Oleh Prof. Madya Dr. Mohar Kassim
Penulis ialah Pensyarah Sains Kejurulatihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Tidak dapat dinafikan, kebanyakan negara dunia yang dianggap jaguh dalam sukan khususnya di peringkat antarabangsa mempunyai model pembangunan sukan mengikut acuan mereka sendiri. Oleh itu, agak kurang tepat jika kita ingin mengadakan satu model pembangunan sukan yang melihat kepada satu aspek sahaja iaitu kepimpinan. Walaupun aspek kepimpinan merupakan salah satu elemen penting dalam menentukan kejayaan sesebuah pasukan atau atlet, tetapi ia masih lagi tidak cukup untuk dijadikan senjata utama bagi menentukan naik dan turunnya satu-satu sukan. Kita telah menyaksikan kemelut yang berlaku di antara Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mana KOAM meneruskan perancangan mereka untuk berlatih di Ranau, Sabah, sedangkan MSN tidak setuju. Kes ini menunjukkan adakah kepimpinan KOAM dipersalahkan? Perlukah KOAM mengikut sahaja arahan MSN agar tidak menampakkan adanya kemelut di antara dua pihak walaupun ia akan menjejaskan prestasi atlet olahraga.
Soalnya, adakah KOAM atau MSN memerlukan satu model khas bagi mengelakkan berlaku perselisihan faham kepimpinan KOAM dan MSN. Adakah ini perlu dilakukan oleh semua persatuan sukan kebangsaan? Kesemua persoalan ini perlu difikirkan semua pihak sama ada MSN, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan dan agensi lain yang terlibat dalam membangunkan mutu sukan negara. Adalah kurang tepat jika kita hanya melihat aspek kepimpinan di dalam persatuan sukan, tetapi kita perlu juga melihat aspek kepimpinan daripada pihak MSN, Majlis Olimpik Malaysia dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pengajian Tinggi. Ini kerana agensi-agensi itu juga bertanggungjawab bersama persatuan sukan kebangsaan dan negeri untuk membangunkan atlet, jurulatih, pengurus, kepegawaian dan pihak lain yang berada dalam arena sukan tanah air.
Kalau kita lihat negara-negara yang sering berada di tangga terbaik dalam temasya sukan peringkat antarabangsa sama ada Sukan Olimpik, Sukan Asia mahupun Komanwel, negara-negara itu adalah negara-negara yang mempunyai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang cemerlang, sistem pengurusan profesional, cekap, tidak mengamalkan politik jumud dalam sukan, dan mempunyai atlet yang bersemangat meningkatkan martabat negara mereka. Justeru, jika negara inginkan perubahan dalam usaha meningkatkan mutu sukan negara, kita perlu berani mengadakan perubahan secara terbuka dan profesional. Tidak ada gunanya kita adakan konvensyen, seminar, hasilkan beberapa resolusi, tetapi selagi sikap, pemikiran kita masih ditakuk lama dan tidak mahu berubah, maka segala usaha yang kita laksanakan akan sia-sia.
UTUSAN MALAYSIA
22 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan