Rencana ini ditulis
oleh :
AHMAD MASRIZAL
MUHAMMAD
Pensyarah Kanan,
Institut Aminuddin
Baki, Genting Highlands.
Bagi
mahasiswa/mahasiswi mereka sudah faham bahawa Pro-A dikatakan mewakili
mahasiswa yang cenderung kepada penyokongan terhadap dasar-dasar kerajaan dan
universiti manakala Pro-M pula dilihat lebih mirip dan cenderung mengayakan
pendekatan dan tindakan ala politik pakatan pembangkang. Bagaimanapun, dalam
hal ini terfikir oleh kita, siapakah yang sebenarnya memulakan pelabelan
terhadap kelompok mahasiswa ini dengan label Pro-A atau Pro-M? Media atau
mahasiswa sendiri atau pun entiti luar kampus seperti kumpulan politik? Ia
sukar dijawab dengan tepat kerana yang pasti gerakan berkumpulan secara nyata
dan terang-terangan sebegini hanya timbul pada era selepas daripada tahun 2000
yakni selepas daripada krisis genting politik negara pada tahun 1999.
Pergolakan politik
negara pada tempoh masa tersebut telah membangkitkan semula gerakan pelajar di
IPTA. Selera politik orang muda di universiti yang tampak tenang antara sekitar
tahun 1980-an sehingga pertengahan 1990-an ternyata telah berubah secara
drastik selepas peristiwa kegawatan politik 1999. Ini secara jelas menunjukkan
bahawa pengaruh politik luaran dengan ideologi, gaya dan tindakan yang hampir
sama telah berjaya menyusup masuk ke kampus-kampus universiti yang menyebabkan
landskap politik kampus juga berubah sedikit demi sedikit. Maka, terbentuklah
kumpulan-kumpulan pelajar yang berkiblatkan kepada gaya politik kepartian iaitu
Pro-A dan Pro-M walau pun pada asasnya keadaan ini tidak dibenarkan oleh
pimpinan dan bertentangan dengan polisi hal ehwal pelajar universiti. Oleh itu,
apabila setiap kali PRK dijalankan, maka berlakulah pertembungan ala politik
kepartian antara kedua-dua pihak.
Bagi pemimpin pelajar
yang bercita-cita menjadi ahli politik maka PRK adalah medan yang terbaik
menjaja diri. Pelbagai strategi dirangka dan dijalankan sama ada secara terbuka
mahu pun secara senyap dalam usaha memenangkan kumpulan masing-masing. Dalam
polemik seperti inilah ahli politik kampus ini kadang-kadang lupa akan soal
sebenar mereka bertanding dalam PRK. Mereka terlalai akan fokus sebenar mereka
terlibat dalam PRK. Mereka lupa bahawa yang perlu mereka hadapi ialah pelajar
universiti dan bukannya rakyat keseluruhan. Mereka lupa dalam soal berkempen
mereka tetap tertakluk kepada peraturan dan dasar-dasar tertentu. Mereka lupa
mereka perlu bersendikan adab, tertib dan integriti. Namun, soalnya siapa yang
menjadi penggerak dan pemangkin kepada pelajar untuk bertindak sebegini?
Strategi apa yang digunakan oleh pelajar-pelajar ini sehingga kepada menjangkau
ke tahap di luar kotak pemikiran seorang siswa/siswi? Siapa yang memberikan
idea-idea keterlaluan sebegitu?
Apa pula kaitannya
menimbulkan kebencian kepada Perdana Menteri atau kerajaan atau universiti
dengan PRK? Apakah dengan menimbulkan kebencian sedemikian akan menyebabkan
kumpulan terbabit akan memenangi PRK? Apakah mereka yakin rakan-rakan mereka
yakni pelajar IPTA seluruhnya akan termakan dengan hasutan berbaur kebencian
sebegini? Atau apakah mereka tidak terfikir bahawa rakan-rakan mereka di IPTA
yang akan mengundi sudah cukup bijak dan pandai menilai yang mana kumpulan yang
tulen berjuang untuk membangunkan pelajar dengan yang tulen berjuang untuk
manfaat entiti luar kampus? Dari persepktif yang lain pula iaitu pelajar yang
akan mengundi, senario sebegini sudah menjadi lumrah terutamanya bagi yang
senior tetapi satu pengalaman yang baru bagi seorang yang bergelar junior atau
siswa/siswi baru. Bagaimana agaknya pelajar yang akan mengundi ini melihat
keadaan sebegini? Apakah mereka teruja? Apakah mereka rasa seronok? Apakah
mereka rasa inilah erti kebebasan sebenar?
Atau apakah mereka
jelik dengan suasana pertelingkahan dan permusuhan yang wujud kesan daripada
pergolakan politik kampus sebegini? Jawapannya tidaklah sukar untuk ditelah.
Jawapan sama ada mereka suka atau tidak dengan senario sebegitu dapat dilihat
melalui undi mereka dalam PRK menjurus kepada kumpulan mana. Kumpulan mana yang
memenangi PRK di universiti masing-masing sama ada kumpulan Pro-A atau pun
Pro-M, itulah indikatornya. Analisis terhadap trend PRK membawa kepada dua
senario iaitu satu kumpulan membawa pendekatan yang bersifat hemah, sederhana,
mengutamakan perbincangan, berkempen tentang isu-isu yang berkisar kepada
pembangunan pelajar dan kebajikan pelajar, yang bersedia menyelesaikan segala
masalah melalui pintu rundingan, menggunakan akal bicara sebagai wadah dan
seumpamanya.
Satu kumpulan lagi
jika diteliti agak bertentangan dengan cara kumpulan yang pertama. Mereka lebih
cenderung untuk mengamalkan pendekatan pergerakan siswa/siswi terdahulu yakni
jalan demonstrasi adalah jalan terbaik menyelesaikan masalah, bermain dengan
elemen penipuan dan pemanipulasian fakta, cuba berkempen dengan menggunakan isu
yang di luar daripada konteks universiti seperti isu dakwaan penyelewengan oleh
kerajaan, menyerang personaliti dan seumpamanya. Semua ini adalah senario
berfakta yang dikutip semasa PRK yang lepas. Jadi, kedua-dua kumpulan ini
memberikan citra yang cukup berbeza. Soal kumpulan mana satukah yang
dimaksudkan itu, hanya pelajar di IPTA sahajalah yang mampu mengenal pastinya.
Mereka dihidangkan dengan pelbagai lakonan, plot dan cerita jadi mereka lebih
arif menentukannya. Apa yang penting, citra dan karektor pelajar IPTA sedikit
sebanyak terserlah melalui kecenderungan sokongan mereka terhadap kumpulan yang
memenangi PRK.
Sesungguhnya Pro-A
dan Pro-M adalah dua kumpulan yang jauh bezanya dari segi falsafah, gaya
pemikiran, tindakan dan pendekatan. Pilihan raya kampus adalah suatu momen yang
menarik bagi semua siswa/siswi di universiti. Adalah satu kerugian jika
terlepas peluang untuk terlibat sama tetapi biarlah keterlibatan kita itu dalam
rona yang positif. Undilah secara bijaksana dan tanpa dipengaruhi oleh
mana-mana pihak. Kita adalah kita. Kita punyai akal sendiri. Kita punyai
perasaan sendiri dan kita punyai aspirasi sendiri, maka kita berhak memangkah
sesiapa sahaja untuk menjadi perwakilan kepada diri kita dan rakan-rakan. Bagi
pelajar universiti yang akan mengundi pada hari ini, tepuk dada tanyalah
selera. Harus diingat bahawa pilihan raya kampus bukan penentu segala-galanya
apatah lagi kepada perubahan politik negara. Tegasnya pilihan raya kampus
adalah bukan pilihan raya umum dan sebarang keputusan tidak akan mengubah
apa-apa pun di luar sana. Ia tidak lebih daripada indikator yang menunjukkan
bahawa negara kita tegar sebenarnya jujur dalam mempromosikan idea demokrasi.
Cuma yang pasti, jika
calon yang dipilih ada kaliber, berintegriti, prihatin dan berjiwa pelajar maka
yang untungnya adalah pelajar IPTA itu sendiri. Oleh itu, PRK hanyalah
pendedahan awal mengenai kepentingan proses demokrasi bagi generasi muda yang
berilmu supaya bijak membuat pilihan demi survival mereka sendiri di IPTA
masing-masing.
SUMBER
Utusan Malaysia
25 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan