Berita Harian Online
1 Ogos 2021 (Ahad)
Butiran Penulis
Mohd. Azrul Mat Said
Perunding Latihan Kanan, Sub Kluster
Etika, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Ketika dunia sedang bergelut menghadapi
pandemik COVID-19, rasuah dan salah guna kuasa juga mengubah sifatnya,
khususnya dengan perkembangan teknologi maklumat. Keratan kajian Global
Economic Crime and Fraud Survey 2020 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC)
menunjukkan peratusan kes penipuan membabitkan pengguna disenaraikan sebagai
jenayah ekonomi tertinggi, iaitu 20 peratus, diikuti rasuah dan korupsi (18
peratus); jenayah siber (16 peratus) dan penyelewengan aset (16 peratus). Ini
menunjukkan perlunya suatu dasar yang dapat memangkin serta mempersiapkan
seluruh segmen masyarakat Malaysia untuk menelusuri dunia digital dan teknologi
yang sentiasa berkembang.
Statistik Jabatan Perangkaan mengenai
penggunaan dan capaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) individu dan isi
rumah pada tahun lalu menunjukkan peningkatan kepada 91.7 peratus berbanding
90.1 peratus pada 2019. Capaian isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer
juga meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020. Ini membuktikan
negara kini sedang mengadaptasi norma baharu bukan sahaja dari segi fizikal,
bahkan secara dalam talian. Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) yang
dilancarkan, 1 Julai 2021, memudahkan aliran maklumat antara institusi
kerajaan, mengurangkan asimetri maklumat antara pegawai awam dan rakyat,
mengehadkan budi bicara pegawai awam, pengautomasian proses, menghapuskan perantara
dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Namun begitu, cabaran utama bagi 1IR merealisasikan
potensinya bergantung kepada kehendak politik, prasarana, faktor ekonomi dan
sosial, capaian internet, faktor kerahsiaan serta kos implementasi ICT dari
segi infrastruktur dan latihan. Atas dasar itu, kerajaan sentiasa
mengoptimumkan inovasi teknologi dalam pentadbiran awam. Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan aplikasi MACCMobile agar aduan rasuah
boleh dibuat menggunakan telefon pintar. SPRM merekodkan sebanyak 243 aduan
berkenaan rasuah bagi Januari hingga Jun tahun lalu berbanding 521 bagi tempoh
sama tahun ini. Pertambahan laporan ini kesan kesedaran masyarakat dalam
memerangi rasuah.
Masyarakat juga boleh mendapatkan
maklumat mengenai operasi kerajaan melalui pelbagai saluran seperti laman
portal dan aplikasi telefon pintar seperti MySejahtera. Menurut Galeri Aplikasi
Mudah Alih Malaysia (GAMMA), terdapat 190 aplikasi dibangunkan oleh 97 agensi
kerajaan yang boleh dimuat turun setakat ini untuk memastikan masyarakat
mendapat maklumat tepat terus daripada kerajaan. Hakikatnya, langkah
mengoptimumkan teknologi rancak dilaksanakan di seluruh dunia. Openspending.org
umpamanya, inisiatif mempromosikan pengetahuan dan data terbuka mengenai
belanjawan sesebuah kerajaan atau syarikat korporat. Ia akan mencipta peta
aliran belanjawan secara dalam talian. Slovakia dan Cameroon mengadaptasinya,
sekali gus membolehkan rakyatnya dapat meneliti data kewangan negara secara
dalam talian.
Rakyat Argentina melalui PoderCiudadano
melancarkan laman web Dinero y Politica bertujuan untuk melihat kedudukan
kewangan sesuatu parti politik Argentina. Slovakia dan Republik Czech pula
menggunakan laman web KohoVolit untuk memantau cadangan dan kedudukan calon
pilihan raya sebelum dan selepas pilihan raya. Ia juga memantau tindakan
dilaksanakan calon menang apakah ia selaras janji diikrarkan selepas mendapat
kuasa daripada pilihan raya. Guatemala ialah negara yang 'kekebalan' menjadi
masalah sangat serius, sebahagiannya disebabkan mempolitikkan pelantikan hakim.
Laman web Guatemala Visible ditubuhkan dan dikawal selia masyarakat, yang
memantau pemilihan Juruaudit Negara, Peguam Negara, Peguambela Awam, Ombudsman
dan pegawai kehakiman utama lain.
Pasukan Polis Afghanistan pada 2009
memperkenalkan sistem pembayaran gaji melalui telefon berbanding tunai sebelum
ini. Kebanyakan anggota polis menganggap terdapat kenaikan dalam gaji mereka,
namun hakikatnya ini adalah pertama kali mereka mendapat gaji penuh. Sepuluh
peratus gaji mereka sebelum ini dibayar kepada 'polis hantu' yang mempunyai
kaitan dengan pegawai atasan. Seoul memperkenalkan pangkalan data Online
Procedures Enhancement for Civil Applications (OPEN) dalam talian sebagai usaha
meningkatkan ketelusan operasi. Sistem ini membolehkan masyarakat memantau
permohonan awam berkaitan 70 pihak berkuasa perbandaran mempunyai kadar rasuah
tinggi berkaitan perumahan dan projek pembangunan, peraturan alam sekitar dan
perancang bandar.
Pangkalan data ini membolehkan
pemantauan permohonan dalam talian daripada pegawai memproses permohonan, masa
diperuntukkan, sebab kelewatan memproses permohonan dan sebab permohonan
ditolak. Hakikatnya, terdapat pelbagai lagi kemungkinan boleh kita garap dan
adaptasikan kemajuan teknologi dibawa bersama 4IR dalam membasmi rasuah.
Kerjasama setiap pihak baik kerajaan, swasta, ahli politik dan masyarakat
diperlukan dalam memastikan sebarang tanggungjawab diamanahkan adalah telus dan
berintegriti. Membasmi rasuah tidak sepatutnya terletak kepada kertas penarafan
atau objektif sesebuah syarikat semata-mata. Selagi jati diri tidak disemai
dari sekarang dikhuatiri kita akan selamanya dipersalahkan oleh generasi akan
datang terhadap kelemahan kita membasmi rasuah.