Oleh Mohd Azizuddin Mohd Sani
azizuddin@uum.edu.my
Pada tiga atau empat tahun lalu, ada rungutan di kalangan ahli akademik mengenai terbatasnya peluang dan dana penyelidikan di dalam dan luar negara. Persaingan sengit juga menyebabkan ramai tidak berpeluang melakukan penyelidikan walaupun ia kriteria utama kenaikan pangkat dan prestasi tahunan. Bagaimanapun, suara rungutan ini semakin hilang apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil inisiatif untuk mewujudkan dana umum dan khusus, lantas menggalak dan merancakkan aktiviti penyelidikan untuk disumbangkan kepada pembangunan nusa dan bangsa. Pada 18 Julai 2011, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peruntukan dana RM178.4 juta yakni bersamaan dengan 1,022 projek penyelidikan yang membabitkan penyelidik daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), Institusi Penyelidikan dan jabatan pengajian politeknik. Tindakan KPT ini juga selaras Pelan Tindakan Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diumumkan Jun lalu.
Peruntukan ini adalah sebahagian daripada peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) berjumlah RM741 juta iaitu peningkatan 260 peratus daripada apa yang diterima dalam RMKe-9. Penambahan jumlah ini juga menyaksikan KPT buat julung kalinya memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS). Bagi Skim LRGS, tujuh bidang tujahan atau nic berimpak tinggi dikenal pasti seperti pemanasan global, penyakit berjangkit, perubatan tropika, keselamatan tenaga dan air, kecukupan makanan, perbuatan termaju dan tambah nilai serta teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, KPT meluluskan enam program penyelidikan LRGS Top-Down dengan peruntukan RM38 juta, manakala tujuh program penyelidikan LRGS Bottom-Up dengan peruntukan RM49 juta. Di samping itu, geran ERGS juga diluluskan peruntukan lebih RM40.3 juta dan Dana Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) pula lebih RM46.09 juta. Yang pasti, beberapa matlamat dan idealisme terbentuk hasil daripada pengumuman dana penyelidikan KPT iaitu:
Pertama, matlamat utama kerajaan adalah untuk membudayakan penyelidikan. Budaya penyelidikan ini berkembang pesat secara mendadak sejak pelaksanaan agenda Universiti Penyelidikan (RU) yang hingga kini sudah mempunyai lima RU. KPT juga bercadang melahirkan RU yang keenam pada 2015 dalam Sains Sosial. Selain itu, pengiktirafan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) dan Dana FRGS sejak 2006 akan memantapkan penyelidikan bukan saja bagi bidang sains dan teknologi malah bidang sains sosial. Kedua, KPT juga berusaha supaya matlamat keserakanan dapat dilaksanakan dalam penyelidikan pada peringkat pengajian tinggi. Meskipun RU yang menerajui tujuh bidang berimpak tinggi LRGS itu, KPT mengenakan syarat bahawa projek LRGS perlu membabitkan minimum tiga institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi multinasional lain bagi memastikan penggemblengan kepakaran penyelidikan di Malaysia.
Ketiga, kerajaan juga bersungguh-sungguh menjadikan warga akademik ini berinovasi lantas dapat mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka. KPT juga memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS). Geran ini untuk membantu penyelidik dengan menyediakan dana bagi mereka menghasilkan prototaip untuk dikomersialkan pada masa akan datang. Laporan penyelidikan saja tidak cukup, malah penyelidik harus memasarkan hasil kajian mereka. Ini lantas dapat merencanakan Malaysia sebagai negara berpendapat tinggi jika produk dapat dimanfaatkan oleh negara dan masyarakat. Yang pasti, dasar pengajian tinggi negara berada pada landasan terbaik bagi memacu kecemerlangan penyelidikan dan meluaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi lebih mantap ke arah peningkatan penerokaan pengetahuan baru dan pengkomersialan produk. Penyelidik harus mengambil kesempatan ini untuk menghasilkan kajian berkualiti untuk kebaikan umum.
Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi, yang juga Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Sintok
SUMBER
BERITA HARIAN
20 JULAI 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan