JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Mac 2011

ISU GLOBAL : NEGARA ISLAM BERDEPAN DENGAN TEORI DOMINO

Oleh DR. HASHIM FAUZY YAACOB
Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia.


Serangan Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis ke atas Libya merupakan satu lagi tamparan ke atas negara-negara Islam keseluruhannya, yang bakal menimbulkan satu lagi tekanan perasaan ke atas umat Islam meskipun pemimpin yang memerintah Libya dianggap patut melepaskan kuasanya. Keadaan yang sama pernah dihadapi oleh kebanyakan negara Islam dan umat Islam apabila AS menyerang Iraq dan Afghanistan. Serangan dan fenomena ini mengingatkan kita kepada satu teori yang dipegang oleh kerajaan AS pada tahun 1950-an hingga 1980-an dikenali sebagai Teori Domino. Teori ini bukan hasil kajian ilmiah dalam mana-mana disiplin ilmu yang berkembang di universiti khususnya bidang hubungan antarabangsa, sebaliknya satu doktrin oleh pihak kerajaan. Andaian asas Teori Domino ialah, jika sebuah negara jatuh ke tangan komunis, satu persatu negara dalam rantau berkenaan akan turut jatuh ke tangan komunis seperti jatuhnya buah domino.

Doktrin ini dikemukaan oleh Presdien Amerika Dwight Eisehower pada tahun 1954, dan diambil kira sebagai asas penglibatan Amerika dalam Perang di Vietnam pada tahun 1960-an. Apabila kerajaan AS mengetengahkan Teori Domino kerana kebimbangan kejatuhan negara-negara Asia khususnya Asia Tenggara dan Australia ke tangan komunis, pelbagai strategi telah dilakukan untuk tujuan campur tangan. Teori ini yang dipegang dalam era perang dingin seolah-olah memberi mandat kepada negara tersebut untuk melakukan sebarang tindakan di mana-mana negara yang mempunyai pengaruh komunis. Penglibatan Amerika Syarikat dalam perang di Indochina dan Semenanjung Korea merupakan manifestasi daripada kepercayaan terhadap Teori Domino. Kemusnahan pengaruh komunis selepas era Perang Dingin iaitu pada tahun 1990-an, dianggap satu kemenangan kepada Amerika dan sekutu Baratnya.

Teori domino turut tenggelam, sama seperti kurangnya populariti teori ini dalam bidang ilmu hubungan antarabangsa. Namun begitu teori ini mungkin dapat dijadikan satu landasan untuk memahami apa yang menimpa negara Islam masakini yang boleh dijadikan peramal pada masa akan datang. Ada kemungkinan Teori Domino kini boleh dikaitkan dengan negara Islam berasaskan kejatuhan beberapa negara Islam satu demi satu. Bezanya anutan AS dan negara Barat pada masa lalu ialah kebimbangan komunis akan menjatuhkan satu persatu negara di Asia tetapi, sebaliknya dalam konteks negara Islam, negara Islam seolah-olah perlu dijatuhkan satu persatu selagi tidak tunduk kepada kehendak-kehendak mereka lantaran negara Islam tidak mempunyai keupayaan berbanding Soviet Union atau China. Masalah dalaman negara Islam dengan mudah boleh dimanipulasi dan dijadikan alasan untuk campur tangan.

Banyak alasan digunakan untuk tujuan campur tangan di dunia Islam. Antaranya sesetengah negara Islam dikaitkan dengan terorisme. Sehingga kini satu persatu negara Islam menjadi mangsa campurtangan sama ada Amerika atau kuasa-kuasa Barat seperti penglibatan tentera NATO dan Amerika di Afganistan, tentera Amerika dan Britain di Iraq dan kini tentera Britain dan Perancis di Libya. Penulis Amerika seperti Samuel P. Huntington dalam The Clash of Civilizations and the remaking of world order dan Nicholas Guyatt dalam Another American Century: United States and the world since 9/11 mula meletakkan Islam sebagi suatu kuasa yang lain selepas komunis yang boleh menjejaskan Barat. Jika pandangan-pandangan oleh dua pengarang ini diambil kira sebagai sandaran, maka jelaslah, setelah kejatuhan komunis, Islam dianggap ancaman kepada kuasa demokrasi Barat. Akibatnya, Afghanistan menjadi domino mereka yang pertama, diikuti Iraq dan kini Libya.

Oleh itu sebenarnya tidak wujud alasan yang kukuh kepada dua negara berkenaan untuk campur tangan dalam soal dalaman sebuah negara lain yang tidak akan mengancam keselamatan mereka. Kerana kedudukan Gadaffi selepas tahun 1990-an bukanlah ancaman kepada mana-mana kuasa termasuk negara-negara Afrika dan Arab yang lain setelah negara itu dikenakan sekatan sekian lama berikutan isu pengeboman kapal terbang Pan Am di Lockerbie. Setelah membisu sekian lama nama beliau popular semula dan menjadi liputan media hanya kerana penentangan rakyat terhadapnya. Jadi apakah alasannya Britain dan Perancis campur tangan dengan menyerang Libya sehingga menjadikan Libya sebagai buah domino? Ada beberapa jawapan yang boleh diketengahkan iaitu; pertama, Gadaffi pernah memusuhi Amerika dan Barat, kedua, Libya seperti Iran dan Syria masih disenarai sebagai negara pengganas menurut pegangan diplomatik Amerika dan Barat.

Ketiga, kesempatan yang boleh diambil oleh kuasa Barat kesan pergolakan yang berlaku kerana tindakan seperti ini mungkin tidak dilakukan terhadap negara lain yang berupa sekutu Barat, keempat, menguji sikap negara-negara Asia Barat sama ada yang bersekutu dengan Barat atau yang menentang tindak tanduk Barat. Kelima sebagai satu provokasi ke atas umat Islam dan keenam, agenda melumpuhkan pengaruh negara Islam supaya tidak berlaku seperti yang dialami dengan komunis dalam era perang dingin. Lantaran itu juga, dengan pergolakan yang berlaku kesempatan diambil sejak dari awal dengan meningkatkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat di Libya. Ini terbukti media Barat seperti Radio BBC setiap hari menyiarkan berita tentang Libya antaranya mengetengahkan peranan muzik seperti muzik rap Barat yang dinyanyikan oleh penentang di negara Arab khususnya di Mesir dan Libya, dengan komentar bahawa penentangan ini bukan mazahir atau manifestasi daripada penentangan terhadap kediktatoran sahaja tetapi pemberontakan terhadap kongkongan yang boleh menghalang kebebasan budaya.

Unsur seperti ini telah sekian lama membarah dalam pemikiran sebahagian besar orang Barat kerana memandang Islam sebagai amalan yang tidak mahu menerima unsur-unsur pembaratan. Meskipun terdapat perasaan tidak setuju kepada mana-mana pemerintah sama ada bersifat diktator atau tidak, umat Islam biasanya akan melakukan penentangan terhadap campur tangan-campur tangan ini melalui protes seperti demonstrasi dan sebagainya. Keadaan yang sama dijangka akan berlaku ekoran tindakan Britain dan Perancis di Libya. Namun, kemarahan umat Islam termasuk di Malaysia selepas ini tidak akan menjadi kudis kepada kuasa-kuasa tersebut, kerana mereka menjangkakan sebarang protes akan memberi implikasi secara serta-merta kepada umat Islam di negara itu sendiri seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda. Apa yang penting bagi kuasa-kuasa Barat seperti Britain dan Perancis ialah mereka kini boleh menjatuhkan satu lagi buah domino.

Negara yang pernah menjadi buah domino yang dijatuhkan biasanya akan menghadapi kesukaran untuk memulihkan keadaan mereka meskipun telah ditinggalkan oleh kuasa penceroboh. Keadaan ini sekarang dialami oleh Afgahnistan dan Iraq yang terpaksa berhempas pulas menyelesaikan banyak pertikaian dalaman. Dalam keadaan semasa dominasi AS dan kuasa Barat dan sekutunya akan berterusan yang memerlukan masyarakat dunia hari ini menuntut keadilan tanpa didiskriminasi oleh negara-negara berkenaan. Oleh itu para pakar strategi seluruh negara Islam harus berbuat sesuatu untuk mencari jalan bagi menghadapi ketidakadilan yang berlaku dengan melupakan sebentar pegangan tentang falsafah hubungan antarabangsa kerana kadang kala jiran serantau juga harus disepakati untuk menghadapi pakatan yang boleh memusnahkan negara jiran yang akan turut mengancam keselamatan negara sendiri. Negara Islam tidak boleh membiarkan mereka menjadi buah domino yang pernah wujud dalam doktrin pemerintahan AS dan kini mungkin wujud secara tersembunyi dalam kalangan negara Barat tetapi dalam bentuk yang lain iaitu "negara-negara Islam harus dilemahkan satu persatu" dan bukannya seperti dalam doktrin Teori Domino yang asal.

UTUSAN MALAYSIA
31 MAC 2011

ISU PENGANGKUTAN : MEMULIH PENGANGKUTAN AWAM

Oleh NURUL ANUAR KARI


Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pengangkutan awam di kawasan bandar di bawah Kementerian Pengangkutan dilihat amat penting dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan penurunan mendadak pengguna pengangkutan awam. Jumlah penumpang mencatatkan penurunan dari 37 peratus pada 1985 kepada 20 peratus pada 1997 dan akhirnya menjunam sekitar 10 peratus pada 2008. Walaupun peningkatan jumlah penduduk menambah kesesakan lalu lintas, pengguna dilihat kurang gemar menggunakan pengangkutan awam kerana terpaksa berasak-asak di waktu puncak di samping berdepan perkhidmatan kurang cekap seperti pembatalan, kerap lewat dan kesukaran mendapatkan pengangkutan awam. Situasi ini paling jelas untuk transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya yang beroperasi pada kadar 180 peratus kemampuannya serta Komuter KTM pada kadar 140 peratus kemampuannya.

Perdana Menteri sendiri dilaporkan telah meletakkan keutamaan untuk peningkatan 25 peratus penumpang pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang 2012 terutamanya di waktu puncak antara 7 dan 9 pagi. Untuk 2010, NKRA ini menetapkan sasaran peningkatan 15 peratus jumlah pengguna pengangkutan awam untuk 2010 iaitu peningkatan 251,184 orang penumpang berbanding 226,184 orang pada 2009. Untuk itu, 200 bas baru akan ditambah bersama 26 set rel empat gerabak untuk laluan Kelana Jaya, tambahan 4,000 petak meletak kenderaan di stesen rel dan menaik taraf 800 hentian bas. Selain pembinaan terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Bandar Tasik Selatan, langkah sokongan lain termasuklah mendorong pengendali pengangkutan menggunakan sistem tanpa tunai, sekatan untuk kenderaan berat di kawasan pusat perniagaan di waktu puncak serta menolak pembaharuan cukai jalan bagi pemandu dengan saman tertunggak.

Antara kejayaan utama 2010 adalah peningkatan jumlah penumpang LRT kepada 2.43 juta orang sementara jumlah pengguna pengangkutan awam melangkaui sasaran awal kepada 17 peratus. Ini disumbang penggunaan 22 set rel empat gerabak di laluan Kelana Jaya sementara baki empat set rel akan dihantar secara berperingkat bersama tambahan sembilan set sebelum pertengahan 2011. Selain itu, kesesakan lalu lintas dikurangkan selepas lebih 500 bas ekspres berjaya dilencongkan setiap hari dari pusat bandar Kuala Lumpur ke ITT lain seperti di Bandar Tasik Selatan. Sebanyak 634 hentian bas di Lembah Klang berjaya dinaik taraf dengan baki 166 hentian bas akan dinaik taraf bersama 440 lagi hentian sepanjang tahun ini. Menjelang 2012, NKRA ini juga diharap dapat meningkatkan kemampuan komuter KTM dan LRT sebanyak dua kali ganda dengan jangkaan satu komuter KTM setiap 7.5 minit berbanding satu setiap 15 minit sekarang.

Sasaran ini akan disokong dengan permulaan operasi empat set tren elektrik pelbagai guna (EMU) enam gerabak menjelang Disember ini sementara 34 set lagi akan dihantar secara berperingkat sebelum pertengahan 2012. Perkhidmatan bas pula akan disokong tiga ITT iaitu di Bandar Tasik Selatan yang mula beroperasi pada 1 Januari lalu serta ITT Gombak dan ITT Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2012. Keutamaan untuk laluan bas di 12 koridor utama sekitar Lembah Klang juga akan diperkenalkan secara berperingkat dan dijangka mampu melancarkan pergerakan enam hingga sembilan peratus (35,000 hingga 55,000 orang) penumpang di waktu puncak sebelah pagi. Rapid KL juga bakal menggandakan angkatannya apabila menerima tambahan 850 bas baru di samping menambah bas feeder ke stesen LRT serta perkhidmatan baru ke 53 laluan bas kurang tumpuan.

Namun, Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 mencatatkan teguran di dalam maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) berikutan perancangan NKRA ini tidak melibatkan agenda untuk secara langsung mendorong orang ramai tidak menggunakan kenderaan peribadi. Maklum balas itu turut mencadangkan pemansuhan subsidi petroleum sebagai langkah yang akan 'mendorong' orang ramai menggunakan perkhidmatan awam. Selain itu, ahli jawatankuasa yang juga Wakil Tetap IMF di Singapura, Ravi Balakrishnan mencadangkan Malaysia melihat model Delhi Metro di India sebagai contoh sistem transit aliran massa kawasan bandar yang berjaya. Ahli jawatankuasa tersebut serta pengasas Transparency International, Michael Hershman pula berpendapat penglibatan sektor swasta akan memberi nilai tambah dalam mencapai hasil yang lebih pantas dan berkesan.

"Kerjasama merupakan satu titik penting demi menjamin pencapaian terbaik, melalui kaedah paling berkesan dan dalam tempoh paling singkat," katanya. Pakar Pengangkutan Awam dan Ketua Program Pengurusan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Abd. Rahim Md. Nor bagimanapun mengingatkan pihak berwajib supaya tidak mengabaikan aspek penyelenggaraan. "Dalam meningkatkan dan menambahbaik sistem pengangkutan awam, jangan pula kita lupakan penyelenggaraan bas dan kereta api sedia ada kerana sebahagian daripadanya kini kelihatan amat daif. "Sementara diganti unit-unit baru, pengangkutan awam sedia ada perlu dijaga untuk keselesaan dan kemudahan umum," tegasnya. Beliau turut mencadangkan pembinaan pangkalan data dan unit khas yang dapat memantau dan mengawal piawaian perkhidmatan pengendali pengangkutan seterusnya memudahkan perancangan pembangunan masa depan.

Seperti yang dinyatakan pihak penilai, tumpuan bukan sahaja perlu kepada peningkatan infrastruktur malahan usaha secara langsung 'memujuk dan menarik minat' orang ramai menggunakan apa yang telah disediakan. Bas dan rel sedia ada yang kelihatan uzur, sering rosak dan gagal menepati piawaian perkhidmatan juga perlu diberi perhatian kerana jika dibiar begitu sahaja, bukan sahaja NKRA ini akan gagal mencapai sasaran 25 peratus malahan mungkin akan kehilangan 17 peratus yang sedia ada.

UTUSAN MALAYSIA
31 MAC 2011

ISU EKONOMI : KURANGKANLAH CUKAI PENDAPATAN

Oleh Azman Anuar


Hari ini kalau suri rumah pergi ke kedai runcit atau pasar, RM20 habis untuk belanja barang basah. Ayam atau ikan serta sayur cukup-cukup untuk hidangan makan tengah hari dan malam untuk perut lima orang satu keluarga. Cuba bertanya kepada kaum wanita yang sering ke pasar atau kedai runcit. Jarang-jarang yang tidak merungut mengenai harga barangan sekarang. Kalau ada kedai yang boleh jual barangan barang basah pada ‘harga runtuh’ setiap hari, mereka akan serbu. Untung orang yang tinggal berdekatan pasar borong sebab hari-hari dapat harga murah. Tapi yang berjauhan, ‘hari-hari marah.’ Belanja dapur sahaja sudah melambung berkali-kali ganda. Apalah nasib golongan pertengahan, belanjawan harian meningkat. Tinggal sebulan lagi, golongan ini juga perlu mengisi borang cukai pendapatan. Banyak dapat, banyaklah kena cukai. Ada yang mengeluh. Kalau boleh kita mahu rakyat Malaysia dapat menikmati kembali barangan keperluan harian pada harga murah.

Tiga atau empat tahun lalu, harga seikat pucuk ubi baru 50 sen, sekarang RM1. Dahulu ayam daging baru RM3.80 sekilogram, sekarang melambung lebih RM7 sekilogram. Cukuplah dua contoh yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu. Nampaknya tak ada usaha mana-mana pihak untuk memperlahankan kenaikan harga barang. Tak ada pihak peniaga yang hendak mengurangkan harga jualan mereka. Kalau boleh mereka mahu menaikkan harga jualan lagi. Ini baru bab soal makan. Kalau masuk bab harga rumah, lagi menakutkan. Dengan pergerakan dan kenaikan gaji bagi golongan pertengahan tidak naik mendadak seperti harga rumah dan barang keperluan, mereka kena pandai-pandai berjimat. Wang gaji bulanan kadang kala tak cukup. Ansuran rumah sewa atau pinjaman rumah dan kereta sudah menelan tiga suku gaji bulanan. Tinggal suku lagi untuk belanja lain-lain.

Mengharapkan simpati peniaga turunkan harga barangan mungkin sukar, sebab mereka ada banyak alasan. Kerajaan pun sudah penat merayu. Tinggal pada siapa lagi tempat mengadu! Memandangkan setiap tahun Lembaga Hasil Dalam Negeri mengumumkan kejayaan mengutip berbilion cukai pendapatan, mungkin dalam pembentangan Belanjawan 2012 kerajaan boleh beri sedikit harapan baru. Bagaimana kalau kerajaan menurunkan 50 peratus kadar cukai pendapatan individu. Cukai pendapatan individu walaupun banyak dipotong tapi tidak sampai menjejaskan pendapatan negara. Nampaknya cara ini dapat membantu golongan rakyat yang kena bayar cukai pendapatan. Kalau dicongak-congak hampir satu bulan gaji dipotong untuk cukai pendapatan sahaja. Jika cadangan ini dilaksanakan bermakna separuh sahaja dikenakan. Mana-mana ruang jika boleh dikurangkan, lakukanlah. Kerajaan tidak akan rugi, malah ‘beruntung’. Orang berbudi, ada balasannya. Percayalah...

UTUSAN MALAYSIA
31 MAC 2011

28 Mac 2011

ISU SASTERA : SASTERA DALAM MEMBINA MODAL INSAN

Sastera dalam membina modal insan
Oleh A.Aziz Deraman


Bagi sesetengah orang, kesusasteraan itu tidak penting, tidak membawa erti apa-apa. Itulah makanya di kalangan masyarakat umum di Malaysia, kesusasteraan itu tidak dilihat betapa besar kaitannya dengan nilai politik dan kepemimpinan, akal budi, patriotisme, jati diri, budi bahasa, cinta negara, kasih sayang, pedoman kehidupan, kesedaran, keinsafan, pemikiran. Dan alangkah luasnya nukilan ilmu dan nilai-nilai hidup dalam karya para sasterawan dan penulis bangsa. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, memang semakin nyata bahawa rakyat Malaysia juga memerlukan suatu transformasi sosio-budaya dan pemahaman terhadap kesusasteraan dengan mendalam. Dalam sastera, nilai-nilai tidak bergerak berasingan, tetapi amat rapat dengan tradisi ilmu, semangat dan roh kekuatan bangsa. Jika dikatakan kesusasteraan itu bahagian daripada falsafah dan pemikiran, maka kita boleh sahaja merujuknya kepada genre sastera hikayat, roman sejarah, dan melalui teks-teks karya agung serta karya-karya semasa para sasterawan.

Di dalamnya termuat segala aspek tentang pembinaan modal insan cemerlang. Nilai politik atau ikrar taat setia seperti ungkapan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ tidak akan difahami generasi baru jika mereka tidak mempelajari sastera. Mereka tidak tahu bezakan keadilan dengan kezaliman, fungsi raja dan peranan rakyat, sekiranya tidak ditatap dua teks genius Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Dalam bahasa dan sastera itu, kita boleh mengenali peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, syair, gurindam, pantun, seloka, pepatah, petitih dan sebagainya. Hasil-hasil sastera pula ada yang berbentuk karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan yang bukan kreatif seperti penulisan dan kajian. Cuba lihat aspek nilai dan norma; adat resam, nilai-nilai positif yang patut menjadi amalan masyarakat. Kesusasteraan merakamkan macam-macam perlakuan budaya dalam bentuk tulisan dan lisan.

Jadi cemerlangkah bangsa kita, jika kita buta budaya dan tidak celik sastera? Sifat negara maju bukan begitu. Manusia cemerlang adalah manusia yang tahu erti ‘kesatuan’ dan lambang-lambang ‘perpaduan’ dan ‘kekuatan’. Misalnya ada protokol Melayu tentang pemimpin yakni peranan ketua mengatur gerak kerja dan ketua itu dihormati. Ungkapan seperti ‘Yang didahulukan selangkah/ Yang ditinggikan seranting/ Yang dilebihkan serambut/ Yang dimuliakan sekuku... dan ribuan lagi ungkapan Melayu. Nilai-nilai jati diri, patriotisme, dan akal budi boleh sahaja dirujuk. Pantun, syair, gurindam, peribahasa dari segi isi dan mesejnya membawa nilai budi, pengajaran dan nasihat. Apakah masyarakat kita masih ingat akan ‘Duduk berbual diremang senja/Angin taufan bertiup kencang/Kalau kapal dua nakhoda/Alamat karam dipukul gelombang/. Ada ribuan pantun dan peribahasa yang boleh kita buat pedoman tentang perpaduan, nilai kepemimpinan, cinta negara, kekeluargaan, perjuangan, kepahlawanan dan sebagainya.

Di Malaysia, kadang kala pengalaman menunjukkan bahawa kita begitu mudah terperangkap atau terheret dengan masalah kulit bukan isinya. Kenapakah nilai-nilai budi bahasa dan nilai murni bangsa kita kian terhakis? Seorang anak Melayu yang kukuh modal insannya akan menjadi seorang budiman, beragama, berbudaya dan berakhlak mulia. Mereka akan menolak hedonisme, vandalisme dan jahiliyah. Selain agama, maka sastera mengajar nilai hormat menghormati, bersyukur, berkeperibadian luhur dan seumpamanya. Dalam pantun disebut ‘Burung serindit terbang melayang/Mari hinggap diranting mati/Bukan ringgit dipandang orang/Pandangan atas budi pekerti/. Tetapi berbudi juga ada hadnya. Kita diingatkan agar ‘Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali’. Jangan sampai ‘kera di hutan disusui, anak dipangkuan dilepaskan’.

Bangsa Melayu dan bumiputera sepatutnya dengan penuh keyakinan melangkah memajukan diri. Lihat bagaimana nilai ketekunan, kebijaksanaan, ketabahan, rendah diri, persaingan, berbudi, berbakti, kesabaran dan sebagainya yang digambarkan melalui teks-teks sastera tadi. Ilmu kepribumian sudah sepatutnya diajar di institusi pengajian sebagai pengetahuan dan bandingan, termasuk teknologi pribumi. Cuba ceduk nilai-nilai positifnya. Faktor nilai dan norma sangat penting dalam situasi sekarang. Modal insan boleh dibina dengan mengambil iktibar daripada sastera. Bukankah nilai-nilai itu maknanya darjat, kualiti, taraf dan sifat ketinggian pemikiran, agama dan kemasyarakatan?. Dalam sastera, masyarakat akan tahu nilai berkasih sayang, bekerjasama, bergotong royong, muafakat, semangat perjuangan dan membina pasukan. Banyak yang kita boleh rujuk.

Apakah sia-sia sahaja peribahasa seperti ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum pula’, ‘pisang sesikat sayur sebelanga, tanda mufakat makan bersama’, ‘gunung yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni’, ‘Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ atau ‘Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih?’ Jika bangsa Malaysia merujuk atau diajarkan teks sastera, maka keagungan nilai-nilai pendidikan warisan bangsa itu akan dirasai. Nilai kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan adalah nilai-nilai universal. Malahan ada puluhan nilai-nilai positif yang lain. Pedoman kehidupan, misalnya ‘Menunduk kepala kepada raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap lawan,’ menggambarkan kita ada peraturan dan keteraturan tersendiri. Cuba kenal siapa kawan dan siapa lawan! 

Untuk ekonomi, tatapi ‘sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit,’ ‘alah membeli menang memakai,’ ‘masa itu emas, masa itu wang;’ untuk amanah ‘Kata hendaklah dikota,’ ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Kenapakah semuanya hilang dari kehidupan, jika tidak bangsa kita sendiri yang memupuskan kehebatannya? Kesusasteraan memiliki kedudukan yang istimewa bagi bangsanya kerana ada banyak panduan cara hidup berbangsa dan bernegara. Yang perlu kita bina ialah nilai-nilai persamaan bukannya perbezaan, nilai kebaikan bukan kejahatan, kemanusiaan bukan kehaiwanan, kenegaraan dan perpaduan. Cari jalan bagaimana kesejahteraan sosial dan kehidupan kebudayaan tinggi dapat didukung bersama. Buta budaya dan tidak celik sastera akan hanya mengakibatkan peradaban bangsa menjadi tanpa arah dan bertambah parah. Sayang seribu kali sayang, bangsa sendiri tidak penyayang bahasa dan sastera.

DATUK A AZIZ DERAMAN ialah bekas
Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989/bekas Ketua Pengarah DBP 1994-2004, AJK Gapena dan Penasihat PUSPA Kelantan.

UTUSAN MALAYSIA, 28 MAC 2011

27 Mac 2011

ISU UMUM : KEKANG PIHAK KURNIAKAN GELARAN DATUK PALSU


Benarlah manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar pangkat, harta dan status sosial. Ia termasuklah membeli gelaran Datuk pada harga ratusan ribu ringgit. Sanggup mereka membazirkan sejumlah besar wang demi memenuhi nafsu untuk tujuan tersebut. Lebih baik wang itu digunakan untuk tabungan hari tua, pelaburan saham amanah atau memulakan perniagaan baru. Mungkin bagi pembeli gelaran Datuk itu, sejumlah wang yang besar itu tidak memberi apa-apa makna, berbanding dengan 'faedah' yang bakal diraih selepas bergelar Datuk. Pada anggapan mereka gelaran itu akan membawa tuah kerana seorang Datuk tentunya akan lebih mudah berurusan bagi mendapatkan pelbagai projek kerajaan, yang mana itu bermakna akan bertambah tebal poket mereka kelak. Namun, soalnya adakah tenang hidup mereka dan adakah lena tidur mereka kerana setiap hari perlu memikul beban menipu yang lambat laun, ia pasti akan terbongkar juga.


Bagi penerima gelaran Datuk palsu yang tidak mampu lagi menanggung beban tersebut, maka satu hari kelak, mereka akan muncul di khalayak untuk membuat pengakuan. Begitulah yang berlaku kepada Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom pada Januari lalu yang mengaku membeli gelaran Datuk pada harga RM250,000 daripada ejen yang kononnya mewakili keluarga diraja di sebuah negeri di utara Semenanjung. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namun, kisah Mohd. Ali itu tidak pernah mahu dijadikan pengajaran apabila semalam, media tempatan melaporkan kemurkaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang kecewa dengan tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran Datuk kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu. Tidakkah penerima gelaran palsu Datuk itu tahu bahawa hanya baginda Sultan yang boleh mengurniakan gelaran dan pingat kebesaran?  Mungkin juga mereka tahu, tetapi seperti yang dijelaskan tadi, kerana nafsu maka mereka buat-buat tidak tahu.


Justeru, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap individu, golongan profesional atau ahli perniagaan yang menyamar bergelar Datuk untuk kepentingan diri. Sebarang hukuman tegas adalah wajar bagi memberi pengajaran kepada semua pihak. Langkah itu boleh mengingatkan kita terutama pihak tidak bertanggungjawab supaya jangan sewenang-wenangnya menggunakan gelaran Datuk, apa lagi untuk tujuan tidak baik seperti melakukan jenayah. Sekiranya tindakan tidak dilakukan, dibimbangi sesiapa pun akan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk mencapai tujuan masing-masing. Tindakan tegas terhadap pihak yang mengurniakan gelaran Datuk palsu dan penerima gelaran itu wajar kerana ia satu tindakan yang tidak beretika. Kita perlu mengekangnya daripada berleluasa dan kenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk menangani perkara ini.  Mungkin Jabatan Peguam Negara boleh mengisytiharkan perbuatan mereka itu sebagai satu jenayah. Selepas itu, gunakan apa sahaja peruntukan yang ada untuk mengekangnya. Jangan biar ia menjadi barah yang boleh memalukan negara.

UTUSAN MALAYSIA
22 MAC 2011

ISU SUKAN : MEMBANGUNKAN SUKAN NEGARA

Oleh Prof. Madya Dr. Mohar Kassim
Penulis ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Tidak dapat dinafikan, kebanyakan negara dunia yang dianggap jaguh dalam sukan khususnya di peringkat antarabangsa mempunyai model pembangunan sukan mengikut acuan mereka sendiri. Oleh itu, agak kurang tepat jika kita ingin mengadakan satu model pembangunan sukan yang melihat kepada satu aspek sahaja iaitu kepimpinan. Walaupun aspek kepimpinan merupakan salah satu elemen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan atau atlet, tetapi ia masih lagi tidak cukup untuk dijadikan senjata utama bagi menentukan naik dan turunnya satu-satu sukan. Kita telah menyaksikan kemelut yang berlaku di antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mana KOAM meneruskan perancangan mereka untuk berlatih di Ranau, Sabah, sedangkan MSN tidak setuju. Kes ini menunjukkan adakah kepimpinan KOAM dipersalahkan? Perlukah KOAM mengikut sahaja arahan MSN agar tidak menampakkan adanya kemelut di antara dua pihak walaupun ia akan menjejaskan prestasi atlet olahraga.


Soalnya, adakah KOAM atau MSN memerlukan satu model khas bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham kepimpinan KOAM dan MSN. Adakah ini perlu dilakukan oleh semua persatuan sukan kebangsaan? Kesemua persoalan ini perlu difikirkan semua pihak sama ada MSN, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan agensi lain yang terlibat dalam membangunkan mutu sukan negara. Adalah kurang tepat jika kita hanya melihat aspek kepimpinan di dalam persatuan sukan, tetapi kita perlu juga melihat aspek kepimpinan daripada pihak MSN, Majlis Olimpik Malaysia dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi. Ini kerana agensi-agensi itu juga bertanggungjawab bersama persatuan sukan kebangsaan dan negeri untuk membangunkan atlet, jurulatih, pengurus, kepegawaian dan pihak lain yang berada dalam arena sukan tanah air.


Kalau kita lihat negara-negara yang sering berada di tangga terbaik dalam temasya sukan peringkat antarabangsa sama ada Sukan Olimpik, Sukan Asia mahupun Komanwel, negara-negara itu adalah negara-negara yang mempunyai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang cemerlang, sistem pengurusan profesional, cekap, tidak mengamalkan politik jumud dalam sukan, dan mempunyai atlet yang bersemangat meningkatkan martabat negara mereka. Justeru, jika negara inginkan perubahan dalam usaha meningkatkan mutu sukan negara, kita perlu berani mengadakan perubahan secara terbuka dan profesional. Tidak ada gunanya kita adakan konvensyen, seminar, hasilkan beberapa resolusi, tetapi selagi sikap, pemikiran kita masih ditakuk lama dan tidak mahu berubah, maka segala usaha yang kita laksanakan akan sia-sia.

UTUSAN MALAYSIA
22 MAC 2011

ISU MEMBACA : U-LIBRARY UNTUK SEMUA

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Bagaimana untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian rakyat negara ini? Jika semua sudah disediakan, adakah kejayaan kempen membaca terletak di tangan pihak berwajib atau rakyat Malaysia sendiri? Dalam temuramah khas bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, beliau menegaskan perpustakaan cuma untuk memupuk budaya membaca, bukannya untuk mengarahkan rakyat membaca. Budaya membaca ini perlu terus dipupuk terutamanya selepas seseorang itu tamat belajar tetapi ia banyak bergantung kepada individu itu sendiri. Kita boleh sediakan kemudahan yang cukup tetapi tiada maknanya tanpa inisiatif diri termasuk di kalangan orang dewasa yang menyuruh anak membaca tetapi mereka sendiri tidak melakukannya. Raslin menjelaskan kini terdapat 2,436 perpustakaan di seluruh negara termasuk perpustakaan awam di negeri-negeri, perpustakaan akademik di universiti dan perpustakaan di kementerian serta jabatan kerajaan.

Dari segi keahlian, kesemua perpustakaan tersebut memberi khidmat kepada kira-kira sembilan juta ahli termasuk 42 juta orang pengunjung setiap tahun yang kebanyakannya datang pada hujung minggu. PNM kini mempunyai 865,000 ahli dan dijangka terus meningkat sehingga satu juta orang menjelang hujung tahun ini. Bagi generasi muda, mereka memilih untuk muat turun di komputer peribadi dan tidak perlu datang jauh ke perpustakaan. Generasi saya pula lebih suka bentuk fizikal (buku). Jadi, kita dalam usaha memenuhi permintaan semua dengan menyediakan bahan dalam bentuk fizikal dan digital serta melatih orang ramai menggunakan komputer untuk cari dan dapatkan bahan yang dikehendaki. Program latihan tersebut merupakan antara intipati program celik maklumat PNM yang melatih semua peringkat terutamanya pelajar sekolah tentang cara mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih melalui internet.

Berjuta-juta maklumat boleh diperoleh di dalam internet tetapi kita tidak tahu ia boleh dipercayai atau tidak. Perpustakaan mempunyai kemahiran mengesahkannya dan kita ajar orang ramai bagaimana untuk mencari bahan tersebut. Kita juga mempunyai 77 program galakkan membaca tahun ini terutamanya untuk mereka yang sukar mendapatkan kemudahan bahan bacaan dengan berkongsi serta membawa bahan bacaan tersebut kepada mereka. Menurutnya, sasaran kerajaan bukan sekadar membudayakan tabiat membaca tetapi mahu melihat rakyat membaca di mana sahaja jika mempunyai masa. Kita mahu mencontohi penduduk di negara luar yang membaca di mana sahaja, sekurang-kurangnya membaca akhbar. Ada petunjuk baik peningkatan dalam penulisan dan jualan buku tetapi masih susah untuk kita lihat warga Malaysia duduk bersahaja sambil membaca.

Kemuncak perancangan kempen membaca tahun ini adalah pelaksanaan Projek Rintis Perpustakaan Ubiquitous (U-library) yang akan dilancarkan pada Mac ini. Konsep perpustakaan maya ini mengatasi semua bentuk sempadan jarak dan inventori dengan menggabungkan semua bahan bacaan seluruh negara di bawah satu sistem pengurusan tunggal. Menurut Raslin, semua perkhidmatan akan disediakan melalui U-library termasuk pendaftaran percuma menggunakan MyKad, mencari bahan secara maya dan pinjaman buku secara percuma. Ahli cuma perlu muat turun bahan digital ataupun meminjam bahan fizikal secara percuma. Tetapi, mereka perlu menanggung sedikit kos untuk perkhidmatan pos sama ada menghantar atau mengambil buku yang dipinjam. Kos ini tidak tinggi jika dibandingkan kos pengangkutan dan masa untuk ke perpustakaan, di samping mencari bahan mengikut kaedah lama.

Kita akan menjalankan program perintis U-library sehingga penghujung 2012 dengan kerjasama tujuh perpustakaan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan penuh dengan semua perpustakaan di seluruh negara menjelang 2013. Jelasnya lagi, bukan sesuatu yang mudah untuk mengubah sepenuhnya sistem perpustakaan negara dan perkhidmatan penuh perlu mengambil kira permasalahan yang mungkin timbul. U-library bukan sekadar pusat sehenti untuk mencari dan meminjam bahan tetapi mempunyai forumnya sendiri, seminar web interaktif serta ruangan pendapat pembaca mengenai sesebuah buku atau bahan bacaan lain. U-library juga dapat membantu sasaran satu perpustakaan di setiap rumah melalui rak digital yang boleh disusun sendiri setiap ahli di dalam komputer peribadi mereka. Kita mahu membawa perpustakaan terus ke rumah pembaca, memudahkan buku dihantar terus ke rumah serta memudahkan proses pemulangan dengan bayaran minima untuk perkhidmatan tersebut.

Layari laman web www.u-library.gov. my untuk mendaftar sebagai ahli dan jadikan membaca amalan pembuka serta penutup hari anda.

UTUSAN MALAYSIA
21 MAC 2011

ISU SOSIAL : SENARAI HUTANG MENANTI PADA USIA MUDA

Oleh Hassan Mohd. Noor


Akhirnya Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat hanya mereka yang berpendapatan minimum RM24,000 setahun layak memohon kad kredit. Bagi yang mempunyai pendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad. Mereka yang sudah memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar diberi tempoh sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kad yang menjadi pilihan. Masih belum terlambat syarat ini dikenakan setelah 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit berpendapatan kurang RM36,000 setahun. Diharapkan bank atau institusi kewangan yang menawarkan kad kredit dapat mematuhi arahan ini dan tidak terlalu mudah menawarkan kad hutang atau menambah had hutang pemilik kad yang sedia ada. Peluang juga perlu diberi kepada mereka yang ingin ‘menyerah diri’ dengan memulangkan kad kredit supaya pelan penyelesaian hutang dapat diselesaikan tanpa membebankan pemilik.

Memang sukar bagi yang sudah terlanjur dengan hutang kad kredit ini untuk menyusun semula hutang selagi kad kredit masih di tangan. Ya...hutang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan. Bukan sekadar hutang wang ringgit dengan bank atau sesama manusia tetapi ada yang berhutang janji, hutang kerja, hutang belajar, hutang ibadat dan macam-macam lagi. Tetapi dalam banyak perkara hutang, isu hutang duit yang mendapat perhatian. Hutang wang dapat dikesan oleh BNM yang akhirnya mereka diisytiharkan muflis. Hutang wang sama ada hutang dengan bank, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mara dan pelbagai lagi memang menyusahkan kehidupan. Akibat kegagalan membayar hutang, ramai yang disenarai hitam. Mereka dihalang meminjam wang bagi urusan lebih penting termasuk membeli rumah atau ingin ke luar negara.

Baru-baru ini, kita didedahkan dengan kenyataan bahawa 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis. Sebanyak 72.74 peratus daripada mereka adalah lelaki. Kebanyakannya adalah golongan pertengahan, bergaji di bawah RM5,000 sebulan. Mereka yang berusia di antara 25 hingga 45 tahun muflis kerana menjadi penjamin, membuat pinjaman bank dalam jumlah yang banyak, sewa beli kereta tanpa deposit dan penggunaan kad kredit. Jumlah ini hanya 1.46 peratus daripada sejumlah 1.27 juta penjawat awam. Bagaimanapun sepatutnya tidak ada penjawat awam yang muflis kerana mereka bergaji tetap dan perlu menguruskan kewangan dengan baik mengikut kemampuan gaji masing-masing. Begitu juga dengan ramai golongan muda yang muflis. Tetapi bagaimana mahu menguruskan kewangan dengan baik kerana sebaik sahaja bekerja, hutang lama sedang menunggu untuk dijelaskan.

Walaupun ia tidak melibatkan semua orang tetapi kebanyakan mereka yang melangkah keluar dari institusi pengajian tinggi sudah pun mempunyai senarai hutang untuk dijelaskan. Maknanya ramai yang sudah berhutang sejak masih belajar. Ada pelajar yang tidak mendapat pinjaman penuh PTPTN kerana sebab-sebab tertentu terpaksa pula berhutang dengan institusi kewangan/bank atau koperasi. Maka jumlah hutang akan meningkat. Akhirnya selepas habis pengajian, pelajar terpaksa membayar hutang kepada dua pihak iaitu PTPTN dan bank/koperasi. Begitulah realiti kehidupan golongan muda sekarang apabila mereka sudah berhutang sebelum bekerja. Lebih parah apabila gaya hidup golongan pelajar di IPT, ada antara mereka ini mengatasi orang yang sudah bekerja. Hutang baru akan menyusul selepas bekerja dengan keghairahan untuk memiliki kenderaan sendiri.

Malahan ketika ini, tidak perlu deposit untuk membeli kereta. Cukup mudah. Tempoh pinjaman pula panjang menyebabkan tempoh menjelaskan hutang dan jumlah bayaran balik bulanan hutang meningkat. Itu bagi yang mempunyai dua sumber hutang. Bagaimana pula bagi mereka yang kemudiannya mendapat kad kredit yang mungkin digunakan untuk belanja perkahwinan dan mahu memiliki rumah? Maka dalam usia yang muda bertambah lagi senarai hutang - PTPTN + hutang kereta + kad kredit + rumah . Kegagalan menjelaskan hutang bulanan mengikut jadual akhirnya menyebabkan golongan muda ini terjebak dalam kancah hutang yang lebih parah dan tidak mustahil, hutang akan ditanggung sehingga ke anak cucu atau sepanjang hayat. Begitulah peritnya apabila mula terjebak ke dalam hutang – sama ada sengaja ditempah atau terpaksa ditempah. Maka perlunya perancangan kewangan yang lebih baik dan dalam hal ini, pihak berkuasa seperti BNM dan juga Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai peranan mendidik pengguna.

Tanpa perancangan kewangan yang baik, orang akan terus berhutang. Seperti lirik lagu Gali lubang tutup lubang nyanyian Salleh Yaacob. Antara lirik lagunya menyebut mengenai gali lubang untuk menutup lubang, tertutup lubang lama, lubang baru terbuka, gali lubang tutup lubang, pinjam wang bayar hutang. Lirik lagu ini sudah jelas menunjukkan bagaimana pihak yang berhutang berusaha untuk menyelesaikan hutang mereka tetapi kaedah yang digunakan tidak betul. Ada yang kononnya memohon kad kredit untuk membayar hutang tetapi hakikatnya, disebabkan tidak ada pengurusan kewangan yang baik, dia sebenarnya menempah hutang baru. Inilah yang dikatakan gali lubang nak tutup lubang tetapi lubang baru terbuka.

UTUSAN MALAYSIA
21 MAC 2011