Ku Seman Ku Hussain
PAGODA DI SHWEDAGON, MYANMAR
Kekangan terbesar ialah sikap tidak dapat terima kritikan. Inilah yang menghalang kebebasan media serta menafikan media sebagai mata dan telinga masyarakat. Kebebasan media menjadi penanda aras masyarakat maju dan terdidik dengan limpahan maklumat yang menyumbang kepada pembangunan sosiobudaya dan politik. Walaupun kebebasan media itu dibimbangi oleh banyak pihak terutama kerajaan, tetapi inilah yang membentuk kesedaran masyarakat terutamanya yang berkaitan kepentingan mereka. Masyarakat berhak mendapat maklumat yang tepat mengenai sesuatu berkaitan pemimpin dan pelbagai isu yang menyentuh sosial dan politik. Misalnya maklumat mengenai pergolakan sosial atau sikap buruk sesetengah pemimpin akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada masyarakat. Buku The Death and Life of American Journalism oleh Robert McChesney dan John Nichols antara lain mengatakan, tahap kebebasan media yang tinggi boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya yang sihat. Buku yang ditulis oleh dua sarjana media neo-Marxis yang bimbang dengan kecenderungan kerajaan di banyak negara dunia terutama Amerika Syarikat (AS) yang mengambil alih kedudukan media sebagai fourth estate atau estet keempat selepas legistatif, eksekutif dan judisiari dalam pentadbiran negara.
Pada masa yang sama, apabila seseorang itu berada dalam kelompok yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat, lingkungan kebebasan peribadinya menjadi lebih kecil. Tidak semua yang diperkatakan mengenai dirinya adalah peribadi kerana dia mempunyai hubungan dengan masyarakat. Misalnya apabila seorang pemimpin yang berperibadi buruk, ini bukan lagi memberi kesan kepada individu di sekitarnya malah masyarakat secara umumnya. Tidak lama dulu seorang pengarah firma saham menyaman majalah Financial Times sebanyak 240 juta pound kerana sebuah rencana dalam majalah tersebut. Dia mendakwa rencana itu menjejaskan potensinya dalam perniagaan. Sementara itu satu lagi kes klasik, pakar perubatan Dr. Joe Rahamin pada 2001 memenangi saman sejuta pound terhadap saluran berita Channel Four yang didakwa memfitnahnya. Begitu juga dengan selebriti pop Britney Spears yang menyaman sebuah majalah hiburan AS$10 juta kerana mendakwa memfitnah Britney mendedahkan kehidupan seksnya. Satu lagi contoh yang mengekang media ialah tindakan saman Heather Mills, bekas isteri Paul McCartney yang menyaman Sunday Mirror sebanyak 50,000 pound pada 2002. Mills mendakwa laporan Sunday Mirror mengenai perceraian dengan McCartney menjejaskan reputasinya.
REPUTASI
Ini adalah kes-kes popular dan banyak kes lain di mana media mendepani tindakan mahkamah kerana mengkritik sesetengah pemimpin atau tokoh. Undang-undang digunakan bagi mengembalikan reputasinya yang kononnya terjejas oleh laporan media. Kita lupakan kes-kes popular tetapi hakikatnya kebebasan media semakin kecil untuk menjadi pembentuk pemikiran masyarakat. Tidak lama dulu sebuah mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman denda dan penjara enam minggu kepada penulis buku, Once a Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock, Alan Shadrake. Warga British ini didapati bersalah kerana mempersoalkan ketelusan sistem perundangan Singapura. Shadrake didenda $S20,000 dan terpaksa merengkok dalam penjara. Inilah contoh bagaimana undang-undang digunakan untuk menghalang media mencambahkan sudut pandangan kritis terhadap politik dan sosial. Mahkamah Tinggi Singapura juga pernah mendenda majalah The Wall Street Journal Asia yang berpangkalan di Hong Kong sebanyak 10,700 pound kerana menghina mahkamah. Majalah tersebut didakwa menyiarkan rencana pengarang dan surat pemimpin pembangkang yang mempersoalkan sistem perundangan negara itu. Kebebasan media dikembirikan apabila surat pemimpin pembangkang yang mendedahkan ketiadaan kebebasan dalam sistem perundangan di Singapura dianggap menghina mahkamah.
Apabila media mendedahkan atau mengkritik pemimpin, ia dilakukan untuk kepentingan masyarakat. Media yang duduknya sebagai estet keempat mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Tetapi kedudukan ini jarang dilihat terutama apabila keghairahan mengambil tindakan mahkamah. Media tidak dapat berperanan dengan baik apabila semakin meningkat tindakan mahkamah dikenakan kerana mengkritik individu yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Kewujudan pemimpin tidak dapat menerima kritikan meletakkan media dalam dilema. Dalam konteks Malaysia, cabaran dan kekangan kebebasan media bukan melibatkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Tetapi kekangan terbesar ialah sikap tidak dapat terima kritikan. Inilah yang menghalang kebebasan media serta menafikan media sebagai mata dan telinga masyarakat.
SASARAN
Ini membuatkan media sentiasa menjadi sasaran tindakan mahkamah. Perjuangan pihak tertentu kononnya untuk membebaskan media menganggap ketiga-tiga akta itulah angkaranya. Hakikatnya kita boleh melihat sendiri sepanjang sepuluh tahun ini misalnya hampir tidak ada media dikenakan tindakan bawah akta tersebut. Tetapi kita boleh melihat peningkatan jumlah tindakan mahkamah yang diambil terhadap media. Tindakan saman fitnah kini menjadi satu fenomena. Media tempatan menjadi sasaran tindakan mahkamah. Padahal media melaporkan mengenai individu yang mempunyai hubungan langsung dengan masyarakat. Semua ini menjejaskan kedudukan media sebagai estet keempat. Kebebasan media untuk berkhidmat kepada masyarakat telah disekat dengan cara demikian.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan