Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global. KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P). Fokus 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dilaksanakan sejak KBSR ditambah dengan satu lagi aspek iaitu menaakul menjadikannya 4M.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Maluri, Saadun Kasim, berkata KSSR masih mengekalkan prinsip KBSR dengan mempunyai penambahbaikan iaitu menggunakan pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan sama rata untuk semua murid serta pendidikan seumur hidup. Beliau yang juga Yang Di Pertua Majlis Guru Besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, berkata kurikulum itu turut bersandarkan enam tunjang iaitu komunikasi, perkembangan fizikal dan estetika, kemanusiaan, keterampilan diri, sains dan teknologi serta kerohanian, sikap dan nilai. Pembaharuan lain diperkenalkan KSSR adalah Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) dengan matlamat mengurangkan tekanan peperiksaan awam, memperkukuh Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), memperbaiki pembelajaran murid, pentaksiran holistik dan berterusan serta membina modal insan dengan lebih berkesan.
Ada lima kaedah pentaksiran dilaksanakan melalui SPPK iaitu pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum, pentaksiran sekolah, pentaksiran psikometrik, peperiksaan pusat serta pentaksiran pusat. Di bawah pentaksiran sekolah, setiap sekolah bertanggungjawab melaksanakan sistem pentaksiran sendiri yang dirancang dan diperiksa guru membabitkan murid, ibu bapa dan organisasi luar yang dipecahkan kepada dua iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif. Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini.
Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa. Portfolio adalah kaedah pengumpulan hasil kerja murid yang sistematik dan menjadi bukti perkembangan murid sepanjang tempoh pembelajarannya. Dokumen ini dibahagikan kepada dua iaitu portfolio perkembangan dan pameran. Portfolio perkembangan menunjukkan perkembangan pembelajaran murid dari semasa ke semasa, membantu guru memantau perkembangan dan membuat pentaksiran serta membolehkan murid melakukan penilaian kendiri dalam menetap matlamat yang hendak dicapai.
Dokumen itu turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid. Portfolio pameran mempamerkan tahap penguasaan dan pencapaian murid pada akhir tempoh pembelajaran mereka selain sebagai bahan bukti untuk rujukan dan penilaian akan datang, memberi maklumat aptitud murid kepada guru yang akan mengajarnya pada tahun berikutnya serta dijadikan penilaian untuk pemberian penghargaan. Guru Penyelaras PBS SK Taman Bukit Maluri, Cheong Oi Lai, berkata pendekatan baru ini membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan dan teratur. Katanya, portfolio memudahkan guru menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka dan cara mengatasinya. “Pengukuran tahap pembelajaran murid kini dapat dilakukan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam.
“Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua (tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali,” katanya. Beliau berkata, band satu peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. Ia memberi ruang kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam kebolehan murid mengikuti pembelajaran dalam kelas dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi kelemahan mereka.
Guru Besar SK Bukit Damansara, Zarina Jamil, berkata walaupun ujian bertulis masih dijalankan seperti dulu, proses penilaian KSSR mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan yang ditonjolkan murid dalam kelas. “Guru perlu memahami etika perguruan, jujur dalam tugas dan tidak boleh melebihkan murid tertentu demi kepentingan peribadi,” katanya mengulas mengenai kaedah penilaian murid. Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Bukit Damansara, Datuk Mohd Nadzli Othman, berkata, oleh sebab sebahagian proses penilaian dilakukan oleh sekolah, murid akan berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Katanya, mereka akan bersaing dengan murid lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.
Kesimpulannya, pengenalan KSSR menggantikan KBSR bermula tahun ini membabitkan murid Tahun Satu adalah inisiatif memperkasa modal insan negara.
SUMBER
BERITA HARIAN
31 JANUARI 2011