JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Jun 2011

ISU EKONOMI : PUNCA PENURUNAN PELABUR ASING

Oleh DR. MUHAMED ABDUL KHALID
PENULIS ialah felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia



Kebelakangan ini, pelbagai pihak menyoal, terutamanya di media alternatif, berkenaan kesan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terhadap ekonomi negara. Rata-rata membuat kesimpulan DEB itu buruk untuk ekonomi. Terbaru, Pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam (The Star, 31 Mei 2011) menggunakan penurunan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment, FDI) sebagai indikator bahawa DEB adalah penyebabnya. Amatlah mendukacitakan kerana hujah-hujah Ramon agak kurang tepat dari segi fakta. Ini kerana kebanyakan syarikat asing yang beroperasi di Malaysia tidak lagi tertakluk kepada syarat pemilikan ekuiti DEB semenjak beberapa tahun yang lalu. Sebagai contoh, semenjak 1998 Malaysia meliberalisasikan sepenuhnya sektor pembuatan (manufacturing) dengan membenarkan 100 peratus pemilikan ekuiti asing tanpa sebarang syarat.

Tambahan kepada fakta di atas, syarikat yang berorientasikan eksport mula dibenarkan pemilikan sepenuhnya secara bersyarat semenjak dari 1986 lagi. Harus diperhatikan juga, 27 subsektor perkhidmatan telah pun diliberalisasikan semenjak 2009, tanpa sebarang kekangan ekuiti. Harus diingatkan bahawa sektor perkhidmatan menyumbangkan hampir 60 peratus Keluaran Negara Kasar (GDP) Malaysia. Dalam Industri Teknologi Tinggi pula , syarikat-syarikat yang berstatuskan Multimedia Super Corridor (MSC) dibenarkan pemilikan ekuiti asing sepenuhnya. Ini menunjukkan dua perkara penting; Pertama, fakta-fakta di atas menyanggah hujah-hujah Ramon. Malaysia telah pun melonggarkan dan seterusnya memansuhkan syarat-syarat penyertaan ekuiti bumiputera semenjak beberapa tahun dahulu. Kedua, diperhatikan bahawa semakin longgar syarat penyertaan ekuiti, semakin susut aliran masuk FDI.

Pemerhatian ini mencadangkan bahawa terdapat faktor selain DEB yang merencat aliran FDI ke negara kita. Kita dapat menyimpulkan bahawa DEB bukanlah isu besar bagi pelabur asing. Apa yang lebih penting ialah kestabilan politik, infrastuktur baik, insentif menarik, bekalan buruh murah dan terpelajar yang dapat ditawarkan oleh negara. Katalah DEB merupakan penghalang aliran masuk FDI, mana mungkin Malaysia mendapat aliran pelaburan yang besar pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an? Ini adalah tempoh di mana polisi-polisi DEB rancak dilaksanakan. Pada tempoh tersebut, aliran masuk FDI Malaysia bukan sahaja positif tetapi antara yang tertinggi di rantau ini! Buktinya ialah nisbah FDI dan GDP yang meningkat dua kali ganda kepada 6.6 peratus pada 1991-1996 dari 3.3 peratus pada 1970-1984; dengan rekod tertinggi aliran FDI sebanyak 23 peratus dicatat pada 1992. Peningkatan dalam pelaburan ke negara kita begitu tinggi pada pertengahan tahun 1990-an sehinggakan nisbah pelaburan swasta dan GDP melonjak melebihi 40 peratus!

Tiada penjelasan yang lebih tepat dalam menggambarkan aliran masuk yang begitu baik di atas selain kombinasi faktor politik dan faktor ekonomi yang mantap. Perhatikan juga dalam tempoh 1990-1999, aliran masuk FDI Malaysia melonjak pada kadar yang jauh lebih tinggi (19.5 peratus) berbanding dengan negara ASEAN yang lain seperti Thailand (10.8 peratus), Filipina (14.2 peratus), dan Singapura (11.3 peratus). Harus diakui bahawa aliran masuk FDI Malaysia mulai merosot semenjak tahun 2007. Fenomena ini berpunca daripada pelbagai faktor dan yang utama ialah peningkatan kos buruh. Daya tarikan Malaysia dalam menyediakan kos buruh yang murah telah beransur suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Negara jiran kita, Singapura pun mengalami kemerosotan nisbah FDI dan GDP kepada 9.2 peratus pada 2009 dari 19.1 peratus pada 2006 walaupun mempunyai ekonomi yang jauh lebih liberal.

Thailand juga mengalami masalah yang serupa, nisbah FDI dan GDP merosot menjadi separuh kepada 2.3 peratus untuk tempoh yang sama. Negara rantau ASEAN yang lain seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia masih menawarkan pelbagai faktor yang menarik aliran masuk pelabur asing seperti upah buruh murah, tanah pamah yang luas dan pasaran domestik bersaiz 'raksasa'; faktor-faktor yang payah untuk Malaysia saingi. Yang paling kritikal ialah negara-negara tersebut menyediakan pelbagai insentif untuk aktiviti-aktiviti intensif buruh; aktiviti yang tidak lagi diberi perhatian di Malaysia. United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD), dalam laporan tahun 2009, menegaskan bahawa pelabur asing melihat kadar pertumbuhan pasaran sebagai faktor terpenting dalam pemilihan destinasi pelaburan, diikuti oleh bekalan buruh murah dan kesediaan bekalan mentah.

Laporan UNCTAD mendapati bahawa walaupun kelicinan pemerintahan, kualiti perundangan, kesaksamaan undang-undang dan rasuah adalah antara ciri-ciri pemilihan; kesemua itu bukanlah yang terpenting bagi para pelabur asing. Ini menjelaskan mengapa aliran masuk FDI yang melimpah-ruah ke India, China dan Vietnam, walaupun mereka menduduki tempat yang corot berbanding Malaysia dalam World Bank's Ease of Doing Business Index; (Malaysia di tempat ke-21 daripada 183 negara; Vietnam (78), China (79) dan India ditangga ke-134). Jika dihalusi komponen FDI, kita dapati perkembangan yang merosot dalam aliran bersih FDI Malaysia disumbangkan oleh aliran keluar yang besar. Aliran ini disebabkan penghantaran balik untung oleh pelabur asing dan juga aliran keluar dana oleh pelabur tempatan. Buktinya ialah peningkatan jumlah yang dikategorikan sebagai Pelaburan Langsung Luar Negara (Direct Investment Abroad, DIA) yang kian meningkat semenjak awal milenium ini; ia meningkat dari 0.3 peratus daripada GDP pada 2001 kepada 5.6 peratus pada 2010.

Akibatnya, jumlah bersih Kedudukan Pelaburan Asing (Net International Investment Position, IIP) menunjukkan baki positif sejak dua tahun kebelakangan ini, menggambarkan peningkatan aset di luar negara oleh syarikat-syarikat tempatan. Perkembangan positif IIP, bagaimanapun dari segi kira-kira (accounting), menyumbang kepada perkembangan negatif dalam pengiraan akaun FDI. Mendakwa DEB sebagai punca kemerosotan aliran FDI Malaysia adalah tuduhan yang lari daripada fakta. Tiada salahnya bersikap kritikal terhadap kerajaan tetapi ia wajar diimbangi dengan objektiviti. Saya sependapat dengan Ramon, dalam pentingnya kita menangani kelemahan menarik pelaburan asing; tetapi marilah bersama melihatnya dengan lensa yang objektif bersama kejujuran intelektual.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 JUN 2011

Tiada ulasan: