya hanya berputar dalam sektor domestik. Pasaran domestik kita pula tidak sebesar pasaran dalaman China, India dan juga Indonesia. Oleh itu, ia tidak mampu memacu pertumbuhan positif bagi tahun 2009. Kedua, kerajaan akan berdepan dengan cabaran mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil (revenue). Kemungkinan mengawal perbelanjaan terhad kerana beberapa jenis perbelanjaan operasi adalah wajib disediakan (locked-in expenses) seperti emolumen, gaji dan elaun, geran kepada negeri-negeri (per capitation grant) dan kerajaan tempatan, bayaran hutang awam serta beberapa subsidi yang sukar dirungkai akibat penyediaannya yang sebegitu lama sehingga menjadikannya seperti satu amalan fiskal biasa.

Usaha mengurangkan subsidi-subsidi ini perlu dibuat secara komprehensif dan dilaksanakan berperingkat-peringkat kerana penghapusannya akan menyebabkan satu kerumitan. Untuk membantu masyarakat, kerajaan telah menyediakan subsidi seperti bantuan buku sekolah, biasiswa, kos perubatan di hospital dan klinik awam yang sangat rendah, serta subsidi untuk bahan api (minyak petrol dan diesel). Manakala bagi bidang industri pula, kerajaan memberi subsidi tenaga untuk industri, baja untuk pengeluaran padi dan pengecualian dan potongan cukai (sistem galakan industri) untuk sektor pembuatan. Fikirkan bagaimana sukarnya subsidi-subsidi ini boleh dirungkai dan dikurangkan dalam masa terdekat setelah ia menjadi elemen penting dalam perkiraan cara hidup rakyat dan sistem pengeluaran negara. Namun demikian usaha mengurangkan subsidi perlu diteruskan.

Dari perspektif hasil kerajaan pula, kesungguhan kerajaan untuk mengadakan ‘Goods and Service Tax’ (GST) perlu disokong. Memang sudah sampai masanya kita mengurangkan cukai berasaskan pendapatan tetapi bergerak maju ke arah cukai berasaskan penggunaan (consumption based tax). Sebenarnya cadangan GST ini bukan baru. Ia pernah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam ucapan Belanjawan 1987 bagi pelaksanaan tahun 1989. Cukai GST adalah lebih cekap berbanding dengan cukai jualan dan ia kurang mempunyai unsur ‘arbitrariness’ yang terdapat dalam cukai jualan. Unsur penting dalam formula GST adalah ia jangan dikenakan kepada barangan eksport serta barangan keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. Skim ‘zero rating ' boleh dicadangkan bagi produk-produk ini.

Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kesan GST ke atas inflasi memang wujud tetapi ia hanya berlaku pada tahun pelaksanaan sahaja dan tidak selepas itu. Jika kesannya berlarutan selepas itu, ia bukan disebabkan GST tetapi kelemahan sistem pasaran sendiri akibat tiadanya undang-undang persaingan dan perdagangan adil (fair trade) di negara ini yang boleh membendung amalan perniagaan tidak beretika. Satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan negara adalah meneruskan peringkat kedua dasar penswastaan yang meliputi inisiatif pembiayaan swasta bagi kegiatan awam yang pada ketika ini sudah boleh dilaksanakan. Bagi dasar ini, yang pentingnya segala kelemahan pelaksanaan yang lalu perlu diperbaiki. Kawal selia yang mantap boleh menjaga kepentingan sosial, manakala pemilihan syarikat berasaskan tender terbuka mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan dan pembayar cukai. Isu ketiga, meningkatkan daya saing dan melaksanakan pembangunan berteraskan ‘value added’ yang tinggi. Usaha ini memerlukan pengorbanan semua pihak untuk membantu melaksanakan proses transformasi sosial bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar.

Perubahan dalam sistem subsidi, sistem kawalan harga, pembaikan sistem penyampaian (delivery system), liberalisasi, peningkatan produktiviti dan kemahiran modal insan serta memperkayakan harta intelek negara adalah antara perkara-perkara pokok dan utama yang perlu dilaksanakan secara serentak dan terancang. Satu pelan tindakan perlu disediakan bagi merencanakan apa yang perlu dibuat dan diukur bagi setiap pihak. Kita juga perlu mencari model pertumbuhan baru yang mengimbangi antara pertumbuhan pendapatan pada kadar yang tinggi dan aspek pengagihan (distribution) yang bersesuaian dengan kedudukan semasa. Dasar pengagihan perlu diteruskan kerana ia merupakan dasar jangka panjang negara yang termaktub dalam Rukun Negara (bahagian pertama) dan dalam sejarah kesefahaman antara kaum utama negara ini. Yang pentingnya pelaksanaan dasar ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Kita juga perlu merombak struktur industri perkhidmatan kepada industri yang membawa kepakaran dan kemahiran yang canggih dan tinggi (seperti R&D, designing) serta mempunyai value added yang lebih banyak untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber KDNK serta mencanggihkan struktur guna tenaga negara dan menghasilkan pendapatan per kapita yang lebih tinggi. Keadaan dan corak industri sedia ada kurang mewujudkan kekayaan harta intelek negara. Yang demikian akan melemahkan asas jangka panjang negara dalam bidang persaingan dan keupayaan mencapai Wawasan 2020. Cabaran-cabaran ini tidak boleh diperlekehkan. Kita perlu berfikir dan mengambil tindakan yang jitu. Kita perlu mengurangkan ‘politicking’ dan sebaliknya membantu kerajaan merencanakan pembangunan negara ke arah kestabilan ekonomi, pembangunan mapan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan generasi akan datang yang bakal berdepan dengan persaingan ketara di persada antarabangsa. Mereka memerlukan warisan daripada kita berbentuk infrastruktur, harta intelek, pengalaman, dan modal sosial untuk dimajukan seterusnya.

Untuk memastikan kejayaan mereka kelak, pembangunan modal insan sedia ada dan dasar pembangunan mapan (sustainability) serta asas-asas pertumbuhan ekonomi perlu diperkukuhkan lagi. Budaya persaingan yang sihat serta kerangka mental yang sentiasa ingin mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dan disemarakkan di bangku sekolah lagi. Memandangkan kita telah melangkah masuk ambang dekad baru dan tahun baru, Hijrah dan Masehi, Malaysia mungkin tiada jalan lain selain menangani isu-isu di atas dengan penuh tabah dan keyakinan. Masyarakat kita perlu bersedia untuk ‘berhijrah’ kepada pendekatan pembangunan yang baru bagi pembangunan sosial yang lebih makmur, berimbang dan mapan.


TAN SRI DR. SULAIMAN MAHBOB ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

NISBAH 1 : 15 GURU PEMULIHAN SEKOLAH RENDAH

PUTRAJAYA 7 Jan. – Kementerian Pelajaran akan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah rendah daripada seorang bagi setiap sekolah ketika ini kepada nisbah 1:15 berbanding murid pada tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih tumpuan kepada murid yang lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M). Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian akan menempatkan guru-guru terbaik mengajar murid-murid tahun satu di bawah program Literasi dan Numerasi (LINUS) mulai sesi persekolahan tahun ini. “Dalam masa dua bulan ini, kita akan buat satu ujian di setiap bilik darjah bagi mengenal pasti murid yang lemah penguasaan dalam 3M. “Kita akan buat ujian-ujian tertentu yang sesuai untuk memperbaiki keadaan supaya mereka dapat menguasai 3M dalam tempoh tiga tahun mereka bersekolah,” katanya. Pada masa ini, kadar literasi di sekolah rendah adalah 87 peratus dan sasaran tahun ini menumpukan peningkatan tiga peratus iaitu kepada 90 peratus. Muhyiddin berkata, program LINUS itu salah satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan diberi tumpuan khas oleh kementerian tahun ini.

TELEFON BOLEH HALANG PENYAKIT ALZHEIMER

SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 09 JANUARI 2010


WASHINGTON 7 Jan. - Berbual menggunakan telefon bimbit didapati baik untuk kesihatan kerana gelombang elektromagnet yang dipancarkan oleh peralatan komunikasi itu boleh melindungi dan menghalang penyakit Alzheimer, menurut penemuan satu kajian yang dijalankan ke atas tikus semalam. Sekumpulan penyelidik di Universiti South Florida mendedahkan 96 tikus, kebanyakannya telah diubah secara genetik untuk menghidap Alzheimer, kepada gelombang elektromagnet yang dipancarkan dari telefon bimbit buatan Amerika Syarikat (AS). Tikus-tikus itu didedahkan kepada gelombang elektromagnet dengan frekuensi 918 megaHertz sebanyak dua kali sehari, setiap satu sesi selama satu jam dalam tempoh tujuh hingga sembilan bulan iaitu bersamaan beberapa dekad pada manusia. Tikus lebih tua yang menghidap Alzheimer, pendedahan yang lama kepada medan elektromagnet menyebabkan perkumpulan beta-amyloid di bahagian otak, iaitu sejenis pecahan protein yang berkumpul di otak penghidap Alzheimer bagi membentuk tanda-tanda penyakit itu, yang kemudian dilaporkan hilang.

Kajian itu mendapati, masalah gangguan daya ingatan pada tikus yang lebih tua juga hilang sama sekali. Kajian sama menunjukkan, tikus muda tanpa tanda-tanda masalah daya ingatan, terlindung daripada penyakit Alzheimer selepas beberapa bulan didedahkan kepada gelombang telefon bimbit. Tahap ingatan tikus normal tanpa genetik yang cenderung mendapat penyakit Alzheimer pula, didapati meningkat selepas terdedah kepada gelombang elektromagnet. Kajian tersebut merupakan yang pertama meneliti kesan pendedahan jangka panjang terhadap pancaran elektromagnet di kalangan manusia atau tikus dan penemuannya amat mengejutkan para penyelidik. "Secara terus-terang, saya memulakan kajian ini beberapa tahun lalu dengan hipotesis bahawa medan elektromagnet daripada telefon bimbit mungkin merosakkan kesihatan tikus yang menghidap Alzheimer. "Setelah mendapati keputusan awalnya memberikan kesan yang baik, saya berfikir kami akan berikan masa yang lebih kerana gelombang itu mungkin akan memberi kesan buruk kepada tikus. "Tetapi ia tidak pernah berlaku. Kami terus mendapat keputusan yang memberi kesan baik pada tikus normal atau yang menghidap Alzheimer,'' kata ketua penyelidik Gary Arendash, seorang profesor di Universiti South Florida. - AFP

09 Januari 2010

Insiden bakar gereja rosakkan imej Islam, Malaysia
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
Sumber : Utusan Malaysia 8 Januari 2010


 
PERKARA yang selama ini cuba kita kawal, akhirnya terjadi juga. Tetapi sebelum pergolakan antara agama ini terus merosakkan perpaduan rakyat Malaysia, elok ia ditangani secara baik dengan segera. Semalam penduduk Lembah Klang dikejutkan dengan berita Gereja Metro Tarbenacle, Taman Melawati terbakar manakala Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Chapel, Damansara dibaling bom petrol namun ia tidak meletup. Kebetulan pula pada hari yang sama iaitu selepas solat Jumaat beberapa buah masjid di ibu negara menyaksikan perhimpunan membantah penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly. Ada juga dalam perhimpunan itu mengutuk perbuatan membakar gereja yang berlaku awal pagi semalam.

Dua kejadian yang berkaitan dengan agama ini bukan sahaja menjadi berita di negara kita, tetapi sudah menjadi berita dunia. Seluruh dunia terutama masyarakat Kristian pasti mengutuk Malaysia. Pelbagai persepsi bermain dalam fikiran mereka terutama yang cemburu dengan imej Malaysia sebagai negara contoh dalam memelihara perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaumnya. Bukan mudah untuk membersihkan lumpur yang disimbah oleh penjenayah-penjenayah yang telah dan ingin membakar gereja berkenaan. Sekarang nama baik Malaysia sudah terjejas. Kemarahan sekumpulan kecil individu fanatik telah merosakkan kesucian agama Islam dengan melakukan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Jelas mereka yang terbabit dengan jenayah itu bukan sahaja merosakkan nama Malaysia malah lebih utama ialah kesucian agama Islam. Kita tidak nafikan perbuatan itu ada kemungkinan besar didorong oleh kemarahan individu berkenaan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah bukan Islam itu.

Tetapi membakar gereja bukan caranya menyelesaikan masalah atau memberi isyarat kemarahan umat Islam. Malah agama Islam melarang umatnya memusnahkan mana-mana rumah ibadat agama lain. Kita masih tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan itu. Tetapi akibat cara berfikiran cetek mereka itu, imej diri, agama, bangsa dan negara telah terjejas. Hakikatnya, isu-isu yang menyentuh perasaan orang Islam amat sensitif. Sebab itu banyak peringatan dikeluarkan agar semua pihak jangan bermain api dalam isu agama. Sekarang semua pihak kena ingat bahawa isu agama benar-benar mengancam keselamatan awam dan negara. Kepada rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia, semua pihak perlu bertenang dan tidak bertindak mengikut perasaan. Kerosakan gereja yang dibakar boleh dibayar ganti ruginya oleh pihak insurans. Tetapi jika tindakan ekstrem berunsur membalas dendam, ia boleh menghancurkan perpaduan kaum yang kita bina sejak negara ini merdeka.

Perbuatan menyerang dan cubaan membakar tiga gereja di ibu negara semalam memang tidak boleh dimaafkan. Tetapi jangan akibat nafsu marah dan provokasi sesetengah pihak itu dibiarkan hingga boleh memecah-belahkan kaum dan keharmonian negara. Kita percaya majoriti umat Islam di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu fanatik yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk membakar gereja. Tetapi tiada siapa berhak membuat tuduhan bahawa insiden itu dilakukan orang Islam kerana terdapat pelbagai kemungkinan dalam kejadian tersebut. Sekarang sudah bermacam-macam teori dan spekulasi dibuat. Ada mengatakan tragedi tersebut seolah-olah dirancang sewaktu umat Islam mahu mengadakan demonstrasi bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Kristian selepas solat Jumaat semalam. Ada teori bahawa serangan terhadap tiga gereja itu berkemungkinan perbuatan pihak tertentu untuk mensabotaj orang Islam dan ekonomi negara.

Namun apa yang betul ialah individu yang melakukannya adalah penjenayah di sisi undang-undang negara. Sebelum insiden ini menjadi batu loncatan kepada tragedi yang lebih buruk maka Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja harus bertindak secara profesional tetapi juga menanganinya dengan berkesan. Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang agar dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak. Jika peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu dikenakan, maka laksanakannya tanpa was-was. Jika ada pihak tidak mematuhi undang-undang penerbitan, larangan penyebaran agama lain kepada orang Islam, penggunaan kata kesat dan penghinaan kepada agama lain, kenapa pihak berkuasa masih teragak-agak untuk mengambil tindakan? Satu tindakan berkesan dan mesej yang jelas terhadap pengacau keamanan negara perlu dilaksanakan. Kepada mereka yang mahu menimbulkan suasana kacau-bilau kepada negara, kerajaan dan polis harus bertindak tegas. Pendekatan mengeluarkan 'amaran' dan tolak ansur dalam situasi begini elok difikir dan dikaji semula.

JUMLAH PESAKIT MENTAL SEMAKIN BERTAMBAH DI NEGARA KITA

Pesakit mental bertambah
Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my


Laporan akhbar harian Kosmo! bertarikh 27 November 2008 menyebut bahawa Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pesakit mental, diabetes dan obesiti di kalangan orang dewasa paling tinggi di negara ini. Kes terbaru yang berlaku di negeri itu adalah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Dalam kejadian penuh tragis itu, empat nyawa melayang dipercayai angkara perbuatan kejam seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga mangsa. Lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut, Rashidi Ismail, 34, akhirnya ditahan polis di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 4.05 petang, 6 Januari lalu.
Kesemua mereka yang dibunuh itu adalah bapa, adik perempuan, datuk dan nenek kepada Rashidi. Lebih menggerikan apabila kepala salah seorang mangsa dibawa ke Shah Alam untuk ditanam di tanah tinggi berdekatan sebatang parit di hujung Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Meneliti kes itu, mungkinkah ia satu kebetulan atau satu kenyataan yang mengiyakan bahawa Negeri Sembilan memiliki sejumlah pesakit mental paling ramai di negara ini? Sehingga hari ini, kita masih belum tahu sama ada Rashidi mengalami masalah gangguan mental, berada di bawah pengaruh dadah atau sebab-sebab lain. Namun daripada apa yang diceritakan oleh adiknya, Siti Mariam bahawa abangnya pernah putus tunang sebanyak dua kali dan tidak bekerja boleh menjadi sebab Rashidi diserang kemurungan sehingga mendorongnya bertindak kejam terhadap keluarga sendiri. Menurut laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, antara punca gangguan mental adalah kemurungan. Ia dijangka menjadi punca utama penyakit mental menjelang tahun 2020. Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah dan hilang minat untuk melakukan aktiviti yang digemarinya sebelum ini.

Pesakit yang dilanda kemurungan juga sering mengalami kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian dan mungkin juga menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga dan rakan serta cubaan membunuh diri. Kesemua faktor itu juga boleh menjurus kepada satu perlakuan yang ganas termasuk membunuh. Pakar psikiatri dari Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Menurutnya, mereka yang betul-betul buat (perbuatan kejam) adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi. Katanya, apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata, suara-suara itu pula biasanya menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal. "Ada suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka. "Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara mara kerap menjadi mangsa," ujarnya. Beliau menjelaskan, suara-suara 'ghaib' itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa. "Pelaku merasakan lebih baik bunuh orang itu dahulu, sebelum orang tersebut membunuh dirinya. Inilah bisikan yang sering kedengaran di telinga mereka," katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang mengalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk. "Penggunaan dadah seperti ice, syabu, heroin dan morfin akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan,"tambahnya. Mengulas sebab-sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan di luar kebiasaan, beliau berkata, semua jenis tekanan sama ada di tempat kerja atau di rumah boleh mendorong mereka bertindak ganas. "Lebih memburukkan keadaan jika sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental," katanya. Memandangkan kes gangguan mental dilaporkan semakin meningkat, beliau mencadangkan agar rawatan terhadap gangguan mental dimasukkan ke dalam polisi insurans. "Di negara kita, tiada perlindungan insurans untuk rawatan gangguan mental. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahu merujuk kes mereka kepada pakar psikiatri. Saya yakin jika pihak insurans memasukkan rawatan gangguan mental di dalam polisi mereka, lebih banyak orang akan tampil mendapatkan rawatan," tambahnya.

Perunding Psikologi, Khairul Anuar Masuan berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan stres iaitu dalaman dan luaran. "Faktor dalaman menyaksikan emosi seseorang tidak kuat, misalnya takut melihat darah. Jika jiwa dia kuat, melihat darah bukanlah satu masalah kepadanya. "Faktor luaran pula melibatkan seseorang kerap memikirkan perkara yang sama berulang kali. Sehinggakan bangun tidur pada waktu pagi pun dia boleh teringatkan perkara itu. Malah, ada yang terbawa-bawa di dalam mimpi. "Keadaan itu, jika tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan dan kesan daripada itu, mereka boleh berhalunisasi sehingga bertindak di luar kebiasaan," ujarnya. Beliau mengakui jumlah pesakit yang mengalami gangguan mental semakin meningkat. Justeru, pelbagai pihak perlu bekerjasama menanganinya. "Saya nasihatkan cuti hujung minggu digunakan dengan bijak agar segala tekanan yang bersarang di dalam diri sepanjang minggu itu dapat dilepaskan.

"Riadah bersama keluarga atau melakukan aktiviti luar yang digemari boleh membantu mengurangkan tekanan," ujarnya. Apapun persepsi orang ramai terhadap kes terbaru yang menggemparkan itu, ia bukanlah lebih menjurus kepada siapa dan negeri mana paling banyak terlibat dalam permasalahan berkaitan kesihatan mental. Apa yang perlu dilakukan adalah masalah kesihatan terutama yang bersangkutan dengan mental hendaklah ditangani segera supaya sebarang bentuk tekanan, kemarahan, keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan. Langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah itu juga wajar dilakukan dari sekarang memandangkan laporan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus berbanding kajian yang sama dilakukan kira-kira 10 tahun lalu.

Statistik daripada kajian itu juga mendapati kira-kira tiga juta daripada 26 juta penduduk negara kita mengalami gangguan mental. Di peringkat antarabangsa pula, kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia dikesan mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada jumlah itu, kurang daripada separuh pesakit menerima rawatan yang diperlukan. WHO juga menganggarkan menjelang tahun 2020, penyakit mental dijangka mewakili 15 peratus daripada penyakit global. Ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007. Memandangkan masalah kesihatan mental kini menjadi sebahagian daripada cabaran era moden yang berlaku dalam masyarakat hari ini, maka pelbagai pihak perlu bersatu tenaga membantu menangani penyakit tersebut. Antara pihak yang boleh bekerjasama dalam perkara itu adalah Kementerian Kesihatan, majikan, pihak pengurusan universiti dan sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen mencegah penyakit mental boleh dilakukan sepanjang tahun bukan sahaja di peringkat sekolah dan universiti, malah ia perlu melibatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman, kampung, pinggir bandar mahupun bandar raya besar. Di peringkat majikan sama ada sektor awam atau swasta, usaha mengesan kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Janganlah sekadar kita menunggu sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun barulah kempen dan aktiviti kesihatan mental diadakan. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009 menekankan betapa kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan di tempat kerja perlu diberi rawatan segera oleh majikan. Menurutnya, ia perlu dilakukan segera bagi menangani produktiviti golongan pekerja di negara ini, selain mengenal pasti pekerja yang mempunyai masalah berkenaan supaya rawatan dan kaunseling dapat diberikan segera. Beliau mencadangkan majikan agar memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pekerja yang berfungsi mengambil langkah-langkah pencegahan serta membantu pekerja yang menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan.

Selain itu, seorang pakar psikiatri dari Toronto, Kanada, Dr. Ted Lo berkata, kurangnya pendidikan mengenai aspek gangguan mental menjadikan mereka yang menderita gangguan tersebut enggan mengakuinya. Keengganan seseorang untuk dikaitkan dengan penyakit mental berpunca daripada stigma sosial dalam komuniti terhadap masalah berkenaan. "Faktor persekitaran dan perspektif budaya yang negatif terhadap gangguan mental telah menghalang ramai pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya. Justeru, stigma dan prejudis masyarakat terhadap penyakit mental perlu dihapuskan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit menemui pakar untuk mendapatkan rawatan.

Kesimpulannya, tragedi hitam yang berlaku melibatkan kehilangan nyawa, amukan dan perbuatan membunuh diri adalah peringatan pahit dalam kehidupan kita akibat daripada penyakit yang hakikatnya boleh dirawat. Langkah-langkah menanganinya sepatutnya tidak diabaikan dalam usaha kita mencapai tahap negara maju menjelang 2020.