JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Mei 2011

ISU KESIHATAN : TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PESAKIT DAN PENGGUNA UBAT

BERITA HARIAN
4 MEI 2011


Saya ingin berkongsi dengan pembaca satu kisah tragik seorang gadis berusia 17 tahun, Rebecca Loshen. Pada mulanya remaja Amerika itu mengadu sakit tekak dan demam biasa, tetapi jangkitan yang dianggap biasa oleh keluarganya dan doktor itu, rupa-rupanya lebih berbahaya dan akhirnya membawa maut. Rebecca meninggal dunia empat bulan selepas menyabung nyawa dengan beberapa serangan jantung, dimasukkan pelbagai jenis tiub, menjalani prosedur pembedahan menyakitkan serta dibius sepanjang tempoh itu. Jangkitan dialaminya berpunca daripada bakteria MRSA (Methicillin-resistant Staphylococcus aureus) yang mempunyai ketahanan terhadap antibiotik biasa. Ciri ketahanan sedemikian yang dimiliki oleh bakteria, virus, parasit dan kulat semakin kerap dilaporkan dan ia mengakibatkan jangkitan yang tidak boleh dirawat, walaupun oleh ubat paling mujarab dan berkesan yang kita ada sekarang.

Mikro-organisme ini juga dikenali sebagai ‘superbug’. Bayangkan kita kembali pada era tidak mempunyai ubat antibiotik, antivirus dan antimalaria, walaupun kita hidup dalam zaman teknologi moden yang mengagumkan. Sesuatu jangkitan mudah, seperti sakit tekak, cirit-birit akibat keracunan makanan atau penyakit kulit boleh membawa maut dan menjangkiti lebih ramai orang dalam sesebuah masyarakat. Penyakit lebih serius seperti batuk kering atau TB, HIV dan jangkitan berkaitan, malaria, malah Influenza A (H1N1) juga boleh menjadi tidak terkawal sekiranya mikro-organisme yang mengakibatkan penyakit berkenaan berubah mempunyai daya ketahanan terhadap ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk merawatnya.  Sebilangan pesakit, seperti Rebecca, kecundang melawan superbug itu, manakala yang lain selamat, tetapi selepas lama dirawat di hospital, membayar kos perubatan yang mahal dan melalui tempoh sembuh amat menyakiti.

Ketika perayaan Hari Kesihatan Sedunia April lalu, tema ‘Ketahanan antimikrob: Tiada tindakan hari ini, Tiada rawatan esok’ menjadi perhatian utama. Tema ini mengingatkan semua – daripada kerajaan kepada pengamal perubatan profesional hinggalah masyarakat umum – supaya kita harus bertanggungjawab sekarang untuk mencegah ketahanan antimikrob daripada terus merebak. Hakikatnya, ketahanan antimikrob adalah masalah manusia. Kita yang menjadi puncanya dan sekarang kita terpaksa menanggung akibatnya. Sejak sekian lama, ubat seperti antibiotik dan antivirus disalah guna manusia. Ada kalanya pesakit mengambil ubat yang salah. Contohnya, mengambil antibiotik untuk mengubat flu virus, tidak kira sama ada ubat itu diperoleh menerusi preskripsi atau sebaliknya. Ada juga yang mengambil dos lebih rendah daripada dinasihatkan atau tidak menghabiskan dos ubat dipreskripsi.

Sering berlaku, pesakit juga menjadi mangsa. Pembuat ubat yang tidak bertanggungjawab dan sistem jaminan mutu ubat yang lemah mengakibatkan bekalan ubat bermutu rendah memasuki pasaran. Sebahagian daripada ubat ini mengandungi pati bahan aktif yang lebih rendah berbanding dengan diperlukan untuk memusnahkan mikro-organisme itu. Pesakit yang miskin atau tidak mempunyai akses terhadap khidmat penjagaan kesihatan yang baik boleh menjadi mangsa kepada ubat yang bermutu rendah ini. Penyalahgunaan ubat-ubatan dan antibiotik yang bermutu rendah dalam perusahaan ternakan juga boleh menyebabkan penyebaran ketahanan terhadap mikro-organisme, seterusnya menjangkiti manusia. Jangkitan antimikrob memang sering berlaku di hospital, klinik, khususnya jika hospital itu mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang lemah, seperti penyeliaan kebersihan diabaikan.

Kuman yang mempunyai ketahanan terhadap ubat itu mungkin membiak di dalam kawasan hospital itu atau hinggap pada pesakit yang pernah dirawat di hospital langsung merebak kepada masyarakat. Anda mungkin terfikir mengapa syarikat farmaseutikal tidak terus membangunkan antimikrob baru yang lebih pintar, kuat dan lebih baik. Malangnya, penyelidikan baru tidak mencukupi untuk membangunkan ubat-ubat sedemikian atau melakukan kajian diagnostik untuk mengesan organisme yang mempunyai ketahanan terhadap ubat dan vaksin untuk mencegah infeksi. Kita tidak mampu untuk menunggu sehingga kubu perubatan berkesan, kajian diagnostik dan vaksin kita menjadi kering kontang. Kita perlu bertindak mencegah penyebaran superbug bahaya ini sekarang juga. Setiap orang perlu peka terhadap tanggungjawab sebagai pesakit dan pengguna ubat-ubatan. Ubat-ubatan ini bukan gula-gula atau barang permainan, sebaliknya ia adalah formula yang mempunyai kesan sangat hebat dan juga kesan sampingan bahaya jika disalahgunakan.

Doktor, jururawat, ahli farmasi dan pengagih ubat, industri farmaseutikal dan pihak berkuasa kesihatan mempunyai peranan untuk mendidik pesakit mengenai pentingnya mengambil dos ubat antimikrob yang betul. Kementerian Kesihatan sudah sejak lama menunjukkan kepekaan dalam menangani ketahanan terhadap antimikrob. Pada 2007, kempen ‘Kenali Ubat Anda’ dilancarkan dengan menggunakan cogankata 5R untuk mengingatkan orang ramai mengenai cara yang betul untuk mengambil ubat: Orang yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, jalan yang betul dan waktu yang betul. Pada masa sama, Jawatankuasa Kawalan Infeksi dan Antibiotik Kebangsaan juga ditubuhkan dan Garis panduan Antibiotik Kebangsaan diterbitkan. Ketahanan terhadap antimikrob juga melanda Malaysia, tetapi kita mempunyai prosedur ketat yang diamalkan untuk mengawal dan mencegah infeksi.  Rangkaian pengawasan dan makmal kita berjaya mengumpul dan melaporkan data mengenai ketahanan terhadap ubat dari semasa ke semasa, di samping mengenal pasti dengan tepat mikro-organisme yang mempunyai daya ketahanan itu.

Bagaimanapun, banyak lagi yang boleh kita lakukan. Kita boleh terus mendidik satu sama lain mengenai penggunaan ubat-ubatan yang sesuai. Kita boleh memperbaiki sistem pengawalan ubat untuk memastikan mutu ubat-ubat dan menjalankan kajian dan penyelidikan untuk ubat antimikrob baru. Kita boleh lebih berhati-hati mengenai cara kita mencegah dan mengawal infeksi, terutama di kalangan kakitangan perawat di hospital. Langkah mudah seperti kerap membasuh tangan dan pengalihan udara yang baik sangat penting, oleh itu, jika anda melihat hospital atau klinik tidak melakukan amalan kebersihan yang baik, anda hendaklah melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan (03-8883 3888) atau hubungi saya pada laman Twitter saya. Kita tidak boleh membuat kesilapan memandang remeh mengenai ‘ubat ajaib’. Jika kita tidak lagi mempunyai bekalan ubat ini, kita semua akan mati – bermula daripada anak kecil dan seterusnya warga emas. Seperti dikatakan ibu Rebecca Loshen: “Saya ingin memberitahu bahawa ancaman MRSA memang wujud, ia memang berlaku dan ia memusnahkan kehidupan.”

Tiada ulasan: