Seni pertahanan diri merupakan satu kemahiran penting dalam menjaga keselamatan dan maruah seseorang. Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi terkenal dengan seni silat seperti silat gayung, silat cekak dan silat pulut. Masyarakat Cina pula mewarisi seni mempertahankan diri seperti wushu, karate, dan taekwondo, manakala masyarakat India mempunyai kalaripayat dan silambam. Semua seni ini mencerminkan warisan budaya yang unik dan mengagumkan, penuh tradisi serta keaslian. Namun, generasi muda kini semakin melupakan seni berharga ini ibarat melukut di tepian gantang. Timbul persoalan, apakah sebab-sebab pelajar tidak lagi berminat mempelajari seni pertahanan diri?
Salah satu sebab utama ialah seni pertahanan diri sering dianggap ganas dan dikaitkan dengan unsur tahyul. Latihan yang keras seperti tumbukan, tendangan dan hayunan tangan menyebabkan ibu bapa bimbang anak-anak mereka hilang nilai kesopanan serta bersikap agresif. Tambahan pula, sesetengah seni pertahanan diri dikatakan melibatkan upacara pemujaan untuk mendapatkan kekuatan luar biasa, sesuatu yang tidak lagi sesuai dengan kepercayaan masyarakat moden. Pada masa kini, kecerdikan dan kepintaran akal lebih dikagumi berbanding kekuatan fizikal semata-mata.
Selain itu, pelajar kekurangan masa untuk mempelajari seni pertahanan diri kerana terlalu sibuk dengan hal-hal akademik. Mereka menghadiri kelas tambahan di luar waktu sekolah, sedangkan sistem pendidikan pula menekankan pencapaian akademik berbanding bidang kokurikulum. Malah, kemasukan ke universiti berasaskan meritokrasi, bukan kehebatan dalam seni mempertahankan diri. Anak-anak sejak kecil lagi sudah diajar untuk mementingkan akademik kerana kegagalan dalam pelajaran dianggap sebagai menutup masa depan.
Faktor lain ialah larangan daripada ibu bapa sendiri. Pada zaman ini, anak-anak ditatang bagai minyak yang penuh serta dibelai dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa bimbang keselamatan mereka ketika berlatih kerana kemalangan boleh berlaku sehingga menyebabkan kecederaan serius pada kaki, tangan atau kepala. Terdapat juga kes-kes terpencil yang mengakibatkan kematian akibat kecuaian semasa berlatih. Hal ini menambah kebimbangan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka menyertai seni pertahanan diri.
Di samping itu, pemikiran masyarakat telah banyak berubah. Dahulu, kepandaian dalam seni pertahanan diri dipuja, dikagumi dan menjadi lambang maruah. Namun, masyarakat moden semakin materialistik dan lebih mementingkan pangkat serta kekayaan. Kejayaan dalam bidang kerjaya dan akademik dianggap sebagai jaminan masa depan, sedangkan kehebatan dalam seni pertahanan diri tidak menjanjikan kemewahan hidup. Oleh itu, ia tidak lagi dipandang penting.
Tambahan pula, pada hari ini sudah wujud sistem perlindungan yang lebih teratur seperti pihak polis dan undang-undang. Keselamatan orang awam dipantau di mana-mana sahaja. Bentuk ancaman juga berbeza kerana penjenayah kini lebih licik dan menggunakan senjata canggih yang tidak dapat ditangkis dengan kemahiran silat semata-mata. Justeru, orang ramai lebih bergantung kepada undang-undang berbanding kemahiran mempertahankan diri.
Kesimpulannya, seni pertahanan diri adalah warisan budaya yang sangat berharga, lambang jati diri dan kebanggaan bangsa. Generasi baharu wajar mempertahankan serta memelihara keindahan seni ini. Pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Kementerian Pendidikan perlu bekerjasama mencari jalan untuk menggalakkan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti seni pertahanan diri. Warisan ini hendaklah dipertahankan agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan