JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Ogos 2011

ISU SOSIAL : FIGURA BAPA DIPERLUKAN UNTUK BENDUNG GEJALA SOSIAL

Oleh Dr Mashitah Ibrahim


Kajian terbaru membabitkan 2,800 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun yang dijalankan Universiti Tunku Abdul Rahman tahun lalu menganggarkan 21 peratus remaja negara ini mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Kadar ini masih rendah berbanding 33 peratus di Brazil, 50 peratus di Amerika Syarikat dan 60 peratus di United Kingdom. Namun, ini bukan sesuatu untuk dibanggakan. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2004 menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia, atau lebih kurang 190,000, mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.  Kajian ini juga mendapati 40 peratus remaja mengadakan hubungan seks sebelum mencapai umur 18 tahun, tujuh peratus sebelum 15 tahun dan 1.4 peratus sebelum 12 tahun.  Lebih mengejutkan ialah penemuan bahawa daripada 40 peratus itu, satu perempat (24 peratus) mengadakan hubungan seks sehingga lima orang, 14 peratus dengan lebih lima orang, dua peratus dengan lebih 10 orang dan tiga peratus dengan lebih 20 orang! 


Sebanyak 52 peratus daripada responden mengakui akan cuba mendapat bantuan atau perlindungan daripada pihak yang dipercayai jika mengandung manakala 37 peratus daripada yang diwawancara mengatakan mereka mahu memelihara sendiri bayi yang dilahirkan. Bagaimanapun, tujuh peratus mengatakan mereka mungkin menggugur atau membuang bayi sementara empat peratus lagi akan memberi bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.  Kajian ini membabitkan remaja semua kaum dan agama, bukan hanya Melayu-Islam. Hasilnya tetap menyayat hati. Penemuan kajian konsisten dengan statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Daripada 2.48 juta kelahiran yang didaftar antara 2006-2010, kira-kira sembilan peratus atau 235,000 adalah bayi luar nikah. Daripada jumlah bayi luar nikah ini, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam. Rekod rasmi menunjukkan kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat. Pada 2006, ada 38,300 kes dan pada 2010, ada 53,000 kes – peningkatan 38 peratus. Daripada 53,000 kes pada 2010, 17,000 adalah anak orang Islam. Kes pembuangan bayi yang dilaporkan di media massa sentiasa meruntun jiwa, khususnya bagi wanita dan ibu. 


Antara kes terbaru ialah bayi yang putus kepala. Berdasarkan rekod polis, antara 2005 dan 2010, sebanyak 407 bayi dibuang, daripada jumlah itu 50 peratus bayi yang dibuang meninggal dunia. Tetapi tidaklah semua kes membabitkan remaja tempatan. Kira-kira 50 peratus kes pembuangan bayi membabitkan warga asing. Mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 309A, sesiapa yang disabit kesalahan membuang bayi yang didapati mati boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. Namun, saban tahun, kes sebegini tetap berulang, malah bertambah banyak. Malah, ada juga kes penjualan bayi. Media membongkar beberapa kegiatan yang didalangi hospital swasta Kuala Lumpur dan di Sarawak baru-baru ini. Bayi dijual antara RM8,000 hingga RM21,000. Ini juga kes pemerdagangan orang yang perlu dibanteras sama sekali. Undang-undang adalah penting, tetapi kaedah lebih berkesan untuk mengurangkan gejala sosial ialah mewujudkan masyarakat prihatin, bukan sahaja bersimpati, tetapi juga bersikap empathy. Ibu bapa, jiran tetangga, persatuan penduduk, pengurusan hal ehwal pelajar di sekolah, kolej dan IPT, pihak polis, hospital, rakan sebaya, sekolah, golongan agama, media, sektor swasta dan agensi awam, NGO dan pergerakan di peringkat akar umbi semua mesti mengambil tahu keadaan persekitaran, melapor dan mengambil tindakan membanteras. 


Dalam keluarga, peranan ibu bapa paling utama. Anak perlu didikan, tanam sifat malu dan takut serta solat berjemaah di rumah. Bayangkan, ada ibu bapa tidak sedar anak mereka mengandung. Ini menggambarkan tahap keprihatinan rendah dalam keluarga tersebut. Biasanya ibu lebih rapat dengan anak perempuan, mereka saling berkongsi ‘rahsia’ tetapi kajian menunjukkan anak perempuan juga sangat perlukan kasih sayang dan perhatian bapa.  Kajian Kolej Perguruan Islam di Bangi membabitkan 413 pelajar tingkatan empat di 20 sekolah menunjukkan remaja berasakan bapa mereka kurang berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka. Kurangnya pengaruh ‘father figure’ di kalangan remaja dikenal pasti sebagai antara punca masalah sosial. Inilah juga pengalaman di Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh yang saya naungi.  Daripada lebih 700 kes remaja mengandung yang diurus sejak ditubuhkan pada 2005, majoriti mengakui ketandusan kasih sayang dan keprihatinan bapa.  Kerana itulah kualiti keibubapaan dan institusi keluarga perlu ditingkatkan. Justeru, bapa mesti memperbaiki kualiti kepemimpinan sebagai ketua keluarga.

Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

SUMBER
HARIAN METRO
13 OGOS 2011


Tiada ulasan: