JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 September 2011

ISU PENDIDIKAN : KOMITMEN MENJAYAKAN TRANSFORMASI UNESCO

Oleh Azman Anuar

AIR TERJUN IQUAZU
DI ARGENTINA - BRAZIL
Banyak negara masih berhadapan dengan halangan untuk menyediakan peluang pendidikan dan pembelajaran serta infrastruktur berkaitan. Hakikat sekarang, beberapa negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mungkin tidak mampu memenuhi tarikh akhir pematuhan program Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015. Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ketika dunia berhadapan krisis ekonomi yang menjejaskan banyak negara, sasaran mencapai EFA pada tahun 2015 tidak akan dapat direalisasikan khususnya di negara-negara membangun. Dan agenda sejagat ini memerlukan UNESCO melanjutkan EFA hingga selepas 2015. ‘Suara Malaysia’ melalui Muhyiddin menggesa agar peranan UNESCO dipergiatkan sebagai pendukung prinsip EFA. Berucap pada mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO di Paris kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata, jalinan hubungan di peringkat anggota serantau, wilayah dan global perlu dipertingkatkan untuk menjayakan dan melaksanakan EFA. Pendidikan Untuk Semua adalah satu gerakan yang ditubuhkan pada 1990 di Persidangan Antarabangsa Pendidikan, Jomtiem, Thailand.

Delegasi daripada 155 buah negara dan wakil 150 organisasi telah berikrar untuk memberi pendidikan rendah kepada semua kanak-kanak dan mengurangkan buta huruf dalam kalangan orang dewasa pada akhir dekad tersebut. Persidangan Dunia Berkaitan Pendidikan pada tahun 2000 di Dakar, Senegal yang disertai 100 negara daripada 164 buah negara anggota telah mengangkat ‘Pelan Tindakan Dakar: Memenuhi Komitmen Bersama’ dan berikrar serta berusaha mencapai pendidikan untuk semua pada tahun 2015. Dalam konteks komitmen Malaysia terhadap enam matlamat EFA, Muhyiddin melihat ia tidak ada masalah. Malaysia menunjukkan daya usaha yang tinggi untuk mencapai matlamat pertama EFA iaitu memperluas penjagaan dan pendidikan awal untuk kanak-kanak “Kita tidak mempunyai masalah untuk mencapai agenda itu kerana pelbagai infrastruktur telah disediakan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang menimba ilmu pengetahuan tanpa mengira latar belakang mereka,” kata Muhyiddin. Begitu juga matlamat EFA menyediakan pendidikan wajib dan percuma untuk kanak-kanak di sekolah rendah. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia tidak hadapi masalah menggalakkan pembelajaran dan penguasaan kemahiran bagi remaja dan golongan dewasa khususnya usaha transformasi pendidikan teknik dan vokasional.

Muhyiddin berasa bangga kerana Malaysia berjaya meningkatkan kadar literasi dewasa kepada 95 peratus berbanding sasaran 50 peratus EFA. Matlamat untuk mencapai kesetaraan peluang pendidikan antara gender pada 2005 dan persamaan hak untuk pendidikan pada 2015 memperlihatkan Malaysia sudah banyak berubah dalam perkara ini. Matlamat EFA yang keenam, meningkatkan kualiti dalam pendidikan – komitmen Malaysia usah dipertikaikan. Kita tunggu peratusan bajet untuk pendidikan yang bakal diumum oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa hari lagi. Lazimnya Kabinet memperuntukan kira-kira 26 peratus daripada bajet adalah untuk pendidikan. Atas daya usaha kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelajaran, UNESCO mengiktiraf negara kita sebagai antara negara paling berjaya dalam menyediakan akses pendidikan untuk rakyat. Dalam ‘Laporan Pemantau Global Pendidikan Untuk Semua’, Malaysia berada pada kedudukan 65 daripada 127 negara. “Selama empat tahun menjadi Lembaga Eksekutif pertubuhan ini, kita telah menerima banyak bantuan dan sokongan untuk menjaya bidang utama yang melibatkan pendidikan, sains, kebudayaan, maklumat dan komunikasi,” kata Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Ali Ab. Ghani.

Malaysia dipilih menganggotai Lembaga Eksekutif UNESCO selepas mendapat 147 undi dalam kumpulan Asia Pasifik pada persidangan agung pertubuhan itu kali ke-34 pada Oktober 2007. Penyertaan Malaysia sebagai anggota lembaga pertubuhan itu memberi peluang kepada negara untuk mengambil bahagian dalam isu utama di peringkat antarabangsa dan menyumbang kepakarannya terutama dalam bidang pendidikan kepada masyarakat antarabangsa menerusi UNESCO. Mesyuarat Lembaga Eksekutif UNESCO ke-187 ini merupakan kali terakhir Malaysia menghadirinya. Namun Malaysia masih berminat untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan UNESCO. Sebab itu Malaysia menawarkan sebagai calon untuk merebut kerusi Jawatankuasa Warisan Dunia (WHC) dan kerusi Biro Pendidikan Antarabangsa (IBE). Untuk tujuan itu, kata Muhyiddin, Malaysia tidak mengeluarkan belanja kempen yang besar untuk melobi negara anggota. Peluang untuk mendapat kerusi tersebut adalah cerah berdasarkan hubungan baik dan reputasi Malaysia yang aktif dalam aktiviti UNESCO.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 SEPTEMBER 2011


Tiada ulasan: