Transformasi atau perubahan berlaku dalam pelbagai bentuk. Kita melakukan perubahan pada diri sendiri untuk menambah baik pencapaian dalam kerjaya, pelajaran, penulisan dan lain-lain. Cara kita berfikir juga sentiasa berubah mengikut situasi. Kerajaan turut mengambil beberapa langkah melaksanakan transformasi ini untuk membawa kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi lalu muncul Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Baru-baru ini, media massa heboh memperkatakan mengenai Kelab Taat Suami berikutan kontroversi yang timbul apabila pengerusinya mencadangkan isteri patut melayan suami seperti pelacur kelas pertama. Ini juga adalah transformasi sosial. Transformasi juga berlaku di seluruh dunia. Jika sebelum ini negara Barat dilihat sebagai contoh pembangunan yang terbaik, kini keadaan sudah berubah.
Dunia sudah mula beralih daripada memberi tumpuan kepada model ekonomi liberal yang dipelopori Amerika Syarikat atau ‘Konsensus Washington’ kepada cara China membangunkan ekonominya. Dengan kemunculan ‘Konsensus Beijing’ ini, model perdagangan liberal Amerika bukan lagi sesuatu yang menarik untuk diikuti. Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Forum CEO 2011, di Kuala Lumpur, baru-baru ini: “Ekonomi Amerika sudah merudum teruk dan nilai mata wangnya juga tiada nilai menyebabkan negara itu terpaksa mencetak lebih banyak wang kertas bagi menampung defisitnya.” Beliau berucap atas tajuk ‘Politik di Malaysia: Patutkah ia Berubah berikutan Perubahan Ekonomi?’ pada forum anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana itu. Katanya, konsep pembangunan yang dibawa oleh negara Tembok Besar itu sebenarnya didorong oleh keinginannya yang mendalam untuk melakukan inovasi tanpa menjejaskan kedaulatannya dan kini ia menawarkan pengharapan baru kepada negara sedang membangun seperti Malaysia, Korea Selatan dan lain-lain.
Malah menurut Joshua Ramo, bekas editor majalah Time, berdasarkan lebih 100 perbincangan ‘off record’, Konsensus Beijing itu berjaya menarik perhatian banyak pihak. Ia memberi paradigma baru kepada dunia mengenai pengurusan politik dan ekonomi. Peralihan kuasa tetap berlaku di China, walaupun ia mengamalkan sistem ala demokrasi primitif. Seperti kata Dr Mahathir, kerajaan China sedang berusaha keras membabitkan semua rakyatnya dalam pembangunan ekonominya, termasuk mereka dari kawasan pedalaman. Ketika Amerika dan sebahagian besar negara di Eropah sedang bergelut dengan masalah kewangannya, adalah wajar Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan, meninjau pendekatan diguna pakai di negara yang baru mengalami kebangkitan ekonomi seperti China. Justeru, Konsensus Beijing kini dilihat sebagai lebih relevan untuk dicontohi daripada Konsensus Washington atau Eropah. Pada forum CEO itu, seorang peserta dari Sweden mengajukan pertanyaan kepada Dr Mahathir mengapa Malaysia di bawah kepemimpinan beliau dulu memilih untuk memandang ke Timur, iaitu Jepun sedangkan negara Matahari Terbit itu dan Korea Selatan lebih cenderung untuk melabur di Barat.
Dr Mahathir menjelaskan bahawa negara Eropah sememangnya mengalami pembangunan pesat pada masa lampau. Ketika rakyat di negara ini masih kolot, negara di Eropah mengalami revolusi dan arus perubahan besar. Tetapi pembangunan di negara berkenaan kemudian menjadi lebih perlahan berbanding negara di Timur seperti Jepun, yang mampu bangkit membangunkan rakyatnya selepas Perang Dunia Kedua. Perubahan bagaimanapun, tidak harus dilakukan kerana perubahan semata-mata. “Kita hanya patut berubah hanya jika sesuatu perlu diubah. Sistem kita bukanlah teruk sangat. Kita boleh berusaha untuk mencapai kedudukan di antara Konsensus Beijing dan Konsensus Washington. “Kita kena mengambil formula yang sesuai agar masyarakat kita tidak hilang identitinya. Formula pembangunan ini harus dipegang sampai bila-bila kerana ia menjamin kerjasama semua rakyat dalam bidang politik dan ekonomi,” tegas Dr Mahathir. Malaysia juga kini menawarkan Program Transformasi Kerajaan yang dilaksanakan di negara ini sebagai model untuk diikuti oleh negara lain.
Pemimpin mesti berusaha melaksanakan transformasi, walaupun ia bukan mudah. “Memang ada orang yang akan menentang perubahan kerana sudah selesa dengan cara biasa. Sesetengah orang takut dengan ketidakpastian yang dibawa oleh perubahan, yang lain berasa terancam kerana melakukan sesuatu dengan cara berbeza. “Transformasi memerlukan keberanian kerana ia memaksa kita mengakui bahawa amalan lama kita tidak begitu baik,” demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Dialog Antarabangsa Langkawi, baru-baru ini. Dalam melakukan transformasi ini, adalah penting cara pemikiran kita juga berubah, di samping kesanggupan untuk melakukan perubahan. Justeru, wajar kita menimba yang terbaik daripada kedua-dua model Konsensus Beijing dan Konsensus Washington itu dan mewujudkan Konsensus Malaysia sendiri. Sudah tentu dalam usaha berkenaan, perhimpunan haram bukan contoh atau cara terbaik yang patut diikuti atau disokong.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan