PENDAHULUAN
Penulisan esei diuji dalam Bahasa
Melayu Kertas 1(910/1) bagi calon-calon yang menduduki Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia. Berdasarkan salibus Sukatan Pelajaran STPM Baharu yang
diperkenalkan mulai tahun 2012, Bahasa Melayu 910/1 dibahagikan kepada 3
bahagian iaitu, Bahagian A : Aneka Pilihan (20%), Bahagian B : Pemikiran Kritis
dan Analitis (30%), dan Bahagian C : Penulisan Esei (50%). Markah yang
diperuntukkan sebanyak 50% untuk penulisan esei itu amat banyak. Walau
bagaimanapun, berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sebagai guru,
majoriti calon mendapat markah dalam lingkungan 10% hingga 20% sahaja. Jumlah yang mendapat markah melebihi
20% amat kurang. Yang mendapat 40% hingga 50% mungkin hanya mimpi di siang
hari. Persoalannya, mengapakah calon-calon yang menduduki Bahasa Melayu 910/1
ini gagal mendapat markah yang tinggi dalam penulisan esei? Umum mengetahui bahawa
pengajaran dan pembelajaran penulisan esei atau penulisan karangan ini sudah
berlangsung di bilik darjah sejak mereka berasa dalam Tahun 1 lagi. Mereka
didedahkan dengan pelbagai teknik oleh guru-guru bahasa Melayu baik yang
terlatih mahupun yang tidak terlatih. Akan tetapi, sehingga berada di peringkat
prauniversiti pun mereka masih gagal menulis esei yang cemerlang.
BUDAYA
HAFAL ESEI
Punca utama kegagalan calon dalam
menghasilkan esei yang cemerlang adalah disebabkan mereka gagal menghuraikan
isi dengan matang. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka telah dirobotkan
oleh guru-guru bahasa Melayu mereka sejak sekolah rendah lagi. Murid-murid
diajar menghafal esei termasuklah isi dan huraian. Mereka tidak diberikan
kebebasan berfikir untuk menghuraikan sendiri isi karangan semasa menulis.
Kebanyakan guru menyediakan isi dan rangka karangan dan pelajar diarahkan
membina ayat berdasarkan bahan yang disediakan itu. Keghairahan guru ini adalah
disebabkan tuntutan sistem pendidikan yang terlalu berorentasikan peperiksaan.
Mereka terlalu takut jika pelajar mereka gagal dalam subjek Bahasa Melayu
terutamanya di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, strategi
terbaik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan adalah dengan
menghafal esei. Teknik ini memang menjadi bagi calon-calon yang menduduki UPSR,
PT3, dan SPM. Akan tetapi, apabila sampai ke peringkat yang lebih tinggi,
pelajar-pelajar yang menghafal ini gagal menghuraikan karangan mereka dengan
matang dan tepat. Mereka mampu membuat huraian yang bersifat umum atau tidak
berpijak di bumi nyata. Situsai ini akan lebih parah sekiranya mereka kurang
membaca. Akibatnya mereka menghuraikan isi karangan dengan merapu-rapu sehingga
memeningkan kepala pemeriksa. Pengetahuan sedia ada calon amat sedikit tentang
tajuk-tajuk esei yang disoal. Walaupun isu yang dikemukakan amat senang mereka
masih juga gagal menghuraikan isi karangan dengan baik dan matang.
KEMAHIRAN
MENGANALISIS SOALAN
Kemahiran menganalisis soalan wajar
ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran karangan di Tingkatan Enam.
Aspek ini mempunyai kolerasi dengan huraian yang matang dan betul. Kebanyakan
calon tidak diberikan pendedahan dalam aspek ini disebabkan guru berandaian
mereka sudah tahu. Bagi menerangkan aspek ini dengan lebih terperinci, sila rujuk
soalan STPM 2016 di bawah.
Soalan
|
Analisis Soalan
|
1. Banyak faktor
yang menyebabkan berlakunya kes penderaan kanak-kanak di negara kita.
Jelaskan faktor-faktor tersebut.
|
Isu utama : Kes penderaan kanak-kanak di
negara kita (Malaysia)
Tugasan : Menjelaskan faktor-faktor yang
menyebabkan kes penderaan kanak-kanak berlaku di negara kita
|
2.
Pencapaian negara kita dalam bidang
sukan tidak begitu memuaskan
dan masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu
sukan negara. Jelaskan langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk
meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang tersebut.
|
Isu utama : Pencapaian negara kita dalam
bidang sukan tidak begitu memuaskan.
Tugasan : Menjelaskan langkah-langkah yang
boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian negara kita dalam bidang
sukan.
|
3.
Perkembangan bidang Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para
pelajar. Huraikan kesan-kesan positif yang dimaksudkan.
|
Isu utama : Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) banyak memberikan kesan positif terhadap pembelajaran para pelajar
Tugasan: Menghuraikan kesan-kesan positif
TMK terhadap pembelajaran para pelajar.
|
Mengapakah calon perlu mengenal pasti
isu utama dan tugasan seperti yang ditunjukkan di atas? Isu utama ini harus
dikenal pasti kerana dapat membantu pelajar menulis huraian yang matang. Setiap
huraian tidak boleh lari daripada isu utama. Huraian karangan yang matang akan
mengaitkan ayat demi ayat dalam huraian mereka dengan isi utama sehingga
mewujudkan suatu koheren dan kohesi dalam penulisan.
Di samping itu, calon juga harus
mengenal pasti tugasan dalam soalan. Tugasan ini akan membantu calon memberikan
isi yang betul dan tepat. Contohnya soalan 3, calon diminta menghuraikan
kebaikan TMK terhadap pembelajaran pelajar. Jadi, soalan ini hanya berfokus
kepada pelajar sahaja dan bukannya kebaikan TMK secara umum. Oleh sebab itu,
jika pelajar menghuraikan kebaikan TMK dengan memilih isi memudahkan urus niaga
secara dalam talian. Isi ini nampak betul tetapi tidak menjawab soalan. Hal ini
dikatakan demikian kerana soalan meminta pelajar memberikan isi berkaitan
dengan kesan-kesan positif TMK terhadap pembelajaran para pelajar. Jawapan
tersebut mungkin dianggap Tidak Relevan (TR).
HURAIAN
ISI MATANG
CONTOH
1
Soalan
1 STPM 2016
Isi
utama : Pegangan agama yang rapuh
Contoh
huraian yang matang
Pada pendapat saya, punca utama
yang menyebabkan kes penderaan
kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang
rapuh. Pegangan agama yang rapuh menyebabkan pendera tidak dapat berfikir
secara rasional sehingga tergamak melakukan kekejaman terhadap darah daging
sendiri. Oleh sebab kurang penghayatan terhadap agama mereka tidak dapat
membezakan baik dan buruk setiap tindakan yang mereka lakukan. Oleh itu, mereka
tidak mempunyai rasa kasihan terhadap kanak-kanak yang didera kerana mereka
tidak kenal dosa dan pahala. Mereka berasa puas kerana berjaya melepaskan
kemarahan atau ketidakpuasan hati terhadap kanak-kanak yang tidak dapat melawan
apabila dikasari. Tegasnya, pegangan agama yang rapuh akan menyebabkan
seseorang tergamak melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
(107 patah perkataan)
Kenapa
huraian ini dianggap matang?
Huraian ini dianggap matang kerana
calon mengaitkan isi utama iaitu pegangan agama yang rapuh dengan isu utama
soalan iaitu kes penderaan kanak-kanak di negara kita. Kesinambungan idea ayat
demi ayat dalam huraian calon nampak jelas dan tepat.
CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016
Contoh huraian yang matang
Pencapaian negara kita dalam bidang
sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan
berpengalaman. Peranan jurulatih dalam meningkatkan pencapaian atlet memang
tidak dapat dinafikan. Jurulatih yang profesional merupakan mereka yang pernah
menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang sukan yang mereka ceburi.
Oleh itu, mereka dapat berkongsi pelbagai teknik dan kemahiran yang bertaraf
dunia dengan atlet negara kita. Perkongsian sebegini amat penting untuk meningkatkan
baik prestasi mahupun pencapaian para atlet. Teknik dan kemahiran yang
didedahkan itu jika disusuli dengan latihan intensif sudah pasti akan dapat
menyemarakkan semangat atlet untuk bersaing pada peringkat antarabangsa.
Jurulatih yang profesional seperti Morten Frost, Karl Weigang, dan Park Joo
Hong telah memberikan sumbangan yang besar dalam menaikkan pencapaian atlet
negara kita di peringkat antarabangsa. Tegasnya, kita harus mengakui bahawa
peranan jurulatih profesional memang membantu negara kita dalam meningkatkan
pencapaian sukan negara.
(136 patah perkataan)
Kenapa huraian ini dianggap matang?
Huraian ini amat jelas dan tepat
kerana calon turut mengaitkan isi utama dengan isu utama soalan. Calon turut
menyatakan kehadiran jurulatih profesional itu memang dapat meningkatkan
pencapaian sukan negara dengan mengemukakan contoh yang relevan. Huraian calon
nampak matang.
CONTOH 3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium
perkongsian ilmu antara pelajar
Contoh huraian matang
Kesan
positif TMK terhadap pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya
sebagai medium perkongsian ilmu. Mereka dapat bertukar-tukar bahan pembelajaran
menggunakan pelbagai aplikasi TMK yang moden dan terkini seperti Telegram,
Whatsapp, e-mel, dan sebagainya. Dengan ini, maklumat dapat disebarkan dengan
pantas dan mudah tanpa mengira lokasi mereka berada. Hasilnya, proses
pembelajaran menggunakan TMK menjadi lebih menarik dan menyeronokkan kerana
maklumat mudah diperoleh dengan adanya bantuan daripada rakan-rakan yang lain.
Pelajar tidak terlalu mengharapkan guru-guru mereka untuk membantu dalam
menyiapkan pelbagai tugasan terutamanya kerja kursus. Pelajar boleh
berinteraksi dan bersoal jawab dengan menggunakan media sosial seperti Facebook
bagi mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan tugasan yang perlu
diselesaikan. Jelaslah bahawa TMK merupakan medium perkongsian terpenting
pembelajaran pelajar.
(114
patah perkataan)
Kenapa
huraian ini dianggap matang?
Isi utama memang dihuraikan dengan
jelas yakni calon membuktikan dengan terperinci bahawa TMK memang membantu
pelajar dalam melaksanakan perkongsian ilmu.
HURAIAN
ISI TIDAK MATANG
CONTOH
1
Soalan
1 STPM 2016
Isi
utama : Pegangan agama yang rapuh
Contoh
huraian yang tidak matang
Pada pendapat saya, punca utama
yang menyebabkan kes penderaan
kanak-kanak berlaku di negara kita ialah pendera mempunyai pegangan agama yang
rapuh. Di dunia ini kita mempunyai pelbagai agama untuk dianuti. Contohnya,
agama Islam, Kristian, Hindu, dan Buddha. Semua agama mengajar kita melakukan
kebaikan dan meninggalkan kejahatan atau keburukan. Jika kita mempunyai
pegangan agama yang kukuh kita tidak akan melakukan penderaan terhadap
kanak-kanak. Orang yang mempunyai didikan agama yang kukuh dapat membezakan
baik atau buruk perbuatan yang mereka lakukan. Mereka akan sentiasa menyayangi
orang lain terutamanya kanak-kanak. Oleh itu, kita mesti mempunyai pegangan
agama yang kukuh agar kita tidak melakukan kes penderaan kanak-kanak.
(102
patah perkataan)
Kenapakah
huraian ini dianggap tidak matang?
Huraian ini bersifat umum sahaja. Isi
utama hanya dikaitkan secara sipi-sipi dengan isu utama soalan. Perkara yang
tidak dijelaskan ialah calon tidak menghuraikan bagaimanakah faktor pegangan
agama yang rapuh itu menyebabkan pendera tergamak melakukan penderaan terhadap
kanak-kanak. Satu lagi kelemahan calon yang nampak ketara ialah calon ini
memasukkan langkah mengatasi dalam huraian. Harus diingat, apabila kita
menghuraikan faktor, kita tidak boleh memasukkan cadangan dalam huraian kita
itu.
CONTOH 2
Soalan 2 : STPM 2016
Contoh huraian yang tidak matang
Pencapaian negara kita dalam bidang
sukan dapat ditingkatkan dengan melantik jurulatih yang berwibawa dan
berpengalaman. Jurulatih merupakan orang yang berpengalaman dan pakar dalam
bidang sukan yang mereka ceburi. Negara kita mesti mengambil jurulatih dalam
kalangan mereka yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang
sukan masing-masing. Mereka mampu membawa perubahan kepada pencapaian negara
dalam bidang sukan. Sehubungan dengan itu, gaji para jurulatih haruslah lumayan
supaya mereka mahu bekerja di negara kita. Jika gaji yang ditawarkan rendah
sudah tentu mereka akan kecewa dan berhijrah ke negara lain yang menawarkan
gaji yang lebih tinggi. Jurulatih ini mesti dilayan dengan baik. Kita tidak
boleh memarahi mereka apabila pencapaian atlet kita merosot. Kita hendaklah
menghormati mereka. Tegasnya, peranan jurulatih amat penting dalam meningkatkan
pencapaian sukan negara.
(122
patah perkataan)
Kenapakah
huraian ini dianggap tidak matang?
Calon tidak mengiatkan kehadiran
jurulatih berwibawa dan profesional itu dapat meningkatkan pencapaian sukan
negara, sebaliknya menyentuh isu lain yang tidak berkaitan seperti gaji dan
layanan terhadan jurulatih. Semua huraian berfokus kepada jurulatih sahaja.
CONTOH
3
Soalan 3 STPM 2016
Isi utama : TMK sebagai medium
perkongsian ilmu antara pelajar
Contoh huraian tidak matang
Kesan positif TMK terhadap
pembelajaran pelajar ialah mereka dapat menggunakannya sebagai medium perkongsian
ilmu. Semua maklumat ada dalam TMK. Pelajar boleh merujuk pelbagai maklumat
tanpa mengira tempat dan waktu asalkan mereka mempunyai talian internet. Kita
hanya perlu menaip tajuk maklumat tersebut di tempat carian. Itulah kelebihan
TMK kepada pelajar. Walau bagaimanapun, budaya ini boleh menggalakkan pelajar
meniru. Mereka hanya perlu melakukan “copy and paste” sesuatu maklumat tanpa
mengolahnya semula. Mereka tidak perlu
bersusah payah mencari maklumat. Itulah keburukan TMK jika pelajar tidak pandai
menggunakan maklumat yang diperoleh. Tegasnya, TMK mampu menjadi medium
perkonsian pembelajaran pelajar jika digunakan dengan sebaik-baiknya.
(99
patah perkataan)
Kenapakah
huraian ini dianggap tidak matang?
Huraian ini bersifat umum sahaja. Huraian
tidak menjelaskan isu utama dengan jelas dan tepat. Calon menyentuh isu yang
tidak berkaitan dengan isu utama seperti isu meniru.
PENUTUP
Saya harap penjelasan ini membantu
semua pertanyaan yang dikemukakan. Aspek menghuraikan isi amat penting untuk ditekankan
dalam proses penulisan esei yang mantap dan cemerlang terutama di peringkat
prauniversiti. Pelajar mesti dilatih menghuraikan isi karangan dengan berfikir
secara kritis dan analitis bukannya menghafal setiap ayat daripada mana-mana
sumber yang ada disekeliling mereka. Kemahiran menulis esei ini hanya akan
membuahkan hasil apabila pelajar diajar menggunakan teknik yang betul. Jika
tidak kita akan terus berhadapan dengan isu esei yang tidak berkualiti. Sampai
bilakah kita akan terus berkata tanpa bertindak? Kita tahu pelajar-pelajar kita
lemah dalam menghuraikan isi karangan dengan pelbagai sebab yang sudah dijangka
seperti kurang membaca dan tiada pengetahuan sedia ada. Saya harap ilmu yang sedikit
ini mampu membuka mata kita untuk melihat perkara yang dibincangkan ini dengan lebih
terperinci. Saya menulis berdasarkan pandangan saya. Mungkin cadangan saya ini bukan
yang terbaik tetapi saya yakin dapat membantu guru-guru dan pelajar-pelajar yang
saya sayangi.
Terima kasih.
Selamat maju jaya.