Kesengsaraan dilalui penjamin yang terpaksa menanggung beban pinjaman tidak dibayar kerana terperangkap dengan hutang orang lain sudah lama menghantui pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Sering kali pihak yang ingin memohon pinjaman berjanji tidak akan melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan masalah kepada penjamin. Pemohon juga selalunya cuba menampilkan wajah yang jujur dan muka manis ketika hendak meminta bantuan penjamin tetapi selepas pinjaman diperoleh, timbul cerita lain di sebaliknya. Peminjam yang dulunya kawan boleh bertukar menjadi musuh, saudara mara terputus hubungan dan pelbagai lagi kerenah ditimbulkan orang yang gagal melangsaikan hutang. Akibatnya, kira-kira 10,064 penjamin diisytiharkan muflis dalam tempoh 2005 hingga Mac lalu. Lazimnya ada dua kategori penjamin iaitu penjamin sosial bagi pinjaman kenderaan atau peribadi dan penjamin korporat.
Mengikut Akta Kebankrapan, bagi penjamin sosial, bank diwajibkan mengambil tindakan ke atas peminjam terlebih dulu sebelum bertindak ke atas penjamin, tetapi bagi penjamin korporat, tindakan serentak boleh diambil ke atas peminjam dan penjamin. Dari segi peraturan, setakat ini masih belum ada sebarang bentuk perlindungan yang boleh mengelakkan penjamin daripada dikenakan tindakan muflis kerana terikat dengan perjanjian yang ditandatangani sebelumnya. Justeru, seperti kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, kelmarin, penjamin hendaklah tahu hak mereka sebelum menandatangani dokumen dan tidak mengambil mudah tanggungjawab mereka serta sekadar mengharapkan kejujuran pemiutang untuk menjelaskan pinjaman dengan teratur dan sempurna. Namun ada beberapa pihak, termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mahukan institusi kewangan mengubah peraturan atau syarat yang mewajibkan peminjam mengemukakan penjamin kerana ia boleh menyebabkan pemiutang terbabit mengambil kesempatan dan tidak memenuhi janjinya untuk membuat bayaran bulanan seperti yang ditetapkan.
Sekiranya tabiat gagal membayar pinjaman ini berterusan, sudah tentulah penjamin yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung bebanan hutang itu. Oleh itu, diharapkan hak penjamin ini dilindungi sepenuhnya agar institusi kewangan tidak berpaling kepada mereka dengan mudah tanpa terlebih dulu berusaha untuk mendapatkan balik bayaran daripada peminjam sebenar. Adalah tidak wajar pihak penjamin dihalang daripada melakukan lawatan ke luar negara, asetnya dirampas atau diisytiharkan muflis semata-mata kerana orang lain tidak membayar pinjaman. Pihak kementerian bertanggungjawab seharus mengkaji semula peruntukan yang ada dalam undang-undang bagi melepaskan penjamin daripada menanggung hutang peminjam yang dengan sengaja enggan membayar balik hutang mereka. Sewajarnya kerajaan mengubah peraturan yang ada agar institusi kewangan tidak memerlukan penjamin bagi sebarang pinjaman yang dibuat, sebaliknya memperketatkan syarat kelulusan pinjaman. Institusi kewangan juga tidak harus terlalu ghairah untuk memberi pinjaman semata-mata kerana adanya penjamin sebagai sandaran yang boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku masalah.
UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan