JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : TETAP TERUS TERPELIHARA


Rencana ini ditulis oleh :
Alimuddin Mohd. Dom
Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Keprihatinan kerajaan terhadap perkembangan sekolah rendah aliran Cina dan Tamil terbukti apabila peruntukan sebanyak RM100 juta diberikan kepada setiap aliran sekolah tersebut untuk kerja baik pulih dan penambahan bangunan seperti dalam Bajet 2013. Baru-baru ini pula sebanyak RM30 juta diperuntukan kepada 78 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK C) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung MCA pada 21 Oktober lalu. Tidak benar dan tidak berasas ada pihak mengatakan SJK Cina dan Tamil terpinggir. Malah ada yang mengatakan sekolah tersebut mahu ditutup. Hakikatnya ada sekolah yang mempunyai kurang 10 murid dan ada yang tiada murid tetapi sampai hari ini kita tidak tutup.

Semua usaha kerajaan dalam membangun dan memajukan pendidikan tidak pernah sekali-kali mengabaikan sekolah jenis tersebut sejak selepas merdeka lagi,’’ jelas Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis perhimpunan 1Malaysia di Segamat, Johor pada 19 Oktober lalu. Jelas terbukti keprihatinan kedua-dua pemimpin utama negara itu pasti SJK Cina dan Tamil terus terpelihara dan kekal dalam sistem pendidikan kita. Usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 terutama peningkatan tahap profesionalisme guru, kepimpinan sekolah dan memperkemaskan sistem penyampaian turut melibatkan sekolah-sekolah tersebut. Sejarah pendidikan Cina di negara ini bermula sejak sekian lama melalui penghijrahan orang Cina pada awal abad ke-19. Kedatangan mereka bukan sahaja membawa bersama adat, kepercayaan, agama dan kebudayaan tetapi turut sama sistem pendidikan.

Mereka sangat mementingkan dan memberi penghormatan tinggi kepada pembangunan pendidikan. Tidak menghairankan di mana sahaja ada penempatan Cina di situlah terdapat sekolah Cina. Sekolah itu dibina dan diuruskan sama ada oleh orang perseorangan atau persatuan sosial dan kebajikan. Menurut beberapa penulisan, sekolah Cina wujud di Melaka pada tahun 1815, di Pulau Pinang pada 1819 dan Singapura pada 1829. Penubuhannya seiring dengan perkembangan sekolah Inggeris dan sekolah agama. Sistem pendidikan Cina yang dianggap lengkap telah bermula di Singapura pada 1849 dan di Pulau Pinang , 1888. Pada 1884 dikatakan terdapat 52 sekolah Cina di Pulau Pinang, 51 di Singapura dan 12 di Melaka. Sekolah yang awal ini merupakan bangunan sementara dibina di kawasan tokong, dewan pesaka, rumah perniagaan atau rumah kediaman ketua masyarakat Cina.

Struktur sukatan pelajaran adalah sama seperti yang terdapat di China iaitu menggunakan dialek tempatan. Demikian juga buku teks dan guru terlatih didatangkan daripada negara berkenaan. Pendidikan Cina mula mengalami proses modenisasi apabila gerakan pemulihan dilancarkan oleh Kang Yu-wei di China pada 1898. Kurikulum baru ini menggabungkan pengajaran Confucius dengan sains Barat. Bagi tujuan mengawal sistem pendidikan dan sekolah Cina, pihak penjajah Inggeris telah meluluskan ‘Ordinan Pendaftaran 1920' yang mewajibkan sekolah dan guru didaftar dan dikawalselia oleh Pengarah Pelajaran. Cengkaman dan peluasan kuasa penjajah selepas tamat Perang Dunia Kedua melalui penubuhan Malayan Union dan diikuti pembentukan Persekutuan Tanah Melayu menyebabkan timbul keinginan mereka memberi perhatian yang lebih terhadap perkembangan pendidikan.

Oleh itu Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pendidikan ditubuhkan pada 1949 bertujuan mengkaji pelaksanaan sistem persekolahan vernakular yang berbeza. Kajian sistem persekolahan vernakular Melayu dipengerusikan oleh L.J. Barnes sementara sistem pendidikan Cina oleh Dr. William P. Fenn dan Dr. Wu The Yao. Hasil Laporan Fenn-Wu mencadangkan agar pendidikan Cina diteruskan dengan penambahbaikan iaitu menyediakan guru terlatih melalui penubuhan Kolej Latihan dan Latihan Dalam Perkhidmatan, menambah bantuan kewangan bagi pentadbiran sekolah dan menyediakan buku teks yang mengandungi bahan pelajaran lebih berpaksikan Tanah Melayu. Namun demikian Laporan Barnes pula lebih menjurus kepada sistem pendidikan yang sama dan menganggap pendidikan sebagai suatu alat penting bagi mengintegrasikan semua kaum ke arah pembinaan satu negara yang bersatu padu.

Pada 1956 kerajaan British mengumumkan bahawa Tanah Melayu akan diberi taraf berkerajaan sendiri. Oleh itu Datuk Abdul Razak Hussein dilantik mempengerusikan jawatan kuasa penggubalan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan. Cadangan jawatan kuasa ini dikenali sebagai Laporan Razak dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1957.’ Laporan ini mencadangkan pembentukan sistem pendidikan kebangsaan melalui keseragaman kurikulum dan memperakukan empat aliran persekolahan di peringkat rendah. Selepas itu bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan Laporan Razak, maka dibentuk pula jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib. Laporan Rahman Talib itu diluluskan oleh Parlimen dan dikenali sebagai ‘Akta Pelajaran 1961.’

Laporan ini bersetuju pada prinsip asas Laporan Razak mengenai perkembangan bahasa kebangsaan sebagai matlamat akhir dasar pendidikan kebangsaan. Laporan ini juga menyokong mengekalkan persekolahan empat aliran bahasa pengantar di peringkat sekolah rendah. Kemudian ‘Akta Pendidikan 1996' dimaktubkan sebagai lanjutan dan pembaharuan dari ‘Akta Pelajaran 1961' bertujuan memantapkan lagi sistem pendidikan kebangsaan. Akta ini berpaksi kepada perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas kepada dasar pendidikan kebangsaan. Tujuan utama penggubalan ‘Akta Pendidikan 1996' adalah untuk memperluaskan skop, peruntukan kuasa dan memperkenalkan prinsip perundangan dalam pendidikan. Kewujudan SJK Cina dan SJK Tamil turut dinyatakan dalam Akta tersebut.

Komitmen Kementerian Pelajaran kepada perkembangan sekolah vernakular amat jelas melalui membiayai gaji dan emolumen guru dan staf sokongan, buku teks, yuran peperiksaan, bil elektrik dan air serta peralatan pengajaran dan pembelajaran. Sesungguhnya kepelbagaian aliran persekolahan peringkat rendah harus diraikan kerana melibatkan faktor sejarah dan sumbangan kepada pembangunan pendidikan kebangsaan.

Sumber
Utusan Malaysia
26 Oktober 2012

Tiada ulasan: