JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Januari 2011

ISU SOSIAL : MATERALISTIK PENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN KES DERA

Peningkatan kes penderaan kanak-kanak saban tahun dilihat mempunyai hubung kait dengan masalah stres akibat sikap materialistik masyarakat yang rela dibebani hutang demi keinginan menjalani gaya hidup mewah. Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, apabila tertekan, rasa kecewa dan marah akan mudah timbul yang akhirnya diterjemahkan dalam bentuk keganasan. Biasanya mereka yang lemah dan tidak berupaya untuk melawan iaitu kanak-kanak sering menjadi mangsa kepada kes penderaan fizikal, emosi mahupun seksual. Justeru kita perlu mengenal pasti antara keperluan dan kehendak bagi mengelakkan diri terjerat ke lembah hutang yang akhirnya boleh menimbulkan pelbagai masalah lain. Beliau mengulas kenyataan Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din yang menyatakan statistik 2009 menunjukkan 2,789 kanak-kanak menjadi mangsa dera sama ada dari segi fizikal, emosi atau seksual.

Menurut beliau lagi, secara keseluruhannya setiap hari lapan kanak-kanak didera iaitu setiap tiga jam seorang dan berlaku peningkatan yang begitu ketara pada setiap tahun. Kata Harlina, sekiranya setiap orang tidak berusaha memperkukuhkan ketahanan fizikal, emosi, mental dan spiritual serta meningkatkan hubungan sosial dengan masyarakat sekeliling, sukar untuk menghentikan kes penderaan daripada terus meningkat. Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail berkata, penderaan mempunyai hubung kait dengan tahap kesihatan mental seseorang individu. Sehubungan itu katanya, orang ramai terutamanya ibu bapa disaran menyertai kursus untuk menangani tekanan dan kemarahan supaya ia tidak dilepaskan dalam bentuk keganasan. Biarpun terdapat banyak kursus sebegitu dianjurkan agensi-agensi kerajaan mahupun NGO namun ia sering tidak mendapat sambutan daripada orang ramai. Justeru, diharapkan kerajaan dan NGO dapat berganding bahu mempromosikan kursus itu supaya masyarakat di negara ini dapat menguruskan kesihatan mental dengan lebih baik. 

Tiada ulasan: