ISU ALAM SEKITAR
Fokus : Faktor-faktor dan kesan-kesan bencana alam
Pada masa ini, rakyat di negara jiran kita, Thailand sedang berhadapan dengan bencana banjir yang sudah berlarutan lebih kurang dua bulan lamanya. Kejadian ini merupakan yang terburuk melanda negara tersebut dalam tempoh 50 tahun. Dalam pada itu, kejadian tsunami pada 25 Disember 2004 masih lagi bermain-main di minda masyarakat dunia. Kejadian tersebut sudah pasti meninggalkan trauma yang berpanjangan kepada mangsa yang mengalaminya. Malapetaka yang datang tanpa diundang ini merupakan bencana paling dahsyat pernah berlaku dalam tempoh 40 tahun. Nampaknya, hari demi hari masyarakat dunia akan berhadapan dengan pelbagai peristiwa dahsyat yang menguji keimanan, ketabahan, keamanan, dan kestabilan global. Oleh itu, faktor-faktor dan kesan-kesan bencana alam kepada manusia sejagat akan ditelusuri demi kepentingan bersama.
Pada pendapat saya, kita tidak boleh menolak bahawa bencana alam merupakan fenomena semula jadi yang ditentukan kejadiannya oleh Tuhan Yang Maha Esa. Kejadian alam seperti taufan, tanah runtuh, letupan gunung berapi, banjir besar dan sebagainya berlaku atas izin-Nya. Oleh sebab itu, kejadian seperti Taufan Katrina yang melanda wilayah New Orleans dan Louisiana di Amerika Syarikat memang tidak dapat dihalang. Begitu juga dengan bencana Tsunami yang melanda negara Jepun pada baru-baru ini memang tidak dapat dielakkan. Peristiwa ini menampakkan betapa besarnya kekuasaan Tuhan dan betapa naif dan kerdilnya manusia di muka bumi ini. Walau kita mampu mencipta pelbagai peralatan canggih dan menggagumkan tetapi kita tetap tidak mampu menghalang bencana alam daripada berlaku. Namun begitu, sebagai manusia, kita dianugerahkan akal fikiran untuk bersedia mengadapi apa-apa bencana yang berlaku. Jelaslah bahawa kejadian bencana alam yang melanda merupakan takdir Tuhan yang maha esa.
Selain itu, bencana alam berlaku disebabkan kejahilan dan kerakusan manusia sendiri ketika mentadbir bumi kurniaan Tuhan ini. Hal ini demikian kerana Tuhan telah mencipta alam ini dengan fungsinya yang tersendiri namun, apabila fungsinya dihancurmusnahkan oleh manusia maka berlakulah bencana yang tidak disangka-sangka seperti kejadian Highland Tower yang tumbang akibat tanah runtuh pada tahun 1993, dan kejadian jerebu yang berlaku setiap tahun. Kesemua ini membuktikan bahawa sikap rakus manusia yang mementingkan keuntungan telah meneroka hutan sewenang-wenangnya, melakukan pembakaran terbuka, dan perancangan pembangunan yang tidak sempurna hingga menyebabkan bencana alam. Sudah terang lagi bersuluh, kerakusan manusia dalam memusnahkan alam sekitar menyebabkan bencana alam berlaku.
Pelbagai kesan buruk wujud ekoran daripada malapetaka tersebut. Kesan yang paling nyata ialah banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah akibat bencana ini. Sebagai contohnya, bencana Tsunami yang melanda Acheh telah mengorbankan 168 000 orang, di Sri Lanka sebanyak 31 000 orang terkorban, dan di India sebanyak 16 389 orang terkorban. Kejadian ini juga menjadikan sesebuah kawasan musnah sama sekali seperti Banda Acheh yang menjadi padang jarak padang terkukur. Mereka yang terselamat pula bagaikan mati hidup semula dan kematian orang tersayang serta kemusnahan harta benda amat mengharukan perasaan namun, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Berdasarkan huraian yang diberikan, ternyatalah bahawa bencana alam menyebabkan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa terkorban.
Selanjutnya, mangsa yang terselamat daripada bencana alam sudah pasti akan mengalami gangguan emosi dan masalah fizikal dalam jangka pendek atau jangka panjang. Hal ini demikian kerana kejadian ngeri yang pertama kali berlaku dalam hidup mereka memberikan kesan yang mendalam dalam jiwa. Kekecewaan dan ketakutan yang mencengkam akan menyebabkan mereka hilang pertimbangan dan kemungkinan tidak mahu lagi meneruskan kehidupan. Apatah lagi jika terbayang orang-orang tersayang hanyut ditelan ombak dan tidak dapat dikesan hingga ke saat ini. Keadaan lebih mengharukan, jika mereka yang hidup mengalami kecacatan kekal dan tidak ada keluarga tempat berlindung. Bagi yang nipis keimanannya, akan mengalami trauma dan mungkin mengalami gangguan mental sepanjang hayat. Jelaslah bahawa bencana alam boleh meninggalkan kesan yang mendalam ke atas emosi seseorang.
Di samping itu, bencana alam sudah pasti akan melumpuhkan kegiatan ekonomi negara yang terlibat. Kejadian banjir yang melanda negara Thailand dijangka mengalami kerugian sehingga mencecah RM96 bilion setakat ini. Pengiraan kos kerugian sebenar boleh mengambil masa sehingga bertahun-tahun iaitu bagi mengira kehilangan perniagaan terhadap Thailand kerana pelabur sekarang ini berkemungkinan memilih untuk melabur di negara-negara lain. Setiap kali bencana alam berlaku, kerajaan terpaksa membelanjakan wang berjuta-juta ringgit untuk menyediakan kemudahan makanan, air bersih, ubat-ubatan, dan membaiki infrastruktur yang musnah akibat bencana. Bencana alam seperti jerebu pula akan menjejaskan kesihatan dan menyebabkan aktiviti harian dihentikan lebih-lebih lagi, jika kerajaan sudah mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut. Sudah jelas lagi nyata, bencana alam berupaya meruntuhkan ekonomi sesebuah negara.
Kesimpulannya, bencana alam yang sukar dijangka dan datang dengan tiba-tiba memberikan pengajaran kepada manusia agar tolong-menolong sesama manusia tanpa mengenal sempadan. Pelbagai bentuk bantuan hendaklah diberikan kepada mangsa sama ada dalam bentuk makanan, pakaian, ubat-ubatan, keperluan asas dan wang. Fenomena bencana alam juga mengingatkan kita agar berhati-hati dalam menguruskan alam sekitar. Isu-isu alam sekitar seperti pencemaran alam, tanah runtuh, dan penerokaan hutan hendaklah ditangani segera. Teknologi canggih dalam mengesan kejadian bencana harus dimiliki oleh negara agar kita lebih bersedia untuk menghadapinya bak kata peribahasa, “sediakan payung sebelum hujan”.
4 ulasan:
Tq... krangn nie mmbntu sye...
Tq... krangn nie mmbntu sye...
Bagaimana jika diminta jelaskan kesan positif daripada bencana alam? Saya dapat soalan sebegini dalam latihan. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Bagaimana jika diminta jelaskan kesan positif daripada bencana alam? Saya dapat soalan sebegini dalam latihan. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Catat Ulasan