Rencana ini ditulis oleh :
Johardy Ibrahim
Selama seminggu, kereta Mitsubishi Innovative
Electric Vehicle atau i-MiEV menjadi tumpuan rakan sepejabat bukan sahaja
kerana reka bentuk kecilnya yang futuristik tetapi paling utama, ia adalah
kereta elektrik sepenuhnya. i-MiEV menjadi perhatian kerana ia dicas bateri di
pejabat. Ya, kaedah mengecas bateri kereta ini boleh menggunakan soket biasa di
kediaman atau pun pejabat. Ia dibekalkan dengan kabel khas, dengan kepalanya
seperti kepala pam minyak dan satu kotak petunjuk aliran elektrik. Kereta i-MiEV
ini dibina berdasarkan kereta mini 'i' berenjin petrol tetapi di sebalik
menggunakan enjin pembakaran dalaman, ia menggunakan sumber tenaga tunggal
daripada bateri lithium-ion yang menjana tetap magnet motor elektrik. Bateri
330V dipasang dibawah lantai kereta, sementara motor elektrik terletak di bawah
but.
Tiga soalan wajib
yang kerap ditanya ialah berapa lama ia perlu dicas, sejauh manakah ia mampu
berjalan dan berapa kelajuannya? (Anda juga boleh menonton video ulasan i-MiEV
di Utusan Online) Ini jawapannya. Pertama: Secara purata ia memerlukan tempoh
mengecas selama lapan jam menerusi sistem elektrik di rumah atau pejabat. Di
Malaysia, kenderaan elektrik masih di peringkat pengenalan yang sangat-sangat
awal. Ibarat bayi baru dilahirkan. Selain i-MiEV, satu lagi ialah Nissan Leaf.
Kedua-dua syarikat buat masa ini, membawa masuk dua unit sahaja bagi tujuan
demonstrasi kepada kerajaan dan orang ramai.
Berbeza dengan Eropah
dan Jepun, kereta elektrik sudah sampai ke peringkat pertengahan iaitu selain
dijual dalam kuantiti tertentu, beberapa lokasi disediakan infrastruktur iaitu
pusat mengecas khusus, sama seperti fungsi stesen minyak sekarang. Pusat
seumpamanya adalah berbentuk sebuah bangunan atau tiang seperti meter parking,
boleh mengecas lebih pantas iaitu 80 peratus kapasiti dalam tempoh 30 minit. Ia
berbeza dengan rumah kerana fasiliti itu membekalkan keupayaan elektrik
bervoltan tinggi iaitu 50 kiloWatt (kW). Matlamat Mitsubishi dan Nissan serta
syarikat kereta lain yang berminat memperkenalkan kereta elektrik di Malaysia
adalah sama seperti yang dilakukan di negara-negara maju tersebut iaitu selain
membekalkan kenderaan mengikut permintaan, infrastruktur mengecas elektrik juga
boleh didapati di mana sahaja.
Soalan kedua: Selepas
dicas sepenuhnya selama lapan jam, ia boleh bergerak sejauh 150 kilometer.
Pengalaman daripada pandu uji tersebut saya dapati, ia menyerupai bateri
telefon pintar. Jika sekadar untuk bercakap atau SMS, maka 150 km akan
tercapai. Tetapi apabila kerap pula diguna membelek Facebook dan Twitter, maka
lagi cepat bateri haus. Dalam konteks i-MiEV, selain jarak perjalanan,
penggunaan pendingin hawa juga mempengaruhi hayat bateri. Dengan cas sepenuhnya
lapan jam, bateri itu secara puratanya bertahan selama dua hari ulang-alik ke
pejabat. Secara purata saya memandu 70 km ulang-alik, maka trip keempat iaitu
terakhir pada hari kedua, bateri perlu dicas semula. Itupun tinggal antara
empat dan tiga bar, menyebabkan saya menghentikan pendingin hawa. Mujur ia
waktu malam.
Antara kebimbangan
umum ialah bila bateri mati di tengah jalan dan tiada tempat mengecas. Buat
masa ini, kebimbangan itu ada kebenarannya. Bagaimana hendak pulang ke
Kelantan? Untuk permulaan, kereta ini direka untuk kegunaan dalam bandar
sahaja. Jadi bukan sangat untuk menjelajah jauh-jauh. Dan harus kita ingat,
kita masih di peringkat bayi. Kereta ini adalah untuk masa hadapan. Akan tiba
masanya nanti bila semua isu berkaitan `lokasi mengecas’ tidak timbul kerana ia
akan ada sama banyak seperti stesen minyak hari ini. Namun, ia bergantung
kepada kesungguhan semua pihak berwenang untuk merealisasikan penggunaan kereta
elektrik ini. Benar terdapat isu kos penjanaan elektrik tetapi beberapa kajian
yang dilakukan menunjukkan kos elektrik masih rendah berbanding petrol. Dan
sekiranya tarif elektrik terpaksa juga dinaikkan (disebabkan kos arang batu),
suatu aspek yang boleh difikirkan ialah pemberian insentif khas bagi pemilik
kereta elektrik sama ada dalam bentuk potongan pada harga belian atau cukai.
Soalan ketiga: i-MiEV
memiliki kuasa output 49 kW dan kuasa kilas (torque) 180 Newton meter, dan
boleh dipecut sehingga 130 km sejam. Mungkin satu hari pada minggu lepas anda
jengkel melihat kereta aneh ini memotong kiri ke kanan dan ke kiri semula, saya
mohon maaf. Tengah uji pandu. Ia ternyata sebuah kereta yang ligat, cergas dan
`menyeronokkan’. Persepsi awal mengatakan ia mirip kereta lektrik buggy di
padang golf, adalah jauh panggang dari api. i-MiEV adalah sebuah kereta normal
dari segi pengendalian dan prestasi. Ia mungkin tidak boleh memintas Perodua
Kelisa atau Viva tetapi boleh mengekori dengan rapat dari belakang. Sejak
dilancarkan pada Julai 2009, MMC telah mengeluarkan lebih 20,000 unit kenderaan
elektrik ini, membentuk perkongsian dengan lebih 60 rakan kongsi tempatan dalam
sektor awam dan swasta di seluruh dunia untuk mengadakan ujian bersama,
aktiviti pendidikan mengenai infrastruktur yang diperlukan. MMC mula menjual
i-MiEV pada April 2010, sejak itu sebanyak 6,000 unit i-MiEV dan MINICAB-MiEV
di Jepun dan dieksport ke 45 negara di seluruh dunia.
Di Malaysia, belum
ada ketetapan lagi mengenai harganya tetapi ia dijual di Eropah pada harga
antara 33,000 euro hingga 35,000 euro dan jika dikira dari segi tukaran
matawang, ia adalah RM132,000 hingga RM140,000 tanpa mengira potongan insentif
tambahan kerajaan. Sebenarnya, kereta elektrik bukan suatu fenomena baru pada
abad ke-21 ini. Ia telah dihasilkan sejak akhir kurun ke-19 dan awal kurun
ke-20 lagi. Sejarah ringkas dunia automotif menunjukkan minat terhadap
penghasilan kereta elektrik terbantut ekoran harga minyak yang murah. Krisis
tenaga pada 1970-an dan 80-an mengembalikan sekejap minat kereta elektrik
tetapi hanya setelah krisis minyak yang mencanak naik sejak pertengahan tahun
2000, minat dalam pengeluaran kereta elektrik berupaya menghidupkan semula satu
pilihan gentian bahan api selain daripada minyak. Malah, kelebihan ketara pada
kereta elektrik adalah ia mematuhi kriteria pemuliharaan alam sekitar kerana ia
tidak mengeluarkan asap.
Seperti ditegaskan di
atas, kejayaan kereta elektrik di atas jalan raya Malaysia bergantung kepada
Dasar Automotif Negara yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Komuniti automotif
rata-ratanya menyokong langkah kerajaan memberi penekanan kepada kereta hijau
supaya tidak bergantung terlalu besar terhadap minyak. Kereta elektrik mungkin
adalah jawapan kepada masa depan pengangkutan kita.
Pohon bersandar,
pohon cemara,
Menderu angin,
bergoyang dahan,
Jangan sekadar,
membaca sahaja,
Tulislah komen,
berilah cadangan.
Sumber
Utusan Malaysia
08 Julai 2012
1 ulasan:
8 jam untuk mengecas dirumah dan 30 minit distesen pengecas??
dalam pertengahan perjalanan kena lepak2 dulu tunggu cas penuh..hehe
lagi satu melambung la bil elektik kat rumah...lebih2 lagi kalo sedara mara n rakan2 terdesak..atau ambil kesempatan..alasan kehabisan kuasa bateri
Catat Ulasan