20 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : CENDIKIAWAN SERAHKAN RESOLUSI JAYAKAN TRANSFORMASI NEGARA

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

Lebih 1,000 profesor cerna idea pada sidang MPN


Kehadiran cendekiawan pada Kongres Profesor Negara di Kuala Lumpur baru-baru ini, cukup membanggakan. Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dipenuhi lebih 1,000 profesor institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara hingga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, rasa terharu berpeluang menyaksikan perhimpunan besar golongan intelektual berkenaan. “Saya tidak pernah melihat begitu ramai profesor. Dulu yang saya tahu ada Profesor Ungku Aziz saja, tapi difahamkan sekarang ada lebih 1,700 profesor. Baguslah, itu antara tanda kemajuan kita selepas merdeka,” katanya membuka bicara sebelum menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Mentransformasi Negara Melangkaui 2020’ pada program berkenaan. Penganjuran kongres yang disifatkan bersejarah itu juga mendapat perhatian pucuk pimpinan tertinggi kerajaan. Jarang sesebuah majlis menyaksikan kehadiran dua pemimpin utama negara, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing silih berganti meluangkan masa merasmikan pembukaan dan penutup kongres.

Ia jelas mencerminkan komitmen dan sokongan padu kerajaan terhadap peranan dan sumbangan profesor dalam pembangunan serta kemajuan negara. Sebagai ahli akademik, mungkin profesor yang menyertai kongres tiga hari itu sudah berpuluh kali menghadiri majlis ilmu seumpamanya. Namun, perhimpunan ini berbeza dan istimewa kerana agenda khususnya menggembleng fikiran golongan murabbi itu bagi menerajui usaha transformasi negara berasaskan pengetahuan. Sejajar tema kongres iaitu ‘Ilmu Mentransformasikan Negara’, peserta yang pakar dalam pelbagai disiplin ilmu itu menganalisis, menghalusi serta memberi maklum balas terhadap program transformasi sedang rancak dijayakan kerajaan. Bagaikan kenyang mencerna idea, sesi rehat dan makan dipendekkan bagi membolehkan kebanyakan sesi persidangan, soal jawab mahupun bengkel yang dijadikan pengisian kongres berlarutan hingga setengah jam daripada tempoh asal ditetapkan. Perbincangan cendekiawan pelbagai bidang itu semestinya hangat dengan perbahasan isu serta cadangan penyelesaian. Sidang pleno pada hari pertama saja sudah panas dengan perbahasan isu pengabaian penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya hinggakan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) , Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abd Hamid tidak terlepas daripada kritikan mencampur aduk penggunaan bahasa Inggeris dalam pembentangan.

Namun, seperti dijelaskan, ucapan beliau diselang-seli dengan bahasa antarabangsa itu bagi menghormati kehadiran peserta antarabangsa termasuk Prof Nay Htun dari Universiti State Brook, Amerika Syarikat. Suntikan semangat pemimpin negara serta sarjana terkemuka antarabangsa termasuk Prof Nay dan Prof Dr Michael E Porter dari Universiti Harvard yang melontarkan cabaran supaya profesor menjadi barisan depan menjayakan agenda pembangunan negara mendasari penghasilan 14 resolusi selesai tiga hari bersidang. Berdasarkan koleksi fakta penyelidikan terkini serta kearifan pengetahuan, resolusi merangkumi setiap kluster ilmu iaitu sumber asli dan alam sekitar, ekonomi dan kewangan, tadbir urus, perundangan dan pengurusan awam. Ia turut membabitkan cadangan transformasi bidang teknologi maklumat dan komunikasi, industri dan inovasi, kejuruteraan dan teknologi, sains dan matematik, pembangunan sosial dan kesejahteraan, pendidikan dan pembangunan modal insan, perubatan dan kesihatan; politik, keselamatan dan hal ehwal antarabangsa, farmasi dan sains gunaan, sejarah, warisan dan sosiobudaya serta pertanian dan makanan.

Cadangan dikemukakan menerusi resolusi itu ialah mengukuhkan dasar, proses perancangan dan tadbir urus sektor sumber asli dan alam sekitar; transformasi ekonomi yang disokong sistem pelaksanaan, pemantauan dan pelaporan berasaskan sasaran keberhasilan yang konkrit dan jelas. Selain itu, ahli MPN mengusulkan kod tadbir urus sektor awam dan kaedah penguatkuasaan dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan pengurusan, sementara pembangunan modal insan berpengetahuan dan kemahiran tinggi serta sistem keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dicadang bagi memastikan ICT menjadi pemacu utama transformasi. Turut dikemukakan, pengukuhan Polisi Inovasi Negara bagi memastikan kelestarian ekosistem inovasi tanpa sempadan iaitu membabitkan semua peringkat masyarakat bermula di sekolah hingga industri dan agensi kerajaan. Bagi memastikan negara tidak terdedah kepada ancaman penyusutan sumber dan krisis tenaga, pembangunan kecekapan penggunaan tenaga, pengoperasian perkakasan, perancangan bandar dan pemerkasaan penjanaan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui dicadangkan.

MPN turut memberi sokongan padu terhadap penegasan dasar mengekalkan nisbah 60:40 bagi pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains yang merosot pada tahap 20:80 ketika ini bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 tenaga kerja. Usaha menjana dan memperkasa program penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains sosial pula disifatkan kritikal bagi membekalkan data sosial mencukupi untuk pelaksanaan transformasi negara. Resolusi turut menekankan kepentingan sistem pendidikan dikukuhkan menerusi pendekatan kesepaduan bermula pendidikan dasar hingga pengajian tinggi berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta berorientasikan bakat, bukan peperiksaan. Akses perkhidmatan kesihatan secara saksama dengan memberi keutamaan kepada pencegahan penyakit secara menyeluruh dan berkesan turut diketengahkan selain menitikberatkan kesepaduan sosial sebagai prasyarat untuk menjamin transformasi negara yang seimbang. Bagi memartabat industri farmaseutikal, kerajaan dicadang mewujudkan keupayaan sebagai pengeluar ubatan halal bagi mengelak pergantungan terhadap pasaran luar yang diragui kesesuaiannya dan boleh mengancam kesihatan rakyat.

Turut diusul ialah masalah ketagihan dadah dipertanggungjawabkan bersama Kementerian Kesihatan kerana ia dikenal pasti sebagai penyakit. MPN turut meminta kerajaan memastikan inti pati pembangunan dikawal sistem nilai budaya yang murni untuk mengelak penyelewengan, mengekalkan moral tinggi serta menegakkan prinsip keadilan sosial. Akhirnya, bagi memastikan sekuriti makanan, negara dicadang memberi perhatian khusus kepada isu penggunaan tanah, koordinasi antara pelbagai kementerian dan agensi, dasar insentif, kebergantungan kepada buruh asing, mekanisme pemasaran, pemindahan teknologi, perubahan iklim, sumber air dan dana pelaburan. Pada penutup kongres, resolusi itu diserahkan Prof Zakri selaku Pengerusi MPN kepada Timbalan Perdana Menteri dengan harapan isi kandungannya diteliti serta membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi negara.

SUMBER
BERITA HARIAN
20 JULAI 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...