JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 September 2010

KARANGAN STPM: PENCEMARAN UDARA

KARANGAN STPM

Soalan
Pencemaran udara semakin teruk melanda di seluruh dunia pada masa ini akibat pelbagai faktor seperti pertambahan kenderaan, kegiatan perindustrian dan sebagainya. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesannya jika pencemaran udara ini tidak dikawal?

Menurut Chief Seattle “Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita,tetapi sebaliknya kita hanya mampu meminjamnya daripada anak cucu kita”. Kata-kata tersebut membuktikan betapa pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap manusia,masyarakat atau penduduk yang tinggal bumi ini. Pencemaran udara boleh didefinisikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung dalam udara sehingga berlakunya perubahan yang menjejaskan kehidupan atau bahan-bahan lain. Pencemaran udara disebabkan oleh pelepasan asap melalui ekzos kenderaan, kawasan industri yang melepaskan asap atau bahan pencemar, dan penggunaan dapur arang atau kayu yang tidak terkawal. Pencemaran udara boleh mendatangkan pelbagai kesan kepada semua hidupan di bumi ini.

Pada pendapat saya , pencemaran udara telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa ini. Antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran udara ialah terhadap sistem pernafasan. Udara dan bahan cemar yang terperangkap didalamnya akan memasuki hidung atau mulut manusia dan memasuki paru-paru melalui trakea. Karbon monoksida (CO) adalah antara gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dengan begitu berkesan sekali. Selain itu, bahan cemar Nitrogen Oksida (NO2) boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari, bahan cemar gas ozon (O3) boleh menimbulkan kerengsaan. Habuk,asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menghalang penglihatan mata dan juga menjejaskan mata manusia.

Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorocarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairaan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa ini.

Selanjutnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Ianya berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat-tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Ianya membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dan bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap kedalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur.

Kesan yang paling ketara dan sedang hangat diperkatakan oleh seluruh warga dunia pada masa kini adalah kesan pemanasan global yang disebabkan oleh kesan rumah hijau. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon menjadi punca kepada pemanasan global ini yang dapat dirasakan oleh seluruh penduduk bumi. Kenaikan suhu bumi disebabkan oleh pembebasan gas-gas karbon dioksida dan terkumpul di dalam udara. Gas karbon dioksida yang terlalu banyak menyebabkan haba di bumi terperangkap dan akhirnya suhu bumi meningkat dan persekitaranya menjadi panas. Penyusutan lapisan ozon juga adalah faktor utama kejadian pemanasan global ini. Pemanasan global menyebabkan keadaan bumi menjadi panas, ekosistem terganggu, banjir berlaku secara kerap dan juga berlakunya kejadian alam yang tidak normal. Kebakaran hutan yang berlaku juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada suhu di bumi ini dan juga menjejaskan kualiti udara.

Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan. Contoh yang paling jelas ialah kebakaran besar yang berlaku di hutan Indonesia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa buah Negara di Asia Tenggara mengalami keadaan jerebu yang sangat teruk termasuk Malaysia. Selain itu, pertambahan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera turut meningkatkan suhu bumi yang telah mencetuskan perbincangan hebat di kalangan para saintis di abad ini. Para saintis mendapati bahawa kepekatan karbon dioksida bertambah dari 0.032 peratus pada tahun 1968 kepada 0.038 peratus pada tahun 2000. Mengikut analisis tersebut, ia menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5 darjah selsius, dan kesan ini dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’.

Konklusinya, pencemaran alam sekitar memberi banyak kesan yang sangat buruk terhadap dunia perlu ditangani segera sebelum ia menjadi lebih kritikal. Manusia dan juga hidupan lain saling berkait untuk terus hidup di dunia ini. Manusia memerlukan bahan makanan. Sekiranya sumber makanan dicemari, maka tiadalah sumber makanan untuk manusia. Sekiranya penduduk dunia atau manusia bersikap sambil lewa dengan keadaan alam sekitar yang semakin tercemar ini, dunia mungkin akan menjadi semakin kritikal dan hidupan lain di muka bumi ini akan terjejas atau pupus secara tidak langsung dan kemungkinan dunia akan musnah secara perlahan-lahan. Manusia seharusnya bertanggungjawab dan menjaga serta memulihara alam sekitar. Jika pencemaran dibiarkan berterusan, bumi akan kehilangan keindahannya dan mungkin suatu hari nanti, dunia ini tidak boleh lagi didiami oleh sebarang hidupan termasuklah manusia.

Tiada ulasan: