JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Mac 2015

Mendepani Cabaran Pendidikan

DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik cemerlang dan pengamal media,
PhD. Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Utusan Malaysia Online, 25 Mac 2015

Pendidikan sangat penting dalam kehidupan, justeru melalui pendidikan dan pemahaman yang men­dalam dan seimbang akan dapat melahirkan insan seimbang dengan iman dan takwa. Al-Quran dan sunah adalah sumber ilmu utama yang seharus­nya menjadi rujukan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Perbincangan tentang falsafah pendidikan dalam sebuah negara berbilang kaum sangat penting bagi mendedahkan maklumat berkaitan landasan falsafah dan hala tujunya. Pendekatan dan usaha yang sama telah diambil institusi pendidikan di Malaysia dalam memenuhi ke­perluan pendidikan. Pembelajaran sepanjang hayat kini semakin penting. Hala tuju pendidikan di Malaysia dari segi falsafah cukup jelas dan telah difahami oleh warga pendidik. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), boleh dikatakan semua guru merupakan komponen penting kerana perlu bertanggungjawab dalam sebahagian besar kerangka falsafah tersebut.


Berteraskan Falsafah Pendidikan Islam (FPI) pula jelas sekali Malaysia mempunyai matlamat untuk menggilap potensi setiap pelajar mengikut kekuatan masing-masing. Apa yang paling utama daripada matlamat ini adalah diharapkan mampu membina sebuah masyarakat Malaysia yang sempurna dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keseimbangan ini pula berakar umbi kepada keyakinan dan keimanan kepada Tuhan, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Melalui matlamat pendidikan ini, perancangan, pelaksanaan dan kajian terus dilakukan untuk menghasilkan sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai ilmu, ketokohan, budi, dan kemahiran mengurus diri serta organisasi. Kekuatan setiap individu masyarakat seperti ini pula mampu menjulang Malaysia untuk terus berdaya saing, berkembang maju, makmur dan terkehadapan. FPK ini jelas selari dengan falsafah yang diutarakan oleh tokoh pendidik di negara ini.

Selain pendidikan berkaitan dengan perkembangan ilmu pengetahuan, pendidikan akhlak juga penting kepada murid dan pelajar. Selain pembangunan akal, pembangunan akhlak juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembangunan pelajar yang seimbang. Jika diperhalusi pernyataan dalam FPK itu, terdapat dua aspek penting yang terkandung di dalamnya adalah wajah insan yang diingini dan kaedah untuk mencapai wajah tersebut. Rupa bentuk wajah yang diingini ialah insan yang baik dan cemerlang dalam empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. Aspek intelek penting kerana manusia yang baik ialah manusia yang berilmu, cintakan ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Mereka tidak mudah terpengaruh me­lainkan berlandaskan fakta dan ilmu yang tepat benar dan membawa kebaikan kepada manusia.

Manakala, aspek rohani pula me­rujuk kepada jiwa insan yang lebih tepat kepada kalbu yang memberi pancaran kepada suara hati. Nilai yang dihayatinya dengan berkesan akan menimbulkan ke­sedaran tentang apa yang betul dan apa yang salah, dengan rasa simpati, prihatin dan seumpamanya. Aspek emosi pula menekankan tentang perasaan. Seorang insan yang baik dan cemerlang ialah insan yang mempunyai perasaan yang seimbang iaitu perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain. Kasih sa­yang menjadikan insan tersebut cintakan kedamaian, perpaduan, persaudaraan dan silaturahim serta pembangunan yang baik. Sifat ini sangat penting, kerana insan yang hidup tanpa rasa kasih sayang akan mirip menjadi insan yang kejam, ganas dan hanya mementingkan diri sendiri. Suka memusnahkan pembangunan yang dibina, melakukan kekejaman dan huru-hara dan memusnahkan alam sekitar.

Bagi aspek jasmani memberi penekanan kepada kecergasan dan kesi­hatan mental dan fizikal. Ha­nya insan yang sihat sahaja yang akan dapat berfungsi sepenuhnya secara produktif. Justeru, keempat-empat aspek ini penting dalam diri seseorang untuk menjadikan dan melahirkan insan yang seimbang dan harmoni. Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Kepelbagaian ini diwarnai oleh budaya bangsa dan agama yang berbeza-beza antara satu sama lain. Inilah keunikan negara kita yang cemerlang di mata dunia. Keharmonian ini te­lah lama dipupuk dalam kalangan rakyat sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya dan menjadikan rakyatnya bersatu hati. Perbezaan fahaman politik bukanlah halangan untuk menjadikan perpaduan sebagai agenda pen­ting. Bagi mengekalkan perpaduan ini kita perlulah memahami serta menghormati agama dan budaya rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara ini.

Mengamalkan sikap saling bertoleransi, menyayangi, melindungi dan menghormati hak orang lain adalah antara ramuan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Nilai-nilai murni ini terdapat dalam instru­men Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan. PBS yang bersifat holistik bertujuan menilai kemahiran dan kecekapan murid dari aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani), dan psikomotor (jasmani) selaras dengan FPK dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang merangkumi pendidikan menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah tidak terkecuali mengambil visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat memenuhi ke­perluan negara pada masa depan.


Melalui PPPM ini enam ciri utama ditekankan yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu meliputi mempunyai pengetahuan yang tinggi dan meluas; kemahiran berfikir; daya ke­pimpinan; penguasaan dwibahasa; etika dan kerohanian; dan memiliki identiti nasional sejajar dengan FPK. Ibu bapa pula wajar sederap­ mendepani transformasi pendidikan negara yang sentiasa berubah. Perubahan juga mesti dilakukan oleh para pendidik yang bersedia untuk bekerjasama bagi menyokong usaha murni ini. Apa yang lebih penting, murid dan pelajar juga mesti berubah dan tabah menghadapi perubahan dengan ketrampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang.

29 Mac 2015

TEGAS LAKSANAKAN GST

Dr. Rohaime Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 29 Mac 2015


Setelah hampir 27 tahun, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) disebut buat pertama kalinya di Malaysia, akhirnya tanggal 1 April ini, iaitu tiga hari lagi men­jadi penentu pelaksanaan sistem percukaian ini. Kerajaan sudah menyatakan bahawa GST tidak akan ditangguhkan. Dalam keadaan banyak lagi rakyat Malaysia yang masih samar-samar atau kurang faham dengan GST, persoalan asas sama ada GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan hanya ditentukan selepas kerajaan dapat melaksanakan GST dengan jayanya.

Sudah menjadi lumrah di Malaysia, sebarang perubahan yang ingin dibuat pastinya akan mendapat bantahan. Lebih-lebih lagi kalau bantahan itu melibatkan orang politik, maka riuh rendah dibuatnya seolah-olah perubahan yang ingin dibuat tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat. Selepas perubahan itu ber­jaya dilaksanakan, baharulah dapat menutup mulut golongan seperti ini yang tidak pernah sunyi dalam menghangatkan sesuatu isu rakyat. Maka untuk menutup mulut golongan ini daripada terus menghasut majoriti rakyat Malaysia, mahu tidak mahu kerajaan perlu membuktikan bahawa GST benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Pokoknya di sini ketegasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan dalam sistem percukaian Malaysia.


Banyak contoh di negara lain yang membuktikan bahawa GST memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Usah pergi jauh, di negara jiran kita, Singapura, GST telah memberi impak positif kepada negara berkenaan. Lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara. Malah, wang berkenaan boleh meringankan mereka yang kurang berkemampuan. Bayangkan sebuah negara yang tidak mem­punyai sumber semu­la jadi yang banyak seperti negara kita pun mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia, maka, tiada alasan untuk negara kita mencapai lebih banyak kejayaan. Cuma bezanya di sana, ketegasan kerajaan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Umum mengetahui, salah satu perkara yang sering disebut-sebut oleh rakyat Malaysia ialah kelemahan penguatkuasaan yang menyebabkan banyak kerugian kepada rakyat dan negara. Misalnya, ketirisan melibatkan penyeludupan minyak di negara jiran adalah berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan.

Akhirnya, untuk mengatasinya kerajaan telah menarik subsidi minyak. Tidak kurang juga isu warga asing yang terlibat dalam perniagaan, dengan sewenang-wenangnya mereka membuka kedai. Sampai sekarang pun isu ini tidak selesai, menggambarkan kelemahan penguatkuasaan. Maka, dalam hal GST, kerajaan perlu tegas terutamanya terhadap peniaga-peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk menggagalkan pelaksanaan GST. Ada antara mereka dengan sengaja menaikkan harga barangan sebelum GST dilaksanakan lagi. Sedangkan kenaikan harga barangan yang dijual tidak berkait langsung dengan GST.

Apa yang berlaku, rakyat diadu domba seolah-olah kenaikan tersebut berpunca daripada GST. Dengan kata lain, GST dikambinghitamkan demi keuntungan sebelah pihak. Akibat kekurangan maklumat atas beberapa faktor seperti maklumat tidak sampai kepada mereka atau mereka sendiri malas untuk mencari maklumat sebenar dengan mempercayai bulat-bulat media sosial, maka segelintir golongan rakyat ini dengan mudahnya dihasut untuk membangkitkan kemarahan terhadap GST. Di Singapura juga tatkala GST ingin dilaksanakan, rakyatnya juga kekurangan pemahaman tentang GST, namun perkara ini dapat diatasi dari hari ke hari sehinggalah rakyat mula nampak kebaikan GST. Kerajaan Singapura telah berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman tentang GST kepada rakyatnya.

Mendesak

Mengambil contoh, caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran dalam lingkungan 5-15 peratus, isu ini hanya berbangkit dalam kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST. Jika tidak, berapa ramaikah rakyat Malaysia mengetahui bahawa caj perkhidmatan tersebut bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan? Apabila ada yang menganggap itu cukai yang dikutip oleh kerajan, jadi tidak semena-mena perasaan marah boleh timbul terhadap kerajaan. Ekoran isu caj perkhidmatan ini timbul, maka terdapat pihak yang mendesak kerajaan untuk menghapuskan caj perkhidmatan. Malangnya, caj perkhidmatan ini dikatakan tidak dikawal oleh kerajaan. Adakah caj perkhidmatan tersebut setimpal dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga? Di sini, kerajaan perlu tegas untuk membuat keputusan demi kepentingan rakyat.

Lihat sahajalah isu kenaikan harga minyak yang digunakan untuk menaikkan harga barangan dan makanan, walhal apabila harga minyak diturunkan tidak pula harga barangan dan makanan diturunkan. Inilah yang sebenarnya dibimbangi oleh rakyat. Contoh ini pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa terdapat peniaga yang sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mereka ini jugalah yang memberi seribu satu alasan kononnya pelaksanaan GST menyusahkan mereka dan melibatkan kos pematuhan yang tinggi. Sejak sekian lama, mereka mengaut keuntungan yang cukup tinggi sehingga menjadikan mereka kaya raya, jadi apalah salahnya, mereka menyerap kos ini demi berbakti kepada rakyat. Bagi peniaga yang masih degil menaikkan harga produk mereka dengan keterlaluan, kerajaan sewajibnya tegas menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Apalah gunanya, di atas kertas, terdapat akta yang bagus, namun penguatkuasaan tidak ke mana.

Perlu diingat, selain kos pematuhan yang terpaksa ditanggung oleh mereka, kerajaan juga menanggung kos pentadbiran untuk melaksanakan GST. Sebab itulah, usah memberi seribu satu alasan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Kalau 160 negara telah melaksanakan GST termasuklah United Kingdom yang telah berjaya melaksanakan GST, adakah masih tidak cukup bukti GST itu sistem percukaian yang bagus? Kos pentadbiran yang ditanggung oleh kerajaan diperlukan untuk memastikan kelancaran sistem GST bagi merealisasikan kecekapan dan keberkesanan pelaksanaannya. Melalui kutipan GST yang cekap akan menentukan bahawa dana yang lebih banyak dan pendapatan kerajaan yang lebih stabil boleh dikembalikan semula kepada rakyat terutamanya untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan, berpendapatan rendah dan mereka yang sudah pencen. Malah, melalui ketegasan kerajaan jugalah, wang kutipan GST dapat disalurkan kepada rakyat pada tahap kecekapan yang paling optimum. Dengan ini, bakal memperbetulkan reaksi negatif segelintir rakyat, memacu ekonomi dan daya saing negara serta memperkukuhkan lagi kredibiliti kerajaan di mata rakyat.

24 Mac 2015

LAHIRNYA GENERASI YANG SUKA CARI PASAL

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA 
TARIKH : 22 MAC 2015

Video hudud stesen radio kontroversi BFM me­mang sengaja mencari pasal. Barangkali setelah menyedari kesilapan itu dan mendapat reaksi negatif orang ramai, klip video tersebut kemudiannya ditarik balik. Kemarahan orang ramai membuak-buak sehinggakan pengacara video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi?" itu, Aisyah Tajuddin menerima ugutan bunuh dan rogol di media sosial. Rasanya tidak mengapa jika video yang dianggap BFM sebagai satira itu hanya mengkritik Kerajaan Pas Kelantan seperti masa untuk hukum hudud dilaksanakan tidak sesuai, tidak mematuhi Per­lem­bagaan dan perlu mendahulukan usaha membantu mangsa banjir. Itupun aliran propaganda yang dilakukan oleh pengkritik hudud Pas termasuk oleh DAP dan PKR. Orang boleh menerima perbezaan pandangan seperti itu kerana yang dikritik ialah pelaksanaannya bukan hukum tersebut.


Akan tetapi, jangan memperlekeh hukum hudud apatah lagi menyamakannya dengan sebungkus nasi lemak yang berisi batu. Jangan katakan hudud tidak mampu mengisi perut. Ini satu provokasi terhadap Islam. Tentu sekali provokasi seperti itu akan mengundang kemarahan. Apatah lagi video itu menyentuh urusan agama yang akan ada pihak sanggup bertindak ekstrem demi mempertahankan kesuciannya. Orang tua-tua dulu pun berpesan jangan dijolok sarang tebuan. Peristiwa serangan ke atas pejabat akhbar mingguan satira Charlie Hebdo di Paris yang mengorbankan 12 orang rasanya baru sahaja berlalu. Serangan pada 7 Januari lalu itu akibat daripada perbuatan akhbar tersebut yang membuat provokasi dengan menerbitkan karikatur Nabi Muhammad. Dunia mengutuk serangan tersebut dengan catatan perlakuan ganas itu akibat ulah Charlie Hebdo sendiri yang hanya memikirkan hak kebebasan mereka sahaja. Samalah juga dengan kempen "Saya Mahu Sentuh Anjing" di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya Oktober tahun lalu yang menimbulkan kemarahan orang ramai. Penganjurnya yang juga kumpulan anak muda turut menerima ancaman bunuh.

Berfikir

Tentu kita juga mengecam ancaman bunuh dan rogol terhadap Aisyah. Tetapi bagaimanakah kita boleh mengawal kemarahan orang ramai jika kita sendiri yang sengaja mahu mencari pasal? Malangnya sebagaimana juga penganjur program sentuh anjing, video BFM itu cuba dipertahankan oleh kumpulan hak asasi manusia. Mereka menganggapnya se­ba­gai kebebasan bersuara dan satu hak mutlak indivi­du untuk memberikan panda­ngan. Seperti lazimnya, kumpulan pemuja kebebasan itu hanya melihat sisi mereka sahaja. Mereka tidak berfikir dan me­lihat Malaysia dalam konteks yang tersendiri, lantas me­ng­am­bil secara melulu model ke­bebasan bersuara daripada Barat. Kini, perbuatan provokasi itu seperti menjadi mainan kum­pulan tertentu yang hujung-hujungnya dikaitkan de­ngan isu kebebasan bersuara. Yang hujung-hujungnya juga ada kaitan dengan cita-cita sebuah parti politik itu.

Nampaknya mereka telah berjaya melahirkan anak muda yang boleh sesuka hati mencari pasal atas nama kebebasan bersuara. Perjuangan pihak-pihak ini nampaknya tidak per­nah luntur dan sentiasa mem­buat asakan. Arah tuju mereka semakin jelas. Januari lalu juga kita dikejutkan dengan kenyataan seorang peguam hak asasi ma­nusia yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat. Kita juga belum lupa video menghina Islam oleh Alvin Tan yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat. Dalam kes terbaharu ini, BFM dan Aishah harus di­pertanggungjawabkan. Jika mahu kritik hudud, kritiklah dalam konteks yang betul. Tentu sekali mengkritik hukum agama tidak sama seperti mengkritik hal-hal lain. Banyak sensitiviti perlu diambil kira.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah mengkritik dan memberi pandangan berbeza tentang hudud Pas ini. Begitu juga dengan kumpulan ulama termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Jadi tidak ada masalah untuk mengkritik hudud yang bakal dilaksanakan oleh Pas itu. Dan seperti kes-kes terdahulu, ada kecenderungan untuk menyalahkan pihak lain. Mereka menyalahkan pemerintah bahkan institusi pendidikan yang gagal mendidik masyarakat Malaysia untuk menerima per­bezaan pandangan. Percayalah jika video seumpama itu disiarkan di Indonesia, reaksinya mungkin akan lebih ekstrem lagi. Masyarakat Malaysia masih mempunyai toleransi yang tinggi tetapi janganlah terus-terusan me­la­ku­kan provokasi. Provokasi yang berlebihan akan membenihkan anarkis dan menyuburkan ekstremisme. Soalnya bukan berbeza pandangan tetapi video BFM itu satu provokasi. Yang jelas, masyarakat Malaysia meraikan perbezaan pendapat tetapi pada masa sama menolak provokasi. Malaysia juga bukanlah tempat yang tidak selamat. Malaysia adalah tempat paling selamat. Menjadikan Malaysia tempat selamat adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pemuja hak kebebasan bersuara.

14 Mac 2015

KHAZANAH ALAM BUKAN GADAIAN JADI NEGARA MAJU

Penulis: Azran Jaffar
Sumber : Berita Harian Online
Tarikh : 12 Mac 2015 (Khamis)

Memperkatakan mengenai penerokaan hutan dan penebangan balak di negara ini, timbul dua sudut pandangan bertentangan, dengan di satu pihak menganggap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar terlalu sentimental berhubung perkara ini kerana mengutarakan terlalu banyak masalah kesan kegiatan ini manakala NGO berkenaan pula menganggap apa yang berlaku, terutama pada waktu ini adalah amat membimbangkan yang mana jika tidak dibendung kita akan kehilangan khazanah alam yang cukup berharga. Tidak kurang juga ada yang seolah-olah mempertikaikan usaha pemuliharaan dan pendidikan dilakukan NGO alam sekitar kerana ada yang berpendapat hasil hutan menyumbang kepada ekonomi sesebuah negeri dan pada masa sama pembangunan perlu dilaksanakan. Justeru, di kawasan yang berhampiran dengan kawasan berpenduduk, hutan harus dikorbankan bagi memberi ruang kepada generasi seterusnya.
  
Penerokaan hutan untuk pertanian

Begitu juga penerokaan hutan dilihat perlu bagi meneruskan agenda pertanian terutama komoditi pertanian dan dalam keadaan tertentu penerokaan hutan untuk perladangan dilihat mengubah taraf kehidupan sesetengah kumpulan masyarakat. Walaupun ladang komoditi dianggap sebahagian daripada kehijauan yang mewarnai bumi negara ini oleh pihak berkepentingan, bagi NGO alam sekitar, kehijauan berkenaan tidak sama kerana ia diisi dengan hanya satu spesies pokok sedangkan hutan didefinisikan sebagai kawasan yang perlu ada 8,000 spesies pokok.


Melihat kepada alam sekitar secara keseluruhan yang turut mencakupi samudera negara, timbul pula dilema, iaitu antara pemuliharaan dan keperluan hidup. Dengan ada yang melihat kemusnahan alam sekitar berlaku akibat desakan untuk mencari makan, tindakan menghalang perkara ini dilakukan penduduk berkepentingan menjadi seakan pemusnah kehidupan mereka yang seolah memiskinkan lagi mereka yang sudah sedia miskin. Namun, walau apa pun pandangan dikemukakan, sebenarnya kita memerlukan hutan dan samudera yang sejahtera bagi memperoleh kehidupan penuh makna. Perubahan cuaca yang berlaku harus menjadi titik kepada semua pihak menilai semula peranan mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar yang mana jika tidak kemusnahan lebih teruk menjadi ganjaran kepada semua.

Lestarikan bumi

Justeru, ramai yang melihat banjir besar melanda beberapa negeri di Semenanjung pada Disember lalu yang kemudiannya menjangkit ke Sabah dan Sarawak, sebagai titik tolak untuk semua pihak kembali melestarikan bumi Malaysia yang mana dikatakan sudah kehilangan hampir 70 peratus hutan hujan yang di dalamnya terkandung pelbagai rahsia dan misteri. Tidak menolak segala persoalan dibentangkan mereka yang bertentangan pendapat dengan mereka, NGO alam sekitar sebenarnya mengharapkan walau apa pun dilakukan ia perlu dilaksanakan dengan penuh lestari dan bertanggungjawab dan bagi mereka inilah kata kunci sebenarnya dan apa yang dilakukan itu ada hadnya dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

Inilah antara apa yang dilontarkan beberapa pihak berkaitan alam sekitar pada Forum Media Khazanah Alam PEKA-MPI 2015, baru-baru ini. Program yang dianjurkan bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) dan Institut Akhbar  Malaysia (MPI) dihadiri kira-kira 100 peserta terdiri daripada wakil NGO berkaitan alam sekitar, wakil institusi pengajian tinggi dan pengamal media. Menyangkal pandangan mereka yang menganggap ladang kelapa sawit dan getah sebagai hutan, Naib Presiden PEKA, Dr Abdul Razak Abdul Rahman, berkata hutan ini hanya ada satu jenis pokok dan bertanya, lantas kepelbagaian apakah yang ditawarkan. Ini juga bertentangan dengan sifat semula jadi hutan hujan yang bertindak sebagai sumber air dan dari aspek lain, adalah pengawal banjir yang cukup hebat.

Kepentingan hutan hujan

Inilah sebenarnya pasangan sejoli, hujan yang banyak diterima rantau sebelah sini ditemukan dengan hutan hujan yang menjadi pelengkap kepada kejadian alam dan apabila ia dipisahkan, maka kesannya adalah banjir yang diterima. Tiada lagi kesepaduan antara keduanya dan ungkapan lengkap melengkapi menjadi satu tinggalan yang kesan akhirnya kepada manusia itu sendiri. Jika dilihat dari satu aspek, hutan sebegini 'menghalau' penghuni asalnya yang satu masa dahulu membiak kerana habitat yang ada membolehkan proses ini berlaku dan kini kehijauan dinikmati tidak sama dan walaupun ada masanya mereka berkunjung juga ke tanah asal itu, tetapi kehadiran mereka dilihat sebagai ancaman kepada tuan baharu.

Jelas Abdul Razak, Malaysia kehilangan bilangan hektar yang besar hutan hujan setahun yang menjadi sumber air dan bagi pemegang konsesi mereka diberi tempoh satu hingga tiga tahun untuk menanam semula, namun sukar untuk dipastikan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tugas penting ini, memantau proses penanaman semula. Dakwanya lagi, sukar juga untuk dipastikan sama ada royalti diterima digunakan untuk tanam semula. Ketidaklestarian dalam penerokaan hutan inilah yang sebenarnya dibimbangkan NGO alam sekitar dan sebagaimana kata Presiden PEKA, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, kegiatan ini bukan sahaja menggugat kehidupan, tetapi juga menjauhkan pelancong dari negara ini dengan United Kingdom contohnya telah mengeluarkan Taman Negara dari destinasi pelancongan mereka.

Kelestarian hutan menyumbang kepada pendapatan negara

Jadi, di mana benarnya hanya pembalakan mampu memberikan sumber ekonomi kepada negara sebaliknya kelestarian hutan juga sebenarnya mampu menyumbang pendapatan, justeru menjaga dan memuliharanya bukan sahaja mengekalkan kehijauan yang ada, tetapi juga memberi kebaikan kepada semua. Sebagaimana katanya lagi, kemusnahan hutan menyebabkan sungai menjadi kecil, air menjadi keruh dan kita kehilangan banyak spesies haiwan dan keajaiban inilah yang hendak dilihat dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Menyambung hujah ini, Penyelidik di Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata kita dikenali kerana mempunyai hutan paya bakau yang terpelihara di daerah Larut Matang, tetapi tidak begitu keadaannya di daerah Manjung yang mana hutan berkenaan mengalami kemusnahan kesan daripada pembangunan.  Kedua-duanya berada di negeri yang sama dan kedudukannya juga tidaklah begitu jauh, namun dua situasi ini mampu memberikan kita persepsi yang pelbagai dan jelas apa yang berlaku di Manjung perlukan pembelaan, kerana hutan paya bakau adalah antara tembok terbaik untuk ancaman tsunami yang mana fungsi ini perlu dijaga dengan sebaiknya.

Isu Cameron Highlands

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha 1 (Pengurusan Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor, berkata isu alam sekitar terletak di bawah Kerajaan Negeri dan ada masanya Kerajaan Persekutuan perlu masuk campur seperti apa yang berlaku di Cameron Highlands dan isu alam sekitar sebenarnya membabitkan semua. Daripada apa yang diperkatakan, jelas kita memerlukan satu pendekatan lebih tegas dalam menangani dan mengawasi proses penerokaan hutan di negara ini supaya usaha mengekalkan dan memulihara apa yang ada dapat dilakukan dengan sebaiknya dengan apa yang lebih penting adalah kualiti kehidupan rakyat dapat dijamin kerana tiada gunanya kita menjadi negara maju tetapi khazanah berharga menjadi gadaian.


Justeru, antara sumber pendapatan kepada kerajaan negeri dan kepentingan manusia secara keseluruhan, kelestarian hutan perlu menjadi agenda kerajaan negeri kerana kesejahteraan hidup juga adalah sesuatu yang penting dan tona-tona kehijauan hutan adalah satu warna yang cukup menenangkan.

TEKNOLOGI HIJAU TINGKAT KUALITI HIDUP, PACU EKONOMI NEGARA

Penulis: Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah
Sumber : Berita Harian Online
Tarikh : 13 Mac 2015 (Jumaat)

Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat. Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar. Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.


Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca. Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar. Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui. Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Dasar Teknologi Hijau

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang. Ia adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan. Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.

Fenomena pemanasan global

Dari sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: 'Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius.' Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon. Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap 'teknologi hijau' adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif berikut:

1) Dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS);

2) Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;

3) Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan

4) Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.


Umumnya, teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi. Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama. Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi.

Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya. Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Ia dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh, penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup. Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil. Tonggak utama DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran rakyat. Berikutan itu, dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan untuk memperhebat aktiviti kesedaran rakyat mengenai perlunya menghijaukan persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam. Ini selaras dengan strategi pelaksanaan DTHN iaitu mempertingkat promosi dan kesedaran awam mengenai teknologi hijau dan kepenggunaannya.

Langkah kerajaan memajukan teknologi hijau

Usaha ini juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10 juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini. Kerajaan turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140 syarikat. Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya.

Misalnya, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau. Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi hijau. Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau. Kejayaan DTHN turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan. Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang berkepentingan.


Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau. Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.

13 Mac 2015

TINGKATAN 6 BUKAN KELAS KEDUA!


Kita sering mendengar para pelajar dan ibu bapa mengatakan bahawa melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam merupakan pilihan terakhir. Golongan ini selalu mengatakan bahawa Tingkatan Enam tidak ada standard. Belajar di Tingkatan Enam tidak glamour. Kenyataan sebegini seolah-olah menyamakan dunia pendidikan dengan dunia artis yang dilimpahi dengan kontroversi dan glamour. Kadang-kadang saya berasa kasihan, apabila yang bercakap merupakan kawan-kawan sendiri yang berpendidikan dan berpelajaran. Mereka menjadi orang yang hebat dan berpangkat kerana menduduki peperiksaan STPM. Mereka menjejakkan kaki ke menara gading berbekalkan sijil STPM. Mereka bekerja sehingga menjawat jawatan penting pun disebabkan mereka memiliki sijil STPM. Malangnya, apabila mereka sudah berjaya mereka memperlekeh dan memandang sebelah mata dunia persekolahan di Tingkatan Enam.

Rata-rata pelajar yang meninggalkan Tingkatan Enam memberitahu bahawa belajar di Tingkatan Enam ini susah. Kebarangkalian gagal amat tinggi. Jika mereka belajar di kolej-kolej swasta, mereka tidak akan gagal, suasana pembelajaran juga lebih selesa, dan boleh mendapatkan pinjaman wang daripada PTPTN. Itu yang mereka nampaklah. Yang mereka tak nampak ialah kemaslahatan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam. Alasan bahawa belajar di Tingkatan Enam adalah susah merupakan tuduhan serong dibuat tanpa fakta. Bagi orang yang rajin, mereka tidak akan gagal malahan mereka akan menganggap segala yang susah itu sebagai cabaran yang harus diatasi untuk terus mara ke hadapan. Tidak ada mana-mana sistem pendidikan di dunia ini yang mudah dan senang lulus! Semakin tinggi tahap pendidikan seseorang semakin susahlah tahap pembelajarannya. Jangan lupa bahawa sijil STPM yang dikatakan tidak standard dan tidak glamour itu setaraf dengan A Level yang dikeluarkan oleh UK.


Tingkatan Enam merupakan peringkat pengajian termurah selepas STPM. Kerajaan langsung tidak mengenakan bayaran bagi calon-calon sekolah untuk menduduki STPM kecuali jika mereka mengulang. Dengan ini, mereka tidak perlulah membuat pinjaman pendidikan PTPTN. Harus diingat, pinjaman PTPTN itu mesti dibayar. Jika selepas menamatkan pengajian, kita tidak bekerja selama beberapa bulan atau beberapa tahun. Macam mana caranya untuk kita membayar hutang PTPTN. Semakin banyak kita pinjam, semakin banyaklah jumlah yang perlu dibayar. Dalam dunia pendidikan, kita bukannya mengejar glamour, yang kita mahukan ialah ilmu. Kita harus ada perancangan dan cita-cita untuk mengubah nasib diri dan keluarga ke arah yang lebih baik. Apa gunanya kita belajar di kolej-kolej mewah jika kita meminjam dan terpaksa membayar pinjaman itu kelak. Jika kita ada pekerjaan tidak mengapa. Akan tetapi, jika kita menjadi penganggur terhormat selama beberapa tahun? Jawapannya, tepuk dada tanyalah selera.


Para pelajar dan ibu bapa harus tahu, mulai tahun 2012, kerajaan sudah mula memandang tinggi pengajian di Tingkatan Enam. Alangkah sayangnya tatkala orang lain melihat kelebihan melanjutkan pelajaran melalui tingkatan enam, kita pula melihat sebaliknya hanya kerana kita terpengaruh dengan kata-kata orang lain dan bukannya berdasarkan fakta dapatan kajian sendiri. Golongan inilah yang kebanyakannya tamat persekolahan pada usia muda kerana terlalu mempercayai khabar angin. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran! Harus diingat, jika anda nak masuk Tingkatan kentut  dan mengambil subjek Bahasa Melayu anda haruslah bermula dari Penggal 1.Jika tidak kena tunggu peluang pada tahun berikutnya.

Cetusan minda seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart


11 Mac 2015

BAHASA MELAYU 2 PENGGAL 2 : KATA ADVERBA




Latihan soalan struktur

1.         Mengapakah kata adverba bukan dalam golongan kata utama?

2.         Nyatakan 3 ciri kata adverba.

3.         Senaraikan 3 contoh kata adverba jati.

4.         Bergerak pelahan
   Berjalan lancar
  Tidur nyenyak

   Apakah jenis kata adverba yang disenaraikan di atas?

5.         Dia duduk berlunjur.

   Apakah kata adverba dalam ayat di atas?

   Apakah jenis kata adverba dalam ayat di atas?

   Mengapakah anda memilih kata tersebut sebagai adverba?

6.         Berikan satu contoh kata adverba bagi setiap bentuk gandaan di bawah:

   Penggandaan penuh
   Penggandaan separa
   Penggandaan berentak

7.         Berikan 2 contoh kata adverba untuk menunjukkan makna di bawah:

   Waktu
   Cara
   Ragam
   Jarak
   Keadaan
  Sifat perasaan


JAWAPAN

1.      Kata adverba bukan kata utama kerana kata adverba tidak boleh menjadi unsur inti dalam frasa.

2.     Dikenali kata keterangan

Menerangkan kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan frasa sendi nama
Boleh hadir sebelum atau selepas frasa

3.     Kemudian, sekali gus, kadang-kadang

4.     Kata adverba yang asalnya kata adjektif

5.     (a) belunjur

(b)   Kata adverba yang asalnya kata kerja

(c)    Belunjur ialah kata kerja yang menerangkan duduk yang juga kata kerja.

6.     Penggandaan penuh – senyap-senyap, lambat-lambat
Penggandaan separa – teresak-sesak, berbulan-bulan
Penggandaan berentak – bolak-balik, lintang-pukang

7.     Waktu  - lewat, sekarang
Cara – bermati-matian, begini
Ragam – betul-betul, benar-benar
Jarak – dekat, jauh
Keadaan – pendek, rapi

Sifat perasaan – rindu, benar

10 Mac 2015

BAHASA MELAYU PENGGAL 2 : KATA KERJA




Soalan 1

(a)  Apakah perbezaan antara kata kerja perbuatan dengan kata kerja keadaan? [2]

Jawapan
Kata kerja perbuatan dicirikan oleh adanya gerak atau perbuatan, manakala kata kerja keadaan dicirikan sebagai kata kerja yang tidak menampakkan adanya gerak laku secara jelas. 

(b)  Berikan 2 contoh kata kerja perbuatan.[2]

Jawapan:
      (i)    membaca 
      (ii)   berbual-bual

(c)  Buat 2 ayat menggunakan kata kerja keadaan. [2]

Jawapan:

      (i)   sakit - Emak saya sakit tenat.

      (ii)  hilang - Pen dia  hilang.



Soalan 2

(a)  Senaraikan 3 ciri kata kerja. [3]

Jawapan:

       (i) didahului oleh kata bantu

       (ii) didahului oleh kata nafi tidak

       (iii)  dapat dijadikan ayat perintah dalam ayat minimal.


(b)  Berikan 1 contoh bagi setiap ciri yang disenaraikan pada (a).

Jawapan:

       (i) didahului oleh kata bantu --- sudah minum

       (ii) didahului oleh kata nafi tidak --- tidak minum

       (iii)  dapat dijadikan ayat perintah dalam ayat minimal. --- Minum!


Soalan 3

Berikan 2 perbezaan antara penerang dan pelengkap [2]

Jawapan:


Penerang merupakan kata nama yang mengikuti kata kerja aktif tak transitif dalam ayat, manakala pelengkap merupakan unsur yang perlu digunakan selepas kata kerja tak transitif, jika tiada pelengkap sesuatu ayat itu boleh diangga ayat t



Soalan 4

Bina ayat berdasarkan perkara di bawah:

(a)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata nama atau frasa nama

Jawapan:
Mereka berjabat tangan.

(b)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata adjektif atau frasa adjektif

Jawapan:
Dia bertubuh sasa

(c)  Kata kerja tak transitif berpelengkap kata sendi nama

Jawapan
Dia tinggal di Kota Baharu.





PAKAIAN KASUAL SMART MAMPU LONJAK IMEJ TINGKATAN ENAM


Penjenamaan semula Tingkatan Enam menjadi lebih menjadi lebih bermakna melalui pengumuman rasmi daripada Kementerian Pendidikan yang mengesahkan bahawa pelajar yang akan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam dibenarkan memakai pakaian tradisonal atau pakaian lain, sebagai sebahagian daripada kod pakaian baharu bermula musim persekolahan 2015. Mereka juga akan dibenarkan untuk memakai baju batik ke sekolah. Ini sejajar dengan langkah kementerian untuk "menjenamakan semula" Tingkatan Enam. Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, sekolah tidak lagi boleh mengarahkan pelajar Tingkatan Enam supaya memakai pakaian mengikut standard.

Pelajar lelaki juga akan dibenarkan memakai baju dan seluar berwarna cerah dan seluar ke sekolah tetapi tidak boleh mempunyai corak bunga atau rekaan lain. Walaupun mereka bebas untuk memilih warna baju mereka, tetapi ia perlu pastikan tidak mempunyai corak. Namun begitu,  baju yang bercorak belang atau berpetak dibenarkan. Walaupun tidak dinyatakan di dalam arahan itu, pelajar masih lagi boleh memakai uniform. Panjang seluar yang dipakai juga perlu melebihi buku lali dan tidak ketat. Pelajar juga dibenarkan memakai tali pinggang tetapi saiz 'buckles' tidak boleh melebihi 5 sentimeter. Dr Khair berkata, walaupun kelonggaran di bawah peraturan baru, pelajar dilarang daripada memakai mana-mana pakaian yang diperbuat daripada bahan denim.


Selain baju kurung, pelajar perempuan juga akan dibenarkan memakai seluar panjang. Mereka juga akan dibenarkan memakai blaus berlengan, gaun labuh, skirt yang melebihi paras lutut, manakala seluar jeans, seluar kargo, seluar pendek dan celana ketat tidak dibenarkan. Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja-T apabila mereka datang ke kelas. Syarat tambahan lain ialah pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian ketat. Pelajar lelaki dikehendaki memakai kasut dan stoking manakala perempuan hanya boleh memakai kasut yang menutupi kaki mereka. Selipar, terompah atau sandal tidak dibenarkan. Bagi aktiviti luar, pelajar digalakkan memakai seluar panjang atau seluar trek dan kemeja-T lengan panjang atau pendek. Kemeja-T yang dipakai tidak boleh mempunyai imej politik, ganas, kesat atau apa-apa yang dianggap negatif.

Selama ini, satu perkara yang mengekang kemasukan pelajar yang ramai ke pengajian tingkatan enam ialah isu pemakaian pakaian sekolah oleh pelajar tingkatan enam. Isu inilah sebenarnya yang menghalang ramai pelajar untuk tidak meneruskan pengajian ke tingkatan enam. Walaupun kurikulumnya mesra pelajar, sistem peperiksaan dirombak, kos pengajiannya murah, yurannya ditanggung oleh kerajaan, dan sebagainya soal berpakaian seragam sekolah kepada pelajar yang sudah memasuki usia 18 hingga 20 tahun dilihat sudah tidak relevan dengan perkembangan semasa. Remaja dalam usia sedemikian dari segi psikologinya merasa malu untuk memakai pakaian sekolah sama seperti adik-adiknya yang berusia 17 tahun ke bawah. Zaman ini bukan lagi seperti zaman dahulu. Dalam usia 18 hingga 20 tahun mereka merasa malu untuk dilihat seperti murid berusia 17 tahun ke bawah.


Rata-rata rakan seusianya yang belajar di tempat lain, seperti di kolej matrikulasi, politeknik dan universiti sudah tidak memakai pakaian seragam. Hal ini boleh menimbulkan rasa rendah diri di kalangan mereka. Jika pihak KPM berjaya mengubah dasar ini, diyakini ramai ibu bapa akan menyokongnya kerana mereka sedar pengajian tingkatan enam ialah pengajian yang paling murah sebenarnya berbanding dengan pengajian lain. Oleh yang demikian, pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia sama ada melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian atau Bahagian Kokurikulum (jika bahagian ini bertanggungjawab dalam menetapkan dasar pakaian sekolah) harus memahami aspek psikologi pelajar jika ingin melihat lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di tingkatan enam.

Sejak Januari 2015, sambutan pelajar dan guru amatlah menggalakkan. Pemakaian pakaian kasual smart ke sekolah menjadikan pelajar nampak lebih yakin, bergaya, dan bermotivasi untuk meneruskan pengajian mereka. Mereka nampak matang dan rasa dihargai oleh warga sekolah sebagai pelajar tingkatan enam. Secara tidak langsung, pencapaian akademik mereka juga meningkat dari semasa ke semasa. Tingkatan enam bukan lagi aliran yang harus dipandang sebelah mata bagi pelajar-pelajar lepasan SPM. Laluan ini merupakan laluan terbaik untuk menjejakkan kaki ke menara gading dengan langkah yang bergaya dan bermakna. Jangan perjudikan masa hadapan dengan memasuki institusi yang akhirnya anda menjadi “penganggur terhormat”. Percayalah, dengan sijil STPM anda mampu memperoleh pekerjaan yang lebih baik dan masa depan lebih terjamin!

Cetusan minda seorang guru
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart

Sibu, Sarawak