JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : MASYARAKAT RAKAN KONGSI JAYAKAN PROGRAM UNIVERSITI

BERITA HARIAN, 7 MAC 2011


Kesedaran yang ingin dikongsikan di sini kali ini ialah tuntutan kepada kita selaku rakyat menghargai peranan universiti, menghormati kedudukannya dan pada masa sama berasa bertanggungjawab turut menjayakan cita-cita pembangunan universiti terutama dari aspek kualiti dan fungsi. Seperti dinyatakan, universiti sebenarnya gambaran diri kita sebagai rakyat. Kelemahan dan kemunduran universiti cermin tahap ketamadunan diri kita yang akan ditanggap orang lain. Begitulah berkait rapatnya kedudukan universiti dengan diri kita selaku rakyat di sesebuah negara.  Ada banyak tuntutan perlu dipenuhi bagi membangunkan universiti berkualiti dan dihormati. Ia meliputi pembangunan prasarana lebih selesa, kepemimpinan universiti berwawasan, kakitangan akademik dan pentadbiran berketrampilan, pelajar berdisiplin, persekitaran yang sihat dan berdaya maju serta sumber dana yang kukuh.

Kini, tugas menyediakan segala kemudahan universiti terutama pembangunan prasarana, penyediaan kakitangan dan sumber kewangan ditanggung menerusi dana kerajaan. Tanggungan ini semakin besar kerana pertambahan universiti. Adakah kerajaan selamanya mampu menampung perbelanjaan universiti itu? Ini antara persoalan yang mula dibincangkan pada peringkat kepemimpinan institusi pengajian tinggi hari ini. Ketika berucap pada majlis jamuan amal anjuran Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malauysia (UIAM), baru-baru ini, Datuk Seri Najib Razak, berkongsi tanggungan besar kerajaan dalam pembangunan dan pengurusan universiti. Beliau cuba mengundang wacana untuk kita mencari idea bagaimana tanggungan itu turut dikongsi sektor lain.  Jika tanggungan kerajaan dapat dikawal, tentu lebihan peruntukan dapat diagih bagi program pengembangan universiti dengan lebih rancak lagi.

Ternyata, tugas mengurus dan memastikan pembangunan institusi pengajian tinggi yang berdaya saing di pentas global hari ini suatu yang mencabar. Ketika ini, pengurusan universiti diberi banyak ruang untuk lebih berdikari dan berusaha mencari sumber bagi pembangunan universiti. Oleh itu, pengenalan beberapa konsep seperti ‘universiti penyelidikan’ antara model membolehkan universiti tidak saja memainkan peranan dari aspek pembelajaran malah sebagai pusat penyelidikan yang mampu memasarkan produk sendiri terutama bagi keperluan industri.  Barangkali antara pendekatan lain perlu difikirkan dalam usaha memperluaskan rakan kongsi pembangunan universiti ialah menerusi pembabitan masyarakat terbanyak. Dalam sejarah ketamadunan Islam, hal ini bukan asing.  Kebanyakan institusi pengajian tinggi ternama seperti Universiti al-Azhar mengamalkan pendekatan sama.

Universiti unggul dan ternama dalam sejarah Islam didukung masyarakat terutama sumber kewangannya yang disalurkan menerusi skim wakaf, jariah atau infaq. Ia menjadi satu daripada perintah agama yang dituntut dalam bentuk tunai atau fizikal.  Namun, bagi menjayakan pendekatan ini, universiti harus bersifat kerakyatan iaitu masyarakat perlu merasai kebersamaannya dengan pengajian tinggi yang dibangunkan. Masyarakat harus diberi maklumat dan kefahaman menyeluruh mengenai cita-cita agenda besar universiti. Ini memerlukan universiti mengaitkan amalan mesra masyarakat dengan memperbanyakkan kegiatan membabitkan komuniti terbanyak. Bagi tujuan ini, peranan tenaga ilmuwan di universiti bertambah penting. Mereka harus berdampingan secara aktif dengan masyarakat terutama memberi bimbingan dan kepemimpinan ilmu. Antara rakan kongsi universiti lain yang perlu didekati ialah bekas pelajar.

Mereka harus sentiasa ada hubungan dengan universiti. Sektor ini amat besar potensinya. Dalam kes UIAM, jumlah bekas pelajarnya lebih 45,000 orang. Jika potensi itu digembleng dengan tersusun, ia tentu dapat menyumbang secara positif di dalam pembangunan sesebuah universiti.  Menurut Presiden Persatuan Alumni UIAM, Khalek Awang, jika sektor ini ingin digembleng, ia harus bermula dengan program penerapan budaya memberi yang mengajak bekas pelajar mencintai universiti dan memupuk sikap untuk menyumbang kepada pembangunan universiti secara berterusan.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Tiada ulasan: