JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 September 2012

TEKS UCAPAN BAJET 2013


Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)


134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.

135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut berlaku.

136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. 

Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.

137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh negara.

138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.

139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.

Penyeragaman Harga

141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman. 

Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.

142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.

Mempermudah Ibadah Haji

143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.

Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi

144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.

145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.

146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.

Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah

147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.

Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar

149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.

150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.

151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.

152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.

153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.

154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.

155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.

Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar

156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.

Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:

Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;

Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan

Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.

158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.

159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.

160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.

27 September 2012

ISU IPT : GAMBARAN SOKONGAN MAHASISWA


NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Keputusan pilihan raya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 minggu ini menunjukkan dominasi kumpulan proaspirasi yang memenangi 17 daripada 20 perwakilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan kemenangan besar di 13 kampus IPTA, kemenangan calon individu yang cenderung kepada proaspirasi di empat kampus dan hanya kalah kepada kumpulan promahasiswa di satu kampus. Dua kubu kuat promahasiswa yang diselubungi khabar angin akan tumpas terpaksa melalui pemilihan semula, satu daripadanya atas masalah teknikal sementara satu lagi bergantung kepada dua kerusi yang seri untuk menentukan kemenangan tipis kepada promahasiswa atau proaspirasi.

Secara rasminya, kumpulan proaspirasi mahupun promahasiswa tidak mewakili senario politik kepartian negara tetapi bagi warga kampus dan rakyat Malaysia secara umumnya, telah lama melabelkan kedua-duanya mewakili kumpulan prokerajaan atau propembangkang. Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir, pilihan raya kampus kali ini menarik perhatian ramai bagi melihat kecenderungan muda-mudi yang dikatakan bakal menentukan pemimpin dan hala tuju negara selepas 2013. Seperti mana dalam sebuah PRU, kemenangan satu pihak mengatasi lawannya dalam pilihan raya kampus bukan sahaja menunjukkan sokongan pengundi muda malahan menggambarkan penolakan terhadap pihak lawan yang kalah.

Walaupun tiada hubungan rasmi calon MPP dengan kumpulan tertentu di luar kampus, persepsi warga IPTA terhadap calon terbabit akan tercalit sama dengan pandangan mereka terhadap kumpulan politik di luar, terutamanya melihatkan taktik berkempen dan isu yang dibangkitkan. Secara keseluruhan, proses berkempen dan pengundian pada pemilihan kali ini dilihat berjalan dengan lancar dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, menggambarkan para mahasiswa yang semakin matang. Hanya beberapa kejadian dikesan mencemar suasana pilihan raya kampus seperti seorang pelajar mendakwa dipukul dan surat layang menggunakan nama Perdana Menteri yang disyaki taktik pihak tertentu mempengaruhi sentimen warga IPTA. Bagaimanapun, kebanyakan calon MPP kali ini bertindak sebagai cendekiawan muda dan lebih fokus kepada isu dalaman IPTA serta kebajikan pelajar berbanding retorik berkaitan agenda mahupun politik kepartian di luar kampus.

Lebih membanggakan, ramai antara calon muda ini juga menyahut seruan tidak membawa politik kepartian ke dalam kampus agar MPP di setiap IPTA dapat memberi fokus kepada isu-isu pelajar tanpa campur tangan pihak luar. Ini termasuk menyekat ketaksuban warga IPTA kepada mana-mana pergerakan politik sehingga mengabaikan tugas serta menyalahguna platform untuk memperjuangkan kebajikan para pelajar. Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, keputusan pilihan raya kampus kali ini menunjukkan trend kematangan di kalangan mahasiswa yang kebanyakannya telah sedar dan memahami realiti negara.

"Mereka nampaknya sudah tahu dan faham tanggungjawab diri sendiri selaku pelapis serta implikasi buruk kepada negara jika bertindak tanpa berfikir secara waras. Kemenangan besar kepada kumpulan proaspirasi juga menunjukkan adanya kecenderungan orang muda menyokong kerajaan dan menolak pembangkang,"

Walaupun ada pihak yang menyarankan kumpulan mahasiswa tidak diberikan label, beliau merasakan semuanya perlu bergantung kepada suasana dan realiti semasa. Tegasnya, golongan pelajar sendiri yang melabelkan diri sendiri apabila mahu mahasiswa dibenarkan berpolitik dan memegang jawatan politik di luar kampus sehingga memaksa kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). "Suka atau tidak, pelajar-pelajar ini cenderung untuk menunjukkan sokongan dan mahu dibenarkan menyokong parti politik tertentu. Dahulu tidak jelas tetapi sekarang label kumpulan tertentu ini adalah jelas. Walaupun ada buruk baiknya, realiti semasa memerlukan adanya label tersebut kerana mahasiswa perlu membuat keputusan yang jelas. Dengan menyokong proaspirasi, boleh diumpamakan mereka menyokong kerajaan," ujarnya.

Walaupun bersetuju politik kepartian dihalang daripada mengganggu mahasiswa yang sepatutnya fokus kepada pelajaran, beliau berharap semua pihak menerima realiti label tertentu asalkan politik luar tidak dibawa ke dalam kampus. Menurut Ibrahim, walaupun kumpulan promahasiswa dilihat lebih vokal, berani dan agresif, keputusan pemilihan menunjukkan kumpulan majoriti yang senyap selama ini tetap menyokong kumpulan proaspirasi dan kerajaan. "Trend tersebut berkait rapat dengan kejayaan program transformasi oleh Perdana Menteri yang memilih cara terbuka dan telus terutamanya dengan generasi muda dan pelajar. Perdana Menteri juga kerap turun padang dan menggunakan media baru dalam memahami kehendak rakyat. Pendekatan ini membolehkan orang muda dan pelajar berfikir dengan lebih baik dan matang," jelasnya. Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah pula berpendapat apa yang berlaku dalam pilihan raya kampus tahun ini merupakan satu manifestasi kepada apa yang akan berlaku pada PRU13.

"Kita lihat kemenangan besar proaspirasi menunjukkan isyarat jelas iaitu anak-anak muda kini kembali memberikan keyakinan kepada kepimpinan negara dengan mempertaruhkan masa depan dan kebajikan mereka kepada calon yang mendokong aspirasi universiti dan kerajaan. Ini menunjukkan apa yang Perdana Menteri lakukan selama ini memberi kesan mendalam dan keterbukaan beliau telah menjamin lakaran harapan orang muda akan tercapai,"

Beliau juga yakin momentum pilihan raya kampus itu akan berterusan di luar apabila masyarakat melihat golongan berilmu di kampus juga menyokong kerajaan. Jelasnya, sebanyak 85 peratus daripada sekitar 620 kerusi yang dipertandingkan tahun ini dimenangi calon proaspirasi dan itu menunjukkan warga IPTA mahu mengekalkan keadilan semulajadi bagi memboleh mahasiswa duduk belajar dan bukannya ditarik menyertai rusuhan jalanan. "Ini adalah petunjuk jelas modus operandi pembangkang ditolak mahasiswa IPTA yang lebih mengutamakan belajar di kelas dan menimba ilmu di perpustakaan. Para pelajar mempunyai impian masa depan masing-masing. Mereka sudah bijak memilih selepas menilai apa yang Perdana Menteri laksanakan selama ini seterusnya memilih calon yang menjaga kepentingan mereka," ujarnya. Beliau juga berbangga calon-calon proaspirasi menunjukkan kematangan dalam memenangi hati mahasiswa melalui kaedah kempen yang lebih tersusun dan jelas.

Mohd. Shahar bagaimanapun sekali lagi mengingatkan semua warga IPTA agar tidak membawa masuk politik kepartian ke dalam kampus walaupun mereka sudah boleh berpolitik di luar. "Selepas selesai pilihan raya kampus, saya berharap semua calon yang menang tunaikan manifesto masing-masing, tunaikan janji dan buat kerja bersungguh-sungguh dalam satu tahun berikutnya tanpa mengira proaspirasi mahupun promahasiswa. Selain itu, jangan lupa menilai kemampuan diri dalam persatuan dan sebagai pelajar, seterusnya beringat agar membawa suara akar umbi di perwakilan kebangsaan dan bukannya suara 'orang lain'," tegasnya.

Beliau turut menasihatkan para perwakilan bersedia berinteraksi dengan isu antarabangsa kerana mereka juga bakal menjadi duta negara yang akan membawa imej Malaysia di mata dunia.

Sumber
Utusan Malaysia
27 September 2012

26 September 2012

ISU UMUM : TADBIR URUS JADI HARAPAN SEMUA MASYARAKAT


ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan, Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


Mentadbir urus negara bukan semudah mentadbir urus sebuah syarikat. Ini dibuktikan apabila bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang berlatarbelakangkan ahli perniagaan yang berjaya dengan jumlah kekayaan yang tidak terhitung banyaknya 'gagal' mentadbir urus negaranya. Walaupun konsep asal mentadbir urus syarikat hampir sama sebagaimana mentadbir urus negara, namun perbezaan ketara, syarikat hanya mementingkan keuntungan pemegang saham, manakala negara melibatkan kepentingan rakyat jelata. Sebab itulah rakyat sentiasa memberi harapan yang menggunung kepada para pemimpin. Harapan ini bukannya datang bulat-bulat tetapi berdasarkan apa yang dijanjikan oleh para pemimpin.

Para pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya memberi harapan tinggi kepada rakyat tetapi akhirnya tidak mengotakan kata-katanya. Lebih teruk lagi, para pemimpin tersebut mengetahui sejak awal lagi bahawa mereka tidak mampu menunaikan segala janji mereka. Salah satu harapan rakyat kepada para pemimpin diterjemahkan melalui pembentangan bajet tahunan. Bajet tahunan negara wajib memenuhi harapan rakyat. Apakah yang diharapkan oleh rakyat? Secara umumnya, rakyat mengharapkan kesejahteraan dalam kehidupan. Sebarang gangguan dalam kehidupan menjejaskan kesejahteraan mereka. Dalam konteks Bajet 2013, tidak lain tidak - rakyat amat menaruh harapan ke atas beberapa isu yang amat dekat dengan mereka. Antaranya isu perumahan yang amat mahal dan sewenang-wenangnya dimiliki oleh warga asing.

Penulis difahamkan ramai warga Singapura telah membeli rumah di kawasan Nusajaya, Johor sehinggakan rakan penulis yang menetap di Johor Bahru mengatakan rakyat Singapura seolah-olah berkampung di negara kita. Bagi mereka apalah sangat harga rumah berharga RM800,000 ke atas dengan mata wang negara kita 2.5 kali ganda kecil berbanding mata wang Singapura. Perlu diingat, rakyat Singapura tidak langsung membayar cukai kepada kerajaan tetapi mereka pula diberikan keistimewaan memiliki rumah. Keuntungan yang diperoleh oleh pemaju perumahan adalah untuk jangka masa pendek sahaja tetapi kerugian besar kepada rakyat Malaysia dalam tempoh jangka masa panjang apabila tanah-tanah dimiliki oleh warga asing. Bahkan, penulis juga difahamkan kawasan perumahan teres setingkat di Kulai yang sedang dimajukan pun harganya mencecah RM300,000 sebuah.

Kerajaan perlu mentadbir urus isu ini sebaik mungkin. Jika tidak, negara kita akan dihuni oleh warga asing. Sudahlah sekian lama, isu kebanjiran warga asing masih belum diselesaikan secara holistik sehingga meningkatkan kadar jenayah di Malaysia, timbul pula isu warga asing yang sewenang-wenangnya membeli rumah di negara kita sendiri. Utamakan rumah untuk rakyat Malaysia. Bukannya rumah untuk warga asing. Selain perumahan, isu yang paling dekat dengan rakyat adalah berkaitan dengan kos sara hidup. Meskipun kadar inflasi adalah rendah di Malaysia tetapi secara umumnya kenaikan kos sara hidup amat dirasai bukan sahaja oleh rakyat berpendapatan rendah tetapi juga rakyat berpendapatan sederhana. Satu pelan jangka masa panjang terutamanya dalam memajukan sektor pertanian secara besar-besaran perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.

Kita tidak boleh terlalu bergantung dengan import makanan dan barangan pertanian. Jaminan makanan untuk rakyat Malaysia adalah teras utama dalam memajukan sektor pertanian. Di samping itu, rakyat mengharapkan keselamatan awam lebih terjamin. Sejak akhir-akhir ini banyak kes melibatkan pelbagai kategori jenayah tidak kira jenayah ragut, berat mahupun komersial berlaku di serata negeri. Bajet 2013 perlu memperuntukkan dana tambahan untuk menangani isu ini. Isu-isu lain yang dekat dengan rakyat adalah seperti kos perubatan hospital swasta yang terlalu tinggi dan kos menjaga anak-anak yang semakin meningkat. Kerajaan disarankan memberi pelbagai insentif untuk rakyat seperti meningkatkan lagi potongan cukai individu dan anak-anak di samping meneruskan pelbagai produk 1Malaysia seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan yang terbaru Kedai Buku 1Malaysia.

Selain rakyat sebagai golongan individu, ahli-ahli perniagaan juga perlu dibantu kerana mereka juga merupakan rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan. Jadi, mereka juga mengharapkan insentif dalam Bajet 2013. Justeru, kerajaan perlu meneruskan agenda probisnes dalam memacu pertumbuhan ekonomi terutamanya memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menggalakkan pelaburan domestik. Pada masa sama kerajaan tidak boleh meminggirkan sama sekali pelaburan langsung asing (FDI). Bezanya pada era ini pemilihan FDI mestilah yang mempunyai impak tinggi ke atas negara. Industri minyak dan gas, kewangan Islam, pelancongan dan automatif menjadi tumpuan dalam perancangan ekonomi kerajaan. Begitu juga, kerajaan jangan sesekali meminggirkan para peniaga kecil-kecilan yang kebanyakannya melibatkan kaum bumiputera.

Mereka juga sewajarnya dibantu dalam memajukan ekonomi masing-masing. Permudahkan mereka untuk mendapatkan lesen dan tapak perniagaan serta kemudahan pinjaman. Nasib mereka juga perlu dibela selain ahli-ahli perniagaan yang terlibat dengan konglomerat yang sekarang ini banyak tertumpu kepada peralihan industri inovasi dan kreatif. Senarai di atas hanya sebahagian daripada pengharapan rakyat, banyak lagi senarai harapan rakyat yang perlu dipenuhi oleh kerajaan dalam Bajet 2013. Dengan sasaran pendapatan dianggarkan melebihi RM200 bilion pada tahun ini, Bajet 2013 perlu ditadbir urus dengan baik bagi memenuhi harapan semua peringkat masyarakat. Hanya kerajaan yang beramanah, berintegriti dan tidak lupa dengan janji mampu membantu rakyat menikmati kesejahteraan dalam menjalani kehidupan seharian.

Sumber
Utusan Malaysia
26 September 2012

ISU UMUM : E-BILLING KURANGKAN KOS KERAJAAN


ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Penyelidikan pasaran bebas oleh RedMarch (2011) baru-baru ini menunjukkan industri eBilling Malaysia masih di peringkat permulaan. Ia direkodkan sebagai mempunyai potensi yang besar untuk berjaya. Pada masa sama, penyelidikan pada Januari 2012 oleh MIT G-lab Programme Sloan School of Management menunjukkan potensi penjimatan kira-kira RM100 juta untuk kerajaan setiap tahun, dengan andaian penukaran 100 peratus kepada sistem eBilling.

Apa itu eBilling?

Secara amnya, mengemukakan bil dan pembayaran secara elektronik (EBPP) adalah satu proses di mana bil dapat diwujudkan, dihantar dan dibayar melalui atas talian. Perkhidmatan ebilling ini mempunyai potensi diguna pakai oleh kebanyakan industri khususnya sektor kewangan, telekomunikasi dan utiliti. Sebagai contoh, bil telefon boleh diterima dalam format PDF dan dihantar terus ke peti e-mel anda dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan Internet. eBilling telah menjadi suatu ikutan di sektor kerajaan. Chile contohnya telah memacu pertumbuhan cukai secara atas talian dan e-bil. Di Arab Saudi, SADAD payment system (SADAD) adalah satu inisiatif untuk proses penghantaran dan pembayaran bil di atas talian. Di Singapura pula, projek OneInbox adalah untuk memupuk komunikasi antara kerajaan dan rakyat Singapura melalui e-mel.

Pada 2010 dan 2011, 79 peratus daripada syarikat-syarikat di Chile telah mendaftar ke dalam inisiatif kerajaan dan sejumlah 108 juta bil elektronik telah diproses. Di Arab Saudi sahaja, 62 juta transaksi pada 2008 diproses melalui SADAD pada nilai yang melebihi AS$7.4 bilion. Dalam hubungan ini, Myemail adalah satu projek rintis kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), di mana matlamat utama adalah untuk menyediakan setiap warganegara Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat dan disahkan identitinya. Selain daripada komunikasi e-mel, myemail juga memberi ruang kepada agensi-agensi kerajaan serta organisasi perniagaan untuk menghantar bil, penyata, notis secara elektronik. Secara ringkasnya, myemail merupakan satu inisiatif positif yang memerlukan masa dan sokongan kedua-dua pihak - billers dan pengguna - untuk penjimatan kos kepada kerajaan.

Myemail menawarkan khidmat eBilling kepada organisasi dan juga pengguna. Sistem eBilling myemail ataupun ePost adalah sistem penghantaran dokumen elektronik yang selamat dan berkapasiti tinggi. Ia merevolusikan cara penghantaran bil, penyata serta notis kutipan. Di antara ciri-ciri ePost adalah seperti elemen-elemen interaktif, dokumen yang sulit dihantar terus ke dalam peti mel dan membolehkan pembayaran atas talian inovatif "1- click" dari dalam dokumen yang di enkripsi.

Antara faedah pengunaan myemail eBilling adalah:

1. Pihak billers/organisasi

* Penjimatan kos sebanyak 48-80 peratus
* Meningkatkan aliran tunai
* Mengurangkan tempoh kutipan
* Mengurangkan kesan jejak karbon
* Pemasaran peribadi yang lebih efektif
* Penghantaran segera dan efektif

2. Pihak pengguna

* Penerimaan bil di mana-mana dan setiap masa
* Mudah dan senang digunakan
* Penukaran gaya hidup yang minimum
* Mudah dicari dan disimpan dalam format PDF
* Meningkatkan pengurusan wang

Dalam konteks ini, ePost boleh membantu kerajaan untuk mengurangkan kos melalui EBPP. Menerusi E-Government, akan berlaku peningkatan kemudahan perkhidmatan kerajaan seperti berikut:

1. "Paperless" Government

* Penggantian kertas dengan arkib digital
* Penghapusan kertas secara beransur-ansur - minit mesyuarat, bahan persembahan dalaman, pekeliling dan sebagainya.

2. Perkhidmatan E-Counter

* Ke arah sifar interaksi muka ke muka - 90 peratus transaksi atas talian 10 peratus e-borang
* Didapati di pelbagai peranti (kiosk, PC, telefon bimbit) di semua lokasi dan di semua saluran.

3. Akaun 1Malaysia

* e-mel rasmi yang unik
* "single sign-on" kepada saluran e-perkhidmatan kerajaan
* Capaian dan penghantaran e-perkhidmatan yang lebih cekap
* Nilai tambah contohnya perkhidmatan pembayaran bil dalam talian dan lain-lain.

Ketika ini, dipercayai myemail.my team telah berjaya melancarkan perkhidmatan eNotice pertama pada ujian rintis (Bukti Konsep) bagi sebuah agensi kerajaan sejak Januari 2012. Syarikat berkenaan dikatakan didatangi oleh 32 organisasi awam dan swasta untuk membolehkan penghantaran "Push Email" melalui "EBPP". Yang nyata, proses perolehan yang lebih ringkas ini dapat mengurangkan kos pentadbiran dan operasi anda.

Sumber
Utusan Malaysia
26 September 2012

25 September 2012

ISU SOSIAL : TAMBAH BAIK SEKTOR PENGANGKUTAN


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM


Jika kerosakan lif dan sampah tidak dikutip adalah lumrah bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu kota, satu lagi masalah yang tiada penyelesaiannya sehingga kini membabitkan kekurangan tempat meletak kereta. Antara penempatan dengan masalah tersebut adalah Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur yang penduduk kawasan tersebut terpaksa berkongsi tempat meletak kereta berikutan bilangan petak yang disediakan terlalu sedikit. Ekoran itu, kenderaan terpaksa diletakkan dengan jarak yang sangat dekat antara satu sama lain dan tidak kurang juga yang meletakkan kereta mereka di depan kenderaan yang mendapat petak letak kereta.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Penara, Mohd. Sakri Masdi, kekurangan petak parkir yang dialami penduduk sudah berada pada tahap kronik yang memerlukan penyelesaian segera daripada kerajaan. "Oleh itu, pada pembentangan Bajet 2013 ini, saya berharap Kerajaan Pusat dapat mencari penyelesaiannya termasuk menyalurkan peruntukan khusus kepada DBKL untuk membina lebih banyak tempat meletak kenderaan di kawasan pangsapuri," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini. Tinjauan itu mendapati masalah sama turut dialami oleh kebanyakan PPR dan PA DBKL yang berpunca kerana petak meletak kenderaan yang disediakan hanya satu pertiga daripada keseluruhan nisbah unit rumah.

Perancangan kawasan perumahan berkenaan dengan andaian bahawa tidak semua penduduk mampu memiliki kereta sendiri sudah lapuk kerana kenderaan itu kini adalah satu keperluan. Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai lebih daripada sebuah kereta bagi menampung keperluan keluarga yang ramai. Jaringan pengangkutan awam yang belum efektif sepenuhnya berikutan banyak projek yang dicadangkan masih belum disiapkan telah menyebabkan rakyat tiada pilihan lain kecuali menggunakan kenderaan persendirian. Mengulas perkara itu, penganalisis ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam itu adalah penting bagi merapatkan jurang pendapatan golongan kaya dengan miskin. Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) berkata, langkah itu dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi penduduk miskin ekoran peningkatan inflasi yang masih berlaku di negara ini.

"Malaysia perlu belajar daripada kesilapan negara Eropah seperti Greece yang mengalami masalah ekonomi serius secara perlahan dan hampir tidak disedari. Kita mesti mengambil tindakan pembetulan yang tepat melalui Bajet 2013 bagi memastikan keseimbangan ekonomi kita,"

Menurut beliau, bagi memastikan kerajaan mempunyai wang mencukupi untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan lain-lain maka projek besar yang bukannya satu keutamaan harus dikurangkan. "Wang yang dapat disimpan daripada projek berkenaan boleh digunakan untuk projek-projek kecil bagi memenuhi kehendak mendesak golongan berpendapatan rendah," katanya. Seperti yang disarankan oleh Navaratnam, maka dalam Bajet 2013 kerajaan perlu memikirkan kaedah bagi mengurangkan beban yang dialami oleh golongan miskin yang kini semakin terhimpit apabila terpaksa membelanjakan wang banyak untuk kos kenderaan. Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan harga petrol atau memberikan rebat bahan api itu dalam Bajet 2013.

Dalam mengimbangi peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana, cukai terhadap barangan mewah dan warga asing yang membeli hartanah di negara ini perlu ditingkatkan. Kerajaan juga perlu memikirkan langkah drastik bagi membaiki sistem jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang sering memeningkan warga kota dan meningkatkan penggunaan minyak kenderaan. Selain itu, kerajaan juga perlu melakukan sesuatu bagi membantu golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan yang kini perlu membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk membayar ansuran kereta. Bagi mengurangkan beban, kerajaan juga perlu menurunkan cukai jalan kereta persendirian melibatkan jenis yang banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan mencukupi bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam negara. Katanya, mengikut kajian pihaknya dari 2008 hingga kini yang melibatkan lebih 30,000 orang, rakyat mahukan sistem pengangkutan awam yang mampan. "Pada masa ini, kerajaan lebih menumpukan pengangkutan awam di kawasan Lembah Klang berbanding kawasan luar bandar. Apabila saya pergi ke Slim River, Bidor atau Taiping di Perak, saya jarang dapat melihat bas-bas awam berulang-alik untuk kemudahan penduduk. Ini semua berpunca kerana kita memberikan terlalu banyak tumpuan di Lembah Klang," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menyediakan pelan pembangunan pengangkutan awam menyeluruh bagi membantu penduduk seluruh negara yang kini terpaksa membelanjakan wang banyak untuk membeli kenderaan yang harganya kini bukanlah murah. Dalam perkembangan sama, kerajaan juga harus menimbangkan untuk menurunkan harga kereta terutama kereta buatan tempatan bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kenderaan yang kini menjadi satu keperluan. Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahkan lagi proses pinjaman buat rakyat yang ingin memiliki kenderaan dan dalam masa sama memastikan bank tidak mengenakan kadar faedah tinggi. Bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di luar Lembah Klang, kerajaan perlu menyediakan satu skim subsidi bagi syarikat-syarikat pengangkutan awam, berdasarkan skim yang diterima pakai oleh negara-negara lain. Satu lagi langkah popular yang sudah pasti mendapat sokongan sebahagian besar rakyat adalah untuk menurunkan kadar tol kecuali bagi kenderaan mewah. Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati kembali kata-kata bapa pengangkutan China moden, Ye Gongchuo yang terkenal dengan slogan,

"Menyelamatkan China Dengan Pengangkutan."

Beliau yang hidup ketika zaman pemerintahan Dinasti Qing menegaskan sesebuah kerajaan perlu meningkatkan kemudahan pengangkutan kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara berkenaan daripada kemunduran.

SUMBER
Utusan Malaysia
25 September 2012

ISU IPT : PRO-A DAN PRO-M : SIAPA MULAKAN PELEBALAN TERHADAP MAHASISWA?


Rencana ini ditulis oleh :
AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
Pensyarah Kanan,
Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.


Umum sudah mengetahui bahawa pilihan raya kampus (PRK) akan berakhir secara serentak pada hari ini (25 September 2012). Umum juga semakin teruja untuk menantikan keputusan PRK kali ini sama ada kumpulan Pro Aspirasi (Pro-A) akan mampu mengekalkan penguasaannya ke atas institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau pun sebaliknya, iaitu kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) akan memintas mereka. Umum teruja barangkali kerana mahasiswa di IPTA dianggap sebagai khalayak intelek yang bijak dalam membuat keputusan. Bagi orang politik, mereka melihat dari sudut yang berbeza iaitu kemenangan kumpulan Pro-A atau Pro-M akan memberikan satu indikator yang cukup bermakna terhadap kebangkitan suara generasi muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Bagi mahasiswa/mahasiswi mereka sudah faham bahawa Pro-A dikatakan mewakili mahasiswa yang cenderung kepada penyokongan terhadap dasar-dasar kerajaan dan universiti manakala Pro-M pula dilihat lebih mirip dan cenderung mengayakan pendekatan dan tindakan ala politik pakatan pembangkang. Bagaimanapun, dalam hal ini terfikir oleh kita, siapakah yang sebenarnya memulakan pelabelan terhadap kelompok mahasiswa ini dengan label Pro-A atau Pro-M? Media atau mahasiswa sendiri atau pun entiti luar kampus seperti kumpulan politik? Ia sukar dijawab dengan tepat kerana yang pasti gerakan berkumpulan secara nyata dan terang-terangan sebegini hanya timbul pada era selepas daripada tahun 2000 yakni selepas daripada krisis genting politik negara pada tahun 1999.

Pergolakan politik negara pada tempoh masa tersebut telah membangkitkan semula gerakan pelajar di IPTA. Selera politik orang muda di universiti yang tampak tenang antara sekitar tahun 1980-an sehingga pertengahan 1990-an ternyata telah berubah secara drastik selepas peristiwa kegawatan politik 1999. Ini secara jelas menunjukkan bahawa pengaruh politik luaran dengan ideologi, gaya dan tindakan yang hampir sama telah berjaya menyusup masuk ke kampus-kampus universiti yang menyebabkan landskap politik kampus juga berubah sedikit demi sedikit. Maka, terbentuklah kumpulan-kumpulan pelajar yang berkiblatkan kepada gaya politik kepartian iaitu Pro-A dan Pro-M walau pun pada asasnya keadaan ini tidak dibenarkan oleh pimpinan dan bertentangan dengan polisi hal ehwal pelajar universiti. Oleh itu, apabila setiap kali PRK dijalankan, maka berlakulah pertembungan ala politik kepartian antara kedua-dua pihak.

Bagi pemimpin pelajar yang bercita-cita menjadi ahli politik maka PRK adalah medan yang terbaik menjaja diri. Pelbagai strategi dirangka dan dijalankan sama ada secara terbuka mahu pun secara senyap dalam usaha memenangkan kumpulan masing-masing. Dalam polemik seperti inilah ahli politik kampus ini kadang-kadang lupa akan soal sebenar mereka bertanding dalam PRK. Mereka terlalai akan fokus sebenar mereka terlibat dalam PRK. Mereka lupa bahawa yang perlu mereka hadapi ialah pelajar universiti dan bukannya rakyat keseluruhan. Mereka lupa dalam soal berkempen mereka tetap tertakluk kepada peraturan dan dasar-dasar tertentu. Mereka lupa mereka perlu bersendikan adab, tertib dan integriti. Namun, soalnya siapa yang menjadi penggerak dan pemangkin kepada pelajar untuk bertindak sebegini? Strategi apa yang digunakan oleh pelajar-pelajar ini sehingga kepada menjangkau ke tahap di luar kotak pemikiran seorang siswa/siswi? Siapa yang memberikan idea-idea keterlaluan sebegitu?

Apa pula kaitannya menimbulkan kebencian kepada Perdana Menteri atau kerajaan atau universiti dengan PRK? Apakah dengan menimbulkan kebencian sedemikian akan menyebabkan kumpulan terbabit akan memenangi PRK? Apakah mereka yakin rakan-rakan mereka yakni pelajar IPTA seluruhnya akan termakan dengan hasutan berbaur kebencian sebegini? Atau apakah mereka tidak terfikir bahawa rakan-rakan mereka di IPTA yang akan mengundi sudah cukup bijak dan pandai menilai yang mana kumpulan yang tulen berjuang untuk membangunkan pelajar dengan yang tulen berjuang untuk manfaat entiti luar kampus? Dari persepktif yang lain pula iaitu pelajar yang akan mengundi, senario sebegini sudah menjadi lumrah terutamanya bagi yang senior tetapi satu pengalaman yang baru bagi seorang yang bergelar junior atau siswa/siswi baru. Bagaimana agaknya pelajar yang akan mengundi ini melihat keadaan sebegini? Apakah mereka teruja? Apakah mereka rasa seronok? Apakah mereka rasa inilah erti kebebasan sebenar?

Atau apakah mereka jelik dengan suasana pertelingkahan dan permusuhan yang wujud kesan daripada pergolakan politik kampus sebegini? Jawapannya tidaklah sukar untuk ditelah. Jawapan sama ada mereka suka atau tidak dengan senario sebegitu dapat dilihat melalui undi mereka dalam PRK menjurus kepada kumpulan mana. Kumpulan mana yang memenangi PRK di universiti masing-masing sama ada kumpulan Pro-A atau pun Pro-M, itulah indikatornya. Analisis terhadap trend PRK membawa kepada dua senario iaitu satu kumpulan membawa pendekatan yang bersifat hemah, sederhana, mengutamakan perbincangan, berkempen tentang isu-isu yang berkisar kepada pembangunan pelajar dan kebajikan pelajar, yang bersedia menyelesaikan segala masalah melalui pintu rundingan, menggunakan akal bicara sebagai wadah dan seumpamanya.

Satu kumpulan lagi jika diteliti agak bertentangan dengan cara kumpulan yang pertama. Mereka lebih cenderung untuk mengamalkan pendekatan pergerakan siswa/siswi terdahulu yakni jalan demonstrasi adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah, bermain dengan elemen penipuan dan pemanipulasian fakta, cuba berkempen dengan menggunakan isu yang di luar daripada konteks universiti seperti isu dakwaan penyelewengan oleh kerajaan, menyerang personaliti dan seumpamanya. Semua ini adalah senario berfakta yang dikutip semasa PRK yang lepas. Jadi, kedua-dua kumpulan ini memberikan citra yang cukup berbeza. Soal kumpulan mana satukah yang dimaksudkan itu, hanya pelajar di IPTA sahajalah yang mampu mengenal pastinya. Mereka dihidangkan dengan pelbagai lakonan, plot dan cerita jadi mereka lebih arif menentukannya. Apa yang penting, citra dan karektor pelajar IPTA sedikit sebanyak terserlah melalui kecenderungan sokongan mereka terhadap kumpulan yang memenangi PRK.

Sesungguhnya Pro-A dan Pro-M adalah dua kumpulan yang jauh bezanya dari segi falsafah, gaya pemikiran, tindakan dan pendekatan. Pilihan raya kampus adalah suatu momen yang menarik bagi semua siswa/siswi di universiti. Adalah satu kerugian jika terlepas peluang untuk terlibat sama tetapi biarlah keterlibatan kita itu dalam rona yang positif. Undilah secara bijaksana dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Kita adalah kita. Kita punyai akal sendiri. Kita punyai perasaan sendiri dan kita punyai aspirasi sendiri, maka kita berhak memangkah sesiapa sahaja untuk menjadi perwakilan kepada diri kita dan rakan-rakan. Bagi pelajar universiti yang akan mengundi pada hari ini, tepuk dada tanyalah selera. Harus diingat bahawa pilihan raya kampus bukan penentu segala-galanya apatah lagi kepada perubahan politik negara. Tegasnya pilihan raya kampus adalah bukan pilihan raya umum dan sebarang keputusan tidak akan mengubah apa-apa pun di luar sana. Ia tidak lebih daripada indikator yang menunjukkan bahawa negara kita tegar sebenarnya jujur dalam mempromosikan idea demokrasi.

Cuma yang pasti, jika calon yang dipilih ada kaliber, berintegriti, prihatin dan berjiwa pelajar maka yang untungnya adalah pelajar IPTA itu sendiri. Oleh itu, PRK hanyalah pendedahan awal mengenai kepentingan proses demokrasi bagi generasi muda yang berilmu supaya bijak membuat pilihan demi survival mereka sendiri di IPTA masing-masing.

SUMBER
Utusan Malaysia
25 September 2012

24 September 2012

ISU PENDIDIKAN : PENTINGNYA SUBJEK SEJARAH DIPERKASA


Rencana ini ditulis oleh
PROF. DATUK DR. SIDEK BABA
Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian. Sejarah sifatnya mengulangi. Apa yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini dan mungkin diulangi pada masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman. Mempelajari dan mengkaji sejarah memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan akan datang.

Sejarah kejadian 13 Mei 1969 umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras, kemelut sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat hilang dan akhirnya anarki terjadi. Mengkajinya boleh membawa kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya asas perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik, persefahaman yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang berintegriti. Kealpaan kita mengkaji sejarah boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan menyebabkan peristiwa yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika kenegaraan secara telus dan tulus.

Ibarat sebuah kereta mempunyai cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan terarah. Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke hadapan, melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan berterusan.

Sekiranya generasi muda umpamanya menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau. Sebab itu sejarah sifatnya dinamik perkembangannya kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur sejarah dan budaya sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman. Namun asas-asas fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang fitrah. Dalam konteks bina negara, jati diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting. Ia memberi bentuk dan sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun Negara.

Rukun Negara adalah falsafah hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu yang utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan. Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun watak dan peribadi. Jika Rukun Negara dapat difahami dan dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi. Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.

Mempelajari dan memahami sejarah ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya berkembang dan berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan perubahan diri manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati asas-asas fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan semasa yang sifatnya menyumbang. Aspek terpenting dalam memperkasa subjek Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

Bila generasi hari ini mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke tahap negara yang sedang maju seperti hari ini. Sejarah bukan sekadar catatan tarikh sesuatu peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap yang berlaku dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan bagaimana ia berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan. 

Sejarah Malaysia suatu ketika dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centeric. Kemudian ia difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran ini penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir berasaskan kaca mata orang Malaysia.

Apabila tafsiran ini dibaca oleh anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar, penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan, merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi. Mencetuskan kesedaran ini tidaklah suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam menyampaikan bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk penelitian dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi anak-anak memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang tinggi. Generasi yang buta sejarah sering tidak menghargai apa yang berlaku. Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan strategi bijaksana yang terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam iklim sosial dan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal kemerdekaan dulu. Yang baik itu seharusnya dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus diteruskan walaupun dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan strategi baru supaya perubahan terus berlaku. Justeru seperti subjek Bahasa Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum, pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.

Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi, memahami dan menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara terbina.

Sumber :
Utusan Malaysia
24 September 2012

23 September 2012

ISU UMUM : SUARA HATI TUN DR MAHATHIR



Saya sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.

Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka. Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap. Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam. Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka. Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British. Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan. Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang. Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957. Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah. Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka. Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain. Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka. Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.

SUMBER
Utusan Malaysia
23 September 2012