JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Jun 2011

ISU NEGARA SERANTAU : TETANGGAKU MASIH CEMBURU!

Oleh Zulkefli Hamzah


Jika komen-komen pembaca akhbar di Indonesia dijadikan ukuran, boleh disimpulkan bahawa kecemburuan rakyat republik itu terhadap Malaysia umumnya masih tebal. Bahkan kecemburuan itu boleh dilihat daripada tindakan-tindakan berbentuk provokasi oleh media, badan bukan kerajaan dan penguat kuasanya. Bagaimanapun diakui, ramai yang bersikap terbuka, berbangga dan sedia berkongsi dengan pencapaian Malaysia. Tak kurang, ramai pula menggunakan kecemburuan itu sebagai senjata untuk mengecam dan mengkritik pemerintah mereka. Contohnya apabila Proton Exora yang melancarkan edisi terbaru Exora Star, Selasa lalu ada pembaca dalam sebuah akhbar tempatan berkomentar apa perlunya MPV tujuh penumpang itu berada di pasaran Indonesia. Reaksinya itu kemudian ditempelak supaya dia jangan cemburu dan dengki dengan kehadiran MPV yang ditawarkan dengan harga paling murah sekitar RM55,000 itu.

Reaksi lain lebih banyak tertumpu kepada kritikan kepada kesungguhan pemerintah mengurus industri automotif tempatan. Dan, apabila Mahkamah Tinggi Pekan Baru, Indonesia pada 11 Jun lalu mengekalkan hukuman penjara 30 bulan ke atas enam nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan republik itu, aroma kecemburuan dan mungkin balas dendam begitu dirasai. Walaupun mereka hanyalah nelayan dan pertuduhan pun telah dinafikan, masih tiada ampun untuk mereka. Hakim mahkamah itu nampaknya begitu tegas sehinggakan permohonan rasmi Malaysia supaya nelayan dibebaskan, tidak diendahkan. Tiada kecaman, ugutan dan demonstrasi terhadap hukuman itu menjadi bukti rakyat Malaysia sentiasa menghormati undang-undang Indonesia. Bukanlah maksudnya NGO mahupun kerajaan Malaysia tidak peka atau tidak patriotik. Tetapi selalunya kita mendahulukan rundingan dan muafakat untuk menyelesaikan masalah.

Kita amat memahami ketegasan mahkamah Indonesia sebagai sebuah institusi yang menentukan keadilan. Tetapi yang sukar difahami ialah penguat kuasanya yang berkeras mahu membawa kes nelayan yang ditangkap pada 8 Mac lalu di 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor itu ke mahkamah. Sedangkan pak menteri kedua-dua negara pada tahun lalu telah sepakat untuk bertolak ansur dengan aktiviti menangkap ikan oleh nelayan di kawasan sempadan maritim yang masih dalam pertikaian. Ada kecemburuan apa sebenarnya? Banyak implikasi buruk daripada tindakan penguat kuasa Indonesia itu. Dalam keadaan sempadan yang masih menjadi pertikaian, bukanlah masalah besar untuk membiarkan nelayan kedua-dua negara terutama di kawasan Pekan Baru dan Johor berkongsi rezeki. Malaysia selama inipun mengamalkan sikap bertolak ansur terhadap nelayan Indonesia yang sering menceroboh perairan negara.

Mereka hanya diambil keterangan sebelum dibebaskan. Wajarkah toleransi Malaysia ini diteruskan sebagai mengambil kira ketegasan Indonesia menegakkan undang-undangnya? Apa kata, jika sebaliknya insiden itu berlaku ke atas nelayan Indonesia. Benar, bermacam alasan boleh diberi tetapi asasnya Malaysia juga mempunyai undang-undang yang harus ditegakkan dan dihormati. Jika ini berlaku kepada nelayan Indonesia, yang kita boleh jangka akan berlaku ialah protes besar-besaran rakyatnya. Malaysia akan diminta memohon maaf, penguat kuasa kita dituduh kejam dan tidak perikemanusiaan. Mereka tidak akan peduli pun soal keluhuran undang-undang. Yang juga akan berlaku ialah kumpulan NGO dan ahli politik negara itu menekan pemerintah Indonesia supaya mendesak Malaysia membebaskan nelayan mereka. Gegak gempitanya tentu luar biasa dan mungkin sekali lagi akan ada aksi ‘sweeping’ rakyat Malaysia.

Mengapalah hal mudah ini, yang boleh diselesaikan di peringkat bawah lagi sengaja dipersulit? Apa perlunya membakar rasa tidak puas hati rakyat atas tuduhan yang masih samar itu? Isu ini jika disalah urus boleh disalahguna oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan hubungan kedua-dua negara. Ramai pihak yang kini hanya menunggu waktu untuk merosakkan hubungan baik Malaysia-Indonesia atas kepentingan-kepentingan tertentu. Apa yang berlaku di Pekan Baru itu sangat bertentangan dengan tindakan pelbagai pihak di Indonesia baru-baru ini berhubung nasib sekurang-kurangnya 30 rakyat Indonesia yang menanti hukuman mati di Malaysia, antaranya atas kesalahan dadah. Mereka yang kebanyakannya pejuang hak asasi manusia pun menghantar perwakilan ke negara ini. Mereka kelam-kabut mencari jalan keluar agar hukuman itu tidak dilaksanakan. Jika kes di Pekan Baru dijadikan ukuran, apalah perlunya untuk mereka menghalang pelaksanaan undang-undang di Malaysia dan mencampuri urusan hakim untuk menjatuhkan hukuman.

Jika alasannya demi kemanusiaan, mereka juga harus memperjuangkan nasib kumpulan nelayan itu yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 30 tahun. Terlebih lagi mereka hanyalah nelayan, bukan pembunuh mahupun pengedar dadah. Kini Indonesia diuji lagi apabila seorang pembantu rumah, Ruyati Satubi dihukum pancung di Arab Saudi pada Sabtu lalu, atas kesalahan membunuh majikannya. Sebahagian rakyat dan NGO Indonesia marah dengan hukuman ke atas janda beranak tiga berusia 54 tahun itu. Apatah lagi kini terdapat 23 warga negara Indonesia sedang menanti hukuman pancung itu. Sebahagian lagi menyedari keluhuran undang-undang di Arab Saudi dan menyalahkan pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang lalai untuk memperjuangkan nasib rakyatnya. Sambil bersimpati dengan nasib Ruyati, kita juga ternanti-nanti reaksi rakyat Indonesia. Apakah akan ada aksi menyapu warga negara Arab Saudi? Kita juga tertanya-tanya, apa akan berlaku sekiranya hukuman mati itu berlaku di Malaysia?

UTUSAN MALAYSIA
21 JUN 2011



Tiada ulasan: