JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mac 2011

ISU FILEM : PULANGAN DUTI HIBURAN UNTUK FILEM TIDAK LAKU

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


Isu pemulangan duti hiburan hasil jualan tiket tayangan filem-filem tempatan kepada para penerbit bukan perkara baru. Ia sudah lama diperkatakan. Ada yang setuju tetapi tidak kurang juga yang sebaliknya. Isunya adakah wajar duti hiburan itu dihapuskan atau ia tidak dipulangkan kepada penerbit? Jika ia dihapuskan, para penerbit bukan sahaja tidak meraih pendapatan tambahan, malah agak sukar untuk mereka menerbitkan lebih banyak filem pada masa depan. Ada juga yang mencadangkan agar duti hiburan sekitar 20 peratus yang dikutip kerajaan daripada jualan tiket sesebuah filem itu tidak dipulangkan kepada pihak penerbit. Adakah ia akan diambil dan disimpan oleh kerajaan? Jika itu cadangannya, maka itu bukan matlamat asal duti hiburan diwujudkan. Apatah lagi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terbabit menggalakkan serta membantu industri filem juga bukan bertujuan mengaut keuntungan daripada sumber tersebut.

Isu itu ditimbulkan antaranya bagi menggalakkan daya saing di kalangan penerbit tempatan. Di sini sekali lagi ia bukan isu atas permasalahan tersebut. Jangankan berdaya saing, dengan adanya pemulangan duti hiburan itupun, filem Melayu masih belum pergi ke mana. Bukan setakat jualan tiket yang belum boleh dibanggakan, malah kualitinya juga masih belum berada di tahap yang boleh dibanggakan. Dalam hal ini, Finas yang terletak di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seharusnya mengekalkan kaedah pemulangan duti hiburan kepada para penerbit. Cuma cara pengagihannya perlulah diperhalusi supaya ia benar-benar membantu penerbit yang memerlukannya. Jika selama ini, setiap filem yang telah ditayangkan sama ada mendapat sambutan atau tidak, ia tetap menerima pulangan duti itu. Apa kata jika duti hiburan itu dipulangkan hanya kepada filem-filem yang gagal mendapat sambutan para penonton sahaja?

Cara itu sedikit sebanyak boleh menampung kerugian penerbit terbabit, sekali gus menggalakkan mereka terus menerbitkan filem-filem yang seterusnya. Sementara itu, bagi filem yang berjaya mengaut kutipan tiket melebihi kos pembikinannya pula, ia sama ada tidak layak mendapat pulangan duti hiburan itu ataupun menerima hanya pada kadar separuh daripada pemulangan duti tersebut. Dalam kes seperti ini juga, tidak timbul isu iri hati atau mempersoalkan antara sesama penerbit kerana ia untuk kepentingan bersama. Bagi penerbit yang berjaya mengaut kutipan tiket lebih tiga kali ganda daripada kos modal pembikinan sesebuah filem tentunya tiada masalah untuk menerbitkan filem-filem yang seterusnya. Adalah dibimbangi kalau duti hiburan dihapuskan, para penerbit filem yang gagal mendapat keuntungan tidak mampu menerbitkan filem pada masa depan. Selain duti hiburan filem-filem tempatan Finas dan kerajaan-kerajaan tempatan juga sepatutnya menggunakan duti hiburan filem-filem luar bagi membantu para penerbit tempatan.

Ini kerana, ramai juga yang ingin tahu ke manakah hala tuju duti hiburan daripada tayangan filem-filem luar yang selama ini dikutip atau digunakan? Pemulangan duti hiburan atau sekarang ini digunakan istilah 'insentif' penting bagi filem-filem tempatan bersaing dengan filem-filem luar. Filem-filem luar terutamanya dari Hollywood bukan sahaja berskala besar daripada segi kualiti produksi dan tarikan tetapi juga publisiti meluas yang dilakukan oleh syarikat-syarikat produksi terbabit di seluruh dunia. Pendek kata, tanpa bantuan pun filem-filem dari luar tiada banyak masalah untuk mengutip kutipan besar di pawagam-pawagam negara ini. Apapun semua itu berbalik kepada matlamat utama diwujudkan duti hiburan di mana akhirnya ia bertujuan membantu para penerbit, selain bertujuan mempertingkatkan daya saing dan kualiti filem-filem tempatan. Buat masa ini, pihak kerajaan melalui Finas masih memikirkan tentang isu pemulangan duti hiburan tersebut. Agensi kerajaan itu pada masa sama harus mendapat maklum balas daripada para penggiat dalam industri perfileman tanah air.

Baik para penerbit mahupun Persatuan Pengeluar Filem Malaysia haruslah tampil sama ada memberi sokongan sama ada bagi meneruskan pemulangan duti hiburan itu ataupun ada kaedah-kaedah lain demi kepentingan bidang tersebut. Duti hiburan diwujudkan bagi membantu para penerbit filem tempatan. Ia masih relevan untuk diteruskan dengan syarat ada penambahbaikan agar para penerimanya mendapat manfaat yang seimbang. Contohnya, jika sebelum ini penerbit filem yang meraih keuntungan besar hasil kutipan tiket di pawagam bertambah kaya apabila menerima pulangan duti hiburan tersebut. Bagi para penerbit filem yang tidak berjaya pula, mereka akan semakin tertekan jika duti hiburan yang ada sekarang tidak dikekalkan atau pengagihannya tidak diberikan dengan cara yang betul-betul boleh membantu para penerimanya. Akhir sekali kita tentunya tidak mahu wujud monopoli dalam industri perfileman di negara ini apabila ada segelintir penerbit filem yang terus berjaya menerbit filem dan semakin kaya. Sedangkan para penerbit filem yang kurang bernasib baik pula akan tenggelam begitu sahaja.

UTUSAN MALAYSIA
7 MAC 2011

Tiada ulasan: