JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Januari 2011

ISU PENGGUNA : PENGGUNA MANGSA PENIAGA TAMAK


Di Malaysia, banyak isu yang sering kali diulang tayang. Isu-isu ini tidak pernah ada penghujungnya. Panas sekejap selepas itu reda dan buat beberapa ketika timbul kembali. Isu-isu ini membuatkan rakyat dalam keadaan yang terhimpit. Antara isu yang berlaku hampir saban tahun ialah peniaga menyorok barangan keperluan. Terbaru kegiatan menyorok minyak masak sehingga memberi kesan kepada rakyat. Bermula di Perlis dan merebak ke negeri-negeri lain, isu ini benar-benar menguji sejauh manakah peniaga di Malaysia beretika dalam menjalankan urus niaga jual beli. Rakyat di Malaysia tiada pilihan, mengikut sahaja tanpa adanya kuasa desakan. Yang berkuasa adalah peniaga sehinggakan tindakan menyorok minyak masak yang dilakukan mereka boleh menjadikan seluruh Malaysia gawat. Puncanya kerana ingin menunggu pengumuman kenaikan harga minyak masak oleh kerajaan. Rakyat sebagai pengguna tidak mampu berbuat apa-apa. Setiap kali isu ini timbul hanya keluh kesah sahaja yang boleh disuarakan. Akhirnya, kekalahan juga menanti pengguna. Satu perkara yang unik di Malaysia, setiap kali sesuatu isu timbul, tindakan hanyalah sekejap cuma. Dengan kata lain, tindakan hanya dikenakan apabila isu itu timbul di media-media massa. Berbalik kepada isu menyorok minyak masak, adakah puncanya kerana pengguna membuat pembelian panik? Sekali lagi, ia menggambarkan seolah-olah pengguna seharusnya dipersalahkan.

Pengguna tidak akan panik jika barangan keperluan sentiasa mencukupi. Pengguna bukanlah peniaga untuk membeli dengan jumlah yang begitu banyak. Tiada guna salahkan pengguna. Carilah punca sebenar, tangani isu sebenar dan carilah dalang sebenar di sebalik kenapa isu ini berlaku. Rata-rata rakyat sebagai pengguna mengetahui puncanya adalah kerana peniaga yang tamak lagi haloba. Masih ada lagikah peniaga yang beretika dalam masyarakat kita? Yang tidak mementingkan keuntungan semata- mata tetapi berniaga kerana tanggungjawab membantu masyarakat. Soalan ini tidaklah terlalu sukar untuk dijawab. Memang benar, masih ada peniaga yang beretika. Mereka inilah yang perlu diberi peluang untuk maju. Bagi menangani isu menyorok barang keperluan, tindakan tegas perlu dikenakan kepada dalang-dalang berkenaan. Jangan asyik memberi amaran sahaja. Tindakan tegas seperti menarik lesen mereka merupakan satu tindakan yang boleh memberi pengajaran kepada peniaga-peniaga lain. Masih ramai lagi yang ingin berniaga secara beretika. Hilangnya seorang peniaga, akan lahirlah seribu lagi peniaga. Menyorok barangan keperluan bukan sahaja memberi kesan kepada individu tetapi kepada ekonomi negara. Kita semua adalah pengguna. Peniaga juga adalah pengguna. Mereka juga akan membeli barangan keperluan seperti minyak masak dan gula untuk berniaga makanan dan minuman.


Apabila barangan keperluan tidak mudah didapati, apakah yang akan terjadi kepada perniagaan mereka? Sudah tentu terjejas, dan tidak mustahil terpaksa tutup kedai buat sementara waktu dek kerana isu sekecil ini. Maka, tidak menghairankan apabila barangan keperluan disorok, peniaga-peniaga akan cuba memberi alasan untuk menaikkan harga barangan. Apabila desakan mereka tidak dipenuhi, ugutan akan kedengaran. Akhirnya, pengguna akan menerima kesannya. Ya...memang benar, kenaikan mungkin setakat 10 sen sehingga 30 sen sahaja. Di mata orang yang berpendapatan tinggi, perkara ini tidaklah memberi kesan kepada mereka. Tetapi bagaimana pula rakyat Malaysia yang 40 peratusnya berpendapatan RM1,500 ke bawah. Kepada siapakah mereka harus mengadu? Isu ini besar buat mereka. Kesannya lebih ketara apabila berlakunya kesan rantaian kepada barangan lain. Akhirnya terpaksalah mereka meminjam. Tidak mengapalah jika mereka meminjam daripada pihak-pihak yang diberikan lesen seperti bank. Bagaimana pula apabila mereka terpaksa meminjam daripada pemberi pinjaman tidak bertauliah seperti ah long apabila permohonan pinjaman mereka tidak diluluskan oleh bank? Mampukah mereka membayar kembali kepada lintah darat ini? Jika mereka gagal, nyawa mereka pula dalam keadaan bahaya. Nah, dari isu sekecil-kecilnya, ia merebak kepada jenayah.

Maka, terpaksalah pihak berkuasa mengadakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kegiatan jenayah. Untuk mengadakan pelbagai inisiatif, wang rakyat melalui cukai yang dikutip terpaksa digunakan. Tidakkah lebih baik jika wang ini digunakan untuk meningkatkan pendidikan dan kesihatan rakyat? Akhirnya, kesemua pengguna termasuklah peniaga yang tamak haloba akan mengalami kerugian. Putaran ini akan sentiasa berlaku tanpa berhenti kecuali satu tindakan jangka panjang dilaksanakan. Justeru itu, komitmen untuk menjadikan pemborong, peruncit dan peniaga sentiasa beretika merupakan langkah terbaik dalam jangka masa panjang agar isu ini tidak lagi menyelubungi kehidupan rakyat.

Oleh Rohami Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan 
Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

UTUSAN MALAYSIA
10 JANUARI 2010

Tiada ulasan: